Home Cerpen Komedi/Romantik Komedi SAYA CINTA AWAK
SAYA CINTA AWAK
25/5/2016 11:31:19
8,253
Kategori: Cerpen
Genre: Komedi/Romantik Komedi

Maisara membuka kotak hadiah bertulis namanya dengan berhati-hati. Bibir sejak tadi menguntumkan senyum. Dapat hadiah siapa yang tak suka. Nurul yang berdiri di sebelahnya turut ingin tahu apa isi kandungan dalam kotak itu. Senyum Nurul mati.

“Aargh!!” Maisara menjerit sambil mencampakkan kotak di tangannya kepada Nurul. Dia segera berlari dari situ. Dia terlanggarkan seseorang. Dia berpaling. Siapa pulak pakwe hensem ni.

“Maafkan saya…” Maisara meminta maaf. Di sebelah pemuda itu majikan mereka Tan Sri Kamil.

“Kamu dah kenapa pulak menjerit pagi-pagi ni. Syarikat saya ni ada hantu ke?” Tan Sri Kamil nampak wajah pucat Maisara.
“Sara… ni patung aje. Bukan anak ayam betul pun. Cute betul…” Nurul mengusap patung-patung anak ayam yang beraneka warna di dalam kotak. Lembut betul bila disentuh.

“Kamu takut ayam ke Sara?” tanya Tan Sri Kamil sambil tersengih. Sara jadi malu. Mujur juga pemuda hensem tadi buat tak tahu. Siapalah agaknya yang hantar hadiah tu. Rasanya dah lama dia tak melompat sebab ayam.

“Ni semua gara-gara Safwan bengong tu… Kalau aku jumpa dia…”

“Kalau jumpa apa Sara… ni anak buah saya pun nama Safwan jugak. Kamu nak belasah dia ke? Syang betul muka cantik tapi brutal.” Tan Sri Kamil mematahkan kata-kata Maisara. Walaupun nampak manis berbaju kurung, Maisara pantang diusik. Kalau bergaduh dengan Maisara hanya penumbuk jadi jawapan.

“Saya tak cakap pasal anak buah Tan Sri ni… Saya cakap pasal Safwan yang buat saya fobia tengok ayam. Dia memang dengki dengan saya. Saya takut dengan ayam sebab dialah. Dia kejar saya dengan ayam… benci betul dengan dia.” Maisara mendengus marah. Tak sengaja terluah perasaan pulak. Tan Sri Kamil angguk faham. Mana kala anak saudaranya buat muka tak berminat.

“Jangan benci sangat nanti dia datang sebagai jodoh kamu… kamu hadaplah muka yang kamu benci tu seumur hidup. Dia usik kamu sebab dia suka kamu tu…” ujar Tan Sri Kamil. Maisara terkulat-kulat. Berjodoh dengan Safwan bengong tu memang tidaklah. Tak hingin dia dengan orang yang suka menyakitkan hati dia.

“Eei tak nak lah… Sanggup saya bujang sampai tua.”

“Kalau kamu kahwin dengan Safwan bengong tu saya belanja kamu Honeymoon pergi Paris. Tak nak ke?” Tan Sri sengaja mengusik. Maisara memang ganas tetapi manja sebenarnya. Sama macam anak bongsunya Suri yang sedang belajar di London.

“Takdenye saya kemaruk nak cari dia semata-mata nak pergi Paris free…”

“Saya offer je…”

Maisara menjeling. Kenapa tiba-tiba nama Safwan tu muncul. Bencinya. Safwan bengong yang berjaya membuatkan permulaan harinya suram. Dahlah dapat hadiah patung anak ayam. Tiba-tiba pulak boss usik pasal jodoh dengan Safwan. Lama-lama dia pulak yang bengong.

“Tan Sri… Puan Juwita pesan jangan borak lama sangat. Meeting dah nak mula…” tiba-tiba Nurul mencelah. Puan Juwita PA Tan Sri dah faham sangat kerenah boss yang pasti lepak-lepak dan borak sebelum mula bertugas.

“Okeylah saya naik dulu… ini kenalkan anak saudara saya yang bakal jadi pengganti saya, Hadi Safwan…panggil dia Hadi. Kalau panggil Safwan kang kena tumbuk dengan Sara ni…”

“Selamat datang Encik Hadi…” Maisara dan Nurul bersuara serentak. Hadi mengangguk dan membalas dengan senyuman. Maisara dan Nurul turut tersenyum. Hensem sungguh anak saudara Tan Sri Kamil. Jelmaan Shahrul Ridwan turun ke Citra Suasa.

“Jangan senyum lebih-lebih. Orang punya ni…”

Senyuman Maisara mati. Bakal menantu ke. Belum apa-apa dah cop untuk anak sendiri. Sepupu sepapat bukan tak boleh kahwin. Tapi DNA tak berkembang nanti. Dia memerhatikan Tan Sri Kamil dan Hadi menghilang masuk kedalam lif. Sempat pula dia bertukar pandang dengan Hadi. Hatinya dah mula mencair seperti ais batu di tengah panas terik.

“Aku rasa lif tu dah sampai kat atas. Tak payahlah tenung macam tu sekali.”

Maisara tersentak. Nampak sangat ke dia tenung lif tadi. Bakal menantu Tan Sri Kamil ni memang buat hati dia bergetar. Tapi apa boleh buat dia hanya gagak di rimba. Hadi ibarat merak kayangan. Raja segala burung kerana memiliki keindahan yang sangat luar biasa dan memukau sesiapa yang melihatnya.
“Siapa Safwan?” tanya Nurul.

*****

“Makk!!!!” Maisara menjerit sambil berlari ketakutan.
Seorang kanak-kanak lelaki yang tua dua tahun dari dia sedang mengejarnya. Di tangan kanak-kanak lelaki itu seekor ayam jantan berwarna hitam. Kanak-kanak lelaki tadi tersengih sambil mengacah mendekatkan ayam kepada Maisara.

“Sara takut ayam ye… nah ambik ayam ni.” Safwan terus mengejar Maisara. Seronok pula rasanya mengusik kanak-kanak berusia sepuluh tahun ni. kanak-kanak lain cakap Maisara ni manja dan takut pada ayam.

“Tak nak! Tak nak! Mak tolong Ara…” Maisara menjerit lagi. Air mata mula mengalir. Dia sangat takut.

“Safwan! kenapa nakal sangat ni. Kesian Sara sampai nangis-nangis…”

Maisara menagis tersedu-sedan. Nasib baik jirannya Makcik Salwa muncul. Mak cik Salwa mak saudara Safwan. Mak cik Salwa mengusap rambut Maisara dan mengelap airmatanya. Safwan berdiri agak jauh sedikit. Maksunya kalau mengamuk lain macam.

“Kenapa Sal… akak dengar si Sarah ni terjerit-jerit dari rumah tu. Ingat ada orang jahat ke apa. Kenapa Sara… pasal ayam lagi ke?” Puan Rokiah ibu Maisara muncul. Kalau Maisara menangis pasti sebab ayam.

“Biasalah kak… kumbang kejar bunga… kumbang ni pun nak cari perhatian bunga guna cara salah.” Makcik Salwa jeling Safwan. Safwan tersengih.
“Sara masuk dalam mandi. Cengeng betul budak sorang ni…”
Maisara berlari mendapatkan ibunya. Dia jelir lidah ke arah Safwan. Safwan membalas. Dua kanak-kanak saling menjelir lidah.

“Sara!”

Sara tunduk. Dia berjalan perlahan-lahan masuk ke dalam rumah. Safwan tersenyum puas. Suka pulak tengok Sarah kena marah.

“Kumbang sekor ni… gunalah taktik elok sikit.” Mak Cik Salwa menarik telinga Safwan. Maisara yang menjeling dari tangga menjeling. Dia ketawa melihat Safwan mengaduh sakit.

*****
“Mak nak bagitau ni… tadi ada rombongan merisik kamu datang.” Puan Rokiah berbicara selembut mungkin. Tak mahu Maisara melompat atau terkejut.

“Apa mak masuk merisik… manusia mana pulak yang otak weng merisik orang ni.” Maisara ketawa terbahak-bahak. Sepanjang usianya tiga puluh tahun ini kali pertama dia di risik. Rombongan merisik datang meminang adik-adik dia saja. Sekarang anak dara Puan Rokiah dah habis jadi milik orang. Tinggal dia yang paling tua.

“Mak dah terima. Harap Sara pun terima ye sayang…”

“Tapi mak…”

“Sara dah masuk tiga puluh tahun. Nak kata cari sendiri tak pernah pun bawak balik calon. Ni dah ada orang nak tu. Terima ajelah.” Pujuk Puan Rokiah. Risau anaknya yang paling sulung belum bertemu jodoh.

“Mak…”

“Jangan fikir lagi. Mak dah terima. Kamu nikah dua minggu lagi. Pihak lelaki tak nak tunggu lama-lama.”

“Mak!! Sampainya hatimu…” Maisara menangis teresak-esak. Dua minggu lagi dia akan menikah. Biul ke apa lelaki tu. Ramai lelaki reject dia sebab ganas. Mesti ada fishcake di sebalik mee. Kenapa tiba-tiba masuk merisik dan terus nak kahwin.

“Demi mak tersayang Sara ikut je. Boleh Sara tau siapa bakal suami Sara tu… kenapa tak betul sangat pilih pompuan macam Sara ni.” tanya Maisara. Kot-kot dia kenal dan boleh sound tepek lelaki tu. Jangan pandang rupa aja kalau suka anak orang kena kenal dulu. Meh sini rasa penumbuk Sara.

“Safwan… anak buah Mak Cik Sara. Jiran kita kat kampung tu…”

“Haa!!!”

*****
“Dengar kata nak kahwin…”

Maisara kecikkan mata. Mana pulak Tan Sri Kamil ni tahu. Baru semalam kot dia dapat berita dari mak. Mata bengkak lagi sebab menangis. Nurul nampak tercengang. Siapa tak terkejut bila dengar cerita Sara Brutal nak kahwin. Lelaki mana yang sanggup jadi suami Sara yang ganas ni.

“Kamu lupa ke mak kamu dengan Puan Sri group marhaban. Dah tentu saya pun tahu…” ujar Tan Sri Kamil sambil tersengih. Maisara angkat kening. Ni mesti tumpang sekaki nak sakat dia. Maisara tepuk dahi. Mak ni memang tak bagi can dia nak tolak. Dah dicanang satu taman rupanya.

“Saya baru nak jumpa lelaki tu mintak dia batalkan… mak dah canang satu kampung pulak. Adoi la…”

“Kenapa nak batalkan… terima aja lah kalau orang nak.” Kata Nurul. Maisara ni memang tolak tuah. Tapi siapapun akan melenting kalau kahwin paksa.

“Aku tak nak. Dia musuh aku dunia akhirat…”ujar Maisara. Matanya sempat menjeling Hadi Safwan anak saudara Tan Sri Kamil yang sedang sibuk dengan handphone. Kalau lelaki hensem ni masuk meminang memang dia terima seribu persen. Tapi anak saudara Tan Sri Kamil ni macam sombong sangat. senyum pun tak mahu.

“Kamu ni Sara… jangan musuh dunia akhirat jadi cinta mati pulak…”

“Taklah… gerenti.” Maisara yakin. Dia tersenyum. Harap-harap rancangannya lancar.

“Cik Maisara siapa…” seorang remaja lelaki datang membawa sejambak bunga. Mengganggu perbualan mereka bertiga pagi-pagi ni. Maisara bagi isyarat pada remaja itu. Siapa pulak bagi bunga pagi-pagi ni.

“Sain sini kak… jangan tanya dari siapa saya tak tau….”


Maisara pandang budak lelaki tu. Dah pandai baca fikiran orang. Bunga mawar merah dua puluh kuntum. Sempat lagi dia kira. Dia pernah baca dalam website, dua puluh kuntum bermakna aku tulus mencintaimu.

“Romantiknya bakal suami kamu…” Tan Sri Kamil sengaja mengusik Maisara. Maisara diam. lagi dilayan nanti lagi galak diusik. Dia menarik kad di dalam jambangan bunga.

‘Jangan cuba-cuba nak reject lamaran saya. Nanti saya hantar satu lori ayam kat rumah awak dan kat pejabat awak. Saya bagi amaran ni.’

“Dia tulis I love you ke…” tanya Nurul tak sabar. Staff yang mula masuk kerja hanya menjeling gelagat mereka bertiga. Memang semua sedia maklum Tan Sri Kamil suka bersidai di meja penyambut tetamu sebelum masuk kerja.

“I love u ke apanya… dia bagi amaran. Nah baca…” Maisara menghulurkan kad kepada Nurul. Seperti yang dia jangka Nurul akan ketawa terbahak-bahak. Kad itu di serah pula kepada Tan Sri Kamil. Sama seperti Nurul Tan Sri Kamil pun ketawa terbahak-bahak sampai bergema satu lobi.

“Belum apa-apa dah lancarkan perang… ni yang tambah kuat semangat nak reject ni…” Maisara kepal penumbuk. Silap lah kalau sangka Maisara akan takut.

“Cik Maisara…”seorang lelaki muda datang membawa satu bakul penuh berisi coklat. Maisara melopong. Tengok coklat sebanyak ni dia cair. Siapa pulak yang kirim. Mana tau dia hantu coklat.

“Sain sini kak…”

Maisara membelek bakul yang berisi coklat tu. Nurul pulak terlebih teruja melihat coklat penuh satu bakul. Tan Sri Kamil sudah jeling-jeling lagi. Alamat lambatlah boss ni naik pejabat. Nak tengok drama swasta. Anak sedara boss ni apahal tak naik lagi. Sibuk main henpon je.

‘Amaran kedua… jangan ada niat nak reject lamaran saya. nanti saya ikat sekor ayam jantan kat kepala katil awak biar kena patut hari-hari.’

“Arghh!! Boleh jadi gila macam ni. Lantaklah amaran apa pun. Tetap akan reject..”

Tawa Nurul dengan Tan Sri Kamil pecah lagi. Unik betul bakal suami Maisara. Hantar hadiah cukup sweet tapi ayat pembunuh jiwa. Maisara geram.

“Cik Maisara…”

“Apa pulak ni…”

Seorang lelaki berdiri dengan teddy bear yang sebesar orang yang membawak tu. Memang dia berangan-angan nak teddy bear sebesar manusia. Tadi bunga dan coklat. Sekarang teddy bear. Apa lagi kejutan yang bakal dia terima nanti.

Jangan nak mengada-ngada nak reject saya. bukan setakat ayam jantan. Satu keluarga ayam saya ikat kat bilik awak. Biar awak tak boleh tidur’

“Eee… geramnya. Berani betul nak ugut orang…” Muka maisara dah merah menyala. Mengorat zaman baru memang macam ni ke. Style amaran macam ni. Dia nak sangat jumpa Safwan sekarang ni. Nak bagi mata panda.

“Cik Maisara..."

Maisara mengundur ke belakang. Safwan dah buat kepala gila dia. Seorang lelaki berdiri di depannya dengan mengepit seekor ayam jantan. Maisara lari menjauh. Hantar ayam pulak kat sini. Nurul menghulurkan kad yang diberi pemuda tadi.

‘Kalau awak tak terima lamaran saya ayam jantan ni akan di gam kat meja penyambut tetamu ni. biar awak merana seumur hidup. Pandai-pandailah awak kerja dengan ayam tu.’

“Yalah… saya terima lamaran awak wahai Safwan yang sangat menyakitkan hati!” jerit Maisara. Suaranya bergema di lobi. Mujur tiada siapa di lobi melainkan mereka. Dia menangis dalam hati. Gila dia macam ni. Asyik kena ugut je.

“Ayam ni saya punya. Ini hadiah Cik Maisara…” lelaki tadi tersenyum dan menghulurkan sebuah kotak baldu kepada Nurul. Dia sedia maklum yang Maisara tak akan mendekat kerana takut ayam.

“Saya minta maaf ye Cik Maisara. Saya cuma menjalankan tugas.” Lelaki itu tersenyum dan terus berlalu. Maisara mendekati Nurul sebaik sahaja lelaki itu lenyap dengan ayamnya sekali. Dia ambil kotak baldu dari tangan Nurul. Sekeping kad dilekatkan di kotak.

‘Terima kasih sebab sudi terima saya. Saya cintakan awak. Saya cintakan awak sejak saya kenal erti suka. Saya selalu impikan yang kita akan bersama akhirnya. Dah lama saya simpan rasa cinta ni untuk awak. Semoga rumahtangga yang bakal kita bina akan kekal hingga ke Jannah. Saya cintakan awak bakal isteri saya. Dari Safwan yang menyakitkan hati.

Setitik air mata Maisara gugur. Hatinya sebak. Sebesar ini cinta Safwan pada dia. Dia hanya kenal Safwan semasa kecil. Safwan yang suka membuli dia dan mengusik dia. Takkan sejak itu Safwan suka dia. Sebab semasa insiden ayam tu kali terakhir dia jumpa Safwan. selepas itu dia dan keluaganya berpindah.

“Kau okey ke Sara…”tanya Nurul bila Maisara senyap je. Dia nampak Maisara kesat air mata. Tan Sri Kamil juga nampak berminat nak tau.

“Kali terakhir aku jumpa dia dua puluh tahun lepas. Masa tu umur aku baru sepuluh tahun. Takkan selama tu kot dia simpan cinta untuk aku…” ujar Maisara diiringi air mata. Sungguh dia terharu. Hatinya cukup tersentuh dengan pengakuan cinta Safwan.

“Memang jodoh kau tu… sudahlah jangan nangis aku tumpang gembira untuk kau.” Nurul peluk Maisara. Akhirnya sahabat baiknya akan jadi isteri orang.

“Lepas ni pergi HR apply cuti tiga minggu… habiskan cuti tak dituntut kamu tu. Lepas nikah kan nak fly pergi Paris… pergi contact Puan Sri. dia cakap nak groom ke apa tadi. Excited sungguh anak BFF dia nak kahwin…”

“Baik Tan Sri…” jawab Maisara perlahan. Safwan dah berjaya mengocak ketenangan hatinya sekarang ni.

****

“Lepas ni kamu boleh teman saya memancing… suami kamu mesti dia izinkan.” Tan Sri Kamil tersengih. Maisara yang cantik manis sudah masam mencuka. Dia buat tak tahu je Tan Sri Kamil di sebelah.

“Sayang… Pak Long tanya tu kenapa tak jawab.”

Maisara diam. Cuba untuk bersabar. Kalau tak baju kurung warna putih yang dia pakai akan bermandi darah. Sampai hati dua orang lelaki yang dia kenal ni mempermaikan dia. Tan Sri Kamil terutamanya. Memang dia nak mengamuk. Tapi tak boleh sebab dia pengantin perempuan hari ni. Lelaki-lelaki yang jadi penghantar hadiah tempoh hari ada menyertai rombongan pengantin lelaki.

“Saya tak tau yang Hadi Safwan membujang sebab kamu. Masuk je lif hari pertama tu dia dah cakap nak masuk merisik kamu. Saya call Puan Sri… dia yang uruskan semua. Percayalah cakap saya anak buah saya tu betul-betul cintakan kamu ”jelas Tan Sri Kamil. Dia pun tak tahu Safwan yang dimaksudkan Maisara anak buahnya sendiri. Keluarga adiknya cukup risau sebab usia Safwan dah terlebih layak bergelar suami. Maisara tetap membisu.

“Sayang jom teman abang keluar jap…” Safwan meraih jemari Maisara ke dalam geenggamannya. Maisara akur walaupun rasa berat hati. Safwan perasan muka masa Maisara sebaik sahaja selesai akad nikah tadi. Dia perlu jelaskan sesuatu pada isterinya.

Mereka berdua-duaan di taman mini. Tempat Maisara selalu melepaskan masalah dan kesedihan. Maisara segan untuk bertentang mata dengan suaminya. Hadi Safwan yang tak pernah senyum bila melihat dia dah jadi suami sendiri. kejutan yang sangat besar.

“Sayang marah ke?”

Maisara geleng. Dia tak faham apa perasaan dia sekarang

“Betul ke awak cintakan saya sejak dulu…”

Safwan senyum. Dia faham kalau ramai yang tak percaya. Memang semasa umur dua belas tahun dia jatuh suka pada anak jiran sebelah rumah maksunya. Suka sangat tapi anak jirannya tu sombong. Langsung tak nak senyum. Sampai satu hari dia kejar dengan ayam. Baru dia dapat dengar suara emas anak jirannya. Tapi itulah kali pertama dan kali terakhir. Sejak dari hari itu dia merindui Maisara.

“Abang rindu senyuman Sara yang manis ni. Bila Sara senyum mata Sara jadi sepet. Cantik sangat.” Safwan mengelus lembut pipi isterinya. Maisara sejak tadi tunduk malu.

“Pandang abang…”

Maisara angkat muka. Wajah tampan Hadi Safwan terhidang di depan matanya. Berbeza sungguh dengan Safwan yang mengejarnya dengan ayam dahulu.

“Jangan tanya kenapa saya jatuh cinta pada kanak-kanak comot tu. Saya sendiri tak tahu kenapa saya tergila-gilakan perempuan yang tak mungkin saya akan jumpa. Saya tak tahu kenapa cinta saya boleh bertahan lama macam ni. Apa yang saya tahu hidup seorang Safwan tak akan lengkap tanpa Maisaranya. Hati saya yakin sangat yang Sara saya akan kembali ke pangkuan saya suatu hari nanti…”

Maisara kelu. Mata Safwan membayangkan keihlasan kata-katanya. Walaupun dia dah lama lupakan Safwan tapi dia tahu hatinya mula cintakan suaminya.

“Saya bersyukur sangat sebab terima tawaran Pak Long. Lepas sayang langgar kat lobi dan dengar cerita pasal ayam dan Safwan saya yakin orang yang saya cari ada kat depan saya. Akhirnya doa saya dimakbulkan. Sara saya dah kembali pada saya…”

Manik-manik halus mula mengalir di pipi Maisara. Selama ini dia sangka tak akan ada sesiapa yang akan jatuh cinta pada dia. Sejak dia di reject oleh bakal mak mertua lama dahulu dia cukup takut untuk bercinta. Pertama kali dia punya kekasih semasa di universiti. Tapi hubungan tak di restui dengan alasan Maisara nampak kasar dan kuat melawan.Tapi sekarang orang yang tak pernah dia duga datang menghulurkan cinta.

“Saya cinta awak…” Sara senyum dalam tangisan. Safwan peluk isterinya. Dia berdoa agar hubungan mereka kekal hingga ke Jannah.


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.