Home Novel Cinta Kau Lupa Itu Aku
KLIA 50

"Sayang... abang minta maaf okey. Abang dah buang dah gambar-gambar tu. Abang tak sengaja." Juma cuba memujuk Thia yang sedang melayani Jannah bermain dengan permainannya. Thia ternampak Juma sedang khusyuk melihat gambar-gambar dia dan Luth bersama dulu di dalam telefon bimbitnya. Siapa yang tak terkejut? Boleh simpan lagi gambar yang agak tidak menyenangkan itu?

"Tak perlu minta maaf. Sayang okey je." jawab Thia sambil mengacah-acah Jannah. Juma menggaru kepalanya yang tidak gatal. Kata tak marah tapi macam tengah marah sebab langsung tak pandang mukanya yang sedang berdiri disebelah.

"Sayang..." manja Juma sambil menggesel wajahnya pada bahu Thia. Thia hanya mendiamkan diri. Jannah mendepakan tangannya meminta Thia untuk mendukungnya. Juma mencebik apabila Thia tidak melayaninya. Dia bangun kemudian menghubungi abang kepada isterinya itu meminta pendapat untuk memujuk isterinya yang sedang merajuk itu.

"Padan muka kau. Siapa suruh simpan gambar-gambar tu lagi? Cari nahas kan." Juma mendengus apabila Luth mengekek tertawakannya di hujung talian.

"Aku minta tolong kau gelakkan aku..." Luth masih lagi ketawa.

"Okey. Okey aku tolong. Jom malam ni kita makan malam sama-sama. Dah lama tak makan sama-sama. Sebelum tu aku nak beritahu esok pagi aku dengan Aisyah nak bawa Hanna pergi kubur arwah Falia dengan Asfar."

"Kau dah beritahu Hanna ke? Dia faham ke?"

"Alhamdullilah. Faham agaknya. Nanti aku cerita. Aku nak drive ni balik rumah. Jaga adik aku tu! Jangan bagi dia bertambah merajuk."

"Yelah yelah."

Sebaik sahaja mematikan talian, Juma masuk ke biliknya dan melihat Thia sedang ketawa bersama Jannah. Kini anak perempuannya itu berusia 4 tahun dan memang seorang yang lemah-lembut dan pemalu seperti ibunya.

"Papa!!" panggil Jannah dengan nada teruja. Juma menerjah di atas katil bersebelahan Thia dan Jannah lalu menggeletek puterinya itu. Thia hanya memerhatikan suaminya itu melayani anak mereka itu.

"Jannah, cakap dengan mama, papa minta maaf dan papa sayang sangat dekat mama." bisik Juma pada telinga Jannah. Jannah menganggukkan kepalanya lalu menghampiri Thia yang sedang termenung.

"Mama...mama... papa cakap papa minta maaf dan papa sayang sangat dekat mama." bisik Jannah pada Thia. Thia menahan senyum apabila memandang wajah Juma yang acah-acah comel itu.

"Cakap dengan papa, masakan untuk mama, mama lapar." Jannah ketawa lalu menghampiri Juma lalu berbisik. Juma ketawa kemudian memeluk tubuh Thia erat. Mengekek Thia ketawa apabila Juma menggeletek pinggangnya. Jannah turut serta dengan duduk di atas tubuh Juma. Riang-ria suara mereka bergema di segenap ruangan bilik itu. Sungguh bahagia...

_____________________________________________________________________________

Tiga cilik itu berlari berkejaran sesama sendiri sebaik sahaja mereka bertemu. Suka sangat bila ada kawan untuk diajak bermain. Thia dan Juma datang ke rumah Aisyah dan Luth untuk menjamu makan malam bersama-sama. Thia membantu Aisyah menyiapkan hidangan makan malam manakala Luth dan Juma memantau anak-anak mereka bermain di halaman rumah. Malam itu angin bertiup sepoi-sepoi bahasa dan sangat menenangkan.

"Sakitlah!!" nangis Athtar apabila Hanna menolak tubuhnya sehingga jatuh terjelepok di atas rumput.  Sememangnya Hanna seorang kanak-kanak perempuan yang sangat lasak. Sekiranya jatuh langsung tidak menangis tetapi Athtar seorang yang sensitif dan cepat menangis.

"Dahlah awak... janganlah menangis.." pujuk Jannah sambil menarik lengan Athtar manakala Hanna masih lagi berlari keliling laman sambil ketawa langsung tidak kisah abangnya itu jatuh. Athtar mencebik kemudian memegang tangan Jannah masuk ke dalam rumah. Luth memanggil Hanna memandangkan hidangan makan malam sudah pun siap di atas meja.

"Wahhh! Sedapnya umi!" ujar Athtar dengan nada teruja. Dia mengambil tempat di sebelah Jannah dan Hanna.

"Baca doa makan. Ingat apa umi pesan." tutur Aisyah mengingati anak-anaknya itu. Athtar mengangguk lalu mengangkat tangan dan membaca doa makan dengan fasih sekali. Mal am itu adalah makan malam mereka sekeluarga. Pelbagai topik yang mereka bualkan terutamanya mengenai ibu dan ayah kandung Hanna. Mereka akan membawa Hanna ke kubur arwah ibu dan ayahnya pada esok pagi selepas sarapan. Thia dan Juma turut serta memandangkan esok hari cuti.

_______________________________________________________________________________

"Ibu... Ayah... Hanna datang ni. Ibu dengan ayah buat apa? Sihat tak? Ibu dengan ayah tak nak jumpa Hanna ke?" tersentuh hati Aisyah dan Luth mendengar percakapan si kecil itu yang masih tidak tahu tentang kematian. Aisyah mengucup dahi Hanna lembut. Wajah Hanna persis Asfar tika kecil. Dari raut wajahnya membuatkan Aisyah teringat akan kenangannya bersama Asfar.

"Ibu dengan ayah Hanna teringin nak jumpa Hanna tapi bukan sekarang. Suatu hari nanti. Hanna kena doakan untuk ayah dan ibu supaya Hanna dapat jumpa mereka nanti." terangguk-angguk kepala si kecil itu mendengar kata-kata Aisyah.

"Hanna sayang ibu dengan ayah. Umi dengan abi jaga Hanna baik sangat. Hanna sayang semua!" kata Hanna sambil tersengih. Aisyah dan Luth tersenyum mendengarnya. Tak sangka Hanna seorang yang petah bercakap dan sangat manja orangnya walaupun kadangkala lasak terutamanya bermain bersama Athtar. Luth mendukung Hanna kemudian masuk ke dalam perut kereta bersama Thia, Juma dan Jannah.

"Asfar... aku sentiasa doakan untuk kau dekat sana agar kau tenang dan ditempatkan di dalam golongan orang beriman. Semua kesilapan kau aku dah maafkan dan aku rindu kau, sahabatku. Hanna akan sentiasa aku jaga sampai akhir hayat aku dan takkan sedikit pun aku akan lupakan dia yang telah menjadi anak kandung aku sejak aku menyusukan dia. Aku akan ceritakan dan tunjuk gambar kau dan Falia serta semua kenangan kita bersama sewaktu kecil dulu. Aku pergi dulu, Asfar... Assalamualaikum..."

Aisyah bangun kemudian menyiram kubur Asfar buat kali terakhir kemudian dia berlalu pergi keluar menuju ke kereta.

"Walaupun dulu kau lupa itu aku yang sentiasa bersama kau ketika susah tetapi ingatan aku akan terus ingat sampai aku mati. Tenanglah kau, Asfar..."

____________________________________________________________________________

T A M A T .



Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh nurshaza