Home Cerpen Komedi/Romantik Komedi Pudina Cinta 'Raya Special'
Pudina Cinta 'Raya Special'
A. Darwisy
3/8/2013 21:47:38
4,741
Kategori: Cerpen
Genre: Komedi/Romantik Komedi

Ikut kalendar yang dia dapat percuma lepas beli tong gas dari tauke cina berdekatan rumahnya, raya tinggal lima hari saja dari sekarang. Mahunya Rabunah tidak cuak, lagi-lagi inilah kali pertama dia menyambut lebaran dengan memikul gelaran perempuan, isteri dan ibu yang solehah. Bukan dot dot dot ya. Segala persiapan menyambut raya, awal-awal lagi sudah dia sediakan. Baik dari segi mengemas rumah, menukar langsir dan sarung kusyen baru juga termasuklah baju raya untuk encik suami yang mengada-ngada menyuruhnya menjahit sendiri baju melayu untuk dipakai pada pagi lebaran nanti. Mujurlah bakat menjahit itu ada, tinggal lagi tidak dipraktikkan saja. Tujuh hari tujuh malam, Rabunah bersengkang mata menyiapkan baju melayu untuk Doktor Ally dan walla, akhirnya siap juga.

Cuma tinggal satu saja masalah negara yang belum selesai lagi dan membuatkan kepala Rabunah seperti mahu meletup memikirkannya. Hendak mengadu kepada Puan Fatimah, terasa malulah pula. Nanti tidak pasal-pasal kena gelakkan pula. Itu belum lagi sampai ke pengetahuan abangnya, Fauzi, pasti guling-guling lelaki itu ketawa. Cis, ini tak boleh jadi! Rabunah berjeda. Beberapa saat kemudian, dia memetik jari. Lekas telefon bimbit dicapainya.

“Kau kena tolong aku, Azlie!” Rabunah menjerit nama sahabat baiknya sebaik panggilan bersambut. Azlie di hujung talian, mengurut dada.

“Kut ye pun, bagilah salam dulu. Kau ni dari zaman anak dara sampai dah alignment lari, perangai tetap tak ubah-ubah!” sempat Azlie mengutuk. Lelaki itu ketawa kecil.

“Kurang asam, kau Azlie. Alignment lari, kau cakap aku? Hello, aku baru anak satu okey. Takde maknanya, alignment lari!”

“Yelah, aku tahu. Kau pakai produk jamu susuk dara kan. Maintain gitu. Ha, kau nak apa call aku ni?”

“Laki aku suruh buat biskut rayalah tahun ni. Macam mana ni Azlie? Aku kalau memasak benda lain, takde hal. Tapi kalau bab-bab buat biskut ni, tak pasal-pasal keracunan arsenik laki aku kang. Selalunya, mak aku yang take in charge buat biskut raya ni semua. Aku tahu isi biskut dalam balang aje."

Azlie menggeleng-gelengkan kepala. Ingatkan apalah tadi sampai bercakap tidak cukup nafas. Rabunah... Rabunah... perkara kecil pun hendak panik.

“Ha, rasakan! Doktor Ally kau tu suruh buat biskut apa?”

“Biskut makmur katanya...”

“Ha...ha...ha... semoga aman makmurlah rumahtangga korang!”

“Bengong! Aku seriuslah wei. Aku dah cuba buat ikut resipi dalam Google tapi dah tiga empat kali kut, semuanya tak jadi. Dah serupa biji guli aje kerasnya. Membohong aje lebih dalam internet tu semua,”

Kalau diikutkan hati, memang Azlie mahu memburaikan ketawa tetapi mendengar lirih suara Rabunah yang seperti orang putus asa, kasihanlah pula. Dia faham sangat dengan perangai sahabat baiknya yang seorang ini. Rabunah mahu buat yang terbaik untuk orang yang dia sayang, maka selagi biskut makmur yang dibuatnya, tidak seberapa sedap di tekak, selagi itulah dia akan cuba lagi dan lagi. Beruntung Doktor Ally dapat isteri gigih seperti Rabunah. He...he...he...

“Habis tu, apa yang aku boleh tolong kau?”

“Ibu kau kan terror buat biskut, so kau mintalah resipi biskut makmur dari dia. Pastikan yang paling sedap punya tau. Tapi jangan kata aku yang minta, buat malu aku aje nanti. He...he...he...”

“Yelah...yelah... tapi dengan satu syarat,”

“Syarat apa pulak ni? Overlah!”

“Haruslah bersyarat bagai! Kau fikir senang-senang macam tu aje aku nak bagi resipi turun-temurun biskut makmur ibu aku kat kau? Syaratnya... kau kena buatkan satu balang biskut makmur untuk aku jugak. Senang kan?”

“Tak ikhlas! Dah bagi, minta balik pulak! Yelah...yelah... tapi aku nak resipi tu selewat-lewatnya petang ni. Boleh lepas terawih malam ni, aku cuba buat.” Sungguh-sungguh Rabunah hendak melaksanakan misi membuat biskut makmurnya sampai berjaya. Alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan. Cewah! Chaiyok-chaiyok!

***

Rabunah melipat telekungnya, kemas-kemas. Beberapa jam yang lepas, usai dirinya berterawih 20 rakaat dan menutupinya dengan witir 3 rakaat. Alhamdulilah, diberi kesempatan oleh ALLAH untuk dia merebut ganjaran 10 malam terakhir di bulan Ramadhan kali ini. Kemudian, dia dan suami bertadarus al-Quran sehingga lewat malam di surau berhampiran kediaman mereka suami isteri. Lazimnya di bulan Ramadhan, Doktor Ally suka sekali mengejutkannya sekitar jam 3.00 pagi untuk mengerjakan ibadah-ibadah sunat yang lain seperti bersolat tahajud, taubat dan hajat.

Tetapi pada malam ini, barangkali encik suaminya itu terlalu penat untuk bangun pada tengah malam disebabkan pada sebelah siang tadi, habis semua sawang di siling rumah dibersihkannya. Bukan itu saja, Doktor Ally siap menebas rumput yang panjang di halaman rumah sampai sudah boleh jadi padang golf cantiknya. Biarlah dia tidur. Kasihan pula Rabunah melihat muka letih suaminya itu. Rasa mahu gigit-gigit pula. Eh! Terover pula di bulan Ramadhan yang mulia ini. He...he...he...

Rabunah baru teringat akan misinya yang hampir-hampir dia terlupa hendak melaksanakannya. Yalah, kelazatan beribadah menghadap ALLAH lebih dari segala-galanya. Selesai saja mendirikan solat-solat sunat yang tidak lama manapun, Rabunah sudah bersiap sedia dengan kertas resipinya. Azlie menepati janjinya untuk mengirimkan resipi biskut makmur Puan Bahiyah kepadanya menerusi e-mel. Tra la la... Resipi Biskut Makmur! Rabunah datang sengalnya mengajuk suara Doraemon di dapur seorang-seorang pukul 3.30 pagi.

BAHAN-BAHAN:

70gm gula halus

50gm gula aising (untuk salut)

BAHAN DOH:

500gm tepung gandum

80gm gula halus

Sedikit minyak sapi -ikut lembut yang boleh dikepal

BAHAN INTI:

300gm kacang tanah | dibakar dalam ketuhar selama 20 minit sehingga kulitnya boleh ditanggalkan

CARA MEMASAK:

1. Gaulkan semua bahan doh sehingga lembut dan boleh dibentukkan. Ketepikan.

2. Untuk intinya, kisarkan kacang dan kemudian gaulkan dengan gula rata.

3. Ambil doh kemudian leperkan dan masukkan inti yang dibuat bentuk bujur sebesar biji buah kurma. Bentukkan menjadi bujur.

4. Bakar pada suhu 180’C selama 20 hingga 25 minit .

5. Apabila masak, sejukkan seketika dan golekkan di dalam gula aising.

Rabunah menampal kertas resipi yang dicetaknya itu betul-betul di tepinya. Mudah untuk dia mengikut satu persatu cara-cara membuatnya. Sambil-sambil bereksperimen di dapur, lidah Rabunah tidak tinggal dengan zikrullah. Doktor Ally selalu berpesan kepadanya, memasak sambil menyebut kalam ALLAH, insyaAllah masakan akan jadi lebih sedap dan berkat. Nasihat demi nasihat si encik suami, lama-kelamaan semakin sebati dengan dirinya. Terjentik pula rasa hiba Rabunah tiba-tiba apabila mengenangkan segala kebaikan lelaki bernama Ally itu yang menerima segala kekurangan dirinya sebagai seorang isteri.

Rabunah tekad. Dia mahu buat biskut makmur paling sedap di dalam dunia pada malam ini! Dia mahu membuatnya dengan penuh rasa kasih sayang, istimewa untuk encik suami tercinta. Andai kata menjadi biskut makmurnya, boleh dia mencuba biskut yang lain pula. Paling kurang, targetnya lima jenis biskut untuk raya tahun ini. Yalah, satu hari satu jenis biskut sementelah raya pun lagi lima hari. Janji ada! Setidak-tidaknya, kalau ada tamu yang datang berkunjung nanti, bolehlah dia berbangga dengan air tangannya. Tidaklah semuanya kuih tunjuk-tunjuk aje. Malu okey.

“Ehem... ehem...”

Rabunah yang leka mencubit doh dan membentuknya menjadi bujur, tidak menyedari akan deheman Doktor Ally yang sedang mengintainya. Lelaki itu tersenyum. Gigih betul isteri aku ni. Bisik Doktor Ally dalam hati.

“Sayang buat biskut raya ke tu?” sapa Doktor Ally lalu memeluk kejap susuk kecil si isteri dari belakang. Rabunah masih tidak sedar. Punyalah ralit membuat biskut, sampai comot-comot mukanya bercalit tepung sana-sini. Macam manalah agaknya rasa biskut makmur air tangan puan Rabunah ini kan? Proses hendak membuatnya pun, sudah berselerak satu dapur serupa tongkang pecah dibuatnya.

“Opocot! Hisy, abang ni buat Una terperanjat ajelah! Apa peluk-peluk orang ni? Bulan puasa mana boleh peluk-peluk. Batal puasa tau! Grr!” Rabunah membuat suara kucing manja menderam. Doktor Ally tersenyum lebar, senang sekali dengan tingkah si isteri yang masih malu-malu kucing dalam dakapannya biarpun sudah setahun lebih usia perkahwinan mereka. Yalah, anak pun dah satu.

“Batal puasa kalau siang. Ni dah malam. He...he...he...” usik Doktor Ally membuatkan Rabunah menjegilkan biji matanya. Doktor Ally ketawa terbahak-bahak. Gelihati sungguh dia melihat si isteri dengan muka yang bertepek-tepek putih sana-sini, membuat aksi garang. Tak takut langsung! Geram adalah!

“Abang jangan nak mengada-ngada sangatlah. Orang tengah busy ni tau!” Rabunah menjuihkan bibir bawahnya. Alahai, Doktor Ally menahan sabar. Niatnya terjaga awal pagi ini sebab mahu beribadah, nanti ibadah lain pula dibuatnya. Lantas, Doktor Ally bersegera ke bilik air untuk mengambil wuduk. Rabunah terus leka membentukkan adunan doh tadi ke bentuk bujur-bujur. Penuh konsentrasi dia melakukannya. Demi suami tercinta, mana tidaknya!

“Kalau sayang dah siap buat biskut tu, kalau nak mengaji sama dengan abang... abang tunggu dalam bilik.” Doktor Ally memesan. Rabunah mengangguk-anggukkan kepala. InsyaAllah, sekejap lagi bolehlah bakar biskut makmur ini dalam ketuhar. Rabunah cukup yakin sekali, cubaannya kali ini pasti akan menghasilkan biskut makmur paling meletup di abad ini! Yay!

Lepas sedulang, sedulang lagi Rabunah membakar biskut makmurnya. Hendak memasukkan beberapa dulang bakar sekaligus, tidak muatlah pula disebabkan ketuhar yang ada di dapurnya ini, kecil saja dan muat-muat untuk satu dulang membakar. Rabunah sudah berfikir-fikir hendak membeli ketuhar yang besar gedabak nanti, bolehlah dia meniaga biskut raya sekali! Ha, terus boleh buka bisnes sendiri! Bila dah kaya-raya, bolehlah dia kembangkan bisnes biskut rayanya ke Australia. Kalau Mama Deborah boleh berjaya dengan butik kasutnya, kenapa tidak dia? Rabunah Homemade Cookies! Wah, international gitu! Melencong sampai ke situ angan-angan mat jenin Rabunah hinggalah hidungnya terhidu bau hangit, betul-betul datangnya dari ketuhar pembakar.

“Ya ALLAH, berasap! Abang, tolong bang!! Biskut Una terbakar, bang!!” Tidak pasal-pasal pagi yang tenang lagi damai itu bergempita dengan suara kalut Rabunah yang cemas melihat ketuharnya mengeluarkan asap tipis. Doktor Ally yang baru selembar dua membaca ayat-ayat suci Al-Quran bergegas keluar dari bilik. Terkocoh-kocoh lelaki itu berlari ke dapur.

“Kus semangat!” Terkejut jugalah Doktor Ally apabila melihat ketuhar mininya sudah berasap dan isterinya yang sedang panik itu, sedang sibuk mengipas-ngipaskan ketuhar itu dengan kertas suratkhabar. Doktor Ally menepuk dahi. Ingat bakar sate apa, siap kipas-kipas segala. Lekas Doktor Ally memadam suis yang masih terpasang dan menanggalkan plug sebelum perkara lebih serius berlaku. Rabunah sudah berkaca matanya. Lebih-lebih lagi melihat biskut makmurnya sudah rentung terbakar. Intan terpilih sungguh sudah rupanya. Hitam-hitam semuanya.

“Maafkan Una... Una dah cuba nak buat biskut makmur untuk abang tapi... tengoklah apa dah jadi, dua puluh ketul aje yang okey...” Rabunah rasa hendak menangis. Bersusah-payah dia mahu menunaikan permintaan suami tercinta tetapi disebabkan kecuaiannya sendiri, bukan setakat biskut makmur saja yang dia tidak siap bahkan hendak membuat biskut lain pun tidak boleh. Yalah, satu-satunya ketuhar yang ada ini, entah boleh pakai lagi entah tidak. Nasiblah tidak terbakar satu rumah, kalau tidak beraya bawah pokoklah jawabnya. Rabunah menyalahkan diri sendiri.

Doktor Ally membawa tubuh comel si isteri ke dalam dakapannya. Pipi Rabunah yang berbekas airmata, diseka dengan jari-jemari. Doktor Ally mengucup kedua-dua belah kelopak mata isteri tercinta penuh kasih dan sayang. Lagi lebat tangisan syahdu Rabunah. Dia rasa seperti tidak berguna saja. Isteri-isteri lain, bukan setakat biskut makmur saja boleh disediakan untuk suami mereka, bahkan lebih dari itu. Tetapi dia, baru biskut makmur, sudah gamat satu rumah!

“Tak apalah, benda dah nak jadi kan... Meh, abang rasa biskut makmur yang sayang abang buat ni...” Doktor Ally lembut memujuk. Nampak gayanya, dua puluh ketul biskut makmur yang siap itu, makan untuk sahur sajalah. Doktor Ally mencapainya dari dulang pembakar dan memasukkan ke dalam mulut. “Sedapnya biskut makmur isteri abang buat ni! Boleh bukak bisnes dah ni!” sakat manja Doktor Ally membuatkan Rabunah menumbuk-numbuk dada si suami. Nampak sangat membohongnya!

“Abang sajalah tu nak ambil hati Una. Mana sedapnya biskut makmur tu. Gula aising pun tak letak lagi. Mesti tawar aje...”

“Tawar pun tetap terasa manis, sayang. Tengok senyuman isteri abang yang manis ni, boleh diabetes terus abang tau! He...he...he...”

“Abang suka overlah!”

Rabunah terpujuk hatinya. Doktor Ally sedari dulu lagi memang pandai mengambil hatinya. Ada saja ideanya membuatkan Rabunah tersenyum bahagia. Ya ALLAH, bertuahnya aku mendapat sebaik-baik suami seperti Doktor Ally. Rahmatilah rumahtangga kami dengan nikmat Islam, iman dan ihsanMu ya ALLAH. Rabunah memanjatkan doa kepada ALLAH yang Maha Mendengar. Kalau mahu dilayankan perasaan sentimentalnya pagi-pagi buta ini, mahu saja dia menangis lagi. Yalah, siapa tidak terharu apabila memiliki seorang teman pendamping yang tidak pernah langsung merungut biarpun diri banyak kekurangan.

“Ha, macam tulah! Muka sayang kalau menangis, buat abang geram semacam. Lebih baik sayang berhenti menangis. Kang... kang... kang...” Doktor Ally buat aksi hendak mencempung tubuh badan isteri tercintanya itu. Rabunah lekas-lekas melarikan diri. Sudahnya suami isteri itu bermain kejar-kejar satu dapur. Dua kali lima perangai rupanya.

“Okey-okey Una surrender! Hisy, abang ni teruklah! Hmm... abang Pudina Cintaku sayang... esok kita beli oven yang baru boleh, bang?” Rabunah mengendeng dan menayang muka kasihan. Sengaja dikelip-kelipkan kelopak matanya serupa kucing yang diminta kepalanya ditepuk-tepuk. He...he...he...

“Yalah-yalah. Esok kita pergi beli oven yang lebih besar sikit. Nanti kita buat biskut sama-sama, okey?” Rabunah tersenyum gembira. Melompat dia ke tubuh Doktor Ally, nasib baiklah lelaki itu sempat menyambut. Boleh patah tulang pinggang dibuatnya.

“Sayang abang sangat-sangat!”

“Sayang awak sangat-sangat juga!”

***

Hari ini 27 Ramadhan dan orang tua dulu-dulu suka menggelarkan belah malamnya adalah malam tujuh likur. Rabunah dan Doktor Ally memperhebatkan amalan ibadah pada malam-malam terakhir Ramadhan ini dengan berterawih, mengaji Al-Quran dan beriktikaf di masjid. Azira, yang masih bayi turut dibawa sama. Sekitar pukul 2.00 pagi, mereka keluar menaiki kereta yang dipandu Doktor Ally, menuju ke Masjid Asy-Syakirin KLCC. Di sinilah juga momen-momen manis tercipta di antara mereka berdua sewaktu masing-masing masih anak dara dan bujang teruna.

Rabunah teringat lagi di Taman KLCC inilah, mereka ditakdirkan berjumpa. Ketika itu dia sedang menunggu Wawa, Azlie dan Alin sementara suaminya itu pula sedang berjoging di taman itu. Ya ALLAH, cepatnya masa berlalu! Baru terasa seperti semalam saja kenangan-kenangan manis itu tercipta!

Sampai di perkarangan masjid, Rabunah mendukung Azira yang masih bayi itu ke ruang ibadah untuk muslimat. Sementara Doktor Ally, ke ruang ibadah utama. Alhamdulilah, Azira memang tidak banyak ragamnya. Tidaklah nanti mengganggu ketenteraman penghuni-penghuni rumah ALLAH itu yang masing-masing sedang merebut ganjaran Lailatul Qadr yang dijanjikan ALLAH Subhana wa Taala. Rabunah yang sudah siap-siap bertelekung dan dalam keadaan berwuduk, memilih tempat paling hujung dan tepi sekali. Rabunah membentangkan tilam kecil untuk keselesaan anaknya, Azira yang sedang lena tidurnya.

Di keheningan awal pagi, sayup-sayup kedengaran sedu-sedan tangisan seorang perempuan, sebaris dengan saf Rabunah. Rabunah menoleh ke sebelah, seperti kenal pula orangnya. Rabunah memerhati tampang itu lama, supaya tidak tersalah orang.

