2,027
Kategori:
Genre:
Senarai Bab
Shasha - Bab 1

Tiga belas tahun yang lalu


"Mami!!! Hana nak tukar nama jadi Shasha, boleh?" ujar si kecil Hana sambil melompat girang diatas katil bersaiz queen dibilik tidur utama. Puan Emelin tertawa kecil. 

"Kenapa nak tukar nama?" soal Puan Emelin ingin tahu. 

"Sebab nak sama macam dalam komik Candle Jem. Kak Jojo jadi Mio, Hana jadi Shasha." sahut Hana petah sekali. Puan Emelin senyum lagi. Melayan kaletah Hana yang begitu mencuit hati berjaya menghiburkan dirinya yang sering kepenatan selepas pulang dari berkerja. Puan Emelin meninggalkan Hana yang masih tidak mahu berhenti melompat dan menuju ke bilik sebelah dimana terletaknya bilik tidur Jannah. Gadis sunti berusia dua belas tahun itu sedang tidur. Dia merapati lantas melayangkan sebuah kucupan di dahi anak kesayangan. 


2019 - Sekolah Menengah Padang Pelangi 


Loceng terakhir berbunyi panjang sekali. Dengan perasaan malas aku mengemas alat tulis dan buku yang berada di atas meja. Satu persatu mengikut langkah demi langkah aku perlakukan. 

"Kau mengemas macam siput. Tiap-tiap hari aku perhatikan. Kenapa? Tak seronok ke kelas dah habis?" Sarah yang tempat duduknya disebelahku menegur. Bukan pertama-tama. Entah ke berapa kali soalan yang sama terbit dari gadis yang memiliki raut wajah putih bersih dengan rambut diikat ekor kuda. Secangkir senyuman tipis terpamer dibibirku. 

"Erm.. Mungkin." ujarku sepatah sambil menyentuh bingkai cermin mata menggunakan hujung jari. Meski perlahan, dapat aku dengar seruan dari Sarah. Aku melirik dengan ekor mata. Mulut gadis itu melopong melihatku. Ya. Terkejut barangkali. Pertama-tama juga aku menjawab soalannya itu. Satu cuitan terasa dibahu. Aku menoleh. 

"Kau nak kerja?" kini giliran aku pula yang melopong. Kerja? Seumur hidup aku, inilah pertama kali seseorang memberikan idea untuk aku berkerja. Tidak teman-teman ketika diasrama dahulu. Apatah lagi Mami dan Kak Jojo. Belum pernah aku mendengar dari mulut mereka perkara berkaitan pekerjaan. Ketika menunggu keputusan peperiksaan keluar, aku mengikuti pelbagai kursus jangka pendek bagi mengisi masa yang terluang. Sama ada kursus pengurusan kewangan, bakeri, dandanan mahupun kraf. Semuanya datang dari dorongan Mami. Juga pelaburan dari poketnya. Aku pula menurut sahaja mengenangkan diriku yang gemar mencuba perkara baharu. Tetapi, kerja? Memang benar aku miliki selonggok sijil pengiktirafan di dalam pelbagai kemahiran. Namun, aku tidak punyai keyakinan diri. Jikalau berkerja, bermaksud aku perlu berhadapan dengan golongan lelaki. Sedangkan aku memiliki pengalaman yang cetek sekali dengan kaum itu. Oh, lupa pula untuk aku jelaskan. Terdahulu, aku bersekolah jenis convent. Dari mula aku bersekolah menengah aku meminta untuk ke sekolah perempuan sahaja. Lebih mudah bagiku begitu. Bergaul dengan pelajar perempuan sahaja tanpa perlu menghadap karenah budak lelaki yang gemar menunjukkan sikap kasar mereka itu. Macholah konon! Mami pula seperti biasa bersetuju dengan pilihanku. Di sekolah ini pula aku bernasib baik kerana kelas yang aku duduki hanya mempunyai empat orang sahaja pelajar lelaki. Mereka seakan mengerti akan keupayaan minoriti yang dimiliki. Sikap mereka berempat tak ubah seperti gadis pingitan yang malu-malu kucing. Jarang sekali aku mendengar suara besar mereka berempat di dalam kelas. Aku menegakkan tubuh yang sejak tadi berbaring dan hanyut dalam khayalan. Kicauan burung dan sayup-sayup suara anak kecil bermain membuatkan aku merapatkan badan ke tingkap pula. Suasana di laman belakang yang mempunyai ruang yang terhad lama aku perhatikan. Kebun dapur sudah lama terbiar tanpa diurusi. Tanah di dalam pasu kelihatan kering. Banyak pokok yang mati dari hidup. Jam di kepala katil sekilas dilirik. Enam petang. Renunganku kembali ke laman. Hari ini aku sendirian lagi. Satu keluhan berat dilepaskan tanpa aku sedari. 


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh