Home Novel Cinta REEV
Bab 35

35

Sebaik bas berwarna oren kecoklatan tiba di hentian bas di pusat bandar, aku bersama-sama sekumpulan penumpang bergegas turun. Sebenarnya, mungkin mereka sahaja yang kelihatan tergesa-gesa. Kakiku pula terasa berat benar mahu melangkah untuk turun dari pengangkutan awam ini untuk bersemuka dengan Mr. Reev. Dengan langkah yang longlai aku menuruni anak tangga bas tersebut. Sebaik aku berpaling kearah bahagian hadapan bas, Mr. Reev sudah tercegat berdiri sambil bercekak pinggang disitu. Pagi ini lelaki itu nampak kemas dengan sehelai kemeja berlengan panjang berona hitam yang dilipat hingga ke siku. Dipadankan pula dengan sepasang seluar khakis juga rona yang sama. Acah-acah macho, lah tu dengan spec hitam dia tu, gumamku sambil tertunduk-tunduk berjalan mendekati lelaki itu. Tdak sampai jarak sekaki, aku berhenti. Kepala masih memandang ke lantai bertar di bawah telapak kakiku. 

"Kau, pakai macam ni?" tegur Mr. Reev. Aku memuncungkan mulut sebentar. Entah kenapa sakit pulak hati mendengar komen lelaki itu. Aku mengangkat wajah. 

"Habis tu, kena pakai macam kau ke?" tempelakku pula. Aku lihat Mr. Reev mengemamkan bibirnya. Panas hati? Rasakan! Lelaki itu berpaling dan terus melangkah menuju ke arah kenderaannya. Aku mengeluh di dalam hati. Jeep ni lagi. Dah, lah tinggi... Setelah bersusah payah berpaut dan mengambil langkah yang maha luas untuk mendaki kenderaan tersebut, akhirnya aku berjaya duduk di sebelah tempat duduk pemandu. Hairan juga bagaimana aku mampu duduk disitu beberapa minggu lepas. Mungkin kerana dibantu oleh Mr. Reev. Malah, keadaan aku ketika itu juga bagaikan orang yang mamai. Mudah sahaja disorong ke sana ke mari. Sejenak aku mengerling Mr. Reev disisi. Lelaki itu buat dunno aje dengan memandang ke hadapan sambil tangannya bersiap sedia untuk memasukkan gear. Aku mengutuk di dalam hati. Entah kerana bengang atau sentap, aku fikir lelaki ini sengaja mengenakanku. Bukan main laju lagi Jeep itu dipandunya. Kedua belah tanganku kemas berpaut pada tali pinggang keledar. Sudahlah hanya cermin depan sahaja yang menjadi cover, kiri, kanan dan belakang bukan main ganas lagi angin mengasak masuk. Seperti mahu melayang tubuh jika tidak kerana adanya tali pinggang keselamatan ini. Beberapa kali aku menghantar jelingan maut kepada lelaki itu. Dia buat selamba sahaja. Langsung tidak terkesan dengan situasi yang sedang aku alami. Barangkali memandu selaju begini memang kegemarannya. Setengah jam kemudian, kenderaan yang dipandu memasuki kawasan pusat bandar. Pandanganku tetap dihadapan seperti mata lelaki disebelahku ketika ini. Aku enggan bertemu mata dengan pemandu ataupun penumpang disebelahku. Hanya jenis kenderaan yang dinaiki oleh kami satu-satunya yang kelihatan diatas jalan raya. Sudahlah tudung yang aku kenakan kusut-masai, menjadi tumpuan segelintir pengguna jalan raya pula tu. Hisy, lelaki ni... Attention seeker, betul! Aku mendiamkan diri apabila Mr. Reev memasuki lebuh Alor Akar. Sepertinya, lelaki ini tahu arah tuju perjalanannya. Setelah membelok masuk ke sebatang jalan yang akan membawa kami ke kawasan rekreasi Teluk Cempedak, Mr. Reev membelokkan kenderaan ke kanan. Beberapa simpang diambil dan kami berhenti disebuah kawasan perumahan bertaraf sederhana. Mr. Reev memarkirkan kenderaan dihadapan sebuah banglo berwarna putih. Sebaik Mr. Reev mematikan enjin kenderaan dan turun darinya, aku tetap beku ditempat dudukku. Aku tidak pasti ke mana aku dibawa pergi. Ke rumah siapa? Jangan-jangan... 

"Turun! Kalau kau tak turun aku angkat kau." gertak Mr. Reev sambil berjalan mendekatiku dan membukakan pintu kenderaan. Aku tidak mampu bersuara. Rasa gementar yang aku pendamkan sudah memunculkan diri. Seriau pula memikirkan tujuan utama lelaki itu membawa aku ke situ. 

"Ni, butik baju. Aku tak main-main. Lagipun kita dah tak ada masa ni. Kau turun sekarang!" desak Mr. Reev lagi dengan suara yang sedikit menekan. Aku tetap tidak berganjak. Hanya gelengan menjadi jawapan. Tidak sabar menghadap karenah aku, Mr. Reev mengeluarkan sebiji telefon dari poket belakang seluar yang dipakainya. Dia mendail nombor seseorang dan butir bercakapannya langsung tidak aku dengari. Terlalu perlahan! Tidak berapa lama kemudian pintu pagar rumah tersebut terbuka sendiri. Aku menelan air liur. Belum sempat fikiranku membayangkan perkara yang tidak diingini, keluar seorang gadis comel yang masih muda dengan satu senyuman yang mekar. 

"Mr. Reev! " seru gadis itu dengan senyuman tidak lekang dari bibir. 

"Ada apa ni?" soalnya setelah menyedari kehadiranku yang masih berada di atas kenderaan. 

"Dia tak percaya ni butik." jelas Mr. Reev tanpa memandang kearahku. Entah kenapa aku pula yang berasa serba salah apabila ditunding begitu. Padahal pendirian aku itu berasas. Keselamatan bukan perkara enteng. Walaupun dalam keadaan hari yang siang, kejadian jenayah tidak mengira tempat dan waktu. Gadis itu datang dekat disisiku. Terasa kerdil sahaja ketinggian gadis itu apabila berada disisi kenderaan tinggi ini. Aku membatukan diri. 

"Cik, ini memang butik, lah." kata gadis muda itu dengan lemah-lembut. Aku masih tidak berganjak. 

"Sebenarnya, ada beberapa banner dan papan tanda. Tapi, butik kami sedang diubahsuai diluarnya, sebab tu tak nampak macam sebuah butik, kan?" tambah gadis itu lagi. Aku mengamati dengan pandangan yang liar ke setiap ceruk halaman yang mampu aku tinjau. Memang benar kata gadis itu. Terdapat tangga, sebukit kecil pasir dan beberapa peralatan yang digunakan untuk kerja-kerja bertukang. Dari gerak hati aku, gadis comel itu nampak seperti seorang yang bersopan santun dan berbudi bahasa. Aku merungkaikan tali pinggang keledar. Kemudian aku terjun sahaja dari kenderaan itu. Senang sikit. Sekali lagi aku lihat Mr. Reev merapatkan dua ulas bibirnya hingga menjadi satu garisan yang lurus. Gadis comel itu terus sahaja mempersilakan kami untuk masuk. Walau aku bersetuju, bola mataku tetap berwaspada. Mengawasi persekitaran disekelilingku dengan harapan tanda-tanda bahaya dapat aku kesan lebih awal. Sliding door terbuka lebar. Kami disuruh membuka kasut. Sandal jenis flat yang berona ungu gelap aku tinggalkan diluar. Sebaik menjengah ke dalam banglo dua tingkat tersebut, aku termalu sendiri. Benarlah seperti dikata. Banglo itu bukanlah sebuah kediaman. Ianya memang sebuah butik pakaian. Aku tersenyum simpul apabila gadis comel itu melirik kepadaku dengan sebuah senyuman berpuas hati kerana keraguanku sebentar tadi langsung tidak munasabah. 

"Panggil saya, Sheila. Cik nak cari pakaian apa?" tanya gadis itu kepadaku. Aku terpinga-pinga jadinya. Bila masa pulak aku datang ke sini untuk beli baju? Aku tukang escort aje. Seakan dapat membaca fikiranku Mr. Reev segera mencelah. 

"Carikan dia pakaian yang sesuai untuk jamuan tengah hari." beritahu Mr. Reev. Seperti memahami dengan kehendak dan kemahuan pelanggan, Sheila terus menganggukkan kepala lantas beredar ke arah beberapa barisan gantungan pakaian. Aku mendekati Mr. Reev yang berdiri tidak jauh dari kedudukanku. 

"Jamuan apa ni?" soalku. 

"Makan-makan. Dekat sini je. Habis majlis, selesai kerja kau." sahut Mr. Reev tanpa membalas pandanganku. Tak habis-habis jual mahal. Kalau murah pun tak laku, lah. Aku tak minat nak beli, gerutuku di dalam hati. Jadi, inilah kerja yang perlu aku laksanakan tu? Bersungguh-sungguh lelaki ini mengingatkan hingga perlu menyerang aku di pejabat. Penting sangat ke majlis tu? Aku menjeling kearah lelaki itu buat kesekian kalinya dengan perasaan sebal. Dari menatap wajah garang dan serius itu, baik aku mencuci mata. Sukar sekali untuk bertemu peluang menjenguk ke dalam sebuah butik pakaian. Apabila sudah berada di dalamnya, apalagi, teruja dicampur kebingungan pula aku dibuatnya. Terlalu banyak fesyen pakaian yang dipamerkan. Memang kelabu mata dibuatnya. Mr. Reev pula diam sahaja sambil tercegat berdiri dengan kedua belah tangan menyeluk poket seluar. Melihatkan tiada reaksi dari lelaki itu, aku mendekati rak pakaian yang berdekatan denganku. Menyibukkan fikiran yang padat terhadap niat lelaki itu dengan tenggelam di dalam lautan pakaian yang mempesonakan mata. 


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Kay Zaaraa