Home Cerpen Kisah Hidup Azan Tanpa Tetamu
Azan Tanpa Tetamu
Hasan Z. Ali
12/4/2020 14:54:23
235
Kategori: Cerpen
Genre: Kisah Hidup

Langit mula muram. Haji Yaakob atau mesra dipanggil Tok Kob, sudah bersedia untuk melaungkan azan. Beliau memang bilal yang berpengalaman. Sekembalinya dari menunaikan umrah musim sejuk tempoh hari, bukan main padu kumandang azannya. Lain macam. Tok Kob walaupun dah nak masuk 8 siri, tapi suara azannya masih lemak berkrim. Tok Kob sendiri kurang minum ais.

 

Allahuakbar… Allahuakbar!

 

Subhanallah, merdunya. Radin sudah bersedia untuk ke Masjid At-Taqwa, masjid dimana Tok Kob melaungkan azan tadi. Radin merupakan anak lelaki satu-satunya Tok Kob, seorang lagi Shahrul sudah meninggal dunia tahun lepas sebab kena langgar lari. Tok Kob sangat sedih. Ingat lagi haritu, azannya bernada hiba. Baginya, azan adalah pengubat dan penguat dirinya.

 

Seketika, Tok Kob iqamah menandakan kesediaan jemaah untuk menunaikan solat Maghrib. Jemaah mula memenuhi saf-saf yang ada. Masjid At-Taqwa merupakan masjid kariah bagi Kampung Damar, Kampung Pokok Jelutong dan Kampung Tukat. Masjid ini pun agak besar.

 

Selepas solat Maghrib, menantikan solat Isyak, ada tazkirah oleh Ustaz Fahmi. Ustaz Fahmi ni memang handal dengan ilmu Usuluddin. 7 tahun menadah aneka kitab di benua Afrika. Semua dibalun. Tapi Ustaz Fahmi paling minat Usuluddin. Usuluddin sebaik-baik tunjang ilmu.

 

Tatkala papan waktu solat mula berdering Isyak, Ustaz Fahmi pun menutup tazkirahnya. Tok Kob pun melaungkan azan Isyak. Malam makin pekat, merdu masih sama.

 

Seusai solat.

 

“Din, malam ni makan apa?,” tanya Tok Kob pada Radin.

  

“kerutut daging dengan sayur lemak abah,” jawab Radin.

 

“abah nak makan kat rumah kamulah, boleh ke?” Tok Kob ingin menukar latar selera. Radin pun oke je. Lagipun, rumah mereka anak beranak bersebelahan sahaja. Setelah berkahwin, Radin memang ingin tinggal berdekatan dengan ayahnya.

 

Mereka berdua pun berjalan ke rumah Radin. Mak Nab, isteri Tok Kob pun bawa lauk ke rumah sebelah. Tok Kob pun makan malam bersama isterinya, anaknya, menantunya si Dayana dan tiga orang cucunya, Fatihah, Nadhirah dan Amirah.

 

“minta maaflah emaknya, susahkan awak bawak lauk dari sana kesini,” Tok Kob minta maaf pada isterinya. Mak Nab kata tak apa, lagipun Mak Nab muda 10 tahun dengan Tok Kob pula. Kahwin muda. Kudratnya masih gagah. Malam itu, makanlah tiga generasi itu bukan sekadar kerutut daging dan sayur lemak, Dayana menantu kesayangannya itu buatkan pula ikan percik, telur dadar dengan ulam-ulaman beserta budu. Syukur rezeki Allah Ta’ala. Bila lagi nak merasa macam ni, kan?

 


 

Mentari Kampung Damar mula menjelma riang. Bermulalah hari penuh semangat seperti kebiasaan. Rutin Tok Kob seperti biasa. Pagi-pagi lagi sudah membuka kandang, lembu-lembunya dapat meragut rumput. Tengah hari nak ke petang nanti, makan kulit timun cina pula.

 

Dari kandang fauna, Tok Kob juga berkebun. Segala benih dan baja yang diberi oleh Gabenor, digunakan sebaiknya. Ditanamnya pokok lada, serai sampai tak menyenarai ni. Tok Kob bajanya, Mak Nab siramnya. Sesuai dengan kata hikmah, berbudi pada tanah, hasil tuai adalah anugerah.

 

Begitulah siang Tok Kob. Sebagai seorang bilal, dia semestinya datang awal ke masjid. Hari Jumaat datanglah lebih awal. Menolong siak masjid Hamdan dan Osman hampar sejadah. Begitulah sehari-hari Tok Kob. Jiwanya dengan masjid akrab sejak dari muda lagi. Manakan ada cinta lain seagung cinta pada rumah Allah. Sebaik-baik ikatan yang terikat.

 


 

Koronavirus atau mulanya bernama nCov-19 mula tersebar di kota Wuhan, China. Wabak itu mula tersebar ke seluruh dunia dengan pantas. Penyakit itu mula menjadi pandemik dan menyerang banyak negara. Negara-negara utama mula lumpuh lalu mengunci dari orang luar.

 

Pulau Geriji mula mencatatkan kes koronavirus pertama akibat seorang pelajar yang pulang dari Hubei. Gabenor mula melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan. Kampung Damar tidak terkecuali.

 

Melalui perintah ini, acara berkumpul dibatalkan. Ianya termasuk solat berjemaah. Solat Jumaat pun turut ditiadakan bagi mengelak mudharat.

 

Tok Kob berasa sedih setelah mendengar ucapan tuan Gabenor di radio. Lepasni, tiada lagi solat jemaah di Masjid At-Taqwa.

 

Malam itu, diiringi purnama, Tok Kob bertahajjud. Dia menangis dengan tangisan kalbu. Dia rindu solat berjemaah. Sahutan ‘aamiin’ beramai-ramai, juga salam-bersalaman. Suasana masjid sudah pasak dalam hatinya. Mana mungkin esok hari suasana bakal berubah sekelip mata?

 

Pagi itu. Anggota polis dari Balai Polis Geriji Barat mula membuat sekatan jalan di hadapan Masjid At-Taqwa. Lagipula, Masjid At-Taqwa merupakan masjid ditepi jalan besar hendak ke pusat bandar. Pihak polis pun senang, masjid ada tandas nak qadha’ hajat, ada tempat sembahyang.

 

Ketika bersarapan, ada orang yang mendatangi kediaman Tok Kob.

 

“Assalamualaikum, Ayah Cik, oh Ayah Cik!,” suara lantang dari luar. Tok Kob meninggalkan kuetiau gorengnya untuk membuka pintu. Rupanya, anak saudaranya Inspektor Ismail Aufa yang menjenguknya.

 

“Ayah Cik, Ayah Cik azanlah dekat masjid ya. Solat jemaah je tak boleh sebab takut mengundang mudharat,” pujuk Ismail.

 

“azan boleh?,” Tok Kob bertanya. Dia ingatkan tak boleh.

 

“boleh, jangan sunyikan sangat masjid tu. Boleh pasang speaker, bacaan Al-Quran jugak. Sayang kalau masjid besar tu bergema kosong tanpa imarah,” kat Ismail.

 

Tok Kob mulai faham. Sekalipun solat jemaah dibatalkan, azan tetap jalan. Daripada dunia sepi dari panggilan agung.

 

Zuhur bakal menanti. Hari pertama kawalan pergerakan, memang dikawal ketat pihak polis. Lagipula, masjid ini dikawal pihak polis.  Tok Kob berjalan berseorangan ke Masjid At-Taqwa.

 

Melangkah ke dalam dewan sembahyang, sebak jiwa tak dapat ditahan. Nada azannya biasa. Namun, jemaah tak kunjung datang. Tiada sesiapa pun yang datang.

 

Seusai solat sunat qabliyah, Tok Kob ditepuk bahunya.

 

“Tok Kob, mari solat,” seorang pemuda menyapanya. Pemuda itu ialah Farhan seorang pegawai polis yang turut berkawal.

 

“kamu tak berkawal ke, Farhan?,” tanya Tok Kob.

 

“ni giliran saya berehat, Tok Kob. Kita jemaah berdua ya Tok,” jawab Farhan sambil mempelawa untuk solat berjemaah. Farhan meng-iqamah perlahan dibelakang Tok Kob. Bergema takbir memenuhi dewan solat yang kosong itu.

 

Seusai sembahyang, Tok Kob berwirid. Apabila berdoa, Farhan merasa satu aura dari Tok Kob. Tok Kob menangis teresak-esak. Dia rindu bising masjid. Hari ini, dia hanya berjemaah dengan seorang makmum sahaja.

 

Farhan mencium tangan Tok Kob dan memeluk erat orang tua itu. Dia sendiri tak sanggup melihat Tok Kob begini. Namun apakan daya, usaha sama untuk memutuskan rantaian jangkitan koronavirus ini.

 


 

Begitulah sehari-hari Tok Kob sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan ini. Sesekali, Radin pasang speaker bacaan Al-Quran atas permintaan Tok Kob. Sendiri azan, sendiri iqamat, solat sendiri. Airmatanya tak kering di pipi. Al-Quran berkulit hijau miliknya sudah berpeluh asbab selalu dipegang dan disentuh.  Diazan juga bersalin hari. Namun tetap tiada tetamu.

 


 

Farhan berkawal syif malam hari ini. Sekitar 5 pagi, dia lihat Tok Kob berseorangan. Berjalan menuju masjid seperti biasa. Di tangga Tok Kob menanggalkan sandalnya, menolak pintu sliding dan berjalan ke mihrab. Tahulah Farhan sebentar lagi subuh akan masuk.

 

Allahuakbar! Allahuakbar!

 

Azannya merdu seperti biasa.

 

Ashhadu an Lailahalillallah!

Ashhadu an Lailahalillallah!

Ashhadu anna Muhammdarrasululullah!

Ashhadu anna Muhammdarrasululullah………

 

BUKKK!!! Bunyi mikrofon terjatuh. Farhan terus bergegas ke dalam masjid melihat apa yang berlaku.

 

Innalillahi wainna ilaihi raji'un. Tok Kob rebah meninggal dunia bersandar di mihrab masjid .Farhan terus menghubungi Radin.

 

“Ya Allah, abah!,” Radin terkejut. Ayahnya sudah kembali menghadap Ilahi.

 


 

Klinik Kesihatan Kampung Damar. Doktor mengesahkan bahawa arwah Tok Kob meninggal dunia secara mengejut.

 

“Allah sayang dia Radin,” Farhan mengusap bahu Radin menenangkannya. Radin menumbuh embun airmata. Kematian ayahnya ialah kematian yang dicemburui. Arwah Tok Kob meninggal dunia dalam husnul khatimah. Sebaik-baik pengakhiran.

 

Jenazah arwah Tok Kob dimandikan dan disembahyangkan di Masjid At-Taqwa sebagai simbolik tempat terakhir beliau menjejakkan kaki. Jenazah kemudiannya diusung ke dalam van lalu dibawa ke Tanah Perkuburan Kampung Damar. Dari dimandikan sehingga pengebumiannya, awan berarak sayu. Urusan pun cepat diselesaikan. Radin redha dengan pemergian ayahnya.

 

Zuhur itu, Radin sendiri yang melaungkan azan. Orang lain, suara lain, nadalain, namun tetap tiada tetamu.

 

-tamat-

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.