“Assalammualaikum... ya ALLAH, Natasha rupanya. Awak pun beriktikaf di sini?” Natasha Giselle yang manis bertelekung, mengesat airmatanya. Lama dia berdoa, memohon ALLAH mengampunkan segala dosa-dosanya yang lalu.

“Waalaikumusalam warahmatullah. Rabunah...” Natasha mendakap tubuh Rabunah lantaran sudah lama tidak berjumpa. Kalau dulu mereka berseteru, tetapi atas limpahan hidayah dan mahabbah ALLAH, hubungan kedua-duanya sudah pun baik. “Saya datang dengan suami. Ezir katanya mahu beraya di Malaysia, itulah kami balik hujung-hujung Ramadhan ni. Ingatkan hendak buat surprise dengan awak berdua.” Ramah dan lembut sekali Natasha menjawab. Selepas Natasha dan Ezir berkahwin, pasangan suami isteri itu khabarnya menetap di Australia. Natasha menguruskan butik kasut Puan Deborah di sana. Sementara butik kasut Debbie Couture di Mewah Boulevard pula, diuruskan Puan Deborah sendiri.

“Saya pun datang dengan suami juga. Ya ALLAH, tak sangka kita boleh jumpa di rumah ALLAH ini. Bertambah-tambah nikmat saya rasa.” Rabunah yang memang polos jiwanya, berkata jujur.

“Rabunah, maafkan saya ya... kes-kes yang dulu tu...” Natasha Giselle masih lagi menyimpan rasa bersalah terhadap Rabunah dan Doktor Ally. Yalah, dulu dia banyak dosa dengan kedua-dua pasangan suami isteri itu.

“Hisy, benda dah lepaslah Natasha. Saya tak ingat pun lagi. Hmm... Farihna apa cerita sekarang? Saya tahu dari Alin, Farihna sekarang ni menetap di Beijing. Wah, semakin hebat korang semua. Saya juga masih di Malaysia ni.” Rabunah merendah diri. Biarpun dia sekarang doktor gigi dan bakal membuka klinik sendiri sedikit masa lagi.

“Haah, Farihna sekarang kan tauke besar restoran halal di Beijing sana. Tapi semalam dia beritahu saya di Facebook, dia akan balik Malaysia juga raya tahun ni.”

“Alhamdulilah, seronok saya mendengarnya. Marilah kita teruskan ibadah, nanti waktu sahur kita sambung sembang kita lagi.” Sekitar jam 3.00 pagi bermulalah Program Iktikaf dan Qiamulail Bersama Imam Undangan di Masjid Asy-Syakirin KLCC sepanjang 10 hari terakhir Ramadhan. Kelazatan melaksanakan ibadah membuatkan Rabunah, Natasha juga sekalian penghuni rumah ALLAH itu terus larut dalam kemanisan menghadap ALLAH.

***

Persahabatan mereka berempat tidak pernah putus sekalipun dua di antara mereka sudah pun berumahtangga. Kalau dulu, Rabunah dan Wawa bebas untuk keluar ke mana-mana tetapi sekarang mereka perlulah meminta izin dengan suami masing-masing. Mujurlah Doktor Ally dan Fauzi, sporting orangnya. Rabunah dan kakak iparnya, Wawa punyalah teruja. Yalah, mereka sudah jarang-jarang keluar begini semenjak bergelar isteri tetapi apabila mendapat lampu hijau daripada suami, tersenyum lebar kedua-duanya sampai ke telinga.

So, apa perkembangan projek biskut makmur kau tu Una? Jadi ke tidak?” tanya Azlie.

“Mestilah jadi. Pejam mata aje tau!”

“Yelah tu, pejam mata. Akak tahu dari abang Fauzi, ada orang tu bakar biskut sampai hitam rentung bagai.”

“Lah, ye ke Wa? Ha...ha...ha...”

Rabunah mencubit lemak di pinggang kakak iparnya itu. Ini sudah tentu kerja abangnya, Fauzi yang sabotaj. Sebab sehari selepas kejadian ketuhar berasap itu, belah siangnya Fauzi dan Wawa datang berkunjung ke rumah. Dan kebetulan pula, berketul-betul biskut makmur yang rentung itu tidak dibuangnya lagi ke tong sampah. Ah, bikin malu betul.

“Kak Wa pun sama macam abang Fauzi tau. Kaki sabotaj. Grr!” sekali lagi Rabunah membuat suara deraman kucing manjanya itu. Dalam pada tergelak-gelak itu, baik Rabunah mahupun Wawa terperasan sesuatu yang membuatkan kedua-dua mereka terjongket kening masing-masing.

Gotcha! Korang bercinta eh?” Wawa menebak. Azlie dan Alin yang sakan ketawa sambil bertepuk-tepuk manja, terus berdiri tegak seperti tiang telefon.

Obvious sangat ke, Wa?” Erk! Terlepas cakap pula! Lurus bendul juga si Azlie ini rupanya. Alin menepuk dahi. Sudahnya, giliran Wawa dan Rabunah pula ketawa terbahak-bahak.

See! Kau sendiri dah mengaku! Ha, kantoi! Sejak bila ni?” Rabunah menyergah. Azlie dan Alin tergaru-garu kepala serentak. Alin tertunduk malu. Mahunya dia tak segan?

“He...he...he... sebenarnya, kitaorang nak buat pengumuman ni. Kami nak bertunang lepas raya ni.”

“Ya ALLAH, betul ke ni??” serentak Rabunah dan Wawa bertanya. Tubuh Alin dipeluk mereka. Gembiranya mereka! Akhirnya, Azlie bertemu dengan jodohnya. Benarlah kata orang, jodoh ini sebenarnya berada dekat dengan kita. Tidak payah mencari yang jauh-jauh. Terkadang, insan yang sudah ditakdirkan untuk kita itu berada di sisi kita saja. Tinggal lagi, antara kita sedar atau tidak.

“Syukur, alhamdulilah!” Rabunah terlalu gembira sehingga mengalirkan airmata. Melihat Rabunah menangis, Alin pun menangis terharu. Dulu, dia banyak buat salah dengan Rabunah. Tetapi sahabatnya yang berhati mulia itu, tidak pernah sedikitpun mengungkit. Malah selalu mendoakan yang baik-baik untuk dirinya.

“Terima kasih, Una. Bertuah aku ALLAH kurniakan kau sebagai kawan aku.”

“Aku sayangkan kau Alin. Aku juga sayangkan Azlie. Bila dapat tahu berita gembira ni, aku rasa syukur sangat-sangat. Koranglah sahabat baik aku yang tidak mungkin aku lupakan hingga hujung nyawa aku.” Azlie yang mendengar, berkaca matanya. Benar, Rabunah adalah sahabat terbaik yang pernah dia ada.

“Dah...dah... tak payahlah nangis-nangis. Ha, kau Azlie! Dah nak jadi suami orang tu, ubah-ubahlah perangai lembut kau tu! Biar keras sikit!” sakat Wawa sekadar bercanda. Azlie menjelirkan lidahnya. “Tengok tu! Jelir lidah orang perempuan ajelah yang buat! Hisy, kau ni!”

Azlie mencekak pinggang. Sudah fitrahnya lemah-lembut begitu, mana boleh diubah secara paksa dalam sekelip mata. Tetapi Azlie berjanji dengan dirinya sendiri untuk menjaga Alin dengan baik dan membahagiakan gadis itu seadanya. Barangkali, berkat Ramadhan terbuka hatinya untuk mengikat tali pertunangan dengan Alin di bulan kemenangan, Syawal yang dinanti-nanti.

***

Usai mendirikan solat sunat Idulfitri di masjid berhampiran dan bersalam-salaman memohon keampunan, Rabunah, Doktor Ally dan anak bergerak ke rumah Doktor Ashraff dan Puan Fatimah. Besan mereka, Doktor Khairul dan Puan Deborah juga ada sama. Mereka menaiki kereta dan perjalanan ke sana, tidaklah jauh mana dan mengambil masa yang lama. Wawa, Fauzi dan Syazni terlebih dulu sudah sampai. Berhimpun mereka semua di rumah banglo tersergam indah di kawasan kediaman elit Mewah Boulevard itu. Beginilah kehidupan orang bandar beraya. Kemeriahannya tetap terasa.

Rabunah tidak ketinggalan membawa beberapa masakan yang sempat dimasak pada malam rayanya seperti rendang ayam, kuah kacang dan biskut raya air tangannya ke rumah orang tuanya. Dia mahu Puan Fatimah merasa kesedapan masakannya. Cewah!

“Mak usu!! Nak duit raya!!”

Belum sempat duduk lagi, Syazni sudah menderu memeluknya. Rindulah tu! Rabunah mencium kedua-dua belah pipi gembol anak buah kesayangannya itu. Sudah besar Cajeni sorang ni! Bercakap pun sudah tidak pelat lagi.

“Cajeni puasa cukup ke tidak nak minta mak usu duit raya ni?”

“Mestilah cukup! Hisy, nama kita Syaznilah.”

“Mentang-mentang dia tak pelat lagi. He...he...he... Yelah, Syazni yang mak usu sayang. Cepat salam mak usu dulu, baru dapat duit raya.”

Syazni yang cantik berbaju kurung berkilat-kilat, melonjak-lonjak suka. Apatah lagi sampul duit raya yang diterimanya adalah sampul kartun. Dia lebih teruja membelek sampul duit raya berbanding isi duit di dalamnya.

Selepas sesi bersalam-salaman dan sudah semestinya tidak ketinggalan, babak-babak mengalirkan airmata, mereka sekeluarga ke meja makan. Inilah masanya Rabunah hendak menunjuk hebat. Dia mahu semua orang merasa rendang ayam dan kuah kacangnya. Alah, sekali-sekala berlagak di pagi raya. He...he...he...

“Sedapnya rendang ayam ni. Siapa yang buat?” Puan Deborah memuji. Kembang kempis hidung Rabunah dibuatnya, manakan tidak, dipuji ibu mertua sendiri. Fauzi mencari-cari idea hendak menyakat adik perempuannya itu. Sudah lama dia tidak berpeluang mensabotaj Rabunah. He...he...he... tiba-tiba idea nakalnya datang.

“Meh abang pulak rasa,” Fauzi meratah rendang ayam air tangan adiknya itu. Alamak, memang sedaplah pulak! Kalau tawar ke, terlebih masin ke, bolehlah dia mengenakan Rabunah cukup-cukup. Hisy, tak boleh jadi!

“Hulurkan biskut raya yang Una buat tu pulak,” Rabunah mengecilkan kelopak matanya. Dia sudah dapat menghidu perancangan licik abangnya itu. Cis! Hendak tidak hendak, Rabunah menghulurkan biskut raya yang dibuatnya itu. Ada tat nenas, ada semperit dan ada... biskut makmur!

“Kenapa biskut makmur ni rasa asap, Una?” Fauzi buat-buat muka bertanya. Hampeh! “Ini mesti kes oven terbakar ni! Ha...ha...ha...” Fauzi guling-guling ketawa. Lelaki itu sudah hendak melarikan diri. Rabunah pantas mengejar. Baik Wawa mahupun Doktor Ally menggeleng-gelengkan kepala. Adik-beradik begini pun ada dalam dunia ini. Tua bangka tetapi perangai tidak ubah seperti kanak-kanak ribena. Hujungnya, berlakulah peperangan pagi raya paling riuh yang pernah berlaku di abad ini. Biskut makmur punya pasal! Ha...ha...ha...

TAMAT

<center><iframe width="560" height="315" src="//www.youtube.com/embed/thiSrZDOqGw" frameborder="0" allowfullscreen></iframe></center>

Nota Penulis: A.D. ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Idulfitri kepada semua pembaca yang telah menyokong Pudina Cinta dan membeli novel ini. Pudina Cinta ‘Raya Special’ ini digarap istimewa untuk anda. Sayang korang! Jangan lupa... sebarkan cinta dan iman! Salam berlebaran!

Kredit: Editorial RASA Grup Buku Karangkraf untuk resipi Biskut Makmur

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.