Home Novel Cinta CINTA HILANG ARAH
CINTA HILANG ARAH
Noreey
5/12/2015 02:28:51
1,694
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
bab 34

BAB 34

LANGKAHNYA LAJU MENAPAK ke kamar. Pintu kamar ditutup, tanpa berlengah dia mencampak handbagnya ke atas katil.  Terburu-buru dia masuk ke bilik air bersama telefon bimbitnya yang sedang berlagu. Sekejap kemudian dia keluar semula. Langkahnya diatur kembali ke ruang tamu.

Ketika telefonnya berbunyi tadi dia baru saja membuka pintu rumah. Senja tadi dia keluar ke stesen bas menjemput anaknya yang baru tiba dari Kuala Lumpur.

“Siapa telefon tadi ma?” Soal anak gadisnya, memandang sekilas ke arahnya. Kamalia melabuhkan pinggulnya di sofa. Karmilla, anak gadisnya itu bukan lagi seperti 9 tahun yang lepas. Dia tidak mahu bercakap di hadapan Karmilla kerana bimbang anak itu akan banyak menyoalnya.

“Err… kawan mama.”

“Dari tempat keje mama ke?”

“Ya. Err... Milla nak makan sekarang ke?” Kamalia tergagap untuk menjawab dan terus menukar topik.

“Mama masak apa ya?”

“Hemm… mestilah mama masak apa yang anak mama suka.”

“Haa… mama masak ikan bawal yang Milla suka tu? Emm.... sedapnya, lama tak makan masakan mama, tapi Milla nak mandi dulu,” ujar Karmilla. Kamalia senyum dan angguk.

“Mmm… pegilah, mama tunggu sini,” jawabnya tenang. Karmilla meletakkan remote tv lalu bangkit, bagasinya di tepi pintu ditarik  menuju ke kamar mamanya.

Takkala melangkah masuk ke kamar itu dia terpandang lukisan wajah mamanya yang tergantung di dinding. Hatinya membisik rindu pada seseorang. Dia lantas mencapai telefon sambil menghempaskan badan di atas katil. Sekejap kemudian dia meniarap seraya meletakkan telefon bimbitnya di telinga.

Kamalia mendengar gelak tawa anak gadisnya dari dalam bilik. Pintu yang sedikit terbuka itu memuntahkan dengan jelas suara anaknya sedang berbual di telefon.

Dari pengamatannya, dia percaya Karmilla sedang berbual dengan seorang lelaki. Ahh… sudah berpacarankah dia? Tekanya sendiri. Kamalia senyum. Remaja sekarang… Kamalia bersandar di sofa, terus menunggu di situ sehingga matanya terpejam sudah.

….

 Kamalia tersentak bila bahunya digoncang-goncang. Dia terpisat-pisat beberapa saat, tangan pantas meraup wajah. Baru dia sedar dia terlena di tempat duduknya tadi.

“Dah siap mandi?” Dia menyoal takkala deria baunya terhidu wangian segar.

“Dah ma, dah siap hidang nasi sekali, Milla tengok mama tidur tadi malas nak ganggu,” jelas Karmilla. Kamalia memandang anak gadisnya dari atas dan bawah. Sudah siap bersolek mengemas diri. 

Sungguh lama tidak ditatap wajah anak gadisnya, makin terserlah sudah keayuannya. Cuma kulit Karmilla mewarisi sedikit warna kulit Kamazul. Berbanding kulitnya sendiri yang lebih cerah dari Kamazul.

“Kenapa ma, ada apa-apa yang tak kena ke?” Soal Karmilla agak hairan melihat gelagat mamanya.

“Ohh… tak… tak ada apa, emm, lama mama tak tengok anak mama ni, dah pandai bersolek pulak sekarang ni,” jelas Kamalia sambil bangkit dari duduknya. Karmilla tersenyum cuma.

“Alaa… kan mama jugak pesan, perempuan kena rajin menghias diri, betulkan?” Soal Karmilla. Dia lantas menarik tangan mamanya menuju ke dapur.

“Ma, lewat malam sikit kita skype dengan papa ya, Milla dah janji dengan papa malam semalam.”

“Emm… ya lah,” hambar saja jawapan Kamalia. Dia tidak tahu berita apa nanti yang akan dia terima melalui Karmilla. Karmilla lah yang selalunya menjadi orang tengah penyampai berita antara dia dan Kamazul.

“Oo… ya ma, lukisan wajah mama dalam bilik tu siapa yang lukis? Cantik sangat ma, kreatif betul pelukis tu,” tak semena-mena terpacul soalan itu dari mulut gadis itu. Darah Kamalia berderau sekejap, dadanya berdebar kencang beberapa saat.

“Ohh… lukisan tu? Eerr.. kawan mama yang hadiahkan,” jelas Kamalia tanpa memandang wajah di depannya. Ketika itu mereka sudah mula menjamah hidangan malam.

“Cantik sangat ma,” puji Karmilla lagi. Kamalia tidak membalas komen itu. Bagi Kamalia dia berharap sangat agar Karmilla tidak bertanya lebih-lebih tentang lukisan itu. Beberapa saat mulut becok itu sudah diam, leka sudah menikmati menu kegemarannya. 

“Tadi cakap dengan siapa?” Kamalia pula mula menyoal setelah agak lama mereka terdiam. Wajah anak gadisnya direnung, menunggu jawapan.

“Dengan kawan, kenapa ma?”

“Kawan lelaki?” Soal Kamalia, ingin kepastian.

“Err… haa… ya, kawan lelaki.” agak tergagap gadis itu menjawab.

“Kawan ke kekasih?” Kamalia menebak, pandangannya menjamah wajah di depannya yang sudah berubah roman malu.

“Eh, mama ni...  ke situ pulak!” Tukas Karmilla, mimik wajah  berubah kemerahan menahan rasa malu yang menerpa. Tekaan si ibu itu bagai ada sedikit kebenaran, namun tetap juga cuba disembunyikan. Karmilla tidak sedar apa yang cuba disembunyikan sudah terzahir di wajahnya. Kamalia senyum saja. Tidak ingin menambah kata. 


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.