2,706
Kategori:
Genre:
Senarai Bab
Bab 1

Markonah Murad

#########

Rakan-rakanku yang telah lama mengenali diriku suka mengusikku dan memanggil aku dengan gelaran 'Health Freak'. Ini kerana, apabila aku membeli belah, aku pasti akan memilih produk-produk seperti yogurt tinggi kalsium, susu tanpa lemak, air kurang gula dan bermacam-macam lagi. Aku begitu mengambil berat akan apa yang aku masukkan ke dalam tubuhku.

Namun, tanpa aku sedari, aku sudah melupakan tabiat pemakananku yang sihat itu dan mengambil gula yang berlebihan sejak kebelakangan ini.

Ianya bermula sejak Mac atau April tiga tahun yang lalu. Pada ketika itu, aku berada di semester yang ke enam dan aku perlu menghadiri praktikal selama empat bulan untuk melengkapkan jam kreditku sebelum bergraduasi. Ianya empat bulan yang cukup menyeksakan. Aku benar-benar berada dalam keadaan tertekan. Pada ketika itu, aku melupakan tabiat pemakananku dan mengatasi tekanan yang aku hadapi dengan makan dan minum tanpa henti. Selain dari karbohidrat yang aku ambil untuk sarapan, makan tengahari dan malam, aku akan mengunyah biskut, jeli, coklat, kacang, ais krim, biskut dan satu jag teh panas setiap hari sambil melakukan kerja-kerja yang banyak memberikan aku tekanan.

Tabiat ini berlarutan sehinggalah aku diterima bekerja di La Nona. Apa yang ada di dalam kepalaku adalah, 'Jika aku tidak dapat menggembirakan hatiku dengan kerja-kerja ini, sekurang-kurangnya makanan-makanan ini boleh menggembirakanku'.

Baiklah, aku tahu ramai yang tertanya-tanya kenapa tiba-tiba sahaja aku bercakap tentang hal ini. Sebab utama aku merapu berkenaan dengan hal ini adalah kerana kulit mukaku yang selama ini bersih telah mula ditumbuhi jerawat. Ianya mengambil masa yang lama untuk sembuh dan parutnya juga sukar untuk dihilangkan. Adakah ini disebabkan oleh gula?

Sesetengah orang berkata, sekiranya kandungan gula di dalam darah kita berada pada paras yang tinggi, kesan parut memang sukar untuk dihilangkan. Adakah ianya satu fakta atau pun mitos semata-mata? Bolehkah kandungan gula di dalam darah seseorang meningkat dengan mendadak dalam tempoh tiga tahun? Ah! Tolong!

##########

Aku berada di Kafe Dr Love, membaca satu posting yang ditulis untuk blog peribadiku. Sejujurnya, itu bukanlah topik yang ingin aku tulis pada awalnya.Sebaik sahaja membuka komputer, apa yang aku fikirkan adalah mengenai Markonah Murad dan Shazlin Shah. Namun, aku tidak boleh sewenang-wenangnya menulis mengenai dua wanita itu kerana akan ada pihak yang mula membuat spekulasi akibat dari satu pergaduhan besar yang terjadi antara mereka berdua.

Markonah Murad adalah ketua eksekutif di La Nona, sebuah syarikat kosmetik dan kesihatan yang terkenal di Malaysia. Shazlin Shah pula adalah penolong ketua eksekutif merangkap orang kedua terpenting di situ. Aku telah menjadi pembantu Shazlin selama lebih kurang dua tahun dan dalam tempoh itu, aku telah lama ingin menulis mengenai Markonah dan Shazlin di dalam blogku. 

Namun, setiap kali aku ingin menyusun ayat, aku merasakan ada sesuatu yang cuba menghalangku. Shazlin pernah berkata padaku, "Marina. Kau boleh tulis apa sahaja yang kau mahu tentang aku. Tetapi kau berhati-hati apabila kau mahu menulis tentang Markonah. Kau pun tahu siapa Markonah bukan?"

''Markonah adalah bos yang paling 'kejam' di Lembah Klang'' itulah yang sering diperkatakan di laman-laman blog gosip popular di internet.

Ramai yang bertanya kepadaku sekiranya aku tidak boleh menulis tentang Markonah, mengapa aku tidak tulis sahaja berkenaan dengan Shazlin?

Jawapannya mudah. Sekiranya aku menulis tentang Shazlin, aku pasti perlu menulis tentang Markonah. Aku tidak boleh lari dari menulis mengenainya kerana tiada satu hari yang berlalu di La Nona ditempuhi tanpa wajah dan bayangan Markonah yang dikatakan sebagai seorang bos yang 'kejam'.

Akan tetapi, 'kejam' itu adalah sesuatu yang subjektif. Dimataku, Markonah tidaklah seteruk seperti mana yang ditulis di laman-laman blog. Secara peribadi, aku berpendapat bahawa dia sebenarnya adalah seorang ketua yang baik. Dia mempunyai etika kerja yang mengagumkan. Pengetahuannya luas di dalam bisnes. Kepintaran dan kecekapannya diakui ramai orang. Cuma apa yang menjadi masalahnya dengan Markonah adalah sikapnya yang tidak boleh dijangkakan sejak lima tahun kebelakangan ini.

Walau apa pun jua yang dikata mengenai Markonah, aku cuba untuk menahan segala-galanya kerana jauh di sudut hati, aku berbangga dapat bekerja untuk Markonah. Setiap kali bercakap tentang bos dengan teman-temanku, aku dengan bangganya akan memberitahu mereka yang aku bekerja di bawah seorang wanita yang bernama 'Markonah Murad'. Kadang - kadang apabila difikirkan, aku berasa seperti si egois yang gila kerana sanggup menyeksa diri semata-mata untuk mengisi tangki egoku.

Tetapi itu bukanlah satu-satunya alasan mengapa aku bekerja di La Nona. Apa yang aku fikirkan pada ketika itu adalah, sekiranya aku ingin memulakan langkah untuk mengubah hala tuju kerjayaku, aku yakin nama Markonah dan La Nona sudah cukup kuat untuk memberitahu mereka yang aku mempunyai ‘Sarjana’ secara tidak rasmi di dalam bidang ini.

Seperti orang lain, aku mengejar visi dan bayangan-bayangan yang ada di dalam fikiranku. Itulah yang membolehkan aku bangun setiap pagi dan melangkah masuk ke La Nona walaupun terpaksa berdepan dengan Markonah. Setiap hari, aku memberitahu diriku supaya tidak mudah mengalah, fokus dan jangan simpan apa-apa pun di dalam hati. Itulah caraku menghadapi Markonah.

Aku tahu siapa Markonah, tetapi dia hanyalah manusia biasa yang memerlukan orang-orang sepertiku untuk memajukan syarikatnya.

Pada pendapatku, tindak-tanduk Markonah ada kena mengena dengan masalah peribadi yang melanda dirinya. Rumah tangga Markonah sebenarnya sudah lama berantakan. Anak-anak Markonah pula bermasalah. Aku dapat merasakan yang sikap Markonah ini muncul daripada kesedaran Markonah yang dia tidak mampu mengawal sesuatu yang disangkakan akan menjadi miliknya buat selama-lamanya. Dia tidak boleh menerima kenyataan yang dia sebenarnya telah hilang sesuatu yang telah lama berada di dalam genggamannya. Namun begitu, Markonah masih ingin merasakan yang dia boleh mengawal sesuatu. Sesuatu yang dimaksudkan itu adalah orang-orang bawahannya yang tidak akan mengatakan 'tidak' kepada segala kehendaknya. Namun, ia menjadi sesuatu yang kompleks kerana bagiku perasaan ‘ aku masih mampu mengawal’ itu telah berubah kepada ‘aku masih mampu mengawal dan mereka mahu dikawal’. Markonah seolah-olah merasakan yang pekerja-pekerjanya di La Nona berasa seronok apabila dikawal dan diperlakukan seperti murid sekolah rendah.

Bagi pendapatku, orang yang paling banyak menerima tekanan dari sikap Markonah itu adalah orang kedua terpenting di La Nona iaitu Shazlin. Jika Markonah dikatakan kejam terhadap orang-orang bawahannya, dia bersikap ultra kejam dengan Shazlin. Namun, Shazlin mempunyai tahap kesabaran yang tinggi. Dia tidak mudah melatah. Dia menganggapnya sebagai satu cabaran. Sebagai orang yang berhubungan rapat dengan mereka berdua, aku merasakan sikap ultra kejam Markonah terhadap Shazlin itu juga timbul dari perasaan cemburu Markonah terhadap wanita itu kerana hubungan baik Shazlin dengan datuknya Tuan Haris yang merupakan pengasas La Nona. Namun, mereka berkrisis di dalam senyap. Hanya yang rapat sahaja menyedari mengenai sikap ultra kejam Markonah itu terhadap Shazlin. Namun tiada apa yang boleh kami lakukan selain meminta Shazlin yang tabah itu sentiasa bersabar. Mana-mana air yang dijerang, pasti akan mendidih. Begitu juga halnya dengan mereka berdua dan pergaduhan yang aku sebutkan tadi merupakan kemuncak kepada krisis hubungan antara dua wanita itu.

Kemuncak krisis itu bermula apabila Markonah membatalkan kemunculan Shazlin dalam rancangan Wanita Hari Ini dan menggantikannya dengan anak saudaranya sendiri yang bernama Nora.

Aku masih ingat lagi hari di mana Shazlin memberitahu aku tentang pembatalan kemunculannya di TV3. Shazlin keluar dengan mata yang merah dan berair. Tanpa menoleh ke arahku, dia cepat-cepat masuk ke dalam bilik pejabatnya. Aku pantas bangun dan pergi mendapatkannya.

"Kenapa dengan kau ini Shazlin? Apa yang Markonah telah lakukan kali ini?"

“Markonah mahu gantikan tempat aku dengan Nora untuk temuramah dalam Wanita Hari Ini itu nanti...” Shazlin menerangkan apa yang terjadi kepadaku.

Aku terkejut dengan apa yang diberitahu oleh Shazlin kerana aku begitu mengenali Nora. Anak saudara Markonah yang gedik dan mengada-ngada. Setiap kali aku melihat Nora, aku pasti teringatkan Syakila dalam filem Bintang Hati lakonan Amy Mastura.

Pada hari yang mana promosi produk terbaru La Nona dijadualkan ke udara di TV3, Markonah melakukan satu lagi kejutan.

Keletak! Keletuk! Keletak! Keletuk! Bunyi kasut tumit tinggi Markonah yang menghampiri ruang pejabatku masih lagi terngiyang-ngiyang di telinga.

“O... o...” kata Shazlin yang kebetulan berada di situ. Dag! Dig! Dug! Kadar degupan jantungku meningkat. Aku pasti Shazlin juga begitu. Aku tidak dapat menjangkakan apa yang Markonah mahukan pada ketika itu.

“Ha! Di sini rupanya kamu Shazlin! Penat saya cari kamu. Apa yang kamu buat di sini dengan Marina? Berbual? Curi tulang?” kata Markonah. Sukar untuk aku membezakan sama ada dia berada dalam keadaan yang tenang atau pun marah kerana kedua-duanya kedengaran sama sahaja.

"Saya...." Belum sempat Shazlin habis menjawab, Markonah pantas memotong.

“Shazlin, Marina. Kamu berdua ikut ke Sri Pentas hari ini boleh?” arah Markonah. Walaupun ianya nampak seperti satu soalan, tetapi sebenarnya ia adalah satu arahan dan jawapannya tidak boleh ‘tidak’. Hanya Ya! Ya! dan Ya!

Aku dan Shazlin berpandangan. Jika kami mampu menggunakan telepati, pasti akan aku boleh tahu apa yang sedang Shazlin fikirkan pada ketika itu.

“Untuk apa puan?” aku menyoal dengan perlahan.

“Untuk apa?” Markonah mengulang kembali apa yang aku katakan. Mukanya berkerut. Sedikit kemerah-merahan.

“Ya. Bukankah Nora yang akan menghadiri temubual itu?”tanya Shazlin pula.

“Saya mahu kamu berdua kawal keselamatan dia...” jelas Markonah.

“Kawal keselamatan Nora?” aku dan Shazlin bertanya serentak. Sekali lagi kami berpandangan. Tetapi kali ini dengan wajah yang berkerut.

“Ya. Kenapa? Ada apa-apa masalah?” tanya Markonah.

“Tiada. Tetapi...”kata Shazlin.

“Maksudnya tidak ada masalah. Jom kita pergi sekarang!” Markonah terus beransur meninggalkan kami yang masih lagi tercengang di situ. Aku berbincang sebentar dengan Shazlin berkenaan dengan apa yang dikatakan oleh Markonah itu. Tiba-tiba, pembantu peribadi Markonah, Suzie masuk ke dalam pejabatku.

“Aku dengar kamu diminta untuk ke Sri Pentas ya?" tanya Suzie.

"Ya. Disuruh jadi bodyguard Nora" jawab Shazlin. Suzie tertawa apabila mendengarnya.

"Pergi sahajalah. Tidak ada apa yang perlu dirisaukan. Jadi bodyguard Nora bukannya macam menolak bukit. Alah. Bukan susah sangat pun. Kamu pastikan yang dia tidak terpelecok bila berjalan nanti. Itu sahaja. Aku yakin tiada sesiapa pun yang ingin menculik budak itu. Okeylah. Aku pergi jumpa Markonah dahulu” Kata Suzie yang kemudiannya keluar berlari mendapatkan kembali Markonah yang berlalu entah ke mana.

Kami berpandangan. Tetapi tiada sepatah kata pun yang keluar dari mulut kami. Mungkin apa yang Shazlin sedang fikirkan pada ketika itu sama dengan apa yang sedang aku fikirkan. ‘Ada betulnya apa yang Suzie katakan’.

Aku cuba meyakinkan Shazlin dan juga diriku sendiri bahawa tugas yang diberikan oleh Markonah itu amat-amat mudah. Lebih mudah dari apa-apa pun tugas yang pernah diberikan oleh Markonah.

Setibanya kami di Sri Pentas. Aku dan Shazlin ditempatkan di sebuah bilik dan kami diarahkan oleh Markonah untuk ‘mengawal’ Nora yang pada ketika itu begitu khusyuk sekali membaca majalah tabloid yang penuh dengan cerita hantu dan mistik.

Markonah muncul dengan penuh bergaya. Matanya melilau melihat tingkap, lantai, dinding, kerusi, cermin dan segala benda yang ada di dalam bilik itu. Kemudian, wajah kami pula ditelitinya. Mula-mula sekali aku, kemudian Shazlin dan akhir sekali Nora yang buat endah tidak endah sahaja dengan ibu saudaranya itu. Dia masih sibuk membaca cerita misteri yang membosankan.

''Shazlin" panggil Markonah.

"Ya puan?"

"Boleh kamu solekkan Nora?'' arah Markonah. Satu lagi arahan di dalam bentuk pertanyaan.

“Boleh.” jawab Shazlin. Dia kedengaran yakin. Nasib baik sahaja Shazlin tahu serba sedikit berkenaan dengan solekan. Jika tidak, pasti kami kelam kabut.

Sambil menunggu Nora disolek, aku mengambil majalah Glam yang terdapat di atas meja solek. Aku tidak membaca mana-mana artikel yang ditulis. Hanya melihat gambar-gambar yang dipaparkan sahaja.

“Sudah siap!” kata Shazlin.

“Wooooo....”Itulah yang terpacul keluar dari mulutku sejurus melihat wajah Nora.

“Bagaimana? Cantik?” tanya Nora.

Aku di dalam dilema. Sejujurnya jawapan aku adalah 'tidak' dan aku tahu walaupun itu solekan Shazlin secara teknikal, ideanya tetap datang dari Nora kerana ketika dia disolek kedengaran kata-kata seperti, “Letak lagi!” “Ha! Tepek banyak-banyak!” “Hei. Itu tidak cukup panjang!” dari mulut Nora.

“Tidak terlalu tebalkah?” aku menyoal Nora.

“Mana ada tebal. Ini okeylah” jawab Nora dengan yakin.

“Isyh... Risau pula aku dengan si Nora ini” kata Shazlin.

Bukan sahaja Shazlin, aku pun juga berasa begitu. Tetapi, aku terpaksa berlagak tenang. Bukan apa, jika aku pun ikut sama gubra, lagi haru-biru jadinya.

Nora nampaknya sudah bersiap sedia untuk temu ramah itu. Gayanya begitu meyakinkan. Aku akui dia nampak begitu menarik sekali di set. Cuma solekannya sahaja yang nampak berlebihan. Sementara menunggu dua pengacara Wanita Hari Ini iaitu Ifa Raziah dan Norish Karman disolek, kami berbual-bual seketika dengan jurukamera yang bertugas. Namanya Sean. Wajahnya tampan dan lidahnya ramah. Namun, entah mengapa, wajahnya berubah apabila mengetahui Puan Markonah sedang berada di situ.

"Kenapa tiba-tiba sahaja dia nampak takut?" tanyaku kepada Shazlin.

"Aku pernah baca satu blog. Di dalam blog itu, ada disebut yang Markonah tidak suka pihak media bercakap dengan stafnya. Aku rasa sebab itulah dia tiba-tiba sahaja terdiam" jelas Shazlin.

Aku melihat Markonah yang ketika itu duduk jauh beberapa meter dari kami. Dia sedang duduk di atas kerusi berwarna ungu yang merupakan warna kegemarannya. Aku pasti itu adalah permintaannya sebelum dia datang ke Sri Pentas. Oleh kerana dia mengenakan cermin mata berwarna hitam, kami tidak dapat meneka apa yang sedang bermain di dalam fikirannya.

“Baiklah kita kembali lagi dalam Wanita Hari Ini dan seperti yang dijanjikan tadi, kita ada menjemput orang kuat La Nona iaitu saudari Nora Nasrul untuk bercakap serba sedikit mengenai produk terbaru La Nona yang sedang hangat diperkatakan sekarang.” Kata Ifa Raziah sebagai membuka sesi temuramah itu. 

"Untuk pengetahuan semua. Saudari Nora Nasrul ini merupakan seorang penasihat produk di La Nona ya. Jadi apa khabar Cik Nora hari ini?"

"Sihat-sihat sahaja. Terima kasih kerana mengundang saya ke mari"

“Baiklah Cik Nora, bolehkah Cik Nora terangkan sedikit apa yang istimewanya mengenai produk terbaru La Nona berasaskan buah markisar yang sedang hangat diperkatakan sekarang ini?” Norish Karman mula menyoal.

“Baiklah... mmmm... sebenarnya begini...”Nora memulakan penerangannya.Norish Karman dan Ifa Raziah mengangguk-anggukkan kepala mereka. Tanda faham dengan apa yang dikatakan oleh Nora. Aku harus akui, penerangan yang diberikan oleh Nora amat baik sekali. Aku tidak menyangka Nora boleh melakukannya.

Namun, perhatian kepada temu ramah itu terganggu kerana tiba-tiba sahaja kedengaran bunyi deringan telefon yang amat kuat dari arah set pengambaran. Nora meraba-raba poket seluarnya, kemudian dia mengeluarkan telefon bimbitnya yang berwarna merah. Ke semua mata tertumpu ke arah Nora. Aku percaya penonton di rumah juga pasti tertanya-tanya apa yang sedang berlaku ketika itu.

"Apa yang berlaku sekarang sebenarnya?’aku bertanya kepada Shazlin.

"Entahlah Marina. Aku pun tidak pasti. Tetapi aku rasa tidak sedap hatilah..." kata Shazlin. Namun, aku cuba berfikiran positif. Aku memberitahu diriku yang ianya mungkin salah satu gimik yang dirancang oleh Markonah kerana pada ketika itu, dia masih duduk statik seperti patung. Kami tidak tahu apa responnya terhadap perkara itu. Shazlin pula membuat mimik muka yang seolah-olah mengatakan ‘aku sudah agak dia akan buat hal’.

“Wah... sibuk sekali Cik Nora kita ini ya...” kata Norish Karman kepada Nora yang masih sibuk membaca sesuatu pada telefon bimbitnya dengan mata yang terbeliak. Ya! Matanya terbeliak! Seperti ada sesuatu yang mengejutkannya!

"Mungkin ada sesuatu yang hendak dikongsikan bersama dengan kita. Mungkin ada komen dari pengguna setia La Nona tentang produk baru yang...."

“Tidak!!!!!!!!” Ifa Raziah tidak sempat menghabiskan kata-katanya apabila Nora menjerit seperti orang yang dirasuk.

“Cik Nora.... bertenang... Apa yang telah terjadi pada Cik Nora sebenarnya?” kedua-kedua pengacara itu cuba menenangkan Nora yang semakin tidak keruan. Dia menangis dan meraung seperti orang yang hilang akal. Nora bangun dari kerusi dan berjalan meninggalkan set.

“Cik Nora....” kedua-dua pengacara itu memanggil Nora. Namun, Nora langsung tidak mempedulikannya.

Aku dan Shazlin berpandangan. Kami kemudian memandang ke arah Markonah. Dia membuka cermin mata hitamnya. Mukanya masam mencuka, dia nampak betul-betul marah! 


*****

Pada keesokan harinya, Markonah mengadakan satu mesyuarat tergempar. Tujuannya adalah untuk membincangkan mengenai apa yang berlaku pada Nora dan publisiti yang dirancang oleh La Nona.Sebelum masuk ke bilik mesyuarat, aku sempat berbual dengan beberapa orang rakan sekerja mengenai Nora yang menjerit seperti orang patah hati semasa temubual itu. Menurut mereka, ketika temubual itu, Nora telah menerima gambar-gambar aksi panas tunangnya bersama dengan perempuan lain. Namun begitu, tiada siapa pun yang dapat mengagak siapakah dalang di sebalik kejadian itu.

"Kau rasa siapa agaknya yang hantar gambar-gambar itu kepada Nora?" aku menanyakan pendapat Shazlin.

"Entahlah Marina. Aku pun tidak dapat mengagak"

"Yang peliknya, si pengirim sengaja menghantar gambar-gambar itu semasa Nora ditemuramah. Dia seperti sengaja mahu mensabotaj kita. Kau rasa siapa agaknya ya?"

"Mungkin musuh..." jawab Shazlin ringkas.

"Musuh siapa?" tanyaku kepada Shazlin. Namun, soalanku itu tidak berjawab. Kami menghentikan perbualan kami apabila Markonah memasuki bilik mesyuarat. Begitu juga dengan yang lain. Keadaan menjadi sunyi sepi serta merta sebaik sahaja Markonah melangkahkan kaki. Semua mata tertumpu ke arahnya.

"Saya tidak percaya ini boleh berlaku." Markonah memulakan bicara."Ini adalah perkara paling buruk yang pernah berlaku kepada La Nona. Kita kurang persiapan, sokongan dan strategi"

'Kurang persiapan, sokongan dan strategi?' Adakah dia benar-benar maksudkan apa yang dia katakan? Atau pun dia hanya menganggap mesyuarat itu seperti satu sidang media. Sekiranya dia tidak menggantikan Shazlin dengan Nora di saat akhir, sudah pasti publisiti La Nona tidak akan terganggu. Semua yang hadir ke mesyuarat mendengar kata-kata Markonah dengan khusyuk. Selepas bercakap untuk beberapa minit, Markonah mengalihkan perhatiannya kepada Shazlin.

“Kepada semua yang hadir, saya ingin memberitahu kepada semua bahawa dialah dalang yang merosakkan segala apa yang kita rancang selama ini. Bukan begitu Shazlin?”soal Markonah. Ketika itu dia nampaknya benar-benar menyoal. Ini adalah satu soalan, bukannya arahan.

''Puan Markonah, apa yang puan cakapkan ini?''

“Awak yang merancang semua ini. Awaklah yang menghantar gambar-gambar itu kepada Nora sewaktu pengambaran itu. Awak memang berniat untuk menghancurkan saya dan La Nona.”

“Puan Markonah. Bagaimana puan boleh menuduh Shazlin? Tidak mungkin dia yang melakukannya. Tidak mungkin” aku cuba membela Shazlin.

“Dia mampu melakukan apa sahaja... lihat ini semua” kata Markonah. Dia mengarahkan perhatian kami kepada skrin dan menunjukkan satu persatu gambar Shazlin yang sedang duduk makan bersama-sama dengan Azli dan Diya. Azli dan Diya merupakan musuh ketat Markonah. Mereka adalah pemilik rangkaian butik Sahara. Mungkin ada sejarah yang kami tidak tahu. Tetapi mereka sememangnya tidak sebulu dari zaman mereka remaja lagi. Semua orang yang menghadiri mesyuarat mula berbisik, mereka seperti memperkatakan sesuatu.

“Saya tertanya-tanya, apa sebenarnya yang kamu bincangkan pada ketika itu ya? Apa yang kamu bincangkan satu hari sebelum hari siaran langsung itu dengan mereka Shazlin?”

“Saya tidak ada apa-apa kaitan dengan semua ini! Gambar -gambar diambil ketika meraikan majlis hari jadi Tuan Mas’od yang kebetulan berlangsung satu hari sebelum temuramah Nora di TV3. Bukankah puan sendiri yang menyuruh saya ke sana? Kebetulan mereka mahu duduk semeja dengan saya, tidak akanlahsaya mahu menghalau mereka pula!”

“Kebetulan yang dirancang...” kata Markonah. Shazlin pergi mendekati Markonah. Ketika itu, keberaniannya terserlah.

“Apa? Puan tidak percaya dengan saya?” tanya Shazlin.

 “Awak sendiri tahu jawapannya bukan?”

“Maaf, saya tidak dibayar untuk meneka jawapan kepada soalan sebegitu!”kata Shazlin dengan tegas. Dari raut wajahnya, nampak jelas yang dia tidak berpuas hati dengan tuduhan Markonah. Markonah pula memandang Shazlin dengan pandangan yang tajam. Dia mengambil segelas air yang diletakkan dihadapannya dan menghirupnya perlahan-lahan. Ketika itu, aku fikir yang dia sedang mencari idea untuk membalas semula kata-kata Shazlin. Namun, Markonah melakukan sesuatu yang tidak aku duga. Dia berdiri menghadap Shazlin dan menyimbah air di dalam gelas yang dipegangnya itu ke muka Shazlin. Semua orang yang ada di dalam bilik mesyuarat itu terkejut dengan apa yang dilakukan oleh Markonah.

"Puan sudah hilang akal agaknya?!" kata Shazlin.

Markonah dan Shazlin mula bertengkar. Mereka saling tuduh menuduh dan salah menyalah. Aku tahu, semua orang yang berada di luar bilik mesyuarat sedang memasang telinga pada ketika itu. Aku pergi mendapat mereka berdua.

“Shazlin...” aku cuba memanggil Shazlin yang kelihatan seperti mula dirasuk. Nafasnya turun naik. Caranya memandang Markonah nampak seperti dia ingin menelan wanita itu.

“Waaaaaaa!” jerit Markonah. Rambutnya ditarik-tarik Shazlin. Kemudian, Shazlin menampar-nampar pipinya. Kemudian bibir Markonah dicubit dan dipiat-piat.

“Shazlin! Markonah! Berhenti!” aku menjerit. Kali ini, Markonah pula beraksi. Pipi Shazlin ditumbuknya. Ya, aku ulang sekali lagi. Ditumbuknya!Menyedari yang keadaan boleh menjadi lebih teruk sekiranya aku membiarkan sahaja mereka berdua bergaduh di situ, aku segera memanggil pengawal keselamatan untuk meleraikan pergaduhan itu. Yang lain hanya tercegat memerhatikan hiburan awal pagi itu.

“Hai Marina! Sudah lama tidak ke DrLove” Kevin, rakan kongsi Ally di Dr Love menyapaku. Sekaligus membawa aku kembali ke Kafe Dr Love. Setelah habis berbual pendek dengan Kevin, aku sekali lagi melihat skrin dan keyboard. Aku ulanginya berulang-ulang kali. Apa yang tertera pada skrin tidak kosong seperti sebelumnya.Aku tidak menyangka yang aku telah menulis apa yang berlaku tempohari dengan lengkap dan terperinci. Berserta dengan dialog dan penerangan terperinci mengenainya. Mungkin ianya perlu diedit sedikit. Persoalannya, patutkah aku menjadikannya sebagai posting baru untuk blogku?

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.