Home Novel Komedi/Romantik Komedi 'Dia' My Love
'Dia' My Love
Zan Zarida
13/8/2016 23:49:49
308,813
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Beli Sekarang
Bab 28

USAI solat asar, Rus mengambil angin di halaman rumah, kemudian dia bersantai dipangkin pula. Dia malas hendak menghadap muka Isaac. Sudahlah hatinya masih berasa tidak tenteram. Dia langsung tiada idea siapa sebenarnya lelaki itu, kesukaannya atau apa sahaja fasal dirinya. Yang dia tahu Isaac adalah anak sulung arwah Tuan Rashid dengan isteri pertamanya.

“Hmm…kenapa tak ajak saya ambil angin kat luar?” Tiba-tiba satu suara mengejutkan Rus dari belakang.

Rus lantas menoleh. “Dia nak apa?” Rus bertanya sambil menatap wajah suaminya. 

“Saya tahulah wajah saya ni macam putera kayangan, tapi janganlah tenung lama-lama,karang lain jadinya,” gurau Isaac kemudian tertawa.

Rus mencebik mendengar kata-kata Isaac. “Tak payahlah perasan sangat! Bila ada yang bercakap dengan saya, kenalah pandang orang tu.”

“Bagus,bagus! Suami isteri memang patut saling memandang dengan penuh kasih. Bukan asyik jeling-jeling, nanti juling biji mata!” Semakin galak Isaac mengusik.

Rus rasa seperti ada sejenis angin kurang elok datang menyapa walau dia tahu Isaac cuma bergurau. Setiap kali suaminya berada di sisi, ketika itu juga hatinya tidak keruan. Ada sahaja kata balasnya yang tidak mampu dia patahkan.

“Rus…”panggil Isaac dengan manja.

“Bukan tadi dia berehat kat bilik ke?” Rus bertanya geram.

“Dah isteri saya tak ada kat sebelah, mestilah saya cari.”

Rus tidak membalas apa-apa. Pandangan mata dilemparkan pada jalan di hadapan rumahnya. Lengang dan hanya satu dua sahaja kenderaan yang kelihatan. 

“Saya tahu awak keliru dengan situasi sekarang, tapi tolong percayakan saya. Saya janji akan jaga awak baik-baik.” Isaac cuba meyakinkan Rus. Dia tidak tahu bagaimana lagi mahu membuat isterinya mengerti isi hatinya.

“Hmm…lepas ni, apa rancangan dia?” tanya Rus. Dia perlu tahu juga hala tuju rumah tangga yang baru dibina ini.

"Tanya pulak?Suamiku isteri selalunya buat apa?" usik Isaac sambil tersengih.

‘Wa!’ Rus rasa hendak menjerit sahaja sebaik mendengar kata balas Isaac. Tidak menyangka soalan itu menjeratnya. Sungguh, dia berasa segan semacam.

Tiba-tiba Isaac beranjak dan duduk lebih rapat. Tangan isterinya digenggam erat. “Mulai saat ini kita akan sentiasa bersama,” tuturnya lembut.

“Bersama?” Tanpa sengaja Rus mengulangi perkataan itu.

“Hmm… bersama dan berdua. Saya akan pastikan kita akan bertiga, berempat dan seterusnyalah!” gurau Isaac.

Rus terus diam. Tidak mahu topik itu yang dibualkan.

“Terlupa pulak beritahu Rus. Sebenarnya saya dah beli rumah, tapi sekarang ni sedang buat pengubahsuaian. Dah siap nanti, saya nak Rus pindah ke rumah kita secepat mungkin.”

“Oh,ya? Habis tu, sebelum ni dia tinggal kat mana?”

“Buat sementara waktu saya menyewa bilik kat rumah kawan. Dekat rumah tu jugak,”beritahu Isaac.

“Lama lagi ke siapnya?” Rus mahu tahu juga. Nanti mudah dia buat perancangan.

“Tak lama, dah nak siap pun. Dalam dua minggu lagi kita dah boleh masuk.”

“Okey…”

Sepi seketika. Rus tidak tahu apa yang patut dibualkan.

“Rus,”panggil Isaac lagi.

“Hmm…”

“Sementara nak masuk rumah kita, nanti macam mana kita nak berjumpa, ya?”

“Entahlah.Saya memang tak boleh nak ajak dia ke rumah sewa,” balas Rus. Dia tidak akan benarkan Isaac datang ke rumah sewanya. Memang mencari nahas!

“Banyak hari tu… rindulah saya kalau tak dapat jumpa awak,” keluh Isaac.

Rus tunduk. ‘Rindu?’ Sebenarnya dia berasa amat pelik dengan luahan lelaki ini.Apalah yang dia rindukan? Bukannya sampai tidak boleh berjumpa di tempat lain.

“Nak tak kalau kita sewa hotel?” cadang Isaac. Otaknya perlu ligat berfikir untuk mengatasi masalah yang tidak dijangka ini.

“Tak payahlah!” Cepat sahaja Rus menolak.

“Kenapa?”Isaac berasa hampa dengan jawapan isterinya. Dia baru sahaja berangan duduk hotel sambil honeymoon.

“Siang kita bekerja, membazir aje sewa hotel.Lebih baik guna duit tu untuk keperluan rumah kita nanti.” Rus juga ada 

“Alah,boleh la? Pasal rumah, saya dah sediakan peruntukan lain.”

“Saya tak nak…” Rus masih dengan jawapan awalnya.

“Kalau macam tu, setiap hari saya ambil Rus dan hantar ke pejabat. Petang pulak saya datang jemput. Sebelum hantar Rus balik rumah, kita dinner dulu.” Isaac memberikan cadangan lain pula.

“Tak payahlah nak susah-susah hantar dan jemput. Saya boleh aje pergi kerja sendiri.”

“Ke…ada benda yang Rus nak selindung dari saya?” duga Isaac. Dia pun tidak sedap hati juga apabila semua cadangannya Rus tolak.

“Mana ada?”

“Habis tu, kenapa macam tak ada aje kawan Rus yang hadiri majlis pernikahan kita?”soal Isaac. Seingatnya, hanya Nurul seorang yang Rus perkenalkan sebagai sahabat dan juga rakan serumah.

“Kanpada awalnya saya tak jadi kahwin dengan Huzaif? Saya tak edar pun kad jemputan kahwin. Lagipun kawan-kawan saya dah tukar pelan dia orang.” Rus sengaja beralasan.

“Dua minggu tu, lama Rus…” Isaac sudah buat muka orang merajuk dan hampa.

“Bila tolak cuti kita kat kampung, dalam seminggu aje pun,” ujar Rus.

“Beberapa hari pun tetap lama!” balas Isaac.

Rus hendak tergelak juga melihatnya, tetapi dia berlagak selamba. “Tak tinggal bersama, Rus Ashiya Rosman tetap isteri dia, kan?”

“Memanglah,tapi saya nak awak sentiasa ada di samping saya pagi petang siang malam!” tegasIsaac.

“Dia pilih… tunggu aje atau saya tak nak langsung pindah kat rumah dia.”

“Eh,janganlah main ugut-ugut pulak!”

“Itu bukannya ugut, saya beri dia pilihan!”

“Tak baik tau buat saya macam ni. Saya ni suami awak, bukan rakan sebaya.” Isaac mengingatkan.

“Tahu…tapi hanya itu pilihan yang ada sekarang ni.” Rus tetap bertegas dengan keputusannya. Gila nak biarkan Isaac ambil dan hantar dia ke pejabat?

“Nak buat macam mana, kan? Okeylah, saya ikut kehendak awak. Tapi Rus kena janji akan keluar dengan saya setiap hari selepas waktu kerja.”

“Okey,tapi tak payahlah sampai setiap hari. Saya nak jugak masak dan makan kat rumah.”

“Yang itu tak ada kompromi. Kita mesti makan malam sama-sama, tak boleh miss!” Isaac serius sekali dengan kehendaknya.

“Yalah…”Rus terpaksa bersetuju juga. Maknanya dia perlu fikirkan supaya Isaac tidak boleh terserempak dengan Amy di mana-mana. Terpaksalah makan di restoran yang jauh dari rumah dan pejabat. Aduhai…

Tiba-tiba debaran di dada menerpa lagi. Semakin lama, Rus berasa sesak nafas pula.‘Salahkah aku berkahwin dengan lelaki pujaan Amy?’ Persoalan itu muncul kembali.

“Tak ada apa-apalah.”

“Betul ni?”

Rus segera mengangguk.

“Kalau macam tu, jom masuk rumah,” ajak Isaac.

“Dia pergilah, saya nak duduk kat pangkin ni.”

“Saya haus. Perut saya pun dah lapar balik. Takkan Rus nak biarkan saya cari makanan kat dapur tu?”

“Dia lapar ke? Maaf sangat-sangat. Yalah, jom kita masuk.”Rus bingkas bangun.

Spontan Isaac meraih tangan Rus. Gembira sekali dapat memegang tangannya.

“Tak payahlah asyik tersenyum-senyum. Seganlah!”

“Saya tak fahamlah dengan awak ni. Asyik-asyik rasa segan,kita bukannya buat salah pun.”

Rus diam sahaja. Malas hendak memanjangkan perkara itu.

“Dah pindah rumah kita nanti, Rus jangan nak beri bermacam alasan kat saya, ya?” ujar Isaac berupa arahan.

“Kalau dah ada kat rumah sendiri, itu lain. Suka hati dialah nak buat apa pun.”

“Oh ya? Nak buat apa kat Rus pun boleh?”

“Dia ni… boleh tak jangan takutkan saya?” marah Rus.

“Takutkan apa pulak? Saya bukannya nak telan awak.”

“Cara dia tu, mengalahkan jaguar!”

“Apa hal Rus samakan saya dengan jaguar pulak?” Isaac bertanya pelik.

Sorry, tersilap cakap.” Cepat-cepat Rus memohon maaf. ‘Bagaimanalah nama binatang itu boleh terkeluar?’

“Ni mesti ada apa-apa. Baik cakap kat saya sekarang jugak,”ujar Isaac serius.

“Tak ada apa-apa. Lupakan aje apa yang saya cakap tadi.”

“Baik Rus berterus terang. Kalau tak, saya betul-betul bertukar jadi jaguar,” ugut Isaac pula.

“Tak payahlah nak ugut. Saya pun boleh tak ikut apa yang kita bincangkan tadi, kan?”

“Grr…” Isaac rasa geram sangat dengan isterinya. Rasa sekarang juga mahu bawa Rus balik Kuala Lumpur! 



Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.