4,810
Kategori:
Genre:
Senarai Bab
Bab Sepuluh
  

                                           BAB 10

MENANTI di meja, membuatkan Dija terasa agak bosan. Matanya melingas ke sana sini. Sesekali, matanya melekat pada muka jam tangan. Sesekali pula matanya menjauh hingga ke pintu utama restoran itu. Sudah berkali-kali dia begitu. Merenung dan terus merenung ke arah yang sama.

“Hissyhhh...mana dia orang ni? Lupa ke apa ni? Dah hampir setengah jam, aku kat sini, batang hidungpun tak nampak...” Sungut Dija. “Ni buat aku geram ni....”

Restoran kegemarannya itu semakin ramai dihadiri pengunjung. Dija kebosanan. Dia meletakkan straw di bibir untuk ke sekian kalinya. Disedut lagi teh limau kasturi itu. Hampir kering sudah air di dalam gelas. Mee goreng mamakpun sudah tinggal sisa.

“Mana Kak Sal dan Rina ni? Aku callpun dia orang tak jawab. Apa halnya ni?”

Dija bangkit lalu meraba kocek jeannya.

“Malas aku nak tunggu makhluk dua orang tu. Entah-entah membuta di hari minggu macam ni. Lantak dia orang laaa....!” gerutu Dija dalam rasa tidak sabar. “Eh, takkanlah tidur sampai dah hampir pukul 12 tengahari macam ni?”

Dadanya terasa panas. Geram dengan ketidakhadiran dua orang rakan sekerja yang berjanji untuk datang makandi restoran tersebut. Sudah berkali-kali matanya melingas rimas.

“Dia orang ingat aku ni tak ada duit ke nak belanja dia orang tu....” hati Dija terus bersungut. Mengomel pelbagai ucapan. Namun sekadar di dalam hati. Maklum, hanya dia sendiri di situ. Nanti ada pula orang anggap dia tak berapa siuman bila cakap sorang-sorang.

Dija nekad untuk tinggalkan restoran tersebut. Dia segera bangkit lalu membayar harga makanan dan minumannya tadi.

Beberapa langkah, Dija cuba meninggalkan meja tiba-tiba dia terasa bahunya dicuit. Dija pantas menoleh. Membulat matanya.

“Aikkk, tahupun kau datang sini, Rina?” soal Dija. Wajah agak masam.

Marina mencapai tangan Dija. Dipaut erat. Senyum mengulas di bibir. Wajah Dija direnung nakal.

Sorry, Dija. Aku terlambat. Kami tertidur. Bila bangun, terus bergegas ke sini. Sorry, ya...” jari jemari Dija dipaut lagi. Penuh mesra.

Dija sekadar diam. Tanpa suara yang diluahkan. Hanya merenung wajah Marina yang sedikit nakal, walaupun dia memang telah bersalah lambat tiba di tempat yang dijanjikan. Perlahan-lahan, Dija menarik jari jemarinya daripada genggaman Marina.

Dahi Marina berkerut. “Eh, kau ni, hari tak kerjapun, pakai sarung tangan jugak?” Mata Marina melekat ke arah jari jemari Dija yang bersalut sarung tangan hitam. Kemudian, menjalar matanya ke arah kaki Dija. Juga didapati temannya itu bersarung kaki.

“Sarung kaki jugak?” mata Marina menjalar pula ke arah kaki Dija.

“Alaa, jangan pedulikan hal aku.” Ujar Dija sambil melibaskan tangan kanannya ke arah Marina yang merenung sarung tangan dan sarung kakinya.

“Tapi, kau nampak pelik, Dija.” Marina buat muka.

“Di Kuala Lumpur ni, banyak perkara pelik, Rina. Kalau macam ni dah tak heran, Rina. Kira okey apa...” balas Dija, bersahaja. “Kau ni banyak soal pulak. Nak makan ke tak ni?”

Mata Marina masih lagi melekat pada kaki dan tangan Dija. Dia terus diburu kehairanan. “Kenapa ni, Dija? Kita bukannya nak ke tempat kerja? Apasal kau....”

“Hissyyyhh...kau tak usah nak pedulikan pasal aku.” Dija menolak muka Marina lalu mendorongnya ke kerusi. Didudukkan temannya itu dengan segera.

“Nak makan ke tak ni?” soal Dija sekali lagi. Matanya mencerlang ke arah Marina. Kedua tangannya mencengkam bahu Marina yang sudahpun berada di atas kerusi.

“Eh, mestilah nak. Kau kan janji nak belanja aku dan Kak Sal. Takkan aku nak tolak tuah pulak...!” balas Marina, pantas.

“Dah tu, mana Kak Sal...” soal Dija sambil dia merenung jauh ke dalam anak mata Marina yang sejak tadi asyik merenung tangan dan kakinya yang bersalut itu.

Marina memuncungkan bibirnya. Dija menoleh ke arah yang dimaksudkan.

“Kak Sal ke bilik termenung tu, kejap.” Tersengih Kak Sal bila Dija merenungnya.

“Lambatlah Kak Sal dan Rina ni. Dija dah habis dah satu pinggan penuh mee goreng mamak...” omel Dija bila dilihat wajah tenang Kak Sal dengan senyumnya itu.

“Aikk...dah habis?” Marina membulat matanya ke arah pinggan yang telah kosong. Kak Sal tersengih terus. Matanya juga turut melekat ke arah pinggan tersebut. Dija mengangkat bahu.

“Dah lebih setengah jam tunggu, kak!” ujar Dija. “Dija ni paling tak suka menunggu. Kalau lambat, Dija santap sorang!”

“Dah tu, kau nak balik dah?” soal Marina mengerutkan dahi.

Dija tersengih. “Dah kenyang, balik ajelah...”

Marina buat muka. Kak Sal tersenyum tenang. “Tak apalah. Dija boleh balik. Biar kami yang isi perut kat sini dulu. Dah tak ada rezeki nak makan bersama Dija hari ni. Mungkin masa lain kut.”

Marina agak muram. Tapi tiada kata terluah.

Order ajelah, apa yang kau nak makan Rina. Aku masih sudi belanja kau dan Kak Sal, tau....” Dija membongkokkan belakang lalu merapatkan bibirnya ke wajah Marina. Kemudian, menepuk bahu temannya itu. Mesra.

“Aku bukan orang yang suka mungkir janji. Aku akan tunaikan apa yang aku kata. Mintak aje apa yang kau nak, aku belanja.”

“Hmmm, kalau kau belanja tapi tak temankan kami makan, nak buat apa? Akupun ada duit nak bayar mee goreng mamak ni.” Tawar hambar suara Marina. “Akupun dah terima gaji sama dengan kau jugak!”

“Siapa yang silap? Siapa yang salah?” soal Dija. “Bukan aku, kan?”

“Rina, ok laa tu. Jangan paksa Dija. Kita yang silap. Kan, akak dah cakap, jangan tidur...jangan tidur...tapi, kita tertidur jugak...” Kak Sal tetap tenang.

“Mata ni yang salah, kak. Rina dah tahankan. Tapi mengantuk sangat. Tulah pasal tertidur tu. Kalau tak, manalah Rina boleh lupa dengan janji?” Marina pertahankan kesalahan sendiri.

“Oklaa...!” Dija mengalah lalu melabuhkan punggung di kerusi bersebelahan Marina. “Aku akan temankan kau dan Kak Sal makan hingga kenyang!”

Tiba-tiba saja bibir Marina tersenyum. “Betul ni?”

“Pernah ke aku ni cakap tak betul?”

“Aku tak kisah, kalau kau tak nak belanja akupun, Dija. Sebab memang aku yang bersalah. Tapi, kalau kau tak nak temankan kita orang, aku sedih tau...”

“Ye laaa...aku temankanlah ni. Malah, aku akan belanja kau dan Kak Sal. Apa saja yang kau nak makan, mintak aje. Kat sini banyak menunya. Best apa...”

Marina tersenyum.

“Terima kasih Dija.”

“Akakpun nak....”

Gedegang....!!! Kreeeekkk....!!

Semua pengunjung restoran berpaling ke arah bunyi tersebut. Malah, ada yang terbangun sambil mata merenung ke arah datangnya bunyi tersebut. Dija terbangkit pantas. Matanya membulat. Mulutnya melopong.

“Masya Allah....” tiba-tiba Dija meluru ke arah bunyi tersebut.

Sebuah kenderaan sudah meluncur pergi meninggalkan ruang itu. Dija berlari untuk mengejar kenderaan pacuan 4 roda itu. Namun, kudrat Dija tidak hebat mana. Dia terpinga sendiri sambil merenung kenderaan hebat itu berlalu.

“Dija, motor kau!” suara Marina hampir menjerit sambil menekan bahu Dija.

“Astargfirullahal azim...!” Kak Sal kehilangan ucapan selain daripada sepatah ungkapan itu. “Motor Dija dah dilenyek? Subhanallah!”

Dija terdiam seketika. Matanya melekat pada motosikalnya yang sudah dirempuh malah dilanggar remuk oleh kenderaan tadi.

Marina berjalan pantas sambil menghampiri motosikal Dija yang sudah musnah di’panjat’ oleh kenderaan tadi. Sebuah hiluc yang besar telah membunuh segalanya. Dija terkesima tanpa suara. Dia seperti terkedu sendiri bila melihat motosikalnya kemek dan musnah seperti kuih semperit yang keluar daripada sarangnya.

Masya Allah...!

Kebetulan, hanya motosikal Dija yang dipakir di situ. Sementara beberapa buah motosikal lain sudahpun dipecut oleh tuan masing-masing meninggalkan ruang restoran tersebut. Motosikal Dija yang bersendirian menanti tuannya datang menjemput. Malangnya bukan Dija yang sempat menjemut motosikal kesayangannya itu sebaliknya ada kuasa lain yang sudah meragut dan memusnahkan milik Dija itu.

Kebanyakan pengunjung restoran itu datang menjenguk melihat keadaan motosikal Dija yang sudah musnah itu. Masing-masing tertanya-tanya sendiri. Malah, tuan punya restoran itu juga menepuk dahi kehairanan dengan kejadian yang baru berlaku.

“Saya tak kenal pun siapa dia tu...” dalam terkejutnya, tuan punya restoran, yang dikenali sebagai Ali Mamak itu bersuara. Berkali-kali dia menepuk dahi.

“Itu awak punya musuh ka?” soalnya ke arah Dija yang kelesuan.

Dija menggeleng. Wajah suramnya jelas terpancar.

“Kami tak kenalpun dia tu, mamak...” jawab Marina kegeraman.

“Apa pasal dia buat motosikal awak macam itu?”

Dija menggeleng. Kemudian, berjalan perlahan-lahan ke arah motosikalnya yang sudah musnah itu. Dia merenung motor kesayangannya itu. Tanpa sebarang bicara, Dija cuba mendirikannya. Namun, tayar dan rimnya sudah bengkok. Sudah tidak mampu untuk didirikan lagi. Kelihatan di sekitarnya minyak sudah meleleh melimpah di atas jalan. Dija mengeluh agak kuat.

Kak Sal mendekati. Diusapnya belakang Dija. Namun, dia juga kehilangan kata. Hanya sekadar menggelengkan kepala tanda kesal dengan kejadian yang menimpa.

“Syaitan bertopengkan manusia. Kenapa dia sanggup buat macam ni kepada orang miskin macam kita, Dija/ Kalaulah aku dapat makhluk tu, tahulah apa yang aku nak buat...” Marina mengepal jari jemarinya. Dia kegeraman.

“Tak apalah Kak Sal, Rina....” kendur suara Dija. “Mungkin ada orang yang tak senang hati dengan aku, Rina.”

“Orang baik macam kau mana ada musuh, Dija?” soal Marina, kehairanan.

“Kalau aku tak ada musuh mungkin ada orang yang benci dengan aku, Rina.” Ujar Dija, kendur. Sedih di wajahnya jelas kelihatan.

“Tapi kau kan seorang yang baik?”

“Mungkin kau aje yang anggap aku baik. Tidak pada orang tu...” Dija mengeluh lagi. Ungkapan yang sangat melukakan hatinya.

“Pendengki tu...” sungut Marina, terus geram.

“Kita report polis, Dija. “ usul Kak Sal.

“Tak apalah, kak.”

“Eh, kamu kena report sama polis.” Sampuk Ali Mamak. “Nanti polis boleh buat siasatan. Kamu jugak mahu claim sama insurans kan?”

Dija diam. Dia tidak tahu apakah tindakan seterusnya bila melihat keadaan motor kesayangannya sudah jadi besi buruk dengan tiba-tiba.

“Betul kata mamak tu, Dija. Report polis minta pihak perkara ni disiasat. Lepas tu, Dija bolehlah buat claim insurans. Motor ni boleh dibaiki lagi ni...” balas Kak Sal sambil merapati Dija.

Dija masih juga diam.

“Dija...” Marina seakan mengerti kesedihan di hati Dija. Diletakkan tangannya di atas bahu Dija. Diusap perlahan. “Kau kena banyak-banyak bersabar ya.”

Dija mengangguk perlahan. “Oklah Rina, Kak Sal...

“Bersabar dik. Tuhan akan bersama orang-orang yang bersabar, percayalah...”

Tiba-tiba kelihatan sebuah kereta. Sebaik sahaja berhenti, keluarlah sepasang insan yang begitu mesra.

“Eh, Kak Sal, kenapa ni?” tiba-tiba suara si teruna menegur, sahaja matanya melekat ke arah Kak Sal.

“Motor Dija, Encik Faheem...” kendur dan sedih suara Kak Sal.

“Motor ke ni?” Rita tiba-tiba menyampuk. “Macam besi buruk je...”

“Sayang, jangan cakap macam tu. Tak baik!” Faheem merangkul bahu Rita sambil melekatkan tubuhnya ke arah Rita. Lebih mesra.

“Opsss, sorry!” Suara Rita makin mengada-ngada. Meluatnya Kak Sal, Marina dan Dija mendengarnya. Namun, Dija tetap nampak tenang.

“Apa hal ni, Kak Sal...?” soal Faheem lagi.

“Entahlah, Encik Faheem. Tiba-tiba aje ada orang buat aniaya dengan Dija. Tengok motor Dija dah dilenyek dengan keretanya.” Jawab Kak Sal dengan wajah sedih.

“Siapalah makhluk yang nak kena laknat oleh Allah tu ya Encik Faheem?” soal Marina dengan nada geram. “Mudah-mudahan, suatu hari nanti, Allah akan lenyek tubuh dia macam terlenyeknya motor Dija ni.”

“Hisyh, jangan doakan yang buruk-buruk, Rina. Semua ni ujian daripada Allah.” Balas Dija dengan tenang. Walau sebenar hatinya meledak geram.

“Kat KL ni, ramai orang yang jahat Rina. So, awak semua kenalah berhati-hati. Ni baru motor, entah-entah dia orang akan buat perkara yang lebih teruk pada awak nanti...”

“Hisyh, memang ahli neraka agaknya dia orang tu, kan Encik Faheem?” Marina terus mencemuh. Dia sudah melontar kata yang panas dan pedas.

Dija diam. Tanpa suara tanpa bicara.

“Tapi tak apa, Dija. Nanti, kita sama-sama buat solat hajat, minta Allah berikan balasan yang lebih teruk daripada apa yang kau kena ni. Kalau doa kita tak makbul, aku boleh minta tolong ayah kat kampung. Kat sana, ada seorang ustaz yang selalu buat solat hajat untuk benda-benda macam ni. Akan ada balasannya yang diterima nanti oleh penjahat tu...” Marina menepuk bahu Dija. “Kau banyak-banyak bersabar ya....”

Dija mengangguk. Kemudian, dia bangun. Menuju ke meja lalu melabuhkan punggungnya. Sambil memeluk topi keledarnya, Dija menumpang dahu di atas topi yang sudah kehilangan motornya itu.

“Awak minum air ni dulu, nanti hati awak boleh tenang...” Ali Mamak meletakkan segelas teh ais limau kasturi kegemaran Dija di atas meja. “Saya belanja kamu minum...”

“Terima kasih, mamak!” Dija mengukir senyum manis.

Perlahan-lahan Dija merapatkan bibir ke straw lalu menyedut teh limau kasturi dengan tenang. Sambil matanya sempat menjeling ke arah Faheem dan Rita yang masih bergandingan mencari meja kosong. Lengan Faheem masih jua rapat di atas bahu Rita. Kemesraan yang entah apa mereka ciptakan saat itu, Dija tidak pernah menghurainya di dalam kamar hati.

Hanya dia tahu, mereka adalah pasangan kekasih yang sedang menghayati mimpi kehidupan yang entah bagaimana kelaknya.

Sesekali pula, mata Dija melekat kepada motosikal kesayangannya yang tiba-tiba telah menjadi ‘arwah’ di depan pandangan semua orang.

“Dija, kau mesti banyak-banyak bersabar, ya...” Marina seperti sedang meneroka kelukaan yang sedang Dija telan.

“Ya dik. Allah akan bersama orang-orang yang bersabar. Akan ada balasan Allah terhadap orang-orang yang menganiayai orang lain.”

Dija terus menyedut minumannya dengan tenang tanpa sebarang ulasan.

“Kak Sal, Rina, order ajelah. Apa saja, Dija belanja...” suara tenang itu kedengaran begitu ikhlas.

Kak Sal dan Marina saling berpandangan. Sudah hilang selera mereka untuk menjamah apa-apa juadah di kedai mamak itu. Hanya rasa simpati terhadap Dija.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh