5,344
Kategori:
Genre:
Senarai Bab
Bab Tiga Belas

                                                              BAB 13

DALAM keadaan tergesa-gesa, Dija melangkah. Tapi, kali ini dia kena berhati-hati. Takut berlaku musibah lagi. Sebenarnya untuk melangkah laju di pejabat syarikat itu memang amat menakutkan Dija. Sudah terlalu banyak perkara melukakan berlaku di situ. Dija mesti mesti berhati-hati sekarang dan selamanya.

Dija memang sangat serik dengan kelakuan Faheem.

“En. Faheem...?” tiba-tiba ingatan terimbau kepada Faheem.“Mungkinkah....?”

Dada Dija jadi berdebar dengan tiba-tiba bila dia teringatkan Faheem. Sudah dua hari peristiwa motosikalnya jahanam. Baru hari ini fikirannya teringatkan Faheem. Kenapa baru hari ini? Kenapa tidak semalam? Kenapa tidak kelmarin?

Mungkinkah itu ilham dan petunjuk daripada Allah? Mungkin juga...

Faheem pernah mengancam dia dengan ungkapan kotor begitu dulu. Jadi, tidak mustahil kalau-kalau Faheem yang mengupah seseorang untuk mengacau ketenangan hidupnya. Dija sudah mulai buat persepsi baru. Fikirannya terus tertancap kepada Faheem saat dia sedang mengatur langkah begitu. Dadanya terus berdebar dalam resah yang tidak menentu. Mungkinkah Faheem juga terlibat?

Faheem terus bertandang ke dalam fikirannya. Puas dia menghalau wajah itu namun tetap jua hadir menerjah ke dalam kotak ingatnya. Semua ungkapan berupa ancaman Faheem terhadapnya muncul kini. Seolahnya ada kaitan antara dua peristiwa.

“Kalaulalh betul semua itu angkara dia...!” Dija mengetap bibir.

“Dija, boleh cepat sikit, tak?” tiba-tiba Marina menegurnya. “Datuk panggil kau. Dia nak jumpa sekarang.”

“Tahu...” jawab Dija selamba.

“Kalau dah tahu, kau jalanlah laju sikit. Atur langkah macam ibu baru bersalin. Satu satu...” berleter pula si Marina. Dija tersengih. Dia cepat-cepat mengatur langkah menuju ke bilik bos. Membontoti Marina yang sedang melangkah laju.

“Eh, kenapa agaknya dia panggil aku, ya?” soal Dija sambil melajukan langkahnya seiring dengan Marina.

“Dia bukan sekadar panggil kau.”

“Habis?”

“Aku dan Kak Sal juga kena panggil.”

Dija buat muka. “Eh, kenapa ya?”

Marina menarik tangan Dija bila mereka sudahpun rapat di pintu bilik bos. Daun pintu segera diketuk. Kedengaran suara Datuk Nik Rasyid memanggil dari dalam. Sekali lagi Marina menarik tangan Dija. Mereka berduaan masuk beriringan.

Di dalam ruang pejabat bos, kelihatan Kak Sal sudahpun berada di situ. Melihatkan kedua teman sekerjanya menjengah masuk, Kak Sal tersenyum. Dia bangun sambil menarik kerusi untuk kedua mereka. Namun, datuk sudahpun menyediakan dua lagi kerusi untuk kehadiran mereka berdua.

“Awak duduk Sal. Dia orang dah ada kerusi tu.”

Kak Sal tersenyum lalu duduk kembali.

“Sila duduk, Dija, Rina...” pelawa datuk sambil merenung wajah kedua pekerjanya dengan senyum yang manis.

Dija dan Rina menarik kerusi lalu duduk. Menghadap wajah ke arah datuk, bos mereka itu. Hati keduanya masih tertanya-tanya. Gerangan apakah mereka dipanggil pada pagi itu. Awal-awal lagi, ketiga mereka sudah diarahkan ke bilik bos.

FAHEEM tergesa-gesa. Dia mencari Kak Sal. Matanya melilau.

“Dah kenapa ni, Kak Sal?” suara Faheem meninggi sebaik sahaja kelibat Kak Sal menjelma di ruang mata. Kak Sal terpinga.

“Kenapa apa ni, En. Faheem?”

“Tuu...pasal Si Tampuk Manggis tu...”

Kak Sal melongo. “Si Tampuk Manggis? Mana ada buah manggis kat sini Encik Faheem.” Kak Sal memang benar-benar bingung. Apa masalah pula agaknya dengan anak bos ni?

“Gadis pulau, di Hitam Legam tu laa...” Faheem melepaskan geramnya.

Kak Sal mengucap panjang sebaik sahaja selesai Faheem bersuara. Direnungnya wajah Faheem tanpa kelip. Dah kenapa agaknya dengan anak bosnya itu. Wajah mencuka mengalahkan ibu mengandung anak sulung makan asam mangga muda. Cukapun tak semasam wajah Faheem di depannya. Kak Sal menggeleng.

“Dija, maksud Encik Faheem?”

“Apa-apa ajelah kak...” jawab Faheem tak acuh bila disebutkan nama Dija. Mungkin dia amat meluat dengan nama gadis hitam itu. Mungkin juga hatinya sudah cuak. Mungkin juga kebenciannya amat meledak. Entahlah, Kak Sal memang benar-benar tidak faham dengan Faheem.

“Dia tu kak, umpama kaduk dah naik junjung. Dia tak patut naik junjung. Dia bukan sireh. Dia tu...” Faheem mengomel tak tentu pasal.

Kak Sal kebingungan. Apa ke halnya Encik Faheem ni?

“Kenapa ni, Encik Faheem. Kak Sal tak faham apa maksud Encik Faheem ni.”

“Apa yang papa saya dah bagi dengan dia tu, memang sangat melampau, kak!”

“Apa dia, Encik Faheem?” soal Kak Sal, kehairanan.

Faheem kegeraman. Dia mundar mandir melangkah ke sana sini. Melingas mata Kak Sal merenung setiap langkah Faheem. Sekali anak muda itu melangkah ke kanan, selagi lagi dia melangkah ke kiri. Wajahnya kelihatan benar-benar kurang senang.

“Kak Sal...” Faheem merapati Kak Sal. “Hebat sangat ke Budak Hitam Legam tu? Hinggakan papa boleh hadiahkan dia dengan sebuah motosikal baru?”

Berkerut dahi Kak Sal dengan pertanyaan sinis Faheem itu.

“Hadiah?” Kak Sal nampak pelik dengan kata-kata Faheem.

“Ya, Kak Sal ingat saya tak tahu ke? Papa dah hadiahkan dia sebuah motosikal baru,kan? Sebab dia dah mengadu dengan papa, dia tak boleh datang kerja pasal motosikal dia dah musnah. So, dia dah jadi kaduk, kak! Mengada-ngada dan ambil kesempatan terhadap kebaikan papa!” melenting benar Faheem.

“Astargfirullahal azim....” Kak Sal menepuk dahi.

“Hello, Encik Faheem. Makhluk mana yang dah buat fitnah ni? Padahal, fitnah ni lebih teruk daripada membunuh. Dia orang tu tak tahu ke semua ni? Cakap ikut sedap mulut aje. Siapa yang mengadu dengan Encik Faheem tu?” tiba-tiba Dija muncul, entah dari penjuru mana. Beriringan pula dengan Marina yang masih lejuh dengan peluh. Banyak kerja yang dah mereka lakukan bersama.

Faheem pantas menoleh ke arah Dija.

Dengan tiba-tiba sahaja Faheem melepaskan sebuah penampar ke pipi Dija. Seperti melepaskan geram yang sedang terbuku di kamar hatinya. Panas benar dia di saat itu. Bagaikan sinar mentari yang sedang memancarkan bahangnya di waktu tengahari.

Dija tidak sempat mengelak kerana tidak pernah menduga Faheem akan menghadiahkannya sebuah penampar sulung. Dia jatuh tersungkur. Segera Dija meraba pipinya. Terasa basah. Bila diludah liurnya, sudah bercampur warna merah. Masin terasa. Dija menyapu bibirnya dengan belakang tangan. Kelihatan darah merah melekat pada sarung tangan putihnya.

“Subhanallah...” ucap Dija sambil memejamkan mata, menahan perasaan.

“Encik Faheem, gila ke apa ni?” Marina segera menerpa ke arah Dija yang masih di lantai. Matanya mencerlang ke arah Faheem. Terbayang kegeraman di wajah Marina. Dia segera membangunkan Dija yang sudah berusaha untuk bangkit.

“Ohhh, mentang-mentang....”

“Rina, aku ok...” tenang suara Dija sambil memaut bahu Marina. “Sikit je ni. Aku dah biasa dengan macam-macam sakit. Sakit ni tak sesakit hati yang pedih.”

“Encik Faheem mesti ingat ya, walaupun kami ni orang miskin, papa kedana. tak ada pelajaran tinggi macam encik, tapi encik tak boleh buat kami macam ni...” Marina tetap melepaskan rasa geramnya. Dia menghamburkan kemarahannya.

“Kau baik diam, Rina. Ini bukan urusan kau!” tengking Faheem masih dengan suara yang amat geram dan marah.

“Tapi...” Marina tetap ingin bersuara. “Tu, tengok darah Dija tu. Merah juga, kan? Bukannya Dija tu berdarah hitam!”

“Rina...” tenang lagi suara Dija. Bukan tak sakit hatinya tapi dia sedang mengawal perasaan. Jangan dikeruhkan lagi suasana.

“Kita mentimun Rina. Tapi, betul kata kau, darah aku pun merah juga? Agak-agak sama jugak kut dengan darah Encik Faheem kita ni.” Sinis suara Dija dihujung ungkapannya.

“Ya, Dija. Darah kau tu sama je dengan darah dia ni!”

“Kita kan sama-sama manusia, Rina.” Sinisnya suara Dija menyindir Faheem.

“Tapi, kenapa dia tampar kau ikut suka hati dia, Dija? Aku...” wajah Marina kegeraman. Dia mencerlang ke arah Faheem yang sudah puas hati saat dia dapat melepaskan rasa geramnya terhadap Dija.

“Rina, sudahlah tu. Jangan kau keruhkan lagi keadaan. Jom, kita pergi dari sini.” Dija tidak memandang wajah Faheem. Dia hanya melangkah untuk meninggalkan ruang itu.

“Kau jangan nak ke mana-mana, Budak Hitam!!” marah Faheem lalu menghalang langkah Dija. “Aku ada perhitungan dengan kau!”

Dija berhenti, bila Faheem menghalang laluan dia dan Marina. Sempat Dija merenung wajah merah Faheem. Nampak sangat kemarahan sedang menguasai diri. Wajah seperti udang bakar itu terus dihiasi kemasaman dan kegeraman. Sehinggakan Dija tidak pernah melihat bilakah saatnya Faheem tidak marah. Dia asyik dengan kemarahan dan kegeraman. Hilang segala kekacakan yang dimiliki. Hanya bersalut cuka kemasaman dan bahang kemarahan.

Faheem membalas renungan Dija dengan api kemarahan. Pandangan mata mereka bertaut. Dija tetap bersahaja. Sedang Faheem terus dengan bahang kemarahan. Tanpa senyum. Tanpa tawa. Tanpa mesra.

“Perhitungan apa lagi ni, Encik Faheem? Dija dah kena penampar hebat daripada encik tu. Bukankah dah dikira...” Marina cuba bersuara.

Tapi Faheem pantas menjerkah. “Oiii, Rina, kau boleh diam tak? Tolong jangan campur tangan dalam hal ni. Ini bukan urusan kau!”

“Rina, kan aku dah cakap. Jangan dicurahkan minyak pada api yang menyala. Siram airpun tak boleh dah masa ni. So, diam ajelaa. Kita dengar apa yang dia nak nasihatkan tu. Kau ni, tak boleh nak sabar langsung, Rina.” Tenang suara Diija sambil menyapu darah yang masih lagi menitis dari bibirnya. Namun, Faheem sempat merasakan betapa sinisnya ucapan Dija. Tertusuk hingga ke tangkai jantungnya.

“Eh, darah merah aku ni asyik mengalir je, Rina.” Sekali lagi Dija merenung darah segar di hujung jarinya. Darah terus juga menitis dari bibir Dija yang pecah dek penangan Faheem. Marina mengambil sehelai tisu dari koceknya lalu mengesat bibir Dija.

“Ya Encik Faheem. Cakaplah, apa yang terbuku di hati.” Dija bersuara lagi sambil menahan pedih. Terdengar desikan dari bibirnya yang sakit.

“Aku dengar papa dah bagi motor baru kepada kau!” Faheem melangkah sambil mengelilingi Dija dan Marina. Matanya menyorot geram.

Dija diam. Dia hanya merenung langkah demi langkah Faheem yang sedang berjalan mengelilingi mereka berdua. Tanpa sebarang ucapan sekadar menantikan buah bicara Faheem seterusnya. Banyak berkata-kata akan membuatkan Faheem melenting. Kalau diam, rasanya boleh juga menyejukkan bara yang sedang membahang.

“Wooi, kau ni pekak ke bisu? Kan, aku tanya kau ni!?” jerkah Faheem sambil menghalakan jari telunjuknya ke arah dahi Dija. Hampir lagi dia melepaskan kemarahannya terhadap Dija. Mujur juga tangan Marina sempat menahan. Sahabat itu memang tidak akan membiarkan Faheem melakukannya sekali lagi terhadap Dija.

Marah lagi? Soal hati Dija. Dia menggeleng tidak faham dengan sikap Faheem.

“Encik Faheem...” Dija mengumpul kekuatan diri. Moga-moga setiap patah perkataannya dapat diterima oleh Faheem dengan baik.

“Cakap marah, diampun encik boleh marah jugak? Bila masanya encik boleh tak marah, ya?” Dija cuba mengukir senyum. Tapi bibirnya melekit dengan darah merah. Pekat!

“Argghhh...diamlah!” marah Faheem lagi.

“Pulak?” Dija terus menggeleng. Rina juga sama. Menggeleng berkali-kali.

“Sebenarnya, motor tu memang datuk yang tolong belikan.”

“Ha, kan betul?” suara Faheem tetap meninggi.

“Tapi, setiap bulan saya akan bayarkan kepada datuk. Kira beli jugaklah daripada datuk. Secara ansuran, encik...” Dija tetap menenangkan suaranya walaupun hati memberontak geram dan sakit hati. Marah dan membahang. Dija tetap mengawal diri. Dia takkan samakan dirinya dengan Faheem. Kalau Faheem sedang marah, Dija akan cuba mengawal kemarahan dirinya. Jangan ada dua bara api yang menjelagakan satu ruang. Boleh terbakar kelak suasana di situ.

“Betul tu, Encik Faheem. Kak Sal dan Rina yang jadi saksi. Semalam datuk bagi motor tu. Dija yang sanggup nak bayarkan setiap bulan kepada datuk. “ celah Kak Sal, juga dengan suara yang tenang agar kemarahan Faheem cepat hilang.

“Datuk kesiankan Dija yang tak ada kenderaan untuk datang kerja. Jadi, datuk selesaikan masalah tu dengan belikan Dija sebuah motosikal baru.” Jelas Kak Sal.

Faheem terdiam seketika. Namun matanya masih jua merenung ke arah Dija.

“Jadi, kau masih lama kerja kat sini, ya?” soal Faheem sinis.

Tersentak Dija mendengarkan persoalan itu. Kak Sal juga terkejut. Marina tiba-tiba melenting. Tapi ditahankan perasaannya dengan penuh kemarahan. Kenapalah kurang ajar sangat anak bos dia ni? Kalaulah ikutkan hati, mahu rasanya dia melawan kata-kata Faheem masa tu juga. Tapi jari jemari Dija terus meramas jari jemari Marina sebagai isyarat agar temannya itu diam. Jangan menjawab. Dija faham hati dan perasaan Marina saat itu. Bahang kemarahan Marina dapat dirasakan oleh hati Dija. Hati seorang sahabat.

“Kalau encik tak suka saya kerja kat sini, saya boleh berhenti hari ni jugak...” balas Dija dengan suara yang dikawal. Bagaikan memegang remote controller di hati sendiri. Dija terpaksa begitu. Demi tidak mahu mengeruhkan suasana.

“Ha, kalau kau nak berhenti hari ni, lagi bagus!” jawab Faheem, sinis lagi. “Tapi, motor kau tu? Siapa nak selesaikan bayarannya?”

Dija menarik nafas. Lalu melepaskan. Bagaikan membujuk hati agar tidak terus melayani kerenah Mamat Bertaring itu.

“Boleh serah balik kepada datuk.” Jawab Dija spontan.

“Oiii, kau ingat kita orang ni nak naik ke motosikal cam tu? Hello, kita orang bukannya low class...naik motor cabuk cam tu. Buat sakit pinggang...tak ada class laa... motor tu sesuai untuk Gadis Pulau macam kau aje....” cebik Faheem.

Dup...

Darah Dija tersirap ke muka lagi. Marina mengetap bibir. Kak Sal menggeleng.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh