Home Cerpen Umum PENJARA KEINSAFAN
PENJARA KEINSAFAN
Achik Writter
6/7/2015 08:58:05
3,171
Kategori: Cerpen
Genre: Umum

Sudah hampir empat tahun aku disini karena disabitkan kesalahan di bawah seksyen 304 (a) bunuh tanpa niat dan dijatuhkan hukuman penjara selama 20 tahun. Pada awalnya aku dijangka di bebaskan pada tahun 2015. Bagaimanapun pihak pendakwa raya membuat rayuan dan hukuman aku dilanjutkan sehingga 31 januari 2022 setelah ditolak remitan karena displin yang baik.

Walaupun kesal pelanjutan hukuman itu, namun sekurang-kurangnya aku bersyukur karena terlepas daripada hukuman mati. Ini karena sewaktu ditahan reman, aku diletakkan di bawah seksyen 302, bunuh dengan niat yang jika disabitkan kesalahan boleh dihukum gantung mandotori. Bagaimanapun setelah beberapa tahun di sini aku bukan mengira jumlah hukum yang dikenakan ke atasku. Namun ini adalah peluang yang diberikan oleh Allah untuk menebus dosa silamku. Disini aku banyak menghisab dan muhasabah diri sehingga aku kenal siapakah aku. Paling tidak pun, aku lebih menghargai diri sendiri dan peluang yang diberikan oleh-Nya kepadaku.

Kejadian itu berlaku tanpa sengaja. Kedatanganku ke rumah seorang saudara untuk menuntut wang yang dipinjam daripada keluarga kami berakhir dengan tragedi yang mengubah seluruh hidupku. Semasa perbincangan berlaku, pertelingkahan hingga menyebabkan kami berperang mulut. Dalam pertengkaran itu aku terpandang topi kaledar yang terletak di almari tidak jauh dari situ. Tanpa sedari, aku mencapainya dan memukul kepalanya sehingga terjatuh. Segala-galanya berlaku dengan begitu pantas. Aku tergamam dan tidak menyangka apa yang telah aku lakukan.

Melihat keadaan itu,aku dihantui rasa takut, sedih dan pelbagai lagi. Aku keluar seketika. Entah kenapa aku rasa tidak sedap hati. Lantas masuk semula ke dalam rumah. Aku menghubungi ambulans dan memaklumkan apa yang berlaku. Sebaik sahaja ambulans sampai dan setelah diperiksa nadi mangsa, telah meninggal dunia di tempat kejadian. Tidak lama kemudian, polis sampai dan aku dibawa masuk ke dalam kereta peronda. Ketika itu aku terpandang wajah ibu dan ayah yang baru sahaja sampai. Aku lihat mereka menangis, karena melihat aku digari oleh pegawai polis tersebut. Hancur luluh hatiku. Itulah kali pertama dalam tempoh 21 tahun hidupku, aku digari dan dibawa ke balai polis. Sebelum ini aku tidak pernah terlibat dengan jenayah.

Ketika itu perasaan takut, risau dan macam-macam lagi bercampur baur difikiranku. Sewaktu di lokap aku diberitahu, tentang hukuman yang bakal diterima. Tiba-tiba aku berasa begitu cepat umurku berlalu. Selama 14 hari berada disitu, aku mula berfikir tentang kehidupan di penjara. Adakah aku berpeluang dibebaskan? Bagaimana kehidupan di situ? Bayangan tali gantung mula menghantui diri dan pelbagai igauan ngeri.

Dalam masa yang sama, keluarga memberikan sokongan yang begitu kuat. Mereka melantik peguam dalam usaha membebaskan aku. Sepanjang tempoh satu setengah tahun sebelum dijatuhkan hukuman aku kerap berulang alik ke mahkamah. Setelah berada disini, peluang mempelajari ilmu agama dan memperbaiki kesilapan silam adalah pengalaman termahal yang aku peroleh. Aku tidak tahu tentang solat, apatah lagi mengaji al quran. Walaupun berat untuk menerima hakikat,namun setelah mengikuti program keagamaan yang diadakan, ia telah membuka mindaku. Akhirnya aku akur dengan ketentuan ilahi. Aku mula sedar, ketika kejadian darah muda yang panas, ilmu agama kosong di dada, bertindak melulu membuatkan aku melakukan sesuatu tanpa berfikir panjang.

Akibatnya aku terkurung di sini. Disini aku belajar tentang agama, bukan sahaja daripada ustaz yang tidak pernah jemu menunjukkan tunjuk ajar, tetapi daripada teman seperjuangan. Pada sebelah petang, kami diajar mengaji al quran mengikut kumpulan bergantung pada keupayaan masing-masing. Sesiapa yang masuk kelas menghafaz al-quran, mereka berpeluang untuk menyertai pertandingan yang dianjurkan oleh institusi penjara.

Pada bulan puasa, kami menunaikan solat maghrib,isyak,solat sunat terawih dan witir bersama. Aku dapat rasakan kemeriahannya sama dengan suasana di luar. Acap kali juga hatiku tersentuh sehingga menitiskan air mata. Disini,aku banyak muhasabah diri. Terlalu banyak peluang dan ruang untuk aku memperbaiki diri. Alangkah rugi andai dibiarkan masa berlalu tanpa dihiasi dengan perkara yang bermanfaat. Sekiranya berada diluar belum tentu aku mendapat hidayah ilahi seperti yang aku temui disini. Sekarang aku belajar menghafaz al-quran bersama teman-teman. Aku paling suka surah as-syams yang banyak menceritakan tentang alam dan mengajak kita berfikir. Buat kali pertama, hati dan perasaanku tersentuh tatkala membaca surah al-fatihah. Aku menangis semahu-mahunya . Aku dihantui rasa bersalah karena sering menyusahkan ibu dan ayah yang selama ini banyak berkorban untukku. Bayangan dosa silam silih berganti. Terasa diri ini terlalu kerdil di sisi-Nya. Tetapi dia tidak pernah melupakan aku dan masih sudi memberi ruang kemaafan buat diri yang hina ini.

Setiap kali menunaikan solat, dan menghadiri ceramah aku teringat pada tuhan. Aku kerap bertanya tentang masalah agama yang tidak difahami. Di sini hampir setiap waktu kami menunaikan solat secara berjemaah, samaada di surau atau dibilik bersama kawan-kawanku yang lain. Dan aku teruja setiap kali kali menunaikan ibadat itu. Selain itu, kami juga melakukan aktiviti riadah bersama seperti bermain catur dan sebagainya. Aku banyak bergaul dengan kawan-kawan daripada pelbagai kelompok dan latar pendidikan yang masuk ke sini karena sebab tersendiri. Hubungan kami bagaikan adik-beradik. Kami sering berkongsi masalah. Dalam pada itu, kami tidak ketinggalan menyambut hari kebesaran islam seperti maulidur rasul,awal muharam,israk dan mikraj dan sebagainya.

Sebagai bekal andai dibebaskan, nanti aku ingin mengikuti bengkel jahitan dan kemahiran hidup lain yang diajar di sini. Aku berhasrat untuk membuka kedai jahit dan menjadi tukang jahit professional setelah dibebaskan kelak. Dalam masa yang sama aku tidak akan meninggalkan agama yang menjadi tunjang dan amalanku kini. Disinilah aku mengerti, erti kehidupan yang sebenar di dalam penjara.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.