1,114
Kategori:
Genre:
Senarai Bab
Bab Satu

Description: c:\users\user\onedrive\documents\aiman 2.jpg

                                                  HANDSOME JUGA  ENCIK TUNANGKU

                                                                                 SATU

LENGUH sudah kakinya melangkah ke sana sini. Banyak juga barang-barang yang hendak dicarinya. Dia menyelak lengan bajunya. Direnungnya jam pada pergelangan tangan. Berkerut dahinya seolah tidak percaya dengan pandangan mata.

“Dhira…” panggilnya pantas. Sahabat yang sudah melangkah agak jauh ke hadapannya, menoleh pantas. Dhira mengangkat kening.

“Wei, dah lewat ni.” Sungutnya.

“Lewat apa? Baru jam 3.00 petang.” Balas Dhira, bersahaja wajahnya.

“Wei, kita belum solat Zohor ni. Asyik membeli belah aje ni. Masa beredar pun tak sedar.”

“Oh ya…!” Dhira menepuk dahi. “Aku ni ABC, sebab tu, tak teringat langsung dengan waktu solat.”

A – Allah B – Bagi C – Cuti

“Itu kau. Bukan aku. “

“Kalau macam tu, kau pergilah solat dulu. Aku tunggu kat sini.” Dia menghulurkan troli yang sudah separuh dipenuhi dengan barang-barang dapur ke arah Dhira. Dia pantas melangkah ke hadapan degnan tergesa-gesa. Tanpa menoleh ke arah Dhira.

“Myla...” tiba-tiba Dhira memanggil. Dia tidak menoleh. Hanya melajukan langkahnya.

“Myla...” Dhira melaung lagi. Namun, langkah sahabatnya yang dipanggil Myla itu sudah hilang dari pandangan. Cepat benar dia melangkah. Gadis itu memang begitu. Bila sudah melangkah ke hadapan, jangan harap untuk dia menoleh ke belakang lagi. Mungkin dia tidak sempat mendengar namanya disebut, atau mungkin juga dia sudah terasa lewat untuk menunaikan waktu yang difardhukan ke atasnya. Solat Zohornya mesti ditunaikan segera. Kalau tidak, pasti masanya akan terus berlalu. Myla memang tidak suka masanya terbazir begitu sahaja. Dia terus tergesa-gesa menghilangkan diri.

Dhira menggeleng. “Hisyh, budak bertuah. Kalau dah melangkah tu, bukan boleh berpaling ke belakang lagi. Laju macam pelesit.”

Gadis bertubuh kecil dan bertinggi lampai itu terus hilang dari ruang matanya. Bayangnya pun sudah lesap. Dhira tersengih sendirian. Sambil dia menggeleng tanpa mampu bersuara apa-apa.

“Myla... Myla...” keluh Dhira lalu mencari tempat duduk untuk menantikan urusan solat sahabatnya itu selesai dilakukan.

Myla terus mencari arah. Dia tahu, pusat membeli belah sebesar itu sudah pastilah ada disediakan surau untuk muslim bersolat. Pantas matanya mengintai ke sana sini untuk mencari surau. Dilihatnya ada lambang surau di lorong tersebut. Hatinya lega. Itulah kali pertama dia singgah untuk membeli belah di situ. Selalunya dia akan membeli belah di tempat lain. Entah kenapa kali ini, IKEA menjadi pilihan Dhira. Mahu atau tidak dia terpaksa mengalah. Kalau tidak muncunglah jadinya sahabatnya itu. Dia bukan suka untuk ke situ. Sementara Dhira pula memang suka ke situ sebab ingin menjamu seleranya yang memang terpancing dengan makanan western di situ. Dhira memang ketagih makan meat ballyang enak di situ.

“Ha, ada pun.” Senyumnya melebar ketika matanya tertancap pada lambang surau.

Dia pantas berwuduk. Kemudian, dengan segera dia mengatur langkah ke dalam surau tersebut. Pantas, dikeluarkan beg kecil yang mengandungi telekung solatnya. Lalu, dengan cekap jari jemarinya merungkai selendang yang melitupi kepalanya. Disarungkan telekung solat ke kepala. Kemudian, dicapai stoking lalu disua pada kaki. Selesai menutup aurat, dia mula bersolat.

Seperti biasa. Selesai solat, dia berdoa. Panjang doanya memang macam selalu. Banyak permintaannya. Banyak pengharapannya kepada Allah. Dia akan cuba sedaya upaya untuk berdoa sebaik mungkin pada setiap kali dia selsai bersolat. Minatnya, harapannya malahan impiannya diadunkan bersama dengan sepenuh pengharapan.

Tapi kali ini, doanya rasa terganggu. Beberapa kali, dia terdengar daun pintu surau itu dibuka. Kemudian, ditutup kembali. Tidak lama kemudian, dia terdengar lagi daun pintu surau itu ditolak oleh seseorang. Berkali-kali dia terdengarkan situasi itu. Sehingga dia rasa terganggu dengan keadaan itu. Namun, dia tetap tidak menghiraukannya. Dia tetap berdoa dan berdoa sehingga hatinya puas seperti selalu dia berdoa setiap kali selepas solat.

Kenapa daun pintu surau itu ditolak, kemudian ditutup kembali. Namun, tidak ada sesiapa pun yang masuk ke dalam untuk bersolat. Hatinya digaru oleh sejuta pertanyaan.

Pelik!?

Sesekali dia geram. Manalah tahu ada orang yang sengaja buat bising di surau itu.

“Memang tak tahu nak hormat orang solat betullah!” gerutunya geram. “Kalau tak nak solat kenapa buka dan tutup pintu? Hisy, nak main-main, pergilah main kat lain!”

Dia melipat semua pakaian solatnya lalu dimasukan ke dalam beg kecilnya. Kemudian, dia mengenakan semula tudung kepalanya. Diintai ke sana sini, tidak ternampak cermin untuk dia melihat diri. Lalu dia memakai tudung tersebut tanpa bercermin. Pantas dia menyarung kakinya dengan alas kaki yang ditinggalkan di luar surau itu. Ketika dia menolak daun pintu surau itu untuk keluar, dahinya berkerut.

Liar pula matanya mererenung ke arah hadapan. Beberapa orang lelaki sedang berdiri di luar surau itu. Kesemua mata lelaki yang berada di situ sedang merenung ke arahnya. Ada yang sedang tersenyum, ada pula yang memandangnya dengan pandangan aneh dan hairan. Tidak kurang pula yang melihatnya berkali-kali sambil merenung Myla dari atas ke bawah. Dari bawah ke atas.

Dahi Myla dikerutkan. “Eh, kenapa tengok-tengok?”

Semua mata lelaki yang ada di situ terus merenung Myla.

“Macam tak pernah tengok orang!” muncung Myla sudah mengalahkan muncung itik yang hendak menyudu makanan. Dia rasa geram bila semua mata lelaki di situ asyik memandang ke arahnya beramai-ramai begitu. Macamlah dia sudah buat salah! Dia tidak suka bila direnung beramai-ramai begitu!

Semua mata yang menghala ke arahnya, sepertinya tidak pernah melihat perempuan.

“Kenapa pula ramai lelaki kat sini?” soal hatinya. Dikecilkan matanya membalas pandangan lelaki-lelaki yang sedang merenungnya. Konon, memprotes dengan sikap liar lelaki-lelaki tersebut. Mya tidak suka dibuli terus tunjuk garang.

“Takkanlah aku ni cantik sangat mengalahkan Miss World hinggakan dia orang tu asyik merenung aku semacam? Ni, dah mengalahkan Neloofa yang cantik dan cun melecun tu agaknya.” Gerutunya di dalam hati. “Jangan nak menggatal dengan aku laa wahai lelaki! Aku tahu kau orang mesti gatal-gatal mata semua tu....!”

“Awak ni, lelaki ke?” tiba-tiba ada seorang anak muda menegurnya dengan selamba. Mata anak muda itu merenungnya nakal. Sambil itu dia tersenyum penuh makna. Wajah Myla dipandang lama.

“Lelaki?” Myla mengerutkan dahinya. “Awak nampak saya ni macam lelaki ke? Ha, bertudung dan blause yang feminim macam ni, ada rupa lelaki ke?”

“Atau awak nak cakap saya ni...” Kesemua lelaki yang ada di situ terus tersenyum. Nakalnya pandangan dan senyumannya mereka. Myla semakin rimas dan geram.

“Awak tengok orang tu pakai mata, tak?” suara Myla sedikit meninggi bila dipersoalkan jantinanya. Matanya mencerlang ke arah anak muda itu.

“Memanglah kita orang pakai mata nak nengok. Tapi, kut-kut awak yang tak pakai mata...” sampuk salah seorang lelaki yang ada di situ.

“Kalau awak tu bukan lelaki, ha, baguslah. Tapi cuba baca tu...” jari anak muda itu diluruskan ke arah tanda pada pintu surau tersebut.

Membulat mata Myla. Dia meluruskan pandangan ke arah yang dimaksudkan.

“Hah?” hampir tercabut rasanya biji mata Myla ketika itu. “Masha Allah....!!!” dia menepuk dahinya dengan tiba-tiba.

“Hah, itulah sebabnya kami kaum Adam ni tak jadi nak masuk ke dalam surau. Sebab awak tu kaum Hawa yang tersalah parkir. Jadi, kami hormatilah awak agar tak berlaku perkara buruk. Faham?” ujar anak muda itu dengan senyum yang melebar hingga ke pipinya.

“Maaf, maaf...!” pantas langkahnya dilarikan dari situ dengan segera. Rasanya dia ingin segera hilang dari pandangan kesemua lelaki di situ.

Malunya! Ya, Allah, kenapalah aku ini cuai sangat? Macamana aku boleh rabun hingga tidak boleh bezakan antara surau lelaki dan perempuan. Malu, malu, memang sangat malu....!

Dia ingin ketawa. Ingin menangis pun ada. Dia berlari pantas agar lelaki di situ tidak sempat mengingati wajahnya. Namun,segalanya sudah terlambat. Pastilah wajahnya telah terakam dalam minda kesemua mata lelaki di situ.

“Hisy....cuai betul aku!” sungutnya lagi. “Patutlah pintu dibuka dan ditutup. Rupanya aku yang bersalah! Macam tak ada mata!”

Langkah kaki Myla terus melaju dan melaju. Matanya meliar mencari sahabat sejatinya, Dhira.

“Hisy, Myla, kau memang betul-betul cuai!” berkali-kali Myla bersungut sendiri.

HA, HA, HA, HA...

Ketawa Myla dan Dhira hampir memecahkan isi perut mereka berdua.

“Macamana kau boleh tersasul sampai masuk kawasan larangan tu, Myla?” sambil mengesat kelopak matanya berair, Dhira menyoal. Dia ketawa dan terus ketawa. Berkali-kali dia mengesat kelopak mata. Lucu benar! Myla menggeleng beberapa kali.

“Entahlah. Agaknya aku dah jadi rabun kut. Tak pasal-pasal aku boleh tersesat di surau lelaki. Beribadatlah konon! Mujur aku tak kena cabul kat situ, kan?” jawab Myla sambil ketawanya tersembur lagi.

“Ha’ah. Teruk betul kau ni, Myla. Aku ingat, aku aje yang tip top dengan sikap terburu-buru. Rupanya kau lagi teruk. Sudahlah kawasan tu bahaya untuk kaum wanita, kau boleh selamba beribadat di situ ya?” perli Dhira dengan ketawanya yang masih menyisa. “Wah, wah, wah! Dahsyat betul kau ni, Myla. Pecah rekod aku ni dengan ketersasulan kau tu!”

‘Masa aku tengok semua kaum Adam tu jeling dan renung kat aku, punyalah aku ni perasan, Dhira?” sengih Myla.

“Ha, kau perasan apa?” membulat pula mata Dhira.

“Aku ingat, aku ni cantik....!” tersengih lebar bibir Myla.

“Hah?”

“Yalah, tak ke kau perasan kalau semua mata lelaki tu asyik pandang kau semacam? Tentulah aku rasa aku ni cantik hinggakan mereka renung aku sampai tak berkelip. Masa tu, aku rasa aku ni lebih cantik dari Neelofa atau Maya Karin, tahu? Aku agak mereka dah terpegun dengan kecantikan aku masa tu....”

“Hah, terpegun?”

“Iyalah, semua mata yang memandang aku tu nampak terpesona semacam!” Myla ketawa mengekek. Panjang tawanya itu berselang dengan suara nakalnya.

“Uweeeek!!!” Dhira berlagak seperti mahu muntah. “Macam Neelofa laa sangat! Macam buah kelapa tua adalah....!”

“Aku terperasan yang aku ni lebih glamour dari Emma Maembong tu, tahu?” tersengih lebar lagi bibir Myla. “Rasa macam cantik sangat masa tu...”

“Cheh! Rupa-rupanya tersalah masuk, kan?”

“Ha’ah....!” balas Myla. “Malunya aku hanya Allah sahaja yang Maha Tahu....!”

Dan, ketawa mereka terus berderai.

“Itulah, lain kali, kalau ada mata tu, tengok! Jangan nak jadi mata petai. Tak tahu guna pemberian Allah betullah kau ni! Cuai mengalahkan nenek aku yang nyanyuk tu!”

Myla terus ketawa lagi. Perutnya ditekan menahan lucu.

“Ah, sudah! Aku dah lapar. Jom, kita cari rezeki. Dekat food courtsana!”

Myla mengangguk.

“Cepat sikit , perut aku dah menyanyi lagu keroncong ni.”

“Yalah....!”

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh