Home Novel Cinta Khas Buat Suraya Anne!
Khas Buat Suraya Anne!
kamika
3/2/2022 09:59:01
7,965
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 27

"Yaya, boleh ke abah kau duduk sorang-sorang dekat rumah tu?" soal Hanis sebaik menyertainya yang sedang duduk diruang tamu. Awal petang tadi dia tiba dirumah sewa dengan menaiki kereta api. Cuti selama dua minggu telah tamat. Dia bakal kembali bertugas pada keesokan hari.

"Aku tak pasti. Tapi aku tengok abah aku tu macam tak ada apa-apa. Sekarang ni banyak masa dia dekat surau. Setiap lima waktu tu tak pernah dia miss."

"Oo.. Eloklah macam tu. Aku pun risau jugak kalau-kalau abah kau sunyi ke.." luah Hanis. Dia menjungkitkan bahu. Fikiran mereka sama. Kelmarin lagi telah dibincangkan perkara itu dengan Encik Fauzi. Seandainya bapanya itu mahu, dia sanggup untuk berhenti kerja dan menemani bapanya dikampung. Namun Encik Fauzi menolak. Cuti tanpa gaji yang diambil oleh bapanya selama tiga bulan itu mahu digunakan untuk mendekatkan diri kepada Yang Esa. Malah, beria-ia menyuruh dia kembali berkerja daripada duduk dikampung untuk menemaninya. Kata bapanya, dia mampu menguruskan diri biarpun sendirian. Oleh itu, dia membuat janji untuk pulang ke kampung pada setiap hujung minggu. Dia tidak kisah berpenat untuk bapa yang dikasihi.

"Hmm.." sahutnya seperti belum yakin sepenuhnya dengan pendirian bapanya itu. Ketika terdengar gemerincing bunyi kunci, mereka berdua sama-sama menoleh ke arah pintu masuk

"Yaya dah balik ke?" tanya Kak Rin sebaik pintu ditolak dari luar.

"Ya.." sahut Suraya. Wanita itu bergegas menghampiri dan duduk disebelahnya. Bahunya dipeluk mesra. Haruman Lancome semerbak bertebaran. Wanita itu kelihatan anggun dan jelita mengenakan sepasang sut kelabu yang dipadankan dengan sehelai shawl berona coklat cair. Sebuah beg bimbit yang dipegang diletakkan di atas meja. Kebelakangan ini Kak Rin sibuk menguruskan hal ehwal penubuhan bisnes yang akan beroperasi tidak lama lagi. Kerjaya sebagai pramugari bakal ditinggalkan kerana wanita itu dan suaminya telah sepakat untuk menjalankan sebuah bisnes agensi pelancongan pula. Hanis yang duduk bertentangan tersengih.

"Takziah, Yaya. Maaf sebab tak dapat datang jenguk Yaya dan abah Yaya dekat hospital. Dua minggu ni schedule akak padat sangat." terang Kak Rin sedangkan sebelum ini wanita itu telah menjelaskan keadaannya dengan menghantar pesanan WhatsApp kepadanya setelah berita malang itu sampai kepada pengetahuannya.

"Takpe, kak. Yaya faham. Takde apelah." katanya pula sambil senyum sedikit.

"Abah Yaya, okay?"

Seperti Hanis, dia terharu kerana mempunyai seorang lagi teman yang mengambil berat akan dirinya.

"Inshaallah. Yaya harap okaylah."

"Orang lelaki ni memang macam tu, Yaya. Susah nak kesan perasaan dia. Diorang ni lagi kuat memendam perasaan berbanding kita tau. Kak Rin harap abah Yaya dan Yaya sendiri dapat jalani ujian ni dengan tenang. Lagipun, kak Rin pun pernah alami. Cuma akak kehilangan seorang ayah. Bukan ibu." cerita Kak Rin lagi. Suraya terpana. Hanis pula mendiamkan diri.

"Tapi, kalau bab move on tu Kak Rin tak pasti berapa lama diambil hinggalah mereka dapat terima realiti kehilangan tu dan menjalani hidup seperti biasa."

"Maksud akak?" soalnya ingin tahu. Bagi dirinya tiada perbezaan sama ada kehilangan ibu atau bapa. Kedua-duanya merupakan orang yang dikasihi dan disayangi.

"Macam akak.. Akak ambil masa beberapa minggu sebelum mampu menjalani hari-hari seperti sebelum ini. Yelah, jikalau tidak, setiap kali bangun tidur aje mesti menangis dulu sebab teringatkan arwah. Jadi, akak sibukkan diri dengan berkerja. Tapi tak bermaksud akak terus tak sedih selepas tu. Tiba hari-hari yang penting, ketiadaan ayah tu terasa sangat. Cuma bila kita sentiasa ingatkan diri untuk redha dengan ketentuan tu Inshaallah hari-hari yang kita lalui terasa tenang dan biasa-biasa saja." cerita Kak Rin panjang lebar. Khusyuk dia mendengar. Begitu juga Hanis saat dikerling temannya itu.

"Yaya pun doa dan berharap supaya Yaya dapat terima takdir ni dengan hati yang lapang dan dapat jalani hari-hari mendatang dengan tenang. Tapi tak semestinya terus melupakan. Yaya dapat rasa disalah satu sudut dalam hati Yaya ada satu tempat istimewa khas untuk arwah mummy." Dia berterus-terang lantas bahu terasa dielus lembut oleh Kak Rin disisi. Dilirik sebatas senyuman.

"Tapi, berbeza pula dengan mama akak. Dia tak macam akak bila hadapi ujian tu. Mungkin sebab pasangan dia, kan? Setahun tau masa yang diambil oleh mama akak barulah kitorang adik-beradik nampak mama move on. Kalau tak, terkadang nampak mama termenung dan tiba-tiba menangis. Mungkin sedang terkenang. Sedih, kan?" tutur Kak Rin lagi. Suraya terdiam. Dilayangkan pandangan ke arah Hanis sekilas. Gadis itu seakan terpaku mendengar kisah duka itu. Jauh nampaknya dia mengelamun. Dijatuhkan pandangan ke ribaan. Terfikir andai dia mampu menjadi seperti Kak Rin. Berjaya mengharungi episod lara itu dalam tempoh yang singkat. Bagaimana pula dengan bapanya? Adakah sama seperti mama Kak Rin? Rupa-rupanya bukan mudah untuk bangkit setelah melalui episod perpisahan alam ini. Ternyata apa yang tersangka milik kita bukanlah milik kita sepenuhnya. Dia berpeluk tubuh. Belasungkawa yang terlahir dari insan disekeliling seperti mengingatkan dirinya supaya sentiasa bersedia menerima takdir kehilangan. Terlupakah dia sebelum ini akan kenyataan itu?

"Dah berapa tahun ayah Kak Rin meninggal?" tanya Hanis secara tiba-tiba. Kak Rin tersenyum tipis. Reaksinya nampak bersahaja semacam soalan itu sudah biasa diajukan kepadanya.

"Lebih kurang tiga tahun yang lalu."

"Sekarang, mama Kak Rin macam mana? Tinggal dengan siapa?" soal gadis itu seperti ingin tahu segala-galanya tentang kisah hidup Kak Rin. Kak Rin tersenyum. Senang kerana diambil peduli.

"Mama okay. Dulu-dulu mama akak berniaga kecil-kecilan. Lepas arwah ayah takde, bisnes batik arwah, mama akak pula ambil alih. Dia tinggal sorang-sorang. Tak mahu tinggal dengan anak-anak katanya." ucap Kak Rin.

"Batik? Wah.." sahut Suraya tidak semena-mena. Sememangnya dia itu seorang peminat batik walhal hanya perkara asas tentang seni tradisional itu yang diketahui.

"Nantilah.. Senang-senang kita plan balik kampung akak, nak tak?"

Dia sengih sambil mengangukkan kepala. Hanis pantas menyahut tanda setuju.

"Tentu mama akak pun gembira kalau tahu ni.." sambung Kak Rin seperti dapat membayangkan sambutan ibunya terhadap dua orang gadis itu nanti. Masing-masing tiba-tiba menyepikan diri. Barangkali hanyut dalam lamunan yang tiba-tiba tercipta difikiran.

"Erm.. Korang nak tahu tak..?" ucapnya mengembalikan perhatian mereka kepada dirinya.

"Tak lama lagi aku akan kahwin.." umumnya dengan nada sedikit teragak. Belum sempat dia menghabiskan kata-kata, Hanis terlebih dahulu menerpa. Duduk rapat disisinya.

"Kau biar betul! Jangan main-main?" marah Hanis disertai riak geram dan jengkel.

"Yaya.. Yaya cakap apa ni? Main-main ke betul-betul ni?" soal Kak Rin pula. Dia menggelengkan kepala mengenang desakan yang diterima dari kanan dan kiri.

"Betul." sahutnya bersungguh-sungguh. Kak Rin dan Hanis berbalas pandang. Lama.

"Okay. Cuba cerita bagi kami berdua jelas." pinta Kak Rin. Dia menarik nafas yang panjang. Sebenarnya, sengaja dia pulang ke rumah sewa dengan menaiki kereta api tadi. Selain mahu menenangkan fikiran dengan melihat keindahan alam sepanjang perjalanan, diambil kesempatan itu dengan merenung akan kehidupan yang telah dilewati dan bakal dilewati. Sikit masa lagi dia bakal berkahwin dengan lelaki pilihan bapanya itu. Diam-diam dia merencana dan mengukur kebarangkalian kehidupan bersama lelaki itu. Bahagiakah dia nanti? Akan wujudkah perasaan kasih dan sayang kepada lelaki itu? Atau derita yang akan diperolehi? Tiada jawapan yang meyakinkan kerana keyakinan berdasarkan pengalaman sendiri belum dicapai.

"Abah pinangkan Dr. Adrian untuk aku."

"Apa???"

Hanis terjerit kecil hingga terasa bingit telinganya. Tidak menyangka berita itu benar-benar memberi kejutan yang besar.

"Dr. Adrian? Siapa Dr. Adrian?" celah Kak Rin dengan wajah yang kerut-merut.

"Bos Yaya. Jangan bimbang, kak. Muda dan handsome. Tapi, belum tentu dapat jamin kebahagiaan. Yaya, kau biar betul? Ceritakan dari A to Z. Sekarang!" Hanis bersuara cemas. Suraya mengangguk malas. Diceritakan peristiwa dari hari bapanya pulang dari hospital sehinggalah pada momen penting yang menyaksikan bapanya meminang lelaki itu dihadapannya. Sekali lagi dia merona hanya teringatkan peristiwa itu.

"Yaya, Yaya… Apa dah jadi ni? Yaya dah bercakap dengan abah Yaya?" soal Kak Rin berwajah simpati. Tiada lagi shawl dikepalanya. Sambil mendengar kisah darinya sebentar tadi dibuang tudung itu dari melilit dikepala. Rimas agaknya seharian dengan penampilan itu.

"Dah. Habis kering air mata tapi abah tetap dengan keputusan abah. Yaya tak mampu buat apa-apa. Jadi, Yaya ikut ajelah." jawabnya lemah. Kak Rin menggeleng. Tidak tahu apa yang patut diperkatakan. Hanis termenung. Antara percaya atau tidak menerima berita yang menggemparkan itu.

"Adrian kata apa?" tanya Hanis.

"Dia terima. Tapi mintak tempoh."

Hanis menepuk dahi.

"Aku tak tahu nak cakap apa, Yaya. Situasi kau betul-betul terbalik. Sempat lagi Adrian mintak tempoh. Tak ubah seperti gadis Melayu terakhir."

Hanis cuba berjenaka tetapi tiada sambutan. Malah dia turut mempamerkan senyuman kelat memikirkan keadaan kawan baiknya itu.

"Kak Rin tak berani masuk campur, Yaya. Sebab kalau dah permintaan orang tua ni jadi payah sikit. Lebih-lebih lagi kita anak perempuan dan abah Yaya memang ada hak menentukan siapa bakal suami Yaya," tutur Kak Rin memberikan pendapatnya.

"Yaya kenal rapat ke dengan bos Yaya tu?" soal wanita itu lagi. Dia menggeleng.

"Laa.. Kalau tak kenal macam mana sampai boleh meminang ni?"

Dia menjungkitkan bahu pula.

"Hanis.. Hanis kenal ke?" tanya Kak Rin tak ubah seperti seorang detektif.

"Tak berapa jugak. Sebab accident tulah baru kenal. Kalau tengok luaran nampak baik. Siang malam ada tolong Yaya dekat hospital." cerita Hanis pula. Suraya diam. Peristiwa lalu kembali terimbau. Dia tidak berani menyangkal akan kebaikan lelaki itu ketika dia berada di dalam kesusahan.

"Oh.. Patutlah.. Mungkin dari situ abah Yaya tengok dan berkenan."

Kak Rin meneka. Hanis mengangguk beberapa kali. Mula terpercaya dengan teori itu.

"Tapi tak sangka bos Yaya tu setuju, kan? Nampak sangat dia memang sukakan Yaya, lah. Kecil tapak tangan nyiru ditadahkan." ngomel Kak Rin lagi. Mendapat sokongan daripada Hanis. Tiada sesiapa di antara mereka berdua yang mengetahui dalam diam, Hanis memanjat sepotong doa kesyukuran di atas khabar itu. Dia percaya dan yakin dengan pilihan Encik Fauzi meskipun dia sedar teman baiknya itu tidak rela. Rasanya sesiapa sahaja yang berada disekeliling Suraya dan Dr. Adrian, menyedari betapa perhatian yang berlebihan jelas tertumpah daripada lelaki itu terhadap Suraya. Entah apa agaknya yang ada dalam kepala temannya itu. Walau sudah menerima layanan yang luar biasa, dia tetap tak sedar-sedar bahawa suatu harapan sedang ditadahkan oleh lelaki itu. Yaya, Yaya... Lurus betul, kutik hati kecil Hanis sambil merenung jauh ke arah teman tersayang. Suraya berwajah selamba. Tidak termakan dengan usikan tersebut. Malukah dia untuk bertemu mata dengan lelaki itu dipejabat keesokan hari? Ah, dia enggan memikirkan perasaan itu. Rasanya lebih elok merancang untuk duduk berbincang. Hasrat kecilnya agar lelaki itu memanjangkan lagi tempoh sebelum mereka berdua disatukan secara sah. Ya. Lagi panjang lagi bagus.

"Yaya.. Oi, Yaya! Berangan pulak.." seru Hanis. Dia tersipu setelah disiku oleh kawan karibnya itu.

"Apa?"

"Kak Rin tanya, bos kau tu umur berapa?"

"Entah. Tiga puluh, kot?"

"Apa nama penuh dia?" soal Kak Rin lagi.

"Entah. Dekat ofis semua panggil Dr. Adrian. Adrianlah, kot."

"Tinggal mana?"

Bahu dijungkit sedikit. Panjang gelengan kepala Kak Rin melihatkan jawaban yang acuh tak acuh daripada Suraya itu.

"Takpelah. Lepas kahwin nanti korang boleh kenal dengan lebih dalam." kata Kak Rin. Tak mampu berkata apa lagi mengenangkan perhubungan Suraya dan bakal suaminya itu terlalu jarang ditemui dizaman serba moden ini.

"Tak sangka kau lagi ekspres dari aku." getus Hanis. Serta-merta dia menoleh. Titisan jernih mula bergenang ditubir mata. Rupa-rupanya dialah yang terlebih dahulu merendahkan tali persahabatan itu ke tingkatan yang bawah. Setelah berkahwin nanti sudah tentulah perkahwinannya yang menjadi keutamaan. Namun, dalam diam dia berikrar untuk tidak mengabaikan hubungan mereka itu walau apa pun yang berlaku. Kedua tangan Hanis berlingkar dibahunya. Kemudian dirasakan sentuhan kedua dari Kak Rin pula. Dia membalas. Sama-sama mereka bertiga teresak kecil.

"Kak Rin sayangkan korang macam adik-adik sendiri. Sekarang semuanya nak bawak haluan masing-masing. Sekejap betul akak dapat bersama korang." ucap Kak Rin. Hanis mengangguk tanda setuju. Suraya bungkam. Meratapi dalam diam lapisan demi lapisan kekusutan yang terbeban.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.