Home Novel Komedi/Romantik Komedi Intai-Intai Jodoh
Intai-Intai Jodoh
Weeda Airiza
20/6/2019 14:26:21
2,978
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 12
NAZWA merebahkan kepala di stereng kereta sebelum air matanya berjuraian jatuh. Dia menangis tanpa henti sehingga puas. Dia benar-benar terkejut apabila Wazif membawa seorang gadis.
Tak sangka, Wazif sudah bertunang! Nazwa masih tidak mahu percaya. Selama ini Wazif sangat baik terhadapnya. Malah lelaki itu dahulu yang memulakan salam perkenalan.
Semua orang tahu betapa Nazwa sukar untuk membukakan hatinya buat mana-mana lelaki setelah kecewa dalam percintaan lima tahun yang lepas.
“Hello...”
“Kak Wa, akak dekat mana? Apa yang berlaku sebenarnya tadi?” soal Nazura bertalu-talu.
Terkejut Nazura apabila kakaknya menjawab panggilan telefon dengan ayat berbunga sebentar tadi. Nazura tahu, ada sesuatu yang tidak kena berlaku.
Dia mainkan akak, Wa. Dia mainkan akak!” Suara Nazwa semakin serak.
Nazura mengeluh. “Siapa? Wazif?”
“Emm...”
“Kenapa?”
“Dia bawa tunang dia jumpa akak.”
“Eee, tak guna! Zura ingat dia tak sama macam lelaki lain. Hari tu nampak okey aje. Loving semacam Zura tengok.”
Nazwa mengeluh berat. Ketika keluar bersama dua minggu lepas, mereka terserempak dengan Nazura dan Nazwa memperkenalkan Wazif kepada adiknya.
“Entahlah Zura. Akak tak sangka.”
“Orang macam tu kita kena ajar kak. Mana boleh biarkan!” Nazura berkata separuh menempik.
Nazwa mengetap bibir. Ikutkan hati, memang dia rasa mahu jerkah saja Wazif atau mencurah air ke atas kepalanya. Namun, dia masih waras. Dia tidak mahu mengikut kata hatinya, bimbang memakan diri.
Lagipun, zaman sekarang lebih bahaya. Salah sedikit saja, perilaku mungkin akan dirakamkan. Lebih parah kalau gambar itu menular di internet. Ketika itu, mungkin diri dan kerjaya akan menjadi lebih hancur.
“Akak tak payah lembut hati sangatlah kak. Sebab tu lelaki suka ambil kesempatan dekat akak!”
Nazwa mendiamkan diri. Sampai bila aku perlu layan karenah lelaki-lelaki yang mengelilingi aku? Aku tahu mereka hanya mahu mendampingi aku disebabkan kecantikan dan pangkat yang aku miliki, bisik hatinya.
Jawatannya sebagai orang kanan Pengarah Urusan syarikat Fashion Queen Studio, salah satu hub fesyen yang terkemuka membuatkan dirinya sentiasa menjadi perhatian.
“Akak!”
Nazwa tersedar daripada lamunan. “Ya, ya!”
“Dahlah tu. Ramai lagi kat luar yang menanti akak.”
“Tapi akak sayang sangat dekat dia, Zura...”
Nazura mengeluh di hujung talian. Dia kenal benar dengan kakak kandungnya itu. Sukar untuk berundur bila sudah jatuh cinta.
“Okey, Zura faham. Akak jangan fikir sangat. Nanti kita cerita lagi di rumah, ya?” Nazura memujuknya.
Setelah mematikan talian, Nazwa termenung. Apa patut dia lakukan sekarang ini? Hatinya terlalu ingin memiliki Wazif. Lelaki itu lain daripada lelaki lain yang pernah ditemuinya.
Jiwa Nazwa berkecamuk. Haruskah dia berundur? Atau perlukah dia nekad untuk merebut hati lelaki itu? Nazwa menarik nafas panjang.
Dia sedar, dia tidak seharusnya membiarkan diri dikuasai fikiran negatif. Kelak, hati dan fikiran akan mula diracuni secara perlahan.
Jikalau tidak dihalang dan benteng keimanan tidak dijaga, maka tidak mustahil akan terjadilah perkara-perkara yang membuatkan manusia mulai alpa dengan kuasa ALLAH Yang Maha Esa.
Nazwa beristighfar sehingga hatinya tenang kembali. Dia tetapkan di dalam hati, sekiranya ada jodoh, adalah. Sekiranya tiada, dia pasrah.

USAI menunaikan solat Dhuha, aku melipat telekung dan sejadah. Aku memandang Kak Ija yang terbaring di atas katil sambil membaca novel.
“Jom breakfast kak.”
“Jom. Tak payahlah makan heavy pagi ni. Tengah hari nanti dah ada orang nak belanja makan kenduri,” ujar Kak Ija.
Aku mengerutkan dahi. Kenduri? Kenduri siapa pula minggu ni? Puas aku fikir tapi tak juga menemui jawapan.
“Kenduri siapa?”
“Eh, kau tak tahu ke?” soal Kak Ija.
Aku menggeleng pantas.
“Jiran depan tulah, Norman.”
Aku menepuk dahi. Macam manalah aku boleh lupa? Aku keluar dari bilik dan pantas menuruni tangga. Semerbak bau nugget ayam di ruang tamu.
Kak Ija berlalu ke dapur manakala aku terus duduk di sofa, bersebelahan Normi yang sedang membelek telefon bimbitnya. Bunyi hon kereta di luar tiba-tiba memeranjatkan kami. Normi bangun dan bercekak pinggang sambil membebel.
"Pagi-pagi dah memekak! Bagi aku marah betullah. Siapa pula yang... eh... Oh my GOD!”
Aku melihat Normi mendiamkan diri di sebalik langsir. Dia terpaku di situ sambil memandang ke luar. Hmm, apa-apa ajelah Normi. Aku bangun lalu menuju ke dapur. Yan dan Kak Ija masih sibuk menggoreng sesuatu.
Aku mencapai jug besar untuk membancuh air teh panas. Hampir sepuluh minit kemudian, Yan menutup dapur gas. Kami menuju ke ruang makan seraya membawa sarapan yang telah dimasak oleh Yan. Cukuplah nugget, sosej dan sandwich telur untuk sarapan kami.
Ya ALLAH! Normi masih berdiri di tempat yang sama? Terbuntang biji mata aku apabila melihat perangai budak perempuan seorang ni.
“Woi! Mengintai tak habis-habis!” jerkah Yan.
Gadis berperwatakan tomboi itu menampar punggung Normi yang sedang ketawa. Normi pula membalas dengan menendang betis Yan. Aku menggeleng kepala melihat kelakuan kasar budak berdua itu.
“Apa yang hot sangat kat luar tu, Yan?” soal aku.
“Jiran baru tulah, siapa lagi...” ujarnya.
“Siapa? Nazhan?” soal Kak Ija lalu duduk di kerusi makan.
Yan mengangguk lalu menuangkan air teh panas ke dalam mug. Aku mengerling ke arah Normi yang masih lagi setia di sebalik tirai.
“Kenapa dengan dia? Kes parah ni kalau Normi sampai langsung tak ingat nak makan,” usik Kak Ija.
Yan ketawa. “Handsome tujuh petala langit katanya! Manalah dia tak mabuk kepayang.”
Aku menepuk dahi lalu bangun dan menghampiri Normi. “Handsome macam mana sekalipun, bukannya boleh mengenyangkan. Dah, jom makan!”
Normi memuncungkan bibirnya tatkala aku menarik lengannya untuk ke meja makan. Aduhai, masalah besar!
“Kau orang nak pergi tak kenduri Norman kejap lagi?” soal Kak Ija.
“Malaslah...” Normi menjawab lirih.
“Tak payah ajak dia kak. Orang tengah frust menonggeng. Kejap lagi risau meraung depan pelamin pula,” acah Yan.
Kak Ija tergelak. Normi sudah membuat muka akibat diusik oleh Yan. Aku pula terasa sendiri walaupun Yan tidak bermaksud untuk tujukan hal itu pada aku.
Mulalah aku terfikir, mampu ke aku jadi kuat di hari perkahwinan Kamal minggu hadapan? Atau aku akan meraung depan pelamin juga?
“Habis tu, nak pergi ke tak nak ni?” soal Kak Ija lagi.
Normi berfikir sejenak. “Pergilah. Alah, bukannya Normi jatuh cinta dengan Abang Norman tu. Saja suka tengok dia.”
“Kau?”
Yan menggelengkan kepala. “Nak keluar dengan kawan sekejap lagi. Tak sempat rasanya nak pergi. Akak kirim salamlah pada Abang Norman.”
“So,  kita bertiga ajelah yang pergi,” ujar Kak Ija.
Aku menganggukkan kepala tanpa banyak bicara. Fikiran aku masih lagi ligat memikirkan masalah minggu hadapan.


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.