Home Novelet Cinta Mahar Cinta Mama
Mahar Cinta Mama
Isha Idiaz
20/10/2013 18:13:48
6,499
Kategori: Novelet
Genre: Cinta
Senarai Bab
Bab 2

Bab 2

R

UMAH banglo tiga tingkat itu tersergam indah di lereng kaki bukit Straits View. Kereta Proton Perdana milik Zira Fasiha membelah jalan menuju ke rumahnya yang agak sunyi dan lengang itu. Suatu masa dahulu, jalan raya ini merupakan kawasan bukit. Namun, kerana proses perbandaran berlaku di segenap pelusuk daerah Johor Bahru, maka syarikat-syarikat pemaju berlumba-lumba memajukan mana-mana tempat yang berpotensi untuk naik. Termasuklah kawasan Straits View ini.

Menurut cerita bapanya, untuk membangunkan sesebuah tapak perumahan bukanlah sesuatu yang mudah. Kena tahu juga Geografi. Kalau main tarah sahaja mana-mana bukit, tidak mengikut konturnya, silap hari bulan nanti tanah terhakis, jadilah tanah runtuh. Waktu itu, Fasiha hanya ketawa. Dia tahu, bapanya sengaja memancing minatnya. Dia memang tidak minat dan tidak berniat untuk mewarisi perniagaan bapanya itu walaupun sudah berkali-kali juga bapanya memujuk.

Fasiha tersenyum apabila dari dalam kereta dia sudah dapat melihat Dato’ Ibrahim dan Datin Nurain sudah menanti kepulangannya di meja kopi yang terletak di sudut kiri halaman rumah mereka. Kedua-dua mereka terus berdiri dan menghampiri ke arah garaj kereta di mana Fasiha sudah memakirkan keretanya.

“Assalammualaikum mama. Mama macam mana? Sihat?” soal Fasiha sebaik sahaja dia keluar dari kereta. Tangan Datin Nurain dicapai dan diucup penuh hormat.

Datin Nurain mengusap belakang Fasiha. “Alhamdulillah, mama sihat. Siha macam mana? Mama tengok Siha macam makin kurus je. Siha tak makan ke?” Giliran Datin Nurain pula bertanya.

Dato’ Ibrahim sudah berdehem beberapa kali. Datin Nurain dan Fasiha yang sudah biasa dengan taktik Dato’ Ibrahim untuk menarik perhatian mereka itu hanya ketawa. “Eh, ketawa je? Abah ni dah macam patung diri dekat sini, Siha tak nak salam ke?” Dato’ Ibrahim sudah berpeluk tubuh. Berpura-pura merajuk.

“Abah ni nak merajuk pula mama. Kata orang, kalau orang muda merajuk, comel lagi. Tapi kalau orang tua merajuk, dah macam tempoyak basi dah. Masam,” usik Fasiha dan disambut dengan tawa Datin Nurain.

Fasiha segera mendapatkan bapanya dan mengambil tangan tua itu. Setelah dikucup tangan itu, Fasiha menghantar pipinya untuk dicium seperti selalu. Dato’ Ibrahim tersenyum lebar. Kepalanya digeleng perlahan. Fasiha walaupun dibesarkan dalam keadaan serba mewah, namun dia tidak pernah lupa adab pada orang tua. Dia berbangga apabila anak ini bukan sahaja berjaya kaya dengan ilmu dunia, tapi ilmu akhirat juga.

“Siha, ni abah banyak benda nak cerita pada Siha ni. Lama dah abah simpan cerita ni. Abah nak cerita dekat mama kamu, mama kamu tu kata dia dah naik nak termuntah dah dengar cerita abah,” ujar Dato’ Ibrahim sambil memerli Datin Nurain.

“Alololo. Kesian abah. Mama ni kenapalah tak nak dengar cerita abah. Kalau Siha jadi mama, Siha sanggup duduk dengar semua cerita abah ni,” Siha pula menyambung kata-kata Dato’ Ibrahim. Melihat Datin Nurain memandang ke arahnya, cepat-cepat Fasiha mengenyitkan mata mengisyaratkan kepada mamanya, dia sahaja mahu mengambil hati abahnya.

“Dah. Mari masuk dulu. Awak dua beranak ni, kalau bercerita, dari pagi sampai petang karang pun tak habis. Biarlah Siha tu rehatkan diri dia dulu abahnya,” Datin Nurain sudah mula berceloteh.

Kedua-dua beranak tadi yang baru mahu membuka cerita terus tergelak apabila mendengar kata-kata Datin Nurain. Tidak mahu Datin Nurain memberikan ceramah pagi yang lebih panjang, mereka masuk ke dalam rumah sambil berpegangan tangan. Mesra seperti selalu.

MASUK ke dalam rumah, ketiga-tiga beranak itu menuju ke dapur. Datin Nurain sudah sibuk mengeluarkan makanan untuk dihidangkan.

“Ni mama ada masak nasi goring pagi tadi. Roti bakar pun ada,” ujar Datin Nurain sambil meletakkan semangkuk nasi goring di atas meja. Sebentar kemudian piring berisi roti bakar pula diletakkan di atas meja.

Fasiha sudah tersenyum bahagia. Inilah sebabnya kenapa orang cakap rumahku syurgaku. Kalau duduk di rumah ni, rasanya tak pernah tak ada makanan. Tengok pagi-pagi macam ni sahaja dah ada nasi goreng dengan roti bakar. Mana tak gemuknya kalau dia duduk di rumah. Kalau duduk sendiri, kalau sarapan memang jawabnya minum air sejuk jelah. Tu pun untung kalau dia sempat minum. Kalau tidak sempat, depan peti sejuk tu dia berdiri dan teguk air seteguk dua dan cepat-cepat pergi kerja.

“Banyaknya mama buat sarapan. Kalau ada dua tiga juadah lagi dah macam menu sarapan pagi dekat hotel dah ni,” ujar Fasiha bersemangat.

“Ada orang tu dia kata muak dah makan nasi goreng. Asyik makan nasi goreng je katanya. Tekak dia dah tak selera dah. Nak juga tekaknya makan roti bakar,” tempelak Datin Nurain.

Kata-kata Datin Nurain tadi disambut dengan tawa Fasiha. Fasiha tahu, pasti kata-kata itu ditujukan kepada bapanya. Dato’ Ibrahim buat muka bersahaja. Dah tekaknya rasa macam dah tak boleh nak telan nasi goreng pagi-pagi tadi. Sebab itulah dia suruh Datin Nurain bakarkan roti untuknya. Nak kata Datin Nurain tak suka makan roti bakar, tadi dia lihat dua keeping juga roti bakar itu masuk ke mulut isterinya.

“Yalah Siha. Abah ni tekak orang tua. Makin tua ni selera makin demand. Kadang-kadang tu ada jugak abah nak makan nasi minyak. Tapi bukan nasi minyak biasa. Nasi minyak majlis perkahwinan diri sendiri,” ujar Dato’ Ibrahim selamba. Sengaja dia buat wajah ceria supaya Datin Nurain sakit hati.

Datin Nurain yang dari tadi sibuk mengacau air menapak ke arah Dato’ Ibrahim. Tanpa memberi amaran atau berkata apa-apa, cepat sahaja jarinya mencubit lengan Dato’ Ibrahim. Dato’ Ibrahim sudah mengaduh kesakitan. Fasiha hanya menjadi pemerhati dan tertawa.

“Ada hati nak kahwin lain. Rumah dah kata pergi, kubur dah kata mari,” dengus Datin Nurain sambil kembali mengacau air. Teko berisi air the susu itu kemudiannya diletakkan di atas meja. Kerusi makan ditarik perlahan dan Datin Nurain melabuhkan punggungnya.

“Mama dengan abah tak nak makan sama?” soal Fasiha sambil menyenduk nasi goreng ke dalam pinggan makannya. Wajah Dato’ Ibrahim dan Datin Nurain dipandang silih berganti.

“Mama kenyang dah. Siha makanlah,” ujar Datin Nurain sambil menuangkan air teh susu tadi ke dalam cawan.

“Abah pun dah kenyang. Abah dengan mama kamu ni kan sehati sejiwa,” ujar Dato’ Ibrahim untuk memujuk Datin Nurain. Namun, pujukannya tidak berjaya melembutkan hati Datin Nurain. Datin Nurain hanya berlagak seperti biasa. Antara dengar ataupun tidak.

Fasiha menyuapkan nasi goreng ke dalam mulut. Dia bahagia melihat kasih antara bapa dan mamanya. Walaupun mereka kini sudah tua, namun kasih antara mereka masih kukuh. Kemesraan bapa dan mamanya dilihat tidak pernah berubah sejak dia kecil lagi. Dalam hati kecilnya, Fasiha berharap dia juga mempunyai seorang suami seperti bapanya. Dan dia berharap dia akan menjadi seperti mamanya.

Mengingatkan hal itu, dia teringat akan Umar Faris. Sudah dua hari Umar Faris mendiamkan diri. Mungkin lelaki itu sibuk dengan penyiasatan barunya berkenaan kes bunuh di Taman Megah seminggu yang lalu.

Melihat suasana sepi di meja makan itu dan Fasiha yang seolah-olah mengelamun, Datin Nurain kembali bersuara, “Siha, nanti tengah hari nak makan apa?”

Fasiha yang sah sedang berangan tadi terperanjat apabila ditanya soalan begitu. Namun cepat pula mulutnya menjawab pertanyaan Datin Nurain.

“Nasi minyak?” ujarnya seolah-olah meminta persetujuan daripada Datin Nurain.

“Nasi minyak?” soal Datin Nurain inginkan kepastian. Dilihat Fasiha sudah mengangguk laju. Dato’ Ibrahim pula sudah senyum mengejek. Isy. Anak dengan bapa sama sahaja. Menyesal pula dia bertanya. Kalau dia tahu tadi, dia masak sahaja mengikut menu perancangannya.

USAI solat Zuhur berjemaah, ketiga beranak itu menikmati juadah makan tengah hari seperti yang diminta oleh Fasiha pagi tadi. Nasi minyak. Ayam masak merah, daging masak kurma, pajeri nenas dan juga acar buah sudah siap dihidang di atas meja. Bau harum nasi minyak memang tidak dapat dihindari. Fasiha cepat-cepat menyendukkan nasi ke dalam pinggan untuk abah, mama dan juga dirinya sendiri.

Setelah Dato’ Ibrahim membacakan doa makan, mereka masing-masing meneguk seteguk air masak. Belum pun sempat Fasiha menyuapkan nasi ke dalam mulut, kedengaran loceng pintu berbunyi yang menandakan mereka mempunyai tetamu. Mendengar suara riuh di luar rumah, mereka bertiga sudah dapat mengagak siapa yang datang. Tak lain tak bukan, along dan keluarganya.

“Amboi, dari luar dah bau nasi minyak,” ujar alongnya riuh sewaktu melangkah masuk ke dalam rumah. Kerana along mempunyai kunci rumah ini, makanya mereka tenang-tenang sahaja di dapur. Fasiha sudah meletakkan pinggan tambahan untuk along, abang long dan dua orang anak buahnya. Faiq dan Fina sudah berlari-lari mendapatkan neneknya untuk bersalam.

“Amboi, masuk rumah dah tak reti nak bagi salam?” tempelak Fasiha kepada alongnya. Alongnya hanya tertawa. Along meletakkan beg tangan yang di bawa di atas kabinet dapur. Abang longnya sudah sibuk meletakkan Faiq dan Fina di atas kerusi masing-masing. Kedua-dua anak kecil itu sudah tidak sabar-sabar mahu makan.

“Isy. Kebulur betul anak-anak kau ni along. Kau tak bagi makan ke?” ujar Fasiha seraya menyendukkan nasi ke dalam pinggan Faiq dan Fina. Lauk-pauk kemudiannya di sendukkan juga buat kedua-dua anak buahnya itu.

“Bukan aku tak bagi makan. Tapi aku tak sempat nak masak lagi hari ni. Kira langkah kananlah ni datang rumah mama ada nasi minyak. Tak payah aku nak masak tengah hari. Karang sebelum balik aku tapau la untuk makan malam,” alongnya menjawab dengan bersahaja sambil mengambil tempat di sebelah Faiq.

“Bukan main tapau segala. Nak bawak balik kena bayarlah,” usik Fasiha lagi.

“Masuk bil ya. Sekarang aku nak makan dulu,” ujar alongnya dan menyuapkan nasi ke dalam mulut. Fasiha mencebirkan bibirnya. Dato’ Ibrahim dan Datin Nurain tidak tercakap apa apabila melihat gelagat Fasiha dan Farah. Dua-dua daripada kecil hingga sekarang memang tak tahu nak beralah. Kadang-kadang sakit juga kepala mendengar apabila mereka mengusik sesama sendiri.

“Ha, ni abah belum cerita lagi dekat Siha. Abah popular semalam. Semua wartawan datang nak interview abah,” ujar Dato’ Ibrahim sewaktu semua orang sedang sibuk menikmati makanan. Enam pasang mata kini sudah bertumpu ke arahnya. Termasuklah mata Datin Nurain. Tak ada pula semalam Dato’ Ibrahim memberitahunya hal ini. Dato’ Ibrahim ni memang suka menjadi attention seeker. Nak nak masa orang berkumpul ramai-ramai macam ni. Sibuklah dia nak bercerita.

“Kenapa abah?” serentak Fasiha dan Farah bersuara. Yang lain pula tak sabar menanti cerita selanjutnya dari Dato’ Ibrahim.

“Kamu semua nak tahu sangat ke nak tahu saja?” soalan itu pula yang keluar dari mulut Dato’ Ibrahim.

Masing-masing dah buat muka menyampah. Ni lagi satu perangai Dato’ Ibrahim. Suka memancing perhatian orang, lepas tu suka juga buat orang kecewa dengan dia punya muqaddimah.

“Nak tahu sangat,” jawapan itu keluar dari mulut Fasiha dan Farah. Dato’ Ibrahim tersenyum puas. Barulah dia boleh bercerita. Kalau tidak nanti, baru separuh jalan dia bercerita, anak-anak dan isterinya sudah angkat punggung. Terakhir kali, dia bercerita dengan Ayu, kucing peliharaan mereka apabila semua orang meninggalkannya.

“Abah dapat panggilan telefon mengatakan tapak projek Kota Fajar Mega tu, pekerja ada jumpa rangka manusia,” ujar Dato’ Ibrahim bersungguh-sungguh. Semua mata bulat apabila mendengar cerita tersebut.

“Rangka manusia? Biar betul?” Fasiha menggeleng tidak percaya. Ini dah dikira kes terpencil di zaman moden ni. Kalau zaman dahulu orang jumpa rangka manusia kira kes biasa sebab orang tahu zaman perang dengan Jepun dahulu, manusia di bunuh di mana-mana. Ada yang orang jumpa mayatnya orang tanam. Yang tak jumpa akan reput dan jadi rangka. Zaman sekarang ni cuma ada kes bunuh, simbah asid, kes letupkan orang pakai bom. Sebab tu Fasiha kata kes ini kes terpencil.

“Abah dah pergi melawat tapak projek tu ke?” Giliran Farah pula bertanya. Risau juga kes ini jadi kes polis dan bapanya tertuduh. Dia tahu bapanya punya banyak pesaing. Tak kurang juga musuh. Siapa yang tidak kenal Dato’ Ibrahim, pemilik syarikat pemaju hartanah yang terkemuka di Johor Bahru ini dengan nama syarikat IAFF Sdn. Bhd. Bapanya bukan sahaja pemilik syarikat hartanah yang berjaya, malah syarikat IAFF Sdn. Bhd. inilah yang bertanggungjawab memajukan sebahagian besar projek pembangunan rumah dan kompleks beli-belah di Johor Bahru.

“Abah dah pergi dah tengok tapak projek tu. Memang betul ada rangka manusia. Laki-laki katanya,” ujar Dato’ Ibrahim serius. “Sekarang tapak tu masih dalam siasatan polis. Mungkin terpaksa ditutup seketika untuk memudahkan kerja mereka mengenal pasti identity mangsa tu,” tambah bapanya lagi.

Melihat semua muka tegang, akhirnya Dato’ Ibrahim kembali bersuara, “Eeee, habislah. Ada hantu dekat abah punya site, takut.”

Farah, Fasiha, Datin Nurain dan abang longnya sudah tidak tahan dengan lawak spontan yang dibuat oleh Dato’ Ibrahim. Masing-masing sudah ketawa terbahak-bahak dan menekan perut.

Fasiha terfikir sesuatu. Mungkin Umar Faris sedang menyiasat kes di tapak projek bapanya ini. Sebentar malam dia akan menelefon Umar Faris jika lelaki itu tidak membalas pesanannya. Dia harus mencari tahu mengenai hal ini. Walaupun nampak kecil, namun mereka tidak boleh memandang enteng akan hal begini. Siapa tahu ada orang yang mahu menjatuhkan IAFF Sdn. Bhd.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.