Home Cerpen Islamik Istikharah Cinta
Istikharah Cinta
Isha Idiaz
8/11/2012 18:00:46
3,915
Kategori: Cerpen
Genre: Islamik

Cerpen : Istikharah Cinta

Oleh : Isha Idiaz

*****

DAN juga mereka yang diredhai Allah itu ialah orang-orang yang berdoa dengan berkata : ‘Wahai Tuhan kami, jadikanlah kami beroleh dari isteri-isteri serta zuriat keturunan kami, perkara-perkara yang menjadi penyejuk mata (menenangkan hati), serta jadikanlah kami sebagai Imam bagi orang-orang yang bertaqwa’.” (Al-Furqan : 74)

*****

BUATkesekian kalinya, aku berjumpa lagi gadis itu. Dia tampak begitu ayu tanpa selendang yang menutupi helai-helai rambutnya seperti selalu. Ini juga kali pertama aku melihatnya tanpa hijab. Dia tersenyum malu memandang aku. Pipinya yang putih gebu itu memerah.

‘Malu mungkin,’ bisik hatiku.

Aku menghadiahkan sekuntum senyuman kepadanya. Dia tidak ragu-ragu membalas senyumanku tadi. Malah kini dia lebih berani dengan menghampiri ke arahku.

“Akhi tak nak berjemaah di masjid?” Suaranya yang lembut menampar gegendang telingaku. Aku terpaku seketika mendengar suaranya yang sungguh merdu itu. Rasa terbuai sebentar hatiku dengan suara itu.

“Akhi?” sergah gadis itu mengejutkanku daripada lamunanku.

Cepat-cepat aku berdehem untuk menutup malu sambil memandang tepat ke anak matanya. Sebentar kemudian aku mengalih anak mataku ke tempat lain apabila mataku berlaga dengan matanya.

‘MasyaAllah.’ Sungguh indah makhluk ciptaan Allah di hadapan aku di kala ini. Matanya yang bewarna hazel itu menggetarkan jiwaku.

“Apa Humairah cakap dekat Akhi tadi?” Aku berpura-pura bertanya kembali. Walhal, memang aku tidak mendengar apa yang dikatakan oleh Humairah tadi.

Humairah tersenyum sambil menggeleng-gelengkan kepalanya perlahan. Anak rambutnya yang jatuh menutup matanya dikuak ke belakang telinga.

“Maira cakap, Akhi tak nak berjemaah di masjid ke hari ni? Kalau nak, Maira nak ikut.” Ujar Humairah lembut. Tanpa segan silu dia memaut lenganku dan menyandarkan kepalanya di bahuku.

Aku sedikit tersentak apabila Humairah bertindak begitu sedangkan kami belum lagi menjadi pasangan suami isteri yang sah. Belum sempat aku menepis tangan Humairah yang masih kejap memaut lenganku, aku terdengar gelak tawa di ruang tengah berhadapan tempatku berdiri kini. Aku menoleh. Dapat kulihat wajah umi, abah serta umi dan abah Humairah tertawa sambil memandang kami.

“Huzaifah, habis waktu kalau bermanja-manja begitu. Dahulukan yang mana penting dulu,” ujar abah dari ruang tengah. Kata-kata abah disahut dengan tawa abah Humairah.

“Orang baru kahwin memang macam tulah Fauzi. Melekat dua puluh empat jam,” sahut abah Humairah pula. Makin galak suara gelak-tawa di ruang itu.

Aku menoleh memandang wajah Humairah di sisi. Humairah tersipu malu. Aku memandang kembali ke ruang tengah.

‘Humairah telah menjadi isteriku?’

Bunyi guruh di luar membuat aku terjaga daripada tidurku. “Astaghfirullahhalazim,” ujarku seraya meraup wajahku dengan kedua-dua telapak tanganku. Sekilas aku memandang jam di dinding. Jam tiga pagi. Cepat-cepat aku mengambil wudhu’ untuk menunaikan solat sunat tahajud yang menjadi rutin harianku.

“Ya Allah, jika petunjuk yang kau berikan kepadaku melalui mimpi tadi adalah jawapan kepada solat istikharahku, maka kau tuntunlah aku ke arah itu. Sesungguhnya Kau lebih mengetahui apa yang terbaik buatku.” Sempat aku titipkan doa itu di akhir solatku.

*****

AKU melihat lagi kelibat gadis yang aku kagumi itu daripada kejauhan. Buat kesekian kalinya hatiku merasa tenang apabila melihatnya walaupun aku hanya bisa melihat anak matanya yang bewarna hazel itu.

“Tengok apa tu ustaz?” tegur satu suara daripada belakangku. Segera aku melarikan pandanganku daripada terus menatap wajah gadis itu.

Sebuah senyuman ku hadiahkan buat Iqbal, teman rapatku. Huluran tangannya kusambut dan aku mempersilakannya duduk di bangku kosong di sebelahku itu. Kami kini berada di sebuah taman yang sering kali aku kunjungi jika aku mahu merehatkan fikiranku dan memandang alam indah ciptaan Allah.

“Tak ada apa. Saja ambil angin di sini,” ujarku sambil melihat keadaan sekeliling sambil mencari-cari kelibat gadis itu yang sudahpun berlalu pergi daripada tempat dia berdiri tadi.

Melalui ekor mataku, dapat kulihat, Iqbal juga seolah-olah tercari-cari apa yang aku lihat tadi. Lalu segera aku kembali menatap wajah temanku itu. Dia yang baru tersedar aku dapat menangkap gerak-gerinya terus tersenyum kambing. Menutup rasa malu barangkali.

“Ana datang bawa hajat ni ustaz,” ujar Iqbal penuh berhati-hati. Senyuman yang memang tidak pernah lekang daripada bibirnya itu menambahkan lagi seri di wajahnya.

“Hajat apa tu Iqbal sampai anta sanggup mencari ana sampai ke taman ni?” soalku pula. Kurasa keningku sedikit berkerut kerana rasa hairan yang tidak dapat dibendung lagi.

Iqbal berdehem beberapa kali sebelum meneruskan kata-katanya. “Begini ustaz, ana ada berkenan dengan seorang ustazah ni…” Sengaja Iqbal berjeda di situ.

Aku menegakkan badanku lalu bersandar di kerusi itu. “Alhamdulillah. Terus?” Aku memancingnya untuk bercerita lagi tentang hajatnya tadi.

“Ana ingat nak minta tolong ustaz jalankan ana dengan ustazah tu,” ujar Iqbal berterus-terang.

“Ustazah mana yang ana maksudkan ni?” soalku pula inginkan kepastian. Bukannya apa, takut juga tersilap orang. Nanti haru jadinya.

“Ustazah Humairah,” ujar Iqbal perlahan. Kepalanya ditundukkan, namun jelas keceriaan di wajahnya. Bibirnya menguntum senyum.

“Ustazah Humairah?”

“Ya ustaz.”

Hatiku seolah-olah ditusuk sembilu. Ratusan ustazah di sini kenapa juga Humairah yang menjadi pilihan Iqbal? Kenapa bukan yang lain?

“Astaghfirullah…” ujarku panjang apabila aku menyedari aku telah melawan qada’ dan qadar Allah.

“Kenapa ustaz?” soal Iqbal mematikan lamunanku.

Aku menggeleng-gelengkan kepalaku.

“Tak ada apa. Nanti ana beritahu ke Ustazah Fatimah berkenan hajat anta tu. Jika ada jawapan daripada pihak perempuan nanti baru kita tetapkan tarikh untuk sesi ta’ruf.”

Iqbal mengangguk-nganggukan kepalanya tanda faham akan butir bicaraku tadi.

*****

SEBUAHpesanan ringkas aku hantar menerusi telefon mudah alihku. Sebentar kemudian, pesananku berbalas. Cepat-cepat aku membaca pesanan itu.

Saya berkecil hati dengan Akhi kerana mengalah begitu sahaja.

Ayat itu kubaca berulang kali sambil otakku cuba mentafsir apa maksud pesanan yang kuterima tadi. Aku menyandarkan badanku ke dinding dan meraup muka beberapa kali.

‘Astaghfirullahhalazim,’ ucapku dalam hati berkali-kali.

*****

HUMAIRAH datang lagi dalam mimpiku malam ini. Serba putih dengan pakaian solatnya. Dia sedang menunggu aku di hadapan pintu rumahku. Melihat kelibatku yang keluar daripada bilik, pantas Humairah menoleh. Senyuman menghiasi bibirnya.

“Akhi dah siap?” soal Humairah lembut.

Aku membalas kembali senyumannya sambil menganggukkan kepala. Pantas Humairah berdiri dan memberi laluan kepadaku untuk melewati pintu rumah itu. Pantas juga tangannya menyematkan purdahnya di tepi tudung. Hanya matanya sahaja kelihatan kini. Aku tersenyum. Humairah tetap cantik walaupun dalam pakaian itu. Kecantikannya masih terserlah walaupun telah disembunyikan dibalik purdah.

Kami jalan beriringan menuju ke masjid berhampiran rumah untuk menunaikan solat Maghrib. Aku melihat Humairah hingga dia masuk ke saf perempuan sebelum aku menuju ke saf lelaki.

“Amin…” ujar seluruh jemaah yang berada di dalam masjid itu mengakhiri bacaan doa setelah solat pada hari itu. Setelah bersalaman dengan semua jemaah yang hadir, aku mula menapak keluar daripada masjid.

Aku menunggu Humairah di tempat selalu. Namun hampir sepuluh minit Humairah tidak keluar-keluar juga. Perkarangan masjid semakin kosong.

“Akhi…”

Aku memandang ke belakang apabila aku terdengar suara Humairah memanggil aku. Aku nampak Humairah sudah agak jauh meninggalkan aku. Aku berlari sambil menjerit memanggil namanya. Namun sedikit Humairah tidak menoleh memandangku. Tiba di selekoh jalan itu, Humairah hilang.

Aku terjaga daripada mimpi. Ini kali ketiga aku mimpi perkara yang sama. Humairah hilang. Setitis air mata jatuh jua ke pipi. Mungkin ini adalah petunjuk daripada Allah sebagai jawapan kepada istikharahku. Aku menafsirkan mimpi ini dengan membuat kesimpulan bahawa jika pada awalnya aku memiliki Humairah, namun di akhirnya aku pasti akan kehilangannya juga.

Dan aku nekadkan hatiku pada malam itu dan menghantar sebuah pesanan ringkas kepada Humairah. Mungkin tidak seringkas mana. Tetapi aku rasa cukup untuk membuat Humairah faham duduk perkara sebenar.

*****

HARI ini Iqbal datang lagi menemuiku. Wajahnya ceria seperti selalu. Huluran tangannya aku sambut.

“Alhamdulillah ustaz,” ujar Iqbal membuka cerita.

“Wah! Ada berita yang ana tak tahu ke ni?” Aku sengaja meneka walhal aku sudah maklum akan hal yang akan diceritakan oleh Iqbal kepadaku.

Lebar senyuman sahabat baikku itu.

“Ustazah Humairah terima lamaran ana,” ujar Iqbal dalam nada gembira.

Aku menepuk-nepuk bahu Iqbal. “Alhamdulillah,” ujarku.

“Terima kasih ustaz sebab tolong ana. Kalau tak ada ustaz, melepaslah ana. Nak harapkan ana yang beritahu sendiri pada Ustazah Fatimah mintak dijalankan tak kan mungkinlah,” seloroh Iqbal. Aku cuma tersenyum mendengar kata-kata Iqbal itu.

Kebetulan juga Ustazah Fatimah itu sepupuku. Melalui pertolongannya, dapat aku khabarkan hajat hati Iqbal itu kepada Humairah. Jika tidak, aku pun tidak tahu bagaimana mahu membantu Iqbal. Maklumlah, pergaulan kami di bumi Mesir ini sangat terbatas.

*****

Pembaca boleh dapatkan antalogi cerpen yang bakal terbit tidak lama lagi untuk mengetahui pengakhiran cerita ini.

 

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.