Home Novel Komedi/Romantik Komedi Perangkap Cinta
Perangkap Cinta
awa
21/6/2024 12:53:52
2,429
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 15

SEPI menguasai suasana. Dara tidak tahu berapa lama mereka harus begini. Dia langsung tidak berani melirik ke kiri sejak Haris perkenalkan dirinya Hilman Haris, dia pula mengambil alih lakonan lelaki itu. Dia bisu. Dia kelu. Dia tidak pandai mengeluarkan sebarang bunyi.


"Tak perlu nak berlakon bisu. Biar saya saja yang lalui hal itu sebelum ni. Apa saya dah berjaya bunuh peti suara awak, urmm?"


Dinding bibir Dara hampir berdarah dengar suara Haris. Bohonglah kalau Dara katakan suara Haris itu menyakitkan telinga. Dia akui, suara garau milik Haris itu mampu mengetarkan jiwa wanita. Belum lagi Haris memberi lirikan. Sukma dia juga goyah.


"Tadi bukan main bersemangat awak cerita tentang teman lelaki awak. Bukan main awak cakap dia itu dan ini. Tapi lepas dengar rayuan dia, awak dah jatuh tersungkur? Sampai perlu di ajar untuk bercakap semula?"


Dara menaikkan suhu penghawa dingin ke tahap paling sejuk. Luaran dia panas, namun dia perlu menyejukkan hatinya yang sedang dibakar dengan suara-suara Haris. Tahulah Dara, kenapa sebelum ini Haris itu bisu. Suara dia boleh menjadi api. Api yang ingin membakar hati dia sehingga rentung.


"Sekarang, saya boleh buat laporan juga mengenai hutang awak pada saya? Dua ribu itu bukan sikit bagi saya. Saya boleh beli mas kahwin buat bakal isteri saya."


Tak boleh jadi! Suhu penghawa dingin tidak membantu ketika ini. Jiwa dia mendidih teruk bila dimasak dengan ayat-ayat Haris. Sekarang ini, Haris cuba-cuba menyalahkan dirinya?


Dara menoleh. Dia menemukan sisi Haris. Lelaki itu lebih selesa memandang ke hadapan. Gayanya santai saja.


"Saya dah cakap kan! Bagi saya masa. Saya sedang usahakan." Akhirnya Dara bersuara. Turun naik dada dia menahan marah.


Haris itu pentingkan diri. Dia sedang runsing memikirkan Emir, lelaki ini menambahkan kekusutan dia. Tak boleh ke kalau Haris tu sabar sikit? Dia akan cuba meminta bantuan Emir. Beri dia sedikit masa untuk mendapatkan bantuan teman lelakinya.


"Saya dah bagi awak masa tiga hari. Esok merupakan terakhir. Sepatutnya, hari ini semua dah cukup. Esok hanya tunggu penyerahan saja." Haris menoleh pada Dara. Dia merenung Dara tajam-tajam.


"Awak memang tak tahu malu kan?" Dara pusingkan tubuh menghadap Haris sepenuhnya.


Haris kekal tenang. Dia hanya membalas renungan Dara tanpa rasa gentar. Dia sudah biasa menerima kemarahan. Dia boleh menelan saja semua itu tanpa melatah.


"Awak dah tipu saya, konon-kononnya awak tu bisu. Sekarang, awak menagih hutang pula. Padahal saya tak minta pun awak repair kereta saya. Lepas tu awak nak ugut-ugut saya. Awak fikir awak siapa, Haris?" Dara tidak peduli apa pun reaksi Haris. Itulah kebenarannya. Dia tidak pernah meminta Haris menjadi lelaki bermurah hati, lelaki  yang melindungi dia.


"Saya pernah cakap bahawasanya saya ini bisu?"


Soalan pertama Haris berjaya mengubah riak wajah Dara. Yang membuat telahan itu, dia. Haris tidak pernah bersuara. Mengeyakan ataupun menidakkan pun tidak pernah. Dia yang membuat andaian sendiri. Jadi, jawapannya terang-terangan tidak!


"Tapi awak boleh nafikan!" Dara tidak mahu kalah biarpun dia tahu siapa yang salah pada permulaannya.


"Saya dah tunjuk penafian itu...Tapi awak gagal baca renungan saya."


Gila! Renungan Haris itu senjata yang menghunus ke pangkal lehernya. Senjata yang hampir mengambilnya nyawa dia dengan renungan setajam bilah pisau itu. Apa itu yang Haris maksudkan penafian?


"Kereta..." sebut Haris.


Ya Allah! Dara rasa sakit telinga pula dengar suara Haris. Biarpun sepatah, namun auranya bikin hati menggelegak.


"Awak rasa kereta awak tu bagus untuk pengguna jalan raya yang lain? Selamat untuk pengguna lain? Hurmm?"


'Hurm' yang meleret itu membuatkan Dara menoleh lagi. Pandangan dia bertemu dengan Haris. Tiada langsung reaksi sensual yang ditemui Dara. Tapi kenapa dia rasa, bulu roma dia merinding? Seluruh tubuhnya terasa seram sejuk?


"Awak belum jawab pertanyaan saya."


Dara dikejutkan dengan suara Haris yang garau itu. Bukan setakat suara, Dara perasaan, itulah sikap Haris sejak hari pertama mereka bertemu. Haris akan memberi pakej renungan membunuh sekali.


"Kereta saya memang kereta murah Encik Hilman Haris. Tapi belum sampai ke tahap membahayakan orang lain. Ini sudah menghina namanya. Saya boleh bawa kes ini ke mahkamah atas sebab percubaan menjatuhkan maruah saya dan memfitnah suami saya!"


Mengecil sepasang mata Haris. Dalam banyak-banyak ayat Dara. Dia cuma tertarik dengan satu perkataan. Dia mahukan pencerahan, sebelum dia menuduh. Pencerahan perlu dikemukakan segera sebelum dia ke pajabat agama untuk siasat.


"Ini..." Dara menepuk steering kereta. Dia mula faham pandangan Haris. Atas bawahnya menjadi tumpuan lelaki itu.


"Ini suami saya...Yang mengiringi ke mana pun saya pergi. Jadi, jangan berani awak nak tuduh suami saya membahayakan nyawa orang lain. Fitnah namanya!" Dara menunjal pula steering keretanya. Kereta ini lah suami yang dimaksudkan Dara.


"Suami awak ini tak guna. Kalau bukan saya, awak mungkin dah bercerai dengan dia."


Perlahan-lahan mulut Dara terbuka. Haris memang tak sayang mulut! Haris sengaja mengata suami dia! Haris memang nak dia bercerai dengan Myvi kuningnya! Haris memang nak dia meratapi perpisahan dia dengan suaminya!


"Suami jenis apa yang mahu membunuh isteri. Nak masuk simpang perlu tekan brek sebatu lebih awal. Nak hidup, kena jumper dulu. Lebih sadis, bila berhenti di traffic light, sawan dia datang. Mulalah suami awak tu jadi kuda. Senggut tak menentu sampai terpaksa pasang double signal. Itu ke kegunaan dia?"


Merah padam muka Dara. Itu kejadian sebelum kereta dia masuk ke dalam bengkel tempoh hari. Jadi, Haris memang nampak segala-galanya kelemahan suaminya? Dasar Haris tak guna!


"Oh, ya! Suami awak tak salah. Penjaga dia salah. Sebab kedekut nak laburkan duit untuk panjangkan hayat dia. Dia lebih sanggup bawa suaminya yang uzur tu ke mana-mana sampai dia mati agaknya." Haris terus-terusan melepaskan peluru berpandu.


"Turun!" Dara sudah tidak mampu bersabar.  Kesabaran dia sudah menjadi senipis kulit bawang.


"Turun Haris!" Biarpun Dara marah, dia masih dalam keadaan terkawal. Dia tidak tinggikan suara. Dia masih waras.


"Macam tu je awak halau saya? Awak anggap saya macam kucing kurap lepas saya buat pelaburan cukup baik untuk suami awak? Macam ni cara awak balas jasa saya selepas saya beri tunjuk ajar ketika awak dibuli rakan sekerja?"


Macam mana ya Dara ingin membuatkan Haris itu benar-benar bisu? Semua bicara dia ada perangkap beracun. Sekarang, Haris sudah pandai mengungkit pula.


"Saya tak ada duit Haris! Awak sendiri dah ambil laporan saya tadi kan? Saya tiada apa untuk dibayar kepada awak. Kalau awak nak sangat, ambillah kereta cabuk saya ni." Dara tiada pilihan kalau Haris masih berkeras mahukan dia melunaskan hutang lelaki itu.


"Saya ada isteri lebih bagus daripada saya ambil suami awak ni." Tempelak Haris angkuh.


Mengetap sepasang bibir Dara. Haris memperlekehkan keretanya pula! Dan dia memuji isterinya. Isteri Haris itu sama saja seperti Haris. Pengubahsuaian kereta itu menarik perhatian semua pengguna dan sangat kena dengan cara pemanduan lelaki gila seperti Haris!


"Dan bab ugut-ugut..."


Telahan Dara, Haris sudah selesai membuat perhitungan. Tetapi ada lagi yang lelaki ini tidak puas hatikan.


Kali ini Dara nekad. Kalau Haris terus terusan menekan dan menindas dia, dia akan mengheret Haris ke mahkamah sesuai dengan tuduhan Dara sebentar tadi. Atas tuduhan lelaki ini yang memalukan dan memfitnah!


"Saya memang pakar dalam hal yang satu tu...Ugutan saya semuanya berjaya dengan cemerlang. Semua akan tunduk dengan ugutan saya. Akhirnya, mereka akan mengalah dan dengar cakap saya."  Kata Haris cukup bangga.


Kecil besar pandangan Dara. Dia hampir gagal mengawal pernafasannya yang juga menjadi kasar.


"Kalau macam tu..kita jumpa dimahkamah!" Putus Dara. Dia hilang kesabaran. Dia ingin turun dari perut kereta. Kalau tadi, dia membuat laporan perihal Emir, sekarang dia akan membuat laporan perihal Haris!


"Sound good! Boleh la kita panjangkan isu ini. Dan hari-hari awak akan jumpa saya. Sebab saya ada bukti kerosakkan kereta awak tu. Saya ada bukti kereta awak tu sebenarnya tak lulus ujian puspakom. Lebih elok jadi besi buruk daripada dapat tuan kedekut macam awak tu."


Tangan Dara jatuh. Dia gagal teruk kali ini. Dia gagal mengawal kemarahan. Selama ini, dia sangat bersabar menghadapi kebisuan Haris. Sekarang lihat saja, kecelotehan Haris itu jauh lebih teruk. Sejak dari tadi, mereka belum menemukan kedamaian. Dan lebih baik Haris itu bisu buat selamanya!


"Kenapa? Tak jadi nak buat report? Takut atau tak cukup duit?"


Dara pejam mata sesaat. Dia juga tertanya-tanya, kenapa emak boleh angau sama Haris? Lelaki seperti ini yang memenuhi citarasa emak? Dara rasa, bersama Haris untuk beberapa jam ini saja sudah umpama neraka buat dia. Apatah lagi seumur hidup.


"Tolong Haris. Keluar dari sini. Saya merayu." Terketap-ketap gigi Dara. Dia masih bersopan biarpun marah.


"Tapi kenapa saya rasa awak sedang mengusir saya dengan cara paling teruk?" Haris rasa, marah Dara sudah sampai ke kemuncak. Telinga gadis itu merah padam.


"Keluar Haris...Sebelum saya panggil teman lelaki saya ke sini." Dara tidak punya pilihan lain. Biar Haris merasa serba salah berdua-duaan di dalam kereta dengan dia.


Terangguk-angguk kepala Haris. Dia hampir-hampir lupa perihal teman lelaki Dara itu. Dia sepatutnya sedar batasnya.


"Sorry..." pinta Haris.


Dara bersorak di dalam hati. Kalau dia tahu Haris itu akan mengalah kalau dia menyebut teman lelaki, awal-awal lagi dia akan katakan. Tak payah dia mendengar semua ayat-ayat ular beracun Haris.


"Saya tak akan keluar. Saya akan tunggu teman lelaki awak muncul. Itu memudahkan saya untuk berkas dia, dan sumbat ke dalam lokap atas alasan seleweng duit teman wanita dia yang otaknya simpan di dalam lubang tandas. Setiap kali kena flush, hanyut!" Haris berpeluk tubuh. Dia merenung ke hadapan. Tiada keinginan menatap muka Dara yang kurang manisnya.


Dara mencengkam ke dua belah tangan. Hampir saja kuku dia menembusi pehanya.


"Seperkara yang awak perlu ingat...Awak bercinta dengan Emir. Tapi bakal berkahwin dengan saya. Jadi, mandat siapa lebih tinggi? Siapa lebih berhak? Hurm?" Haris kembali mencari wajah Dara.


Dara beranikan diri memandang Haris. Lelaki itu siapa tiba-tiba buka cerita perihal kahwin? Lebih gila, berani-beraninya Haris katakan mereka akan berkahwin. Dara rasa, otak Haris sedang mengalami gegaran. Teruk sekali gegarannya.


"Saya akan tarik laporan mengenai Emir!" Ini saja kelemahan Haris. Dara nekad. Dia perlu menyelamatkan dirinya dan Emir dari Haris.


Sebelah kening Haris naik. Hujung bibirnya juga begitu sebelum lenyap.


"Sebelum tu...Awak perlu berhadapan dengan saya, Dara. Berhadapan dengan kegilaan Hilman Haris. Nanti baru awak tahu siapa lawan awak." Usai berkata, Haris turun. Dia perlu memberi sedikit pengajaran kepada Dara.


Dara mengekori langkah Haris. Bibirnya dicebik. Ugutlah sepuluh kali pun. Dia tetap dengan keputusannya. Dia hanya mahu bersama Emir.


Tidak sampai sepuluh minit Dara menikmati ketenangan, dia didatangi oleh dua orang anggota polis. Cermin keretanya di ketuk dari luar. Lekas Dara turun dari perut kereta dengan muka berkerut.


"Maaf! Kami terpaksa tahan Cik satu malam atas kesalahan menghalang tugas penjawat awam dan enggan memberi kerjasama. Kalau sabit kesalahan, Cik juga boleh dituduh kerana menyembunyikan penjenayah dikehendaki polis. Iaitu Emir."


Melopong sekejap Dara bila ke dua tangan dia digari. Dia diheret masuk ke dalam balai polis tanpa ampun lagi.


"Tapi...Tapi..." Dara perlu bela diri. Dara rasa, ini semua salah faham!


"Encik Hilman Haris yang buat laporan terhadap Cik Dara. Jadi, kami terpaksa tahan Cik untuk siasatan!"


Gila!


Haris itu sememangnya gila!




Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh awa