374
Kategori:
Genre:
Senarai Bab
RIANA Bab 7 & 8

Bab 7

"Nana!!" Aku bingkas berdiri. Sudah dua kali Mek memekik memanggilku. Dia berada di kaunter bayaran. Ah Hor dan Lau sedang makan tengah hari di dapur. Han pula tidak kelihatan.

"Apa?" soalku. Mata sepet itu dibesarkan tatkala bertemu mata denganku. Mek memandangku lama.

"Apa?" soalku sekali lagi.

"Aku dengar ah.. Tanah tu mu nak beli. Berapa ribu ah Man mau jual?" soal Mek. Aku mengeluh di dalam hati. Sampai juga dekat orang tua berita tu rupanya. Apa nak dihairankan. Bukan kami sekeluarga sahaja yang dikenali oleh Mek. Arwah nenek dan adik beradik arwah abah yang lain turut dikenali oleh Mek. Persahabatan kami sudah bergenerasi terbina.

"Pak Man telefon ke?" soalku pula kepada Mek.

"Iyalah. Sebab aku pernah tanya tentang tanah ni. Tapi, dia kata mau jual dekat anak sedara dia." cerita Mek semestinya membuatkan aku gembira. Jikalau Pak Man memikirkan wang ringgit tentu tawaran Mek yang diterima. Menurut emak, Pak Man mahu jualkan tanah ini dengan harga tujuh puluh ribu. Simpanan aku lebih kurang sepuluh ribu. Abang Li dan adik beradik yang lain lima puluh ribu. Lagi sepuluh ribu itulah yang membuat aku buntu. Untuk meminta kurang, kami malu. Harga yang Pak Man tawarkan jauh dari harga sebenar. Benar-benar harga kasih sayang. Mahu minta tempoh, aku fikir, itulah cara terbaik. Baki bayaran itu akan aku usahakan secara beransur-ansur. 

"Takpelah. Nak buat macam mana.. Mu adik beradik ah jaga elok-elok emak tu. Dia dah tinggal sorang. Tanah ni mau buat apa?" kata Mek lagi. Aku senyum. Menepis kerisauan tentang jumlah wang yang belum cukup itu.

"Nak bisnes sikit." jawabku sambil tersenyum simpul. Shakira seorang sahaja yang tahu niatku ini. Aku belum meluahkan impian aku itu kepada sesiapa hatta emak sendiri.

"Eh, kedai juga ka.. Oh, mu mau potong bisnes aku ah.." tembak Mek sambil tersengih. Aku ketawa kecil.

"Bukanlah. Nantilah aku bagitahu. Aku baru plan sikit-sikit."

"Oh, takpe..takpe. Kalau kena cara menjadi woo.." katanya lagi. Aku senyum. Mengambil kata-kata itu sebagai semangat.

"Ah, lepas ni tolong Han dekat stor. Dia nak belajar kira stok. Haiya, minggu depan Lau mau balik. Rindu famili dia." cerita Mek lagi.

"Kalau macam tu, Mek.. Aku rasa mu kena ambil pekerjalah. Tak boleh macam ni. Aku pun tak selamanya dekat sini, Mek." titipku sebelum beredar. Aku tak tahu sama ada Mek akan mengambil kata-kataku itu isyarat. Namun, mahu atau tidak, mereka berdua perlukan pekerja untuk kelangsungan urusan kedai mereka. 



Bab 8

Dum!!! Bunyi dentuman petir membuatkan tubuhku tersentak. Aku berpeluk tubuh. Tshirt berlengan panjang yang sentiasa aku kenakan ketika berkerja tidak mampu menutupi rasa sejuk akibat hujan lebat yang melanda. Seorang pelanggan pun tiada. Ah Hor dan Mek juga tidak kelihatan. Sudah dua puluh minit aku menunggu di depan kedai. Tiada tanda-tanda hujan akan berhenti. Menyesal pula aku tak minta balik awal-awal tadi. Padahal sewaktu membuang sampah diluar tadi, aku dah perasan akan segerombolan awan hitam yang berarak diufuk barat. Aku memerhati limpahan air hujan di jalan raya deras menuruni lurah yang agak landai dihadapan kedai sebelum arus itu bergerak mengikuti alur yang digali terus ke kawasan tanah lapang dibelakang mini market ini. 

Dum!!! Sekali lagi aku terperanjat. Hari makin gelap. Jam sudah melewati tujuh petang. Fikiran aku melayang terkenangkan emak di rumah. Aku kena balik! 

"Jom!" sapa Han disebelahku. Aku mendongak. Jarang sekali aku melihat dia mengikat kemas rambut panjangnya itu. Tetapi, gayanya itu menarik perhatianku kerana lagaknya itu persis seorang model. Han menghulurkan sekaki payung kepadaku. Belum sempat aku menyambut hulurannya dentuman petir kembali bergema. Tanganku terus berlabuh dilengannya. Berpaut kemas. Han meleraikan pegangan. Aku tertunduk malu. Bukan aku sengaja. Aku betul-betul takut dengan bunyi petir yang kuat. Payung yang dihulurkan oleh Han disandarkan ke tepi dinding. Dia membuka payung ditangannya. Payung yang dipegangnya itu agak besar dan dapat memayungi kami berdua. 

"Jom." katanya lagi. Aku tidak bergerak. Bukan aku tak mahu. Tapi, aku segan jikalau perbuatan kami berkongsi payung begini menjadi buah mulut orang kampung. 

"Dah nak maghrib. Tak ada orang dekat luar waktu macam ni. Time hujan pula tu." tutur Han seperti memahami apa yang aku fikirkan. Persahabatan yang berlangsung selama dua minggu di antara kami membuatkan aku mengenali serba sedikit sikap lelaki itu. Amalan dan adat Melayu usah disebut. Lahir di kampung Melayu dan bergaul pula dengan orang Melayu. Sudah tentu dia memahami resam. Aku melirik kanan dan kiri. Tengah lebat begini siapa mahu keluar? Mahu atau tidak aku mengalah sahaja dengan alasannya itu. Baru hendak melangkah sekali lagi dentuman berbunyi. Arghh! Takut betul perasaanku ketika ni. 

"Sorry." ujar Han sebelum tangan kanannya memegang kemas pergelangan tanganku. Aku menarik nafas yang dalam. Kami mengharung sahaja lopak air yang bertakung disepanjang perjalanan yang mengambil masa tidak sampai sepuluh minit itu. Han menghantarku sehingga ke pintu dapur. Bertemankan cahaya lampu kalimantang yang terang di atas kepala, aku melihat sebahagian pakaian lelaki itu basah kuyup ditimpa hujan. Perasaan bersalah menyerbu diriku. 

"Tunggu kejap." arahku menahan lelaki itu dari terus pulang. Aku memberi salam sebelum berlari anak menuju ke dalam bilik tidurku. Sehelai tuala bersih yang bersusun di rak pakaian aku capai. Emak yang baru keluar dari bilik air memandangku hairan. Aku tersengih kepada emak sebelum mendapatkan Han di luar. 

"Sorry. Dah basah.." ucapku seraya menghulurkan tuala tersebut kepada lelaki itu. Han tersengih sebentar sebelum menggeleng. 

"Takpe. Dekat je." sahut lelaki itu. Entah kenapa tolakannya itu berjaya membuatkan aku kecewa. Panjang muncungku sebelum pintu aku tarik untuk menutupnya. Belum sempat ianya rapat, sesuatu menahannya dari luar. Aku membuka pintu itu kembali. 

"Saya nