1,496
Kategori:
Genre:
Senarai Bab

               Ini kisah jiranku bernama Linda, seorang isteri dan ibu muda yang mempunyai dua orang anak kecil. Linda tidak bekerja, surirumah sepenuh masa. Linda, suami dan anak-anak tinggal menyewa di sebuah rumah teres kos rendah di kejiranan kami. Khabarnya dia berasal dari Pulau Pinang manakala suaminya berasal dari kotaraya Kuala Lumpur. Linda sudah lama mengikut suami merantau di serata negeri. Keluarga ini adalah sebuah keluarga miskin dan mempunyai masalah yang disebabkan oleh suaminya, seorang bekas penagih dadah.

                Aku tidak tahu hendak bermula dari mana. Bila mengingatkan keluarga ini, air mataku mula menitis. Entahlah, aku sebenarnya tidak mahu mengaibkan sesiapa, namun aku sedaya upaya mahu menceritakan agar ianya memberi iktibar kepada kita semua.

                Aku masih ingat jam 11.00 malam, Mila anak sulungnya yang berusia lapan tahun datang mengetuk pintu rumahku. Aku lihat tubuhnya semakin kurus dan tidak terurus. Aku menjemputnya masuk, namun dia enggan. Dengan wajah yang sugul dan disulami perasaan ragu-ragu dia mula bersuara.

                “Makcik, emak suruh Ila pinjamkan bawang merah, minyak dengan telur.” kata Mila jujur. Aku kehairanan. Malam-malan nak pinjam minyak dan telur?. Sudah beberapa kali Mila datang ke rumahku untuk meminjam bahan masakan.

                “Mila dah makan?” soalku sambil memegang bahunya. Mila pada mulanya tidak menjawab. Menggeleng tidak mengangguk pun tidak. Akhirnya dia menggeleng lemah setelah aku mendesaknya lembut.

                Aku beristighfar di dalam hati. Sudah pukul 11.00 malam masih belum menjamah makanan?. Airmataku bergenang. Aku menyuruh Mila menunggu di luar setelah dia enggan masuk, walau sudah didesak beberapa kali. Aku melangkah kaki ke dapur. Aku membungkus bahan masakan seperti yang diminta oleh Mila. Aku teringat, lebihan makan malam keluargaku masih ada. Aku menyenduk nasi, menyenduk sayur kuah lemak dan ikan kembung goreng, semuanya ku isi ke dalam mangkuk tingkat. Mila mengucapkan terima kasih sambil mencium tanganku. Aku berpesan agar barang-barang yang dipinjam tidak perlu diganti. Mangkuk tingkat juga tidak perlu diganti isinya. Aku lihat ada sinar gembira di mata gadis kecil itu.

                Selepas peristiwa itu aku sering memasak makanan lebih dan menghantar ke rumah keluarga tersebut.

                Linda tidak mempunyai pendapatan lantaran tidak bekerja. Setiap hari dia sibuk menjaga suami yang terlantar sakit dan menjaga keperluan anak-anak. Suaminya Zakri, sudah berbulan-bulan terlantar di rumah kerana menghidap beberapa penyakit yang sukar sembuh. Orang sekeliling kata Zakri menghidap penyakit AIDS yang menyebabkan penyakit lain sukar sembuh seperti sakit jantung, buah pinggang dan hepatitis B seperti yang sedang dideritai oleh Zakri. Siapa lagi yang boleh diharap?. Aku dengar ahli keluarga, adik beradik dan saudara mara Linda dan Zakri sudah tidak mahu mengambil tahu tentang hal mereka lagi. Ada juga jiran sekeliling yang memandang hina kepada keluarga ini terutama Kak Zainon dan Puan Miza. Semuanya disebabkan sejarah hitam yang pernah membelenggu hidup Zakri.

                “Psst…aku dengar suami Linda tu ada penyakit AIDS. Khabarnya dah teruk!. Hee…takutlah aku. Jangan kena pada keluarga aku sudahlah.” Bisik Kak Zainon kepada aku ketika kami bertiga sedang berbual di halaman rumah.

                “Entah macam manalah hubungan suami isteri dia orang tu ya?” Puan Miza tersenyum mengejek.

                “Itulah, masa bujang dulu buas sangat!. Kena AIDS tu entah pasal jarum ke atau pasal betina.” Laju saja mulut celupar Kak Zainon mengata.

                “Suami isteri tak kerja. Suami dah macam mayat hidup. Macam zombie. Berkudis, bernanah satu badan, hiss…simpang malaikat empat puluh empat.” Ujar Puan Miza sambil memeluk tubuhnya umpama orang ketakutan.

                “Ya lah, mulut ada empat lubang nak disuap, ada anak kecil lagi. Hidup harapkan bantuan JKM dan zakat saja. Duit sewa rumah pun guna duit bantuan kerajaan. Wah, senang betul hidup dia orang tu ya.” Ujar Kak Zainon selamba.

                Aku hanya diam sahaja, nak di tegur takut mereka terasa hati. Dalam hati aku memohon keampunan dari Allah atas segala dosa-dosa kami.

                Aku faham tentang kesengsaraan yang sedang ditanggung oleh Linda dan keluarganya. Linda sering menceritakan masalahnya kepadaku. Kata-kata umpatan dan cacian segelintir masyarakat sekeliling menyebabkan dia segan untuk keluar rumah. Ada beberapa kisah yang tidak pernah diceritakannya kepada orang lain.

                “Kak, saya selalu kesempitan wang. Entahlah,…duit bantuan yang diterima tak pernah cukup. Nak bayar duit sewa rumah, beli ubat, duit tambang teksi bawa Abang Zakri ke hospital, belanja sekolah Mila, belanja dapur, bayar bil lagi. Saya tak tahu sampai bila saya mampu menanggung semua ni”, luah Linda ketika aku mengunjunginya di rumah. Ku lihat rumahnya kosong, tidak berperabut seperti rumah orang lain. Barang-barang elektrik juga tiada.

                Kelihatan suaminya Zakri sedang terbaring, berlunjur kaki, berselimut di atas kerusi malas bertali elastik. Wajahnya cengkung. Kata Linda Zakri sering demam dan tidak lalu makan kerana selalu merasa mual dan mengalami cirit birit. Aku lihat bawah lehernya bengkak, bibirnya juga kering dan pecah-pecah. Sesekali kedengaran dia menahan batuknya.

                “Kak…se,..sebenarnya saya juga disahkan menghidap penyakit HIV, iaitu penyakit AIDS di peringkat awal. Doktor kata Abang Zakri sudah di peringkat AIDS. Sudah jenuh saya mencari ubat dan penawar. Memang setakat ni tak ada penawarnya pun.” Ujar Linda dengan perasaan sayu membuatkan aku menitiskan airmata.

                Aku tidak menyangka Linda juga sudah dijangkiti virus pembunuh tersebut. Aku lihat banyak ubat-ubatan yang berceratuk di atas meja kecil di sudut rumah. Ubat doktor, ubat yang dibeli di farmasi, ubat tradisional, herba dan akar kayu semuanya ada. Sesekali hidungku disajikan aroma bau ubat yang terperap di dalam rumah.

                “Kak…satu lagi, Zariff anak kecil saya juga disahkan menghidap penyakit kurang daya tahan penyakit tu. Lin harap, kakak janganlah menyisihkan keluarga saya yang ‘kotor’ ini. Kakak lah satu-satunya saudara yang saya ada”, pinta Linda dalam esak tangisnya. Air mataku semakin deras mengalir.

                Satu lagi berita yang sungguh meruntun perasaanku. Berat sungguh dugaan yang Kau berikan kepada keluarga ini. Zariff yang berusia dua tahun dan tidak mengerti apa-apa sudah menderita penyakit yang diturunkan oleh ayahnya!. Patutlah kesihatan Zariff sering terganggu. Ya Allah! berikanlah tahap kesabaran dan ketabahan yang paling tinggi kepada Linda sekeluarga.

                “Pu…puan, saya ni seorang yang tidak berguna, sekarang saya betul-betul umpama sampah masyarakat. Lihatlah, orang keliling memandang hina kepada kami. Semua ini adalah balasan dari Allah atas apa yang telah saya lakukan pada masa lalu. Saya banyak melakukan kesilapan. Berulang-ulang kali saya melakukannya. Sa...saya merasa sangat berdosa kepada isteri dan anak-anak saya. Saya telah menganiaya mereka semua.” Zakri meluahkan perasaannya kepadaku dengan suara tersekat-sekat. Sekali sekala kedengaran suaranya mengaduh.

                “Abang, abang jangan kata begitu. Semua ini adalah takdirnya. Saya sanggup bersama abang walau apapun yang akan terjadi. Saya rela berkorban apa saja untuk abang dan akan-anak kita.” ujar Linda sayu. Dia mengurut lembut betis suaminya.

                “Zakri, Linda bersabarlah. Ini semua dugaannya. Apa yang penting mohon keampunan dariNya dan bertaubat nasuha. Lakukan solat fardhu dan solat-solat sunat seperti solat sunat hajat. Sentiasa berdoa dan berzikir kepadaNya. Allah sentiasa menerima dan membuka pintu taubat. Jika keadaan kamu ini terjadi pada saya, belum tentu saya dapat menghadapinya.” Balasku.

                “Puan, jika ditakdirkan nanti saya tiada lagi, Puan tolonglah tengok-tengokkan isteri dan anak-anak saya.” Kata Zakri lagi. Aku mengangguk-anggukkan kepala. Linda mengesat air matanya yang mengalir.

                Hingga pada suatu malam aku dikejutkan sekali lagi dengan kehadiran Mila. Dengan esak tangis dia memberitahu ibu menyuruhnya menjemputku. Hatiku berdebar-debar. Tiba di muka pintu rumah sewa Linda, hatiku terasa hiba. Apa yang aku jangka benar-benar terjadi. Jasad Zakri sudah ditutup sepenuhnya dengan sehelai kain batik lepas. Linda yang masih membaca Surah Yaasin di sisi jasad suaminya menyambutku dengan pandangan sayu dan linangan air mata. Tiada seorang jiran pun ketika aku sampai ke rumahnya.

                Jenazah Zakri di bawa ke hospital untuk dimandikan dan dikafankan dengan cara yang lebih teratur dan selamat.

                Aku mempelawa agar Linda tinggal bersamaku buat sementara waktu untuk mengendurkan kesedihannya. Namun Linda enggan. Keesokkan hari kulihat rumahnya sudah berkunci. Rumahnya sudah kosong. Aku tidak tahu kemana dia membawa diri. Moga Allah melindungi dan memberkati hidup Linda dan anak-anaknya. Di dalam hati aku mengakui bahawa sesungguhnya Linda seorang yang tabah. Tanpa ku sedari air mataku menitis.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh