Home Novel Thriller/Aksi ^JERUK MANGGA ASAM BOI^ UNTUK PENDEKAR
^JERUK MANGGA ASAM BOI^ UNTUK PENDEKAR
usakoprincessz
8/3/2020 20:58:49
642
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
Senarai Bab
Bab 4

        Syanil menarik gebar rakannya itu seraya membuka jendela supaya cahaya mentari waktu pagi itu menerangi kamar tidur sahabatnya yang redup tersebut.

        "Woitt, bangunlah! Dah pukul 10 pagi ni tau tak! Membuta ja kerja kau," sergah Syanil seraya mengejutkan lena sahabatnya itu. 

        Sarina menarik semula gebarnya itu. Entah apa-apalah rakannya itu. Hari ini kan hari minggu. Biarlah dia bermalas-malasan di katil itu lebih lama dari kebiasaannya. Jangan menganggu boleh tak?

        "Rinnnnnnn!" tempik Syanil lagi.

        "Kau janji apa hari ni? Rinnnnnn.. Bangunnnnn!" tempik Syanil dengan nada yang lebih tinggi kali ini. 

        Sarina bingkas bangun seraya menjegilkan matanya ke arah rakannya itu.

        "Kau ni kenapa? Abang aku tak jadi hantar buah mempelam pagi ni. Dia datang malam ni! Faham! Dah, aku nak tidur!" bentak Sarina lagi seraya menarik gebarnya lagi.

        "Rinnnn, sampai hati kau. Kau dah janji nak teman aku jumpa husband aku kan malam tadi?" ujar Syanil lagi. 

        Husband? Sejak bila temannya itu dah bersuami. Bila masa pula mereka ada berjanji? Sarina bangun lagi.

        "Kau meracau apa ni Syan? Sejak bila kau berlaki? Sakitlah otak aku ni," tanya Sarina sambil membulatkan matanya.

        "Pukul 11 nanti dekat Mid Valley. Kau dah lupake? Aku rindu kat dia tau. Lama dah tak jumpa dia sejak 2 tahun dia military service. Jomlah," ujar Syanil lagi yang sudah berpakaian lengkap itu seraya menarik tangannya. Manis sahaja sahabatnya itu dengan mekap tipisnya.

        "Husband?" Sarina menggaru-garukan kepalanya. Tak faham betul. Apa yang berlaku malam tadi sebenarnya. Seingatnya, mereka berdua hanya menghabiskan masa dengan menonton televisyen bersama dan bersembang kosong sahaja. 

        Syanil mengangguk-anggukkan kepalanya seraya menyemburkan pewangi ke tudungnya.

        "Ya la. Husband aku, Lee Min Ho," ujar Syanil lagi seraya mengenyitkan matanya. 

        Sarina membutangkan matanya. 

        Syanil ketawa besar. 

        Patutlah bersungguh benar Syanil pagi ini. Beria-beria benar dia malam tadi bercerita tentang tayangan perdana The King The Eternal Monarch, lakonan terbaru aktor Korea tersebut di pawagam pagi ini. Sarina menguap kecil sambil menggeliatkan badannya. Time-time ni juga cerita tak berfaedah tu ditayangkan. Tak nak pergi dah terlajak berjanji dia dengan gadis ini malam tadi.

        "Yalah, aku bangun ni. Husbandlah konon. Puii... Tapi kau kena ikut syarat aku malam tadi kan," ujar Sarina pula separuh mengugut. 

        Syanil tersenyum mengangkat tangannya bersetuju. Walaupun tidak gemar dengan cerita Hindustan, namun dia tetap bersetuju untuk menonton cerita terbaru Arjun Rampal selepas tayangan filem Korea itu seperti yang diminta oleh Syanil malam tadi, asalkan rakannya itu sudi menemaninya bersesak-sesak di pawagam pagi ini bagi menonton cerita terbaru aktor Korea pujaannya tersebut.

                                                                                             ***

        Suasana di gedung membeli-belah Mid Valley itu pagi ini memang agak sesak. Memang ramai pengunjung yang melewati Golden Cinema itu hari ini. Masing-masing mungkin merupakan peminat tegar aktor Korea tersebut juga. Berpeluh-peluh Syanil dan Sarina untuk mendapatkan tiket untuk masuk. Untungnya mereka berjaya. Ada yang keluar barisan dengan wajah muram dek tiket telah kehabisan sebelum mereka membuat pembayaran. Penangan drama Korea di Malaysia ini nampaknya masih belum berakhir. Syanillah salah seorang mangsa tegar.

        "Fuh, macam sardin. Aku harap ni kali terakhir kita buat kerja tak berfaedah ni. Movie Hindustan pun tak adalah sesak macam ni," ujar Sarina separuh membebel ketika memasuki bilik gelap tersebut. 

        Syanil tersengih ke arah sahabatnya itu seraya menghulurkan pop corn ke tangan sahabatnya itu.

        Tayangan dimulakan. Cerita yang memaparkan pelbagai aksi lucu, sedih dan gembira tersebut mendapat pelbagai reaksi dari pengunjung. Ada yang ketawa besar ketika aksi lucu dipertontonkan dan tak kurang juga yang menangis tatkala scene yang menyentuh perasaan.. Memang tidak dapat dinafikan lakonan aktor lelaki Korea itu yang dipasangkan dengan heroin yang berbakat itu juga memang betul-betul memberi impak yang menarik. 

        Syanil tersenyum-senyum tatkala keluar dari panggung. Sarina hanya menjeling ke arah sahabatnya itu. Khayallah tu.

        "Bukan engkau pun yang jadi heroin tu tadi," usik Sarina apabila Syanil masih tersenyum-senyum sendirian itu.

        "Rin, kalau Lee Min Ho tu ajak aku kahwin, memang aku tak tolak," ujar Syanil pula. Masih khayal dan terbawa-bawa dengan lakonan tadi. 

        Sarina ketawa besar. Berangan betul sahabatnya itu. Selalu juga dia mendengar rakannya itu mahu ke Korea semata-mata mahu menemui aktor tampan itu. Mimpilah. Duduk kat Malaysia sendiri pun belum tentu jumpa Zul Ariffin, aktor lelaki terkenal Malaysia itu.

         "10 minit lagi cerita aku nak main. Duduk sini jelah Syan," pinta Sarina pula. 

        Syanil hanya mengangguk mengikut sahaja.

         Telefon bimbit Syanil berdering menandakan ada panggilan masuk.

        "Hello," talian bersambung.

        "Nil, akak ni. Akak kena jumpa Nil hari ni. Nil dekat mana?" suara dari hujung sana menyapa. 

        Syanil memandang berkali-kali nombor si pemanggil itu. Mimpi apa kakaknya itu. Tiba-tiba menelefon dan mahu berjumpa pula dengannya. Sepanjang dia belajar di UPM, Serdang dulu, tak pernah pula wanita itu mahu berjumpa dengannya walaupun lokasi kampus kakaknya di Gombak itu tidak berapa jauh dengannya. Kali ini, mahu pula wanita itu menemuinya.

        "Nil dekat Mid Valley sekarang. Kenapa Kak Yun?" tanya Syanil pula.

        "Nil tunggu kat situ. Akak pergi ke sana," jawab wanita itu pula. Telefon dimatikan. Belum sempat Syanil menerangkan keadaannya yang sudah berjanji dengan sahabatnya untuk menonton wayang Hindustan itu bersama-sama. Riak wajahnya tidak seceria tadi.

        "Kenapa Syan? Siapa call?" tanya Sarina sebaik sahaja menyedari perubahan di wajah rakannya itu.

        "Kakak aku call. Mimpi apa entah dia tiba-tiba nak jumpa aku kat sini," jawab Syanil acuh tak acuh. 

        Sarina mengerut keningnya.

        "Oh, yeke. Sekarang? Kejap lagi cerita dah nak start ni Syan. Macam mana?" Sarina bertanya lagi.

        "Jom masuk dulu. Nanti dah sampai, dia pandailah call aku. Apa yang mustahak sangat sampai nak kena jumpa aku. Selalu dia text aku saja kalau ada apa-apa yang penting. Entahlah," Syanil menarik tangan Sarina seraya beriringan masuk ke dalam dewan panggung yang sudah bersiap sedia untuk tayangan movie berikutnya.

        Tayangan bermula. Mata Syanil gagal fokus terhadap aksi yang dipertontonkan walaupun rakan di sebelahnya ketawa dek beberapa aksi yang melucukan oleh para pelakon filem tersebut. Hatinya masih tertanya-tanya tujuan sebenar kakaknya tadi.

        "Rin, kakak aku dah call. Aku keluar sekejap, bolehkan?" ucap Syanil separuh berbisik ke telinga rakannya yang khusyuk menikmati tayangan movie Hinsdutan kesukaannya itu. Sarina hanya menggangguk.

        Dari jauh, Syanil sudah dapat meneka gadis tinggi lampai itu adalah kakaknya, Fazrun. Memang jelas ketara perbezaan sifat fizikal dirinya dengan kakaknya itu. Dia hanya gadis yang rendah. Wajah mereka berdua pun tidak serupa. Oleh sebab itulah ramai rakan-rakannya mahupun rakan kakaknya sendiri tidak dapat meneka bahawa mereka adalah adik-beradik ketika di bangku sekolah dahulu.

        "Kak Yun," sapa Syanil dari belakang. 

        Wanita itu berpaling. Bergaya sekali wanita itu sekarang. Jauh benar bandingan dengannya yang hanya memakai t shirt lengang panjang dan berseluar jeans longgar itu.

        "Nil, akak ada perkara penting untuk kita bincang. Ayuh kita duduk kat sana kejap," ujar Fazrun seraya menarik tangan Syanil menuju ke arah sebuah restoran makanan cepat di situ. 

        Air minuman dan sedikit makanan cepat turut dipesan oleh Fazrun untuk mereka berdua.

        Bola mata kecil kakaknya itu merenung tepat ke ke arah mata bundar milik Syanil.

        "Nil kerja apa sekarang? Nil menjaja jeruk kat tengah jalan macamtu?" soalan tersebut terus terpacul di bibir Fazrun dengan nada sinis. Syanil tersentak seketika. Wajahnya dialihkan ke arah kakaknya itu.

        "Ya. Kenapa? Nil cari rezeki halal. Lagipun, Nil menjaja bersama-sama kawan Nil juga, Sarina," balas Syanil mengiyakan pertanyaan kakaknya itu. 

        Fazrun mengetap bibir geram.

        "Jadi betullah apa yang Rasyid cakap. Selama ni, Nil menjaja jeruk mempelam tu kan. Nil tak maluke kerja macamtu? Perempuan menjaja kat tengah-tengah jalan," tanya Fazrun lagi menjegilkan mata menahan geram.

        "Kak Yun, Nil bukan buat benda tak elok. Nil berniaga kan. Lagipun, ramai ja yang berniaga macam tu sekarang. Kenapa Nil nak malu?" jawab Syanil lagi seraya menghirup air lemon tea di hadapannya itu.

        "Nil memang tak malu, tapi mama yang malu kat kampung tu. Heboh dah Mak Kiah jaja kat kampung yang Nil ni kerja menjaja kat tengah jalan raya macam tu. Nil tak boleh ke cari kerja yang elok sikit. Jangan ingat Nil duk KL, orang takkan tahu apa yang Nil buat!" ujar Fazrun dengan nada yang lebih tinggi.

        Hati Syanil mula panas. Apa salahnya dia bekerja sebagai penjaja jeruk begitu. Bukan berdosa pun. Rasyid mana pula yang dimaksudkan oleh kakaknya itu.

        "Kak Yun, Nil bukan buat dosa besar. Kenapa mama nak malu? Nil cari rezeki. Ya, Nil memang tak dapat peluang nak kerja bagus macam Kak Yun tapi, sekurang-kurangnya Nil berusaha. Nil berniaga," balas Syanil geram. 

        Fazrun menjeling tajam. Adiknya itu memang degil dan sukar memahami akan perasaan ibunya.

         "Akak tak kisah Nil nak kerja apa dan Nil nak buat apa. Tapi, akak tak suka kalau mama malu disebabkan sikap Nil yang macam ni. Mama bagi belanja dekat Nil, masuk universiti supaya Nil dapat kerja yang elok-elok. Bukan menjaja macamtu. Akak tak nak dengar lagi lepasni mama mengadu benda yang sama. Faham?," balas Fazrun seraya mengangkat punggung. 

        Dia menjeling ke arah adiknya yang bertudung bawal putih itu lagi. 

        Hati Syanil sebal. Ini sudah keterlaluan. Bukan dia melakukan perkara terkutuk pun. Berniaga pun salah, sedangkan ibunya sendiripun berniaga nasi lemak di tepi jalan. Apa salahnya dia juga turut berniaga begitu. Kenapa kakaknya itu tidak mahu memahami akan keadaan dirinya. Dia hanya bekerja untuk mencari rezeki yang halal. Sekurang-kurangnya dia tidak perlu lagi meminta-minta wang dari ibunya lagi, apatah lagi dari kakaknya itu

        "One more thing, mama suruh balik kampung hujung bulan depan. Keluarga Pak Teni dan Haji Abbas nak datang. Harap Nil fikirkan apa yang dah akak pesan tadi. Akak nak balik," kata Fazrun seraya mengangkat kaki berlalu dari situ. 

        Syanil berpaling sejenak. 

        Apa lagi yang dirancang oleh ibu dan kakaknya itu. Sejak ayahnya pergi ketika selesai menghadapi peperiksaan SPM dulu, hidupnya sepi. Tiada lagi ketawa riang di dalam rumah kampung tersebut. Ada saja benda yang tidak kena tentang dirinya yang diungkit. Dia sudah tidak bersemangat lagi untuk pulang ke rumah itu. Setelah berjaya melanjutkan pelajaran ke UPM, Serdang dulu, hatinya bersorak girang. Dia memang jarang pulang ke rumah. Cuti semester pun diisi dengan bekerja sambilan sahaja.

         Tapi, nasib memang tidak menyebelahi dirinya. Sudah memiliki ijazahpun, masih lagi terkontang-kanting tanpa kerja yang tetap begini. Lagi bertambah bencilah ibunya terhadap dirinya. Air mata jernih yang jatuh ke pipinya dikesat perlahan-lahan. 

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.