Home Novel Thriller/Aksi Selepas Apokalips
Selepas Apokalips
Helmi Effendy
15/1/2017 16:55:45
41,182
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
Beli Sekarang
Senarai Bab
Bab 10: Sakit

Bunyi bising yang datang dari luar perkarangan Kedai Buku Popular di dalam Wangsa Walk terus mengejutkan Farhani dari lenanya. Seketika, gadis itu bangkit sambil menggosok kedua-dua biji matanya. Dilihatnya obor api yang sebelum ini sedang bertenggek di dinding ruangan kedai itu sudahpun padam. Keadaan di luar pula tidak lagi segelap semalam, sebaliknya cahaya matahari kelihatan mula menerobos masuk melalui tingkap-tingkap yang dibiarkan terbuka. Menyedari hari sudah mula siang, pandangan Farhani terus bertukar pada adik perempuannya, Zurialis yang masih sedang lena tidur di sebelahnya.


“Hiji dengan Ain dah balik!” Kedengaran suara yang menjerit teruja di luar kedai yang merupakan tempat tinggal Nurul Ain. Mendengarkan hal itu, terus tenaga baru mengalir dalam saraf Farhani. Sambil menyelak selimut yang membaluti separuh tubuhnya ke tepi, dia bangkit dari tilam yang lusuh itu, lalu berlari ke koridor yang terbentang di hadapan kedai buku itu.


Kelihatan Hazrul Hiji sedang memapah Saiful Hawiz yang terhincut-hincut berjalan. Tapak kaki Saiful Hawiz kelihatan berbalut manakala senyuman terukir di wajah itu ketika melihat wajah Farhani menyambut paginya. Apa lagi, terus Farhani berlari ke arah Saiful Hawiz lalu memeluk erat tubuh sasa itu. Kepalanya disembamkan di atas bahu Saiful Hawiz manakala Saiful Hawiz sekadar mengulas lembut rambut anak perempuannya itu.


“Ayah... Farhani mintak maaf ayah sebab kurang ajar dengan ayah hari tu...” ucap Farhani sambil menangis tereska-esak.


“Hisyy. Ayah okey ajelah. No hard feelingpun. Tak malu ke nangis depan orang ramai? Depan bakal suami pulak tu?” usik Saiful Hawiz membuatkan Farhani yang belum meleraikan pelukannya itu tergelak kecil. Hazrul Hiji pula sekadar tersenyum mendengarkan dirinya dijadikan bahan gurauan oleh Saiful Hawiz.


“Saya anggap apa yang pakcik cakap tu sebagai lampu hijau saya dengan anak perempuan pakcik,” gumam Hazrul Hiji tiba-tiba membuatkan Nurul Ain yang sedang berdiri di sebelahnya terus memulas lengan anak muda itu. Tidak kena tempat langsung untuk menuturkan perkataan tu!


“Zurialis mana?” soal Saiful Hawiz selepas menyedari bahawa hanya Farhani sahaja yang berada di situ manakala anak bongsunya langsung tidak kelihatan.


“Dia tidur kat dalam kedai buku popular sana,” bilang Farhani sambil meleraikan pelukannya.


“Okey, Hiji bawakan aku pada anak perempuan aku,” kata Saiful Hawiz sambil menyuruh Hiji kembali memapah dirinya. Farhani berundur beberapa tapak ke belakang, memberi ruang kepada Hazrul Hiji. Terhicnut-hincut Saiful Hawiz melangkah ke arah kedai buku Popular yang terletak di ruang paling hujung tingkat satu Wangsa Walk.


Sebaik sahaja Saiful Hawiz sampai di situ, dia melihat Zurialis masih lena tidur. Selimut masih menyelimuti tubuhnya membuatkan Saiful Hawiz memberikan isyarat kepada Hazrul Hiji untuk meninggalkan dia dan Zurialis untuk beberapa ketika.


“Zu... bangun Zu...” bisik Saiful Hawiz sambil menggerakkan tubuh itu. Namun, Zurialis masih tidak bergerak dalam lenanya membuatkan riak Saiful Hawiz terus dirundung gelisah. Dia meninggikan sedikit suaranya sambil memanggil Zurialis. Namun, masih belum ada respon daripada Zurialis. Terus, tapak tangan Saiful Hawiz menyentuh dahi Zurialis dan... panas. Pantas pandangan Saiful Hawiz berkalih pada Farhani dengan riak wajah penuh gelisah.


“Panggil akak Ain kau!” arah Saiful Hawiz membuatkan Farhani yang sedari tadi berdiri di muka pintu kedai itu terus berlari mendapatkan Nurul Ain.


Perasaan yang sudah dilupakan sejak 15 tahun lepas, mula kembali menjalar di dalam diri Saiful Hawiz. Apa yang sedang terpapar di hadapan matanya itu saling tak tumpah seperti apa yang berlaku suatu masa dahulu pada seorang wanita yang sangat dicintai oleh Saiful Hawiz. Demam panas yang kemudian akhirnya, mengubah wanita itu menjadi makhluk yang paling dibenci oleh Saiful Hawiz. Ya ALLAH... janganlah kau ulang halaman yang sama dalam hidup aku, dosa Saiful Hawiz di dalam hatinya.


“Abang Saiful! Kenapa abang panggil saya?” panggil Nurul Ain yang muncul di muka pintu kedai buku itu.


“Anak aku Ain. Badan dia panas...” ucap Saiful Hawiz ketika dia sedang meriba tubuh Saiful Hawiz. Kelihatan Nurul Ain sedang membawa sesuatu di dalam peti pertolongan cemas di tangannya. Sebuah steskoskop sedang tergantung di lehernya. Terus dia menghampiri tubuh Zurialis, lalu memeriksa nadi gadis itu. Seketika, dia berkerut dahinya sebelum matanya tertangkap sesuatu pada jari telunjuk gadis itu.


“Abang Saiful... saya rasa anak abang kena gigit!” Berderau darah Saiful Hawiz mendengarnya. Dunia di sekelilingnya terasa seperti berhenti berputar sejenak. Farhani yang sedang setia berdiri pula tersandar pada dinding yang berhampiran, tidak percaya mendengarnya. Serentak itu juga, Zurialis membuka matanya, sebelum dia tersenyum memandang wajah Saiful Hawiz.


“Alhamdulilah. Tuhan selamatkan ayah lagi,” ucap Zurialis lemah sebelum mata itu tertutup kembali.


“Ain! Buat sesuatu Ain. Anak aku! Aku tak nak dia mati!” Namun, rayuan daripada Saiful Hawiz itu sekadar disambut dengan wajah yang penuh kecewa. Seketika, Saiful Hawiz dan Nurul Ain saling memandang sebelum Nurul Ain menggelengkan kepalanya. Tangan Nurul Ain pantas menyentuh bahu Saiful Hawiz membuatkan air mata Saiful Hawiz menitik jatuh. Buat pertama kalinya dalam seumur hidup Farhani, dia melihat ayahnya mengalirkan air mata.


“Ayah... jangan menangis. Zu okey,” ucap Zu tiba-tiba membuatkan perhatian Saiful Hawiz teralih pada anak perempuannya itu. Perlahan-lahan, Zurialis mengangkat tangannya lalu mengesat air mata ayahnya.


Tidak mampu menahan sebak menyaksikan pemandangan, Farhani terus berlari meninggalkan kedai buku itu, sambil mengesat limpahan air mata yang sedang membasahi wajahnya. Dia tidak mahu terlihat menangis di situ. Namun memikirkan bahawa adiknya ada beberapa hari sahaja, malahan beberapa jam untuk bersamanya, membuatkan Farhani tidak mampu menahan sebak.


Selepas puas berlari, dia akhirnya terduduk kepenatan di perkarangan di luar Wangsa Walk sambil berpeluk tubuh. Kelihatan Hazrul Hiji sedang melangkah lalu melabuhkan punggungnya di sebelah Farhani.


“Menangislah. Tiada apa yang patut dimalukan bila awak menangis,” ucap Hazrul Hiji sambil menepuk-nepuk belakang Farhani.


“Boleh saya tumpang bahu awak sekejap?” pinta Farhani. Hazrul Hiji sekadar mengangguk. Tangisan Farhani semakin kuat tatkala wajahnya berada di bahu Hazrul Hiji. Jejaka itu sekadar menepuk lembut belakang Farhani. Lama juga Farhani menumpang bahu Hazrul Hiji sebelum Farhani tiba-tiba bersuara.


“Saya menyesal dilahirkan pada zaman ni,” ucap Farhani namun pantas Hazrul Hiji menggelengkan kepalanya.


“Baik jaga ayat awak. Akidah boleh rosak tau kalau awak cakap macam tu,” kata Hazrul Hiji, menegur.


“Awak tak rasa apa yang saya rasa. Saya kehilangan mak saya masa umur saya 4 tahun. Sekarang, adik saya bakal pergi jugak? Kenapa tuhan tak cabut nyawa...”


“Shhyy...” pintas Hazrul Hiji sambil menggelengkan kepalanya.


“Jangan minta maut menghampiri awak bila awak belum bersedia lagi. Ada sebab kenapa masa awak belum tiba dan ada sebab kenapa giliran adik awak mungkin datang awal dari awak. Semua perancangan tuhan itu ada hikmahnya Farhani. Kita sebagai hambanya kena patuh, dan menjalani segala takdir yang telah diaturkan untuk kita. Kita tak ada hak untuk pertikaikan apa yang dah dirancang di Luth Mahfuz sana,” jelas Hazrul Hiji panjang lebar membuatkan Farhani terdiam.


“Lagipun awak lahir pada zaman yang cukup indah,” tambah Hazrul Hiji lagi membuatkan kening Farhani terangkat di udara.


“Saya sedang hidup di zaman yang sangat teruk sekali!” bidas Farhani.


“Tak. Farhani, cuba awak lihat sekeliling awak, apa yang awak nampak?” soal Hazrul Hiji.
“Salji...” gumam Farhani tatkala matanya memerhatikan keadan di perkarangan Wangsa Walk. Selain daripada tembok batu yang mengelilingi kawasan Wangsa Walk, terdapat beberapa buah rumah panas yang memanjang. Kelihatan beberapa orang keluar masuk dari rumah panas itu sambil membawa hasil tanaman mereka. Terdapat juga beberapa buah bangsal kuda, ayam dan lembu yang berdiri. Kelihatan beberapa ekor kuda yang sedang dibersihkan oleh pemiliknya. Namun, pemandangan itu bukanlah sesuatu yang indah pada pandangan Farhani sebaliknya ianya adalah keperluan untuk manusia hidup di saat dunia sedang menerima pengakhirannya. Ianya sebahagian daripada survival of the fittest, sesuatu yang dipelajari oleh Farhani sepanjang bergelar insan yang hidup pada zaman ais.


“Jangan lihat dengan mata awak yang itu tapi lihat dengan mata hati awak Farhani. Tuhan sedang datangkan kepada kita sebuah mesej, kepada umat manusia. Saat kita saling berebutkan kuasa, merebutkan isi dunia, melaungkan sistem-sistem dan idelaogi yang merajai manusia yang semuanya mengundang perpecahan, saat kehancuran sedang merayapi setiap tamadun manusia, maka tuhan datangkan kepada kita sebuah pesanan. Cukup wahai manusia! Cukup kalian hancurkan bumi ciptaan aku! Aku ciptakan kalian untuk menjadi khalifah pada muka bumi ini, tetapi kalian menjadi penghancur kepada sebuah keindahan! Belasan tahun yang lepas, semuanya menjadi mangsa kerakusan kita. Alam, haiwan, bahkan sesama manusia. Namun, sejak tuhan datangkan kepada kita salji ini. Segala-galanya berubah meski masih wujud manusia tamak haloba. Di sekeliling kita, keindahan yang kita tidak pernah langsung bayangkan. Perkara yang kita rindukan, salji turun di Kuala Lumpur... pokok-pokok yang boleh bertukar warna daun berdasarkan suhu di sekeliling kita. Seekor beruang kutub, harimau siberia, singa gunung... semuanya terpapar di hadapan mata kita. Bukankah itu sebuah keindahan yang kita tidak akan mampu lihat kalau kita hidup di zaman kegilaan menguasasi manusia?” Panjang Hazrul Hiji berfasalafah membuatkan Farhani terdiam.


Seketika, dia terlupa akan keadaan adiknya ketika mendengarkan kata-kata daripada lelaki itu. Ya, mungkin Hazrul Hiji ialah seorang lelaki yang pelik, tetapi mungkin dia bersifat seperti itu kerana dia melihat dunia di sekelilingnya berdasarkan kaca mata dan perspektif yang berbeza, tetapi jejaka itu mempunyai isi yang mendalam dalam dirinya. Dia memerhati sahaja Hazrul Hiji yang sedang mencatatkan sesuatu di dalam buku nota kecil, yang merupakan sahabat sejati Hazrul Hiji walau ke mana dia membawa langkah kakinya.


“Ingat.. hikmah ALLAH itu luas Farhani. Terpulang pada kita untuk mencarinya,” gumam Hazrul Hiji lagi


“Awak... macam mana awak boleh nampak semua ni?” soal Farhani tiba-tiba.


“Saya lihat dengan mata hati, bukannya mata ini,” balas Hazrul Hiji sambil menunjukkan matanya dengan jari telunjuknya.


“Hiji! Aku perlukan bantuan kau!” Kedengaran suara Saiful Hawiz memanggil Hazrul Hiji dari belakang. Pantas mereka berdua menoleh ke arah Saiful Hawiz yang sedang dipapah oleh Nurul Ain itu.


“Aku boleh jalan sendiri Ain. Kaki aku tak teruk mana pun. Terima kasih,” ucap Saiful Hawiz.

 

“Aku perlukan kereta ayah kau!” sambung Saiful Hawiz.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.