Home Novel Cinta Tomboi + ustaz?
Tomboi + ustaz?
SS
22/4/2020 21:26:49
2,524
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 9


“Ulfah, Ulfah, bangun dik. Dah pukul 3 ni. Kejap lagi nak qiam.Ulfah, bangunlah.”

Aduh, suara siapalah yang mengganggu ketenteraman aku pagi-pagi buta ni. Nak tidur pun tak senang. Ah, tak nak. Aku tak nak bangun. Awal lagilah…

Sedang aku lena dibuai mimpi indah ini, tiba-tiba terasa sesuatu yang berdaulat sudah mencemar duli memukul punggungku. Aku pun apa lagi, mula nak bukak silat cekak  di pagi yang  permai ini.

Lantas dengan tahap kemalasan yang paling maksimum aku membuka mata.

“Emak!!!!” Makhluk berwarna putih menjelma dihadapanku kini. 

“Hei, ni akak lah”

Fuh, kak Intan rupanya, kufikir jembalang mana tadi.

“Hisy, akak buat apa pakai telekung pagi-pagi buta ni.” Aku menggenyeh mata yang masih kabur. 

“Ulfah, kan akak dah cakap pagi ni, ada qiam. Lupalah tu.” Kak Intan masih berdiri di sisi katil ku. Tak tidur ke dia ni? Rasanya tadi kak Intan tutup lampu pukul 12, hisy, mudah betul dia jaga walaupun tidur sekejap.

“Sorry, saya lupalah kak. Tak apa lah akak tunggu jap, saya nak mandi. Boleh eh kak.” 

“Ok, tak apa, ada masa lagi ni. Pergilah mandi dulu.”

Usai bertahajud dan bersolat subuh, aku merebahkan diri semula di atas katil. Ah, mengantuk tak terkata. Sambung tidur best ni. Namun, belum pun mata tertutup rapat, Kak Intan dan Nazimah sudah muncul di muka pintu.

“Ehem,ehem cik kak, jangan nak tidur-tidur eh, jom, kita ada aktiviti lagi ni. Diorang bagi chance masuk bilik ni pun suruh letak telekung je, bukan tidur.”Nazimah sudah membuat bingit.Aduh, sungguhlah program ini membuatkan mataku bengkak.

“Ulfah, janganlah macam ni. Program ni program baik tau. Jangan rugikan peluang yang Allah beri untuk kita kutip pahala. Mana tau lepas ni kita dah tak sempat nak buat pahala lagi.” Ah, sayu betul aku kalau Kak Intan yang bersuara bab-bab hidup mati ni. 

“Iyelah, saya bangun ni kak. Kejap.Saya pakai tudung dulu.”Aku bangkit dan terus melangkah ke penyidai kain. Mekar senyuman di bibir mereka. Baik sungguh. Itulah, sahabat yang baik, tidak akan membiarkan sahabatnya terus hanyut dengan dunia yang fana ini. Subhana Allah, sungguh beruntung hamba Mu ini. Terima kasih ya Allah. Dalam resah perlu meninggalkan perkara dunia, tetap ada rasa bersyukur kerana diingatkan tentang perkara akhirat. Sesungguhnya akhirat itu pasti dan kekal abadi.

“Hari ni, sebelah pagi ada pertandingan tarannum. Petang nanti ada gotong royong sebab malam ni ada pertandingan nasyid. Semuanya kita AJK masjid yang uruskan. So, akak dah letak nama kita bertiga untuk jadi AJK pertandingan nasyid.” Jelas kak Intan. Aku hanya mengangguk tanda faham. Apa-apa ajelah asalkan aku tak duduk tercongok. 

Semasa  sedang sibuk menggunting kertas warna yang dilukis huruf, Airil datang menghampiri. Aduh, dahlah aku sorang-sorang ni. Aku menggaru kepala yang tidak gatal. 

Airil menarik kerusi dan duduk disebelahku. Apalah kata orang madrasah ni nanti kalau diorang tengok lelaki perempuan duduk berduaan macam ni. Aku dah mula rasa tak selesa.

“Ulfah, aku tengok kau macam nak larikan diri dari aku aje. Kau tak  suka aku ke?” Aduh, soalan jenis apa ni?

Aku teruskan kerja menggunting.

“Boleh tak jangan kacau aku, kau tak nampak ke aku sibuk ni.” Malas nak menjawab soalan yang tak menarik tu.

“Aku tanya lain, kau jawab lain. Tak apa lah, aku tak kesah kalau kau tak nak layan aku. Tapi, aku nak kau ingat satu perkara, yang aku takkan mengalah terutama dengan abang Mus sekalipun. Ingat tu.”

Aku mula letakkan gunting di tangan dan berpaling ke arahnya yang sedari tadi duduk disisiku.

“Aku tak faham kenapa Airil yang aku kenal dah berubah. Kau tau tak, kau yang sekarang ni dah berbeza 360 darjah dari Airil yang aku kenal dulu. Tolonglah, takkan disebabkan aku yang tak berapa cantik ni, kau nak gaduh dengan abang sepupu yang kau dah kenal dari kecik. Gunalah otak bila bercakap Ril, aku ni tak layak untuk orang warak macam tu.” 

“Dah, kau kata tak layak, kau terima ajelah aku ni, kan senang, kita dah lama kenal. Aku tau macam mana perangai kau, kau pulak dah kenal siapa aku. Apa susahnya.”

Sungguh, sungguh mamat ni dah terdesak tahap maksimum.

“Eh, Airil, tolonglah. Apa kau cakap ni. Yang kau terdesak sangat ni kenapa? Aku tak fahamlah manusia macam kau ni. Orang tak suka nak dipaksa-paksa. Dulu aku ingat kau ni gentlemen sangat dengan awek, tak sangka macam ni rupanya.” Aku kembali menyambung kerja menggunting.

“Dengan orang lain, aku bolehlah gentlemen, tapi dengan kau aku rasa tak payah kot.”

Aku mula panas, apa beza kau dengan perempuan lain? Aku pun manusia yang bergelar perempuan jugak. Tak layak ke aku dihormati sampai perkara berkaitan perasaan pun aku boleh dipaksa-paksa.

“Kenapa?” Aku ketap bibir. Masih mampu bersabar.

“Iyelah, aku kenal kau dah lama, dan aku baru sedar yang selama ni aku dah suka kat kau, jadi aku rasa tak payahlah kita buang masa. Kita bercinta, bertunang, pastu kahwin, habis cerita.”

Jatuh rahang aku dengar perancangannya. Dia ingat ni drama ke apa ? 

Aku bangun.

“AKU, TAK, SUKA, KAU. Noktah.”

Fikirlah sendiri. Dah orang kata tak suka tu, tak sukalah. 

Aku terus berjalan ke arah kak Intan dan Nazimah yang dari tadi sibuk uruskan hal langsir yang masih tak siap berpasang lagi. 

“Kak, nak saya tolong ke?”

“Tak ada kot. Langsir ni tinggal nak pasang yang kat hujung tu je, pastu siap lah.” Kak Intan menjawab. 

Aku pun terus melabuhkan punggung di kerusi yang tersedia dalam dewan yang sederhana besar ini. Pandangan mula lah nak meneropong ke sekeliling. Cari……………eh, macam kenal je orang yang pakai kopiah putih tu. Haha, ustaz Mustaqim rupanya. 

Dia buat apa tu? Ajar budak ke belajar dari budak?

Aku pun teruslah termenung sehingga disergah Nazimah.

“Hisy, nasib baik aku tak ada sakit jantung tau. Kau ni saje je.” Aku mengurut dada.

“Eh, kau termenung dekat siapa tu?” Nazimah menghalakan pandangan ke arah ustaz. Aku dah cuak.

“Wah, kau minat akhi Mus ke Ulfah?” 

Dush.sedebuk. Aku tak tau nak jawab apa. Aku telan air liur. Tekak terasa kering pulak.

“Eh, kau boleh tak jangan buat spekulasi tak menentu. Aku bukan tengok dialah.” Membela diri.

“Eleh, iyelah tu, termenung sampai nak terkeluar biji mata, boleh pulak nak bohong kita.” Nazimah mencebik.

“Aku, aku…..ah, dahlah jom kita cari makan, aku laparlah.” Aku cuba mengelak.

Namun Nazimah menarik tanganku sebelum kaki mula melangkah.

“Jangan tenung lelaki macam tu. Nanti rosak hati.” Nasihat yang cukup menyentak sanubariku. Astaghfirullah. Apa yang aku buat tadi?

Aku menunduk. Nazimah memegang bahuku.

“Sebelum kau simpan lama-lama perasaan tu, aku nak bagitau kau something. Akhi tu dah lamar seseorang.”

Serta merta aku berpaling ke arah Nazimah.

Satu lagi kenyataan yang menyentak jiwa. Lamar seseorang? Siapa?

“Si…siapa?”

Nazimah hanya tersenyum.

“Kak Intan.” 

Terdiam. Aku tak tahu nak balas apa. Sedikit demi sedikit datang  satu rasa lain dalam hati. Sebak? Kenapa aku nak sebak? Dari awal aku tahu memang aku tak layak untuk dia. Tapi, ya….aku sedih. Mungkin apa yang aku rasa ini dinamakan kecewa. Aku rasa terlalu rendah sekarang. Tak boleh nak halang perasaan ni. Dia datang sendiri. 

Orang yang selama ini aku minat, dah melamar kakak yang paling aku sayang. Apa lagi yang boleh aku buat? Nazimah menggosok-gosok bahuku. Aku pegang tangannya minta dialihkan. Aku rimas.

Terus aku berjalan ke arah bilik air. Tiba-tiba rasa nak bersendiri. Aku tenung diri aku dalam cermin. Aku pejam mata rapat-rapat. Cuba untuk hilangkan rasa sebal di dada. Aku tak suka rasa macam ni. Tapi, entah kenapa makin aku pejam mata, makin rasa sakit di dada. Mungkin sebab aku rasa diri aku ni rendah sangat kot nak dibandingkan dengan kak Intan. Mungkin juga kenyataan tadi buat aku sedar, aku tak main-main sukakan si ustaz tu. Argh, aku perlu sedar diri. Ulfah, kau memang tak layak untuk dia. Kau siapa? Dia siapa? Sikit pun dia tak pandang kau tau tak?

“Ulfah? Kenapa ni?” kak Intan menegur sewaktu aku ingin melangkah keluar dari dewan yang menyesakkan dada ini.

Aku tenung wajah kak Intan lama.

“Ulfah? Dik ,adik sihat tak ni?” Kak Intan meraba dahiku.

Ya Allah baiknya dia. Benarlah firman Mu ya Rabb, “lelaki yang baik untuk wanita yang baik”.

Aku capai tangan tangan kak Intan. Aku genggam erat dan aku renung matanya.

“Saya sayang akak.” Jarang aku nak luah perkataan ni. Entah kenapa aku cakap macam ni. Mungkin sebab aku tak tahu nak luahkan rasa kecewa ni pada siapa. Selalunya kak Intanlah tempat aku luahkan semua masalah.  

“Akak pun sayang Ulfah. Ulfah, kenapa ni? Cakaplah.” Aku meleraikan pegangan tangan. 

Aku menggeleng.

“Kak, saya nak balik bilik kejap.”

“Ok, tapi apa-apa masalah, kalau nak kongsi dengan sesiapa. Akak ada untuk adik tau.” Kak Intan mengusap bahu ku. Aku sekadar tersenyum tawar dan mengangguk.

Saat itu aku bertembung mata dengan ustaz Mustaqim. Cepat-cepat aku alihkan pandangan dan terus melangkah menuju ke asrama.

……………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………….

Aku melamun sendiri di dalam bilik. Esok hari ketiga aku di madrasah ni. Esok jugak merupakan hari aku akan pulang kembali ke universiti. Entah kenapa dalam kepala ini tak habis -habis terfikir pasal ustaz dan kak Intan. Ustaz bakal dimiliki.Argh, Kenapa perkara tu tak sudah-sudah mengganggu fikiran aku? Semak betullah.

Lalu aku letakkan tangan di dada dan berdoa.

“Ya Allah, Kau redhakanlah aku atas perkara yang telah Kau tentukan ini.”

Lalu ku raup wajah.Al-Quran di meja kuambil. Satu persatu ayat-ayat Tuhan ku baca.Terasa kerdil diri ini ya Allah.

Sedang leka dengan al-Quran, pintu bilikku di buka. Muncul wajah Kak Intan. Senyuman dia hulurkan.Aku sambut dengan senyuman juga.

Kak Intan duduk disebelahku.

“La tahzan. InnaAllahama’na. Jangan bersedih, Allah ada bersama.” Tangan aku dia usap tak ubah seperti adik sendiri. Terasa bergenang kembali kelopak mata ini.Bila agaknya aku mampu menjadi sebaik ini?

Sekarang kak Intan mampu mengusap tangan aku, tapi bila dia tahu yang aku sedih sebab lamaran ustaz Mustaqim kepadanya, agak-agak apa dia akan buat? Ah, dia tak perlu tahu. Itu rahsia aku.


***********

“Ulfah, dah siap ke? Hari nak hujan ni.” Suara kak Intan kedengaran dari luar bilik. Aku masih lagi sibuk masukkan baju dalam beg. Ah, kusut betul, kenapa masa datang beg aku muat aje, tapi bila nak balik semuanya nak terkeluar bila zip beg ni. 

Kedengaran bunyi keriuk pintu dibuka. Aku malas nak pandang siapa yang masuk. Tak lain tak bukan, kak Intan lah tu.

“Alahai, kakak kita sorang ni, kalau baju tu tak berlipat, macam mana nak muat beg tu?” Nazimah merampas beg yang tadinya ada diatas katil. Aku tersentak. Lah, dia rupanya.

Aku memeluk tubuh melihat Nazimah kemas balik baju aku yang tak berlipat tadi dan susun satu persatu di dalam beg.

Entahlah aku tak terfikir pun nak buat macam tu sedangkan selama ni boleh dikatakan aku ni seorang yang pengemas jugaklah. 

Beg yang sudah siap di zip diletak di depan aku. 

“So, ada apa-apa lagi yang tertinggal tak?”Aku pandang sekeliling.Rasanya tak ada dah kot.Aku menggeleng menjawab soalan Nazimah.

“Nampaknya, kita lagilah yang tertinggal ni.”

“Kenapa?” Aku menyoal dengan muka seposen.Sungguh tak ada mood.

“Iyelah, semua orang dah naik bot. Semua nak cepat sebab cuaca tak baik ni.”

“Apa susah, balik ajelah esok.” Selamba aje aku bercakap. Rasanya kalau Nazimah ni bukan seorang penyabar, bengang jugaklah kot perasaan dia.

“Sayang ku Ulfah, kita tempah bot tu semua hari ni, nak tak nak kita kena balik hari ni jugak.”

Aku mengangguk. Ok, faham. Dah tak ada apa-apa kot. Jadi, dengan malasnya aku mula melangkah. Namun, sempat Nazimah memegang pergelangan tanganku. Aku berpaling semula dengan muka confuse.

“Kenapa ni? Nampak tak bersemangat aje.” 

Aku renung wajahnya. Kemudian keluar satu keluhan berat.Tangannya yang masih melekap pada pergelangan tanganku, aku minta dialihkan kemudian aku berpusing dan terus melangkah. Serasa tak ada apa yang perlu diceritakan. Biarlah kesedihan ni aku seorang yang simpan.

Aku teruskan langkah sehingga sampai ke tepi jeti. Bot kedua terakhir baru aje pergi.Tinggal satu bot aje yang masih belum berpenumpang.

Aku merenung laut yang tenang. SubhanaAllah, indah ciptaan Mu ya Allah. 

“Oit, Ulfah.” Satu suara garau menegur. Aku terus pusingkan kepala aku.Nah, terpacak muka Daniel. Aku tayang muka bosan.

“Amboi, buat muka aku datang. Tak apa lah, siapalah aku ni nak berkawan dengan ustazah milenia ni kan.”

Dah, dia dah buat dah lawak tak masuk akal dia tu.

“Tolonglah Daniel, aku mana lah layak nak dapat gelaran ustazah tu.”

“Kenapa pulak tak layaknya?” Tanyanya lurus.

Mamat ni nak kata bendul kang marah, tapi ada akal fikirlah. Aku ni manalah layak nak dipanggil ustazah. Dah lah baru aje berhijrah, hati pun penuh noda dosa lagi.

“Sebab aku tak layaklah.” Malas aku nak bercakap panjang.Masih dalam mood sedih.

“Ulfah, aku rasa kau tak payahlah nak rendah diri sangat. Semua orang boleh berubahkan? Kalau kau kata kau tak layak dipanggil ustazah pun, aku rasa tak salah aku nak panggil dan jadikannya satu doakan?”

Aku pandang Daniel macam tak percaya. Pergh, ayat serius keluar dari mulut mamat ni. Nak tergelak pulak aku tengok muka dia serius. Dengan Daniel ni aku memang tak boleh nak serius sangatlah.

“Weh, yang kau serius sangat ni kenapa?”

“Dah, aku tengok kau sedih je, takkan aku nak sedih jugak.pastu ajak kau nangis sama-sama. Kalau kau kata nak terjun laut aku pun nak ikut jugak. Sebab itulah tandanya kita ni sahabat sejati? Tak ada maknanya aku nak buat kerja tak berfaedah tu. Kawan ni, gunanya untuk beri nasihat dan kata-kata semangat, tak gitu?”Katanya penuh semangat.

“Tak sangka pulak aku, kau ni boleh serius kalau bab-bab macam ni?” Aku masih merenung kosong laut biru dihadapan. Daniel turut buat perkara yang sama.

“Tulah kau belum kenal lagi aku, Daniel jejaka idaman malaya ni. Eh, kau bertuah tau tak dapat kenal aku. Kau aje yang tak tau bersyukur.” Sungguh perasan mamat ini berkata-kata.

Aku menjuihkan bibir.

“Huh, masuk bakul angkat sendiri.” 

Dia ketawa.Aku pun turut ketawa.

“Dahlah, tak payah sedih-sedih, nanti cepat berkedut muka tu, kau tu dahlah belum berlaki lagi. Kang tak laku, aku jugak yang kau merayu suruh jadi peneman dikala sunyi.”

“Huh, kau ingat aku kempunan sangat ke nak berlaki, kalau setakat mat bangla macam kau ni, tak payah lah Daniel.” Selamba kau kenakan dia balik.

“Apa kau kata? Aku yang sikit punya handsome ni kau samakan dengan mat bangla? Tak bermoral sungguh ayat kawan aku ni.”

“Haha, aku gurau ajelah. By the way, thanks Danny, pasal kau buat aku happy.” Jujur aku berkata.

Dia dah buat muka malu-malu kucing. Aku tepuk dahi. Lupa pulak aku yang mamat ni pantang dipuji.

“Dah, dah kau jangan nak buat muka kucing tak bermaruah tu, naik bulu tengkuk aku tengok.”

Namun Daniel masih reaksi tadi, siap tutup muka dengan tangan lagi.

“Hey! Dahlah Daniel, baik kau jadi normal sebelum aku tolak kau masuk air masin ni.” Aku dah buat gaya nak tolak badan dia.

“Ok, ok aku berhenti, tapi kau kena ingat, jangan nak sedih-sedih lagi. Terutama pasal si Airil gaban tu. Aku tak taulah kenapa dia jadi tak normal lepas dia kata dia jatuh cinta dekat kau.”

“Tak normal?”

“Iyelah, memang tak normal lah kalau siang malam dia asyik bercerita pasal kau dekat aku. Kau tau tak aku ni dah nak termuntah dengar cerita pasal kau. Macamlah aku tak kenal kau selama ni. Sawan agaknya dia tu.” Cerita Daniel dengan nada yang cukup tak puas hati.

“Dia cerita apa pasal aku?” Nak jugak lah aku tahu.

“Tak ada apa yang penting pun. Just aktiviti harian kau dan perkara yang sewaktu dengannyalah, aku pun dah tak ingat dah. Eh, kau jampi apa hah sampai mamat tu gila bayang kat kau?”

“Weh, kau ni mulut tak ada insurans kan? Eh, aku tau hukumlah. Tak mainlah pakai jampi bagai ni. Entahlah, aku pun confuse dengan perangai si Airil tu. Sebab tu kalau boleh aku lari, aku lari dari bertembung dengan dia. Tak kuasa aku nak layan gila bayang dia tu.” 

“Dahlah, kau tak payah layan.”Daniel turut bersetuju denganku.

“Tapikan, kau kan kawan dia, kenapa kau tak sokong dia?”

“Aku ni sokong benda-benda yang baik aje. Buat apa aku tolong dia pikat kau tapi nanti hubungan aku dengan abang Mus keruh, eii tak hingin aku.”

Hatiku berdebar seketika saat nama ustaz dipetik.

“Apa kaitannya dengan abang Mus kau orang tu?”

“Kau ingat kitaorang ni tak tau ke yang kau minat dengan abang Mus tu?”

Aku terdiam.

“Tapi aku sure abang Mus tak tau pasal perkara ni. Cuma tulah, Airil cemburu bila tau tentang hal ni sampai sanggup tak bertegur sapa dengan abang Mus. Kadang-kadang aku kesian jugak tengok abang Mus tu, setiap kali dia tegur Airil sekarang, amboi kemain menyombong mamat tu. Geram je aku nak kasi penumbuk kat muka dia. Tak ada sivik betul perangai.” Marah Daniel kalah gaya makcik-makcik.

“Biarlah dia, aku pun dah tak tau nak buat macam mana. Lama-lama aku tak layan, nanti surut lah gila bayang dia tu.” 

“Aku pun harap macam tulah.”

Habis sahaja ayat Daniel aku dengar, guruh mula berdentum. Namun laut masih tenang biarpun hari sudah kelihatan mendung,

“Eh, nak hujan ni, jadi ke tak balik? Diorang ni pun mana pulak perginya.” Bebel Daniel. Kepalanya terjenguk-jenguk mencari kelibat yang lain. Kata Daniel yang tinggal sekarang macam hari mula-mula datang dulu. Cuma kali ni ustaz singa ops ustaz Ahmad ada bersama.

Dari jauh aku nampak kelibat ustaz Mustaqim, ustaz Ahmad, kak Intan, Nazimah dan Airil berlari ke arah kami. Entah apalah yang mereka buat tadi.Kan dah nak hujan sekarang.

“Dah, dah, cepat angkat barang, pakai jaket keselamatan, dan naik bot terus. Hari dah mendung sangat ni.” Arah ustaz Ahmad tegas. Aku pun terus buat apa yang patut biarpun hati aku rasa semacam aje. Rasa macam……. tak payahlah balik hari ni. Tapi tak terluah semua tu.

Ombak bergelora hebat semasa kami di tengah lautan. Aku pegang kejap lengan kak Intan.Aku berpaling ingin melihat wajah kak Intan. Ya Allah tenangnya wajah dia. Kenapa aku tengok kak Intan lain sangat ni? Hati aku dah tak sedap ni. Dengan keadaan bot yang terhuyung-hayang di lautan, hujan ribut turun dengan lebatnya, hati siapa boleh tenang?

“Kak…” Aku bersuara.Kak Intan berpaling.

“Dik, jangan takut.Allah ada bersama. Ni, baca Lahaulawala quwwataillabillah.”

Aku mengangguk. Dada yang kian berdebar aku urut perlahan. Moga setiap zikir boleh menenangkan hati yang bergolak resah. Bukankah dengan mengingati Allah hati akan menjadi tenang?

Aku buang pandang ke hadapan. Kaum lelaki semuanya duduk di bahagian hadapan. Aku perasan mereka semua tak berhenti berzikir.Termasuk Daniel dan Airil.

Terasa nak menitis air mata aku. Ya Allah selamatkanlah kami di sini.

Itulah doa terakhir yang aku panjatkan sebelum datang ombak besar dari bahagian tepi kami. Sempat aku dengar kak Intan jerit, Allahuakbar sebelum semuanya kelam.


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh SS