Home Novel Cinta Jadi Isteri Aku, Mau?
Jadi Isteri Aku, Mau?
Optimus Prime
24/9/2019 22:03:06
3,614
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 15

CAMELIA melabuhkan duduk di bangku. Aiman memintanya supaya menunggu di situ. Katanya ada hal penting nak dibuat. 

Kepalanya dipicit. Sakit kepalanya semakin menjadi-jadi. Sejak Aiman mengumunkan bibit-bibit cinta yang bertepuk sebelah tangan dari Aiman kepada Sarah telah berputik, sejak itulah tidurnya tak lena. Fikirannya runsing.

Ikut hati nak aje dia pengsankan Aiman dan bawak pergi ruqyah. Degil, langsung tak nak dengar nasihat.

Dia bukan nak mengongkong. Dia cuma tak mahu Aiman disakiti.

Sakit kepalanya makin menyucuk-nyucuk. Camelia menyandarkan kepalanya ke dinding. Pejamkan mata, berehat sambil menunggu kedatangan Aiman. 

Wajah yang kelihatan lesu itu ditatapnya lama. Dari tadi lagi Rizqi mencari Camelia. Entah kenapa kalau sehari tak pandang Camelia depan mata, dia bagai nak gila. Fakulti cik bunga sekarang sudah jadi rumah keduanya.

Bukan Rizqi pengecut, takut nak pergi tegur. Dia malas sebab dia tahu Camelia takkan sambut dia dengan tangan terbuka. Dia bukan boleh kalau ditolak, mulalah nak memberontak. Buat Camelia makin bencikan dia aje. Jadi baik begini.

Dia perasan Camelia nampak sedih beberapa hari ni. Tak tahu kenapa. Mengikut firasatnya Camelia patah hati sebab si badak tu tolak pernyataan cintanya.

Memang perasan bagus betul si Seman tu.

Padan muka Camelia. Orang hebat macam dirinya ni ditolak mentah-mentah. Yang tak cukup jantan tu jugak nak dibuat boyfriend. Kan dah makan hati. 

Baru aci, sama-sama makan hati. Ni tak dia sorang aje yang frust menonggeng. 

Rasakan karmanya sebab telah gagalkan cinta pertamanya!!!

Tapi sakit hati pulak tengok Camelia bersedih. Rasa berkobar-kobar dalam dada nak bagi bahunya untuk Camelia bersandar. Rasa berkobar-kobar jiwa nak bawa tubuh itu ke dalam pelukannya. Nak pujuk bukan nak menggatal. Kalau ada pun sikit aje niat serong tu. Hehehe…

Tidur ke? Dari tadi Camelia tak bergerak-gerak.

Dia tak kisah Camelia nak jadi sleeping beauty, itu pun kalau di atas katilnya. 

Tapi masalahnya kalau jadi sleeping beauty kat tengah ramai-ramai orang ni, memang dia kisah. Terlalu kisah!!!

Wajah cantik itu mengundang jantan-jantan hodoh yang tak sedar diri merenung cik bunganya dengan pandangan yang buat darah dia menyirap. 

“Ni aku nak amuk besar-besaran ni. Dasar jantan-jantan tak guna. Berani kau tenung girlfriend aku. Dah puas hiduplah tu.” 

Mana dapur? Dia nak sembelih sorang-sorang buat lauk kenduri majlis perkahwinannya dengan Camelia. 

Rizqi keluar dari tempat persembunyiannya. Berdiri dengan gagah dan tanpa gentar mengibarkan bendera perang. Tak perlu keluarkan sepatah kata, hanya dengan pandangan mata, makhluk-makhluk gatal tersebut bertempiaran lari. Yang nak lalu pun siap pusing cari jalan lain. 

Tahu pun takut. 

“Hesy, cik bunga ni pun macam dah tak ada tempat lain nak tidur. Meh sini tidur dalam pelukan abang.” 

Belum sempat Rizqi mendekati Camelia, muncul Aiman yang berlari-lari sambil memanggil nama Camelia. Terus dia masuk ke tempat persembunyiannya semula.

Camelia mula terjaga bila namanya diseru-seru. 

“Mel, dia dah terima aku. Aku happy sangat Mel. Happy sangat!” ucap Aiman dengan nada teruja yang amat.

“Mel, aku nak peluk kau!” Aiman mendepangkan tangan dan dengan sepantas kilat ada tangan gagah menolak tubuh besar Aiman.

“Aduhhhh!” jerit Aiman yang kini sudah terdampar di lantai. 

Camelia berpaling melihat gerangan yang memperlakukan Aiman dengan begitu kurang ajarnya.

“Kau!” Nafas Camelia kedengaran keras akibat terlalu marah. Dia memandang tubuh yang menjulang tinggi di depannya penuh dendam. Langsung tak gentar dengan muka bengis Rizqi.

“Kau memang tak guna!” Camelia menampar wajah Rizqi sekuat hati. Sakit hatinya bila orang menyakiti Aiman. 

Rizqi memegang pipinya. Sakit dari tamparan itu bukan apa-apa. Tapi sakit hatinya bukang kepalang. Camelia dah menyakiti maruahnya. Menyakiti hatinya. 

Sampai hati Camelia menamparnya. Penumbuknya digenggam kuat. Rahangnya bergerak-gerak menahan berjuta kemarahan yang meledak-ledak dalam diri. Wajah Camelia ditenungnya tajam bagai mahu ditelan.

Menggigil tubuh Camelia dengan panahan mata Rizqi yang seakan mahu membunuhnya. Baru sekarang rasa takut menjalar ke segenap tubuhnya. Kalau dibalas dengan pelempang tangan gagah itu, memang hidupnya berakhir hanya sampai di sini.

“Kau…” Bergetar hebat tubuh Rizqi menahan marah. Berkali-kali diingatkan dirinya yang orang di depannya ini adalah Camelia. Perempuan yang dia suka. Sesaat aje dia lupa memang Camelia lunyai di tangannya. 

Aiman bergegas melarikan diri. Dia takut. Betul-betul takut.

Tersenyum sinis Rizqi dengan tindakan Aiman yang sanggup melarikan diri meninggalkan Camelia seorang diri berdepan dengan masalah. Lelaki pengecut seperti itu yang Camelia mahukan?!!

Sepatutnya tadi dia tendang aje jantan separa cukup tu. Biar lepas segala sakit hatinya. Dasar tak guna. Tolak sikit pun dah rebah. Ada hati nak peluk Camelia. 

Yang buat dia tak puas hati kenapa Camelia tak marah bila nak dipeluk? Sedangkan dia yang menyelamatkan Camelia pula dihadiahkan tamparan. 

Atau di antara mereka berdua sudah lebih dari sekadar pelukan?!!

Mungkin.

Camelia kan cintakan jantan patah tu. Orang kalau dah jatuh cinta sanggup buat apa saja. Termasuk dengan menyerahkan diri. Memikirkan itu amarahnya makin berapi-api. 

“Arghh, damn it!!!” Rizqi bertempik macam orang hilang akal. Kerusi panjang yang berada berhampiran dengannya ditendang sekuat hati. Patah riuk jadinya.

Camelia terkejut bukan main. Jantungnya bagai nak putus. Dadanya sesak. Pandangannya mula kabur.

Rizqi mendengus keras. Wajah ketakutan Camelia direnung sekilas. Rambutnya diramas kasar. Baik dia pergi sebelum dia menggila lagi. Kemarahannya masih menggelegak. Sakit hatinya masih tak hilang.

Itu pun dah cukup bersyukur kerusi tu yang jadi mangsa kegilaannya. Kalau Camelia… 

Pasti dapat kecacatan kekal gamaknya. 

Bila Rizqi hilang dari pandangan, Aiman mula mendekati Camelia yang kaku tak bergerak.

“Mel, kau okey?” 

Camelia menggeleng dengan air mata yang luruh laju. 

“Mel, muka kau pucat sangat ni. Aku minta maaf tak dapat lindungi kau. Aku takut…” 

Bukan kudratnya untuk melawan abang wrestler. Aiman tahu semua ni jadi sebab abang wrestler cemburu. Dia bukan betul-betul pun nak peluk Camelia. Hubungan dia dengan Camelia bukan jenis bebas macam tu.

“Mujur kita tak patah riuk macam kerusi tu…” Aiman bergenang air mata. Dia terlalu takut. Tak pernah-pernah tengok orang amuk live depan mata.

Tubuh Camelia bergetar hebat. Kakinya mula longlai. Takut! Ya, memang dia terlalu takut. Hanya orang gila saja yang tak takut dengan adegan yang terjadi sesaat tadi. 

“Mel!” jerit Aiman bila tubuh itu menggelongsor jatuh ke lantai.


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Optimus Prime