Selang beberapa hari yang sedikit tenang. Dr. Danial
mengunjungi pusara sahabat baiknya. Pagi itu sangat cerah dengan wajah matahari
yang berseri. Seolah-olah terlepas dari perasaan yang membebankan. Lapang
suasana perasaan alam. Bunga-bunga dan air wangian disiramkan di atas kubur Dr.
Zahran. Dengan perasaan insaf memohon semoga kesejahteraan dan keampunan
sentiasa bersama sahabatnya di alam kubur itu. Ditempatkan dikalangan orang
yang beriman, sentiasa. Alfatihah dan doa disedekahkan, sebagai tanda ikatan
insan yang mengharapkan kebahagiaan dan keredaan Tuhan. Mengharapkan SyurgaNya.
Dr. Danial bangkit dari bangku yang disediakan khas.
Terus menatap kubur sahabatnya dengan kesal dan reda. Datang sebagai tanda
ingatan. Selagi Dr. Danial masih hidup, mesej sahabatnya itu akan tetap terus
dia tunaikan dan selesaikan. Demi keharmonian hidup manusia. Dia rela berkorban
demi perjuangan ini. Menghapuskan teknologi berpotensi besar yang telah di salahguna.
***
Detektif Mukhriz terbaring atas katil wad. Dengan tenang dan
mata terpejam. Hakimi membuka pintu dan menghampiri Detektif Mukhriz, melawat
seorang penyiasat yang tidak mengenal erti putus asa untuk mengetahui apa
rahsia yang selama ini tersembunyi. Hakimi melihat wajah Detektif Mukhriz yang
sedang lena dan tenang. Tidak ingin mengganggu. Kedatangannya untuk memastikan
tahap kesihatan pegawai polis yang tajam minda dan firasat. Yang sentiasa
berjaya membongkar kes-kes dan teramat ingin mengetahui akan kebenaran itu
sendiri. Bahagian tubuh yang telah ditembusi peluru berbalut-balut. Hakimi
melihat mesin bantuan ECG. Kelihatan normal. Tanpa berlengah, dengan perlahan Hakimi
keluar dari bilik wad itu.
“Engkau adalah Raphael bukan?” Detektif Mukhriz tiba-tiba
bersuara dengan lemah.
Langkah Hakimi terhenti. Tersentak mendengar jawapan dan
tekaan tepat polis penyiasat itu. Dia menoleh wajahnya ke arah Mukhriz.
“Apa yang membuatkan engkau begitu yakin?” tanya Hakimi cuba
mensamarkan tekaan tepat seorang detektif.
“Aku lihat engkau... aku dapat lihat engkau. Sut yang
terbang malam tu adalah engkau.” Jawab Mukhriz.
“Apa lagi kau tahu?” tanya Hakimi pula.
“Teknologi dari planet asing telah disalahgunakan oleh
jeneral untuk tujuan peribadi. Dan aktiviti itu sentiasa dilindungi oleh orang
atasan yang sangat berkuasa dan licik.” Kata Detektif Mukhriz. “Kemusnahan
besar pasti akan berlaku.”
Sungguh tekaan Detektif Mukhriz benar, hanya siasatannya
belum sempurna untuk melihat akan kebenaran. Melihat apa yang telah dan sedang
berlaku.
“Orang atasan?” soal Hakimi. Ada maklumat yang dia
sendiri mungkin tertinggal dalam penelitiannya. Detektif Mukhriz hanya
tersenyum.
“Sumber terbesar teknologi itu dah pun dimusnahkan. Hanya
tinggal projek ketenteraan Jeneral Karim.” Kata Hakimi.
Detektif Mukhriz terbatuk-batuk. Kemudian berkata dengan
yakin.
“Bersiap sedia... untuk perang ‘dunia ketiga’.”
Sungguh Hakimi faham dan jelas apa yang dimaksudkan itu.
“Detektif Mukhriz. Agak susah untuk berurusan dalam hal
ini. Tapi kami perlukan maklumat lanjut dan rahsia sulit mereka dengan lebih
mendalam lagi. Aku tahu ini kelebihan Tuan Detektif.” Kata Hakimi yang mengagumi
kehebatan detektif itu dalam menyiasat. Hakimi menyambung kata-katanya lagi. “Aku
sedang membuat tawaran. Untuk Tuan sertai kami, tempuhi ‘peperangan’ ini.”
Detektif Mukhriz
terbatuk-batuk lagi. Kemudian tersenyum. Dia melihat wajah Hakimi dalam-dalam.
Mindanya ligat berkata-kata.
“Dengan bangganya... dengan syarat berikan kebebasan untuk
aku siasat dengan cara aku sendiri.”
Hakimi gembira mendengar jawapan itu. Syarat Detektif
Mukhriz diterima. Perjanjian kerjasama dalam menempuh ‘perang dunia ketiga’
bersama-sama bakal ditandatangani.
“Orang kata, detektif yang hebat pasti banyak rahsia yang
tersimpan dalam diri dia. Kerana dia seorang yang pandai menyimpan rahsia.”
Kata Hakimi sambil berkias. Dia sebenarnya inginkan Detektif Mukhriz
merahsiakan segala aktiviti Nadi Bima Berhad daripada diketahui umum.
“Well, sebab tu
ada perkara yang kau sendiri tak tahu dari aku pasal projek pembangunan ketenteraan
Jeneral Karim. Kau tak akan tahu selagi aku belum bagitahu.” Balas Detektif
Mukhriz membuktikan dia juga hebat dalam menyimpan rahsia besar.
Hakimi tersenyum. Dengan perlahan keluar dari bilik wad
khas; persendirian. Meninggalkan Detektif Mukhriz dengan penghormatan yang
tinggi.
TAMAT