SUASANA di
perkarangan Masjidil Haram sesak dengan tetamu ALLAH. Berpusu-pusu orang mula
keluar daripada masjid selepas selesai solat Zuhur.
“Pegang
tangan saya kuat-kuat!” ujar Zulkarnaen kepada isterinya di sisi.
“Abang
jalan perlahan sikit, sakit tangan saya ni.” ujar Noraidah sambil membetulkan
kain telekungnya.
“Saya
sudah jalan perlahan ni.” jawab Zulkarnaen.
“Pegang
tangan saya, jangan lepaskan.”
“Abang,
saya sudah tidak larat.” ujar Puan Noraidah perlahan. Zulkarnaen memandang
Noraidah sekilas.
“Sikit
lagi, kita akan berhenti di tiang depan tu.” pujuk Zulkarnaen kepada isterinya.
Noraidah
hanya menganggukkan kepalanya.
Cuaca
panas dan suhu yang mencecah 42 darjah celcius tidak mengurangkan jumlah jemaah
yang hadir di tanah haram. Noraidah tercungap-cungap. Dia memegang kakinya
sambil membebel, “Bila sudah tua ni jalan sikit saja sudah mula sakit.”
“Jangan
membebel tak tentu pasal, kita di tanah haram ni. Cakap yang elok dan baik
saja. Semua tu doa dan cepat makbul.” balas Zulkarnean masih memegang tangan
isterinya.
“Jantung
saya berdebar-debarlah, tak tahu mengapa. Saya tidak sedap hati.” ujar Noraidah
yang duduk tersandar di salah sebuah tiang Masjidil Haram.
“Mula
lagi. Jangan ikutkan sangat hati tu. Kalau rasa tak selesa, cepat-cepat
istigfar dan berdoa kepada ALLAH. Kita di rumahnya.” nasihat Zulkarnaen.
“Awak
dahaga. Sekejap lagi kita minum air zam zam.”
“Betul
bang, jantung saya berdebar-debar sejak tadi. Ada perkara buruk yang berlaku di
Malaysia?” luah Noraidah kepada suaminya.
“Jangan
dilayan perasaan tu. Awak banyak naik tangga, tu yang membuatkan jantung awak
berdebar-debar.”
“Saya
teringatkan Rania!” terpacul nama itu daripada bibir Noraidah.
Zulkarnaen
tersentak sebaik sahaja nama itu disebut. Dia segera memeluk isterinya bagi
menenangkan perasaan rindu seorang ibu kepada anaknya. Noraidah mula menangis
di bahu suaminya yang telah dikawini sejak 25 tahun.
“Kita
doakan yang terbaik buat Rania. Sudah, berhenti menangis. Kita minum air
zam-zam sekejap.”
“Tadi
semasa saya solat, ada seorang gadis tu wajahnya sama seperti Rania. Saya
terkejut.” ujar Noraidah sambil membetulkan kain baju jubah hitam yang
dipakainya.
“Terus
saya teringatkan Rania. Saya berasa…”
“Sudah,
jangan cakap lagi. Mari kita ke sana, minum air zam zam.” ajak Zulkarnaen. Dia
memandang isterinya dengan penuh kasih sayang. Tangan Noraidah diusap lembut.
“Kita
doakan moga Rania selamat dunia akhirat dan cepat jodohnya. Jangan lupa berdoa
untuk Furqan juga. Kita hanya ada 3 hari saja lagi di sini.”
“Baik,
abang. Saya rindukan mereka. Maafkan saya jika banyak buat kesilapan.”
Zulkarnaen
hanya menganggukkan kepala perlahan. Matanya segera menghadap ke arah Kaabah
dengan penuh khusyuk. Dalam diam, dia berdoa moga Rania dan Furqan dijemput
ALLAH sebagai tetamuNya.
BAKUL
dan barang-barang berselerak di tepi jalan raya.
“Kamu
tidak apa-apa Rania?” soal Alex cemas. Jantungnya berdegup kencang bagaikan
mahu tersembul keluar.
“Saya
okay. Terima kasih Alex selamatkan saya.” balas Rania dengan tercungap-cungap.
Tangannya
segera dilepaskan daripada Alex. Mujur tindakan pantas Alex, menyelamatkan
dirinya daripada dilanggar motosikal yang laju tadi. Pemilik peniaga
barang-barang turut datang membantu.
“Alhamdulillah,
terima kasih TUHAN kerana melindungi diri ini.” bisik hatinya.
“Mari
saya bantu kamu membawa kamera itu.” pelawa Alex.
“Terima
kasih. Kamu jangan risaukan saya, sekarang ini saya sudah okay.”
Alex
hanya menganggukkan kepala.
“Ayuh,
saya tidak sabar mahu ke masjid Seoul Central.”
“Baik.”
Alex tersenyum memandang Rania. Dia tidak dapat membayangkan jika perkara buruk
berlaku ke atas Rania.
“Banyaknya
kedai makan di sini!” Rania teruja sebaik sahaja dapat melihat deretan kedai
makanan muslim.
“Wah,
ada kedai makan Indonesia, Pakistan dan Arab. Kamu boleh makan masakan Arab?”
“Boleh
saja. Saya pernah makan nasi Arab, sangat sedap.” balas Alex.
“Saya
mahu makan makanan Korea. Saya suka makan topoki!”
beritahu Rania kepada Alex.
“Cerita
tentang makanan ni membuatkan perut saya lapar.” jawab Alex.
“Saya
fikir, kita makan dulu dan kemudian saya akan ke masjid.” ujar Rania.
“Kedai
Murree Muslim Food seperti menarik.
Kita makan di sini, boleh tak Alex?”
“Boleh.
Saya ikut kamu.”
Mereka
segera masuk dan mencari tempat duduk. Walaupun tidak ramai orang, namun tempat
duduknya agak terhad. Akhirnya mereka mengambil tempat duduk yang berhampiran
dengan pintu masuk kedai. Dari situ mereka dapat melihat keadaan di luar kedai.
Mata Rania melilau melihat keadaan dalaman kedai makan. Seorang wanita Korea
datang dengan mengukirkan sebuah senyuman kepada mereka berdua. Dia memberikan
menu makanan kepada Rania dan Alex.
“Banyaknya
makanan!” Rania tersenyum lebar.
“Ini
nampak sedap. Yang ini juga, nampak sedap!” Rania sibuk membelek menu yang
disediakan oleh kedai itu. Alex pula tekun melihat menu yang disenaraikan.
“Kamu
suka makan apa?” soal Alex membuatkan Rania terhenti melihat menu.
“Saya
suka makanan yang pedas dan mengenyangkan.”
“Hari
ini saya mahu makan makanan Korea saja. Dakdoritang,
masakan berasaskan ayam dan agak pedas. Galbitang
pula sup daging yang ada sayur.” Rania membaca satu persatu menu yang tertera
di depan matanya.
“Saya
mahu rasa semua masakan ini boleh tak?”
“Saya
cadangkan kamu pesan Bulgogi. Ini
merupakan menu yang popular dan digemari rakyat Korea. Rasanya sangat sedap!”
Alex mengesyorkan menu itu kepada Rania yang mula rambang mata.
“Baik.
Saya mahu cuba menu itu. Kamu mahu makan apa?”
“Saya
mahu Galbitang dan Dakdoritang. Boleh ke?” usik Alex.
“Boleh.
Saya ambil pesanan ya.”
Pekerja
kedai dipanggil dan Rania mula memesan menu. “Kami juga mahu nasi untuk dua
orang makan. Bulgogi, Galbitang dan
Dakdoritang. Terima kasih.”
“Di
sini tidak ada jual makanan topoki.
Saya mahu sangat makan topoki.”
“Di
Malaysia pun ada makanan Korea?” soal Alex ingin tahu.
“Ada.
Cuma tidak banyak. Kawan universiti yang perkenalkan makanan Korea pada saya.”
Rania mengingati kembali pertama kali mencuba makanan yang berasal dari negara Korea.
“Pemerhatian
saya, makanan Korea amat berkhasiat. Ada sayur-sayuran dan tidak berminyak.”
“Apa
makanan Korea yang pertama kamu cuba makan?”
“Cuba
kamu teka.” usik Rania.
“Makanan
Korea banyak.” balas Alex.
“Baik,
saya teka. Kalau betul kamu beri saya hadiah, setuju?”
“Setuju,
dengan syarat kamu boleh teka sebanyak tiga kali sahaja.” jelas Rania.
“Topoki?” teka Alex.
“Bukan.”
“Bokkumbap?” Alex meneka kali kedua.
“Pun
bukan. Kali ketiga ini kamu perlu teka dengan betul. Cuba fikir.”
“Fuhh…
apa ya? Bagilah saya sedikit tips makanan tu.” pujuk Alex.
“Mana
boleh. Kalau saya beri tips, nanti kamu tahu jawapannya. Cuba lagi.” Rania
menolak cadangan Alex.
“Baik.
Saya cuba. Makanan Korea yang pertama kamu makan adalah Bimbimbap?”
Mata
Rania terbeliak mendengar jawapan itu.
“Tepat
sekali! Bimbimbap!” Rania menepuk
tangan meraikan jawapan Alex yang tepat.
“Terima
kasih. Saya tahu jawapan itu daripada mula lagi. Cuma saya sengaja beritahu
kamu untuk kali yang ketiga.” Alex tersenyum.
“Iya
ke?”
“Ya,
saya dapat agak bila kamu kata sebentar tadi yang kamu suka makanan yang pedas
dan mengenyangkan. Saya terfikir makanan Bimbimbap
yang merupakan nasi putih yang dicampur dengan pelbagai sayur-sayuran dan sos cili.”
“Bijak
kamu! Pertama kali saya cuba makan Bimbimbap
terus saya suka. Bila makan panas-panas sungguh nikmat! Kemudian saya makan sekali
dengan kimchi.” jelas Rania.
“Kamu
suka makan kimchi?”
“Suka!
Kamu pandai buat kimchi tak? Saya mahu belajar buat kimchi.” ujar Rania.
“Saya
tidak sangka kamu sukakan makanan Korea. Kamu perlu tinggal lama di sini dan
boleh belajar memasak masakan Korea.”
“Saya
tidak pandai buat kimchi tapi ibu
saya pakar membuat kimchi. Jika kamu
rasa pasti akan mahu makan lagi dan akan teringat-ingat.”
“Ibu
kamu tinggal dengan bersama dengan kamu di sini?”
“Tidak,
ibu saya tinggal di Busan.”
“Kamu
pernah ke Busan?” soal Alex.
“Tidak
pernah.”
“Kamu
perlu datang ke Busan. Banyak tempat yang menarik di sana. Sebenarnya saya
berasal dari Busan. Selepas menamatkan pengajian di universiti, saya terus
bekerja di Seoul.”
“Jauh
ke Busan dari Seoul?”
“Jauh
juga. Jika menaiki KTX iaitu keretapi laju, hampir 4 jam baru sampai ke Busan.”
“Jika
kamu mahu, saya boleh bawa kamu ke Busan sebelum kamu balik ke Malaysia.” pelawa
Alex.
“Terima
kasih. Mungkin lain kali. Saya sudah ada jadual yang padat di Seoul.” Rania
menolak dengan baik.
Seketika
kemudian, makanan yang dipesan tiba di meja mereka. Rania memandang setiap menu
dengan tidak berkelip matanya.
“Ayuh,
kita makan. Saya sungguh lapar ni.” Rania terus menikmati nasi putih.
“Jika
kamu mahu makan Bulgogi, ada caranya.
Mari saya tunjukkan.” Alex terus mengambil sehelai sayur salad hijau kemudian
dia mengambil Bulgogi. Daging itu
diletakkan di atas daun salad dan kemudian dibungkus. Alex terus memandang
Rania.
“Sekarang
ni kamu buka mulut.” Suruh Alex.
Tanpa
berfikir panjang Rania terus membuka mulut, dan tidak diduga Alex terus
menyuapkan bungkusan sayur tadi ke dalam mulut Rania.
Tanpa
berkata Rania terus mengunyah sayuran tersebut. Dia terkedu dengan apa yang
berlaku sebentar tadi.
“Apa
rasanya?” soal Alex.
Rania
masih mengunyah makanan tersebut. Wajahnya mula panas.
“Sedap!”
itu sahaja perkataan yang keluar dari mulutnya.
“Bulgogi dibuat daripada hirisan daging
lembu yang diperap dengan kicap, bawang putih, minyak bijan, bawang dan lada
hitam.” Alex menerangkan ramuan Bulgogi
tanpa disuruh.
“Daging
ini terasa manis dan rasa sedap dimakan dengan sayur salad.” komen Rania.
“Daging
itu diperap dengan kicap manis. Kamu berasa pedas ke?”
“Tidak,
kenapa pula?”
“Wajah
kamu merah. Saya fikir kamu kepedasan.” teka Alex. Rania tersipu dan memegang
wajahnya. Dalam hatinya berbisik, “Aku malu dengan Alex kerana suapkan makanan
padaku. Kenapalah Alex ni baik sangat dengan aku.”
Rania
hanya tersenyum dan terus menikmati rezeki di depan matanya. Alex hanya melihat
Rania makan dengan penuh selera.
Rania
terperasan dan terus melihat Alex. “Kenapa kamu tidak makan? Tidak sedap ke?”
soal Rania bimbang.
“Saya
sudah kenyang.”
“Kenyang?
Tapi tadi kamu juga yang kata lapar.” Rania tidak percaya dengan jawapan Alex.
“Saya
kenyang melihat kamu makan dengan penuh selera.” selamba sahaja Alex bertutur.
“Alex!!!”
Rania tergamam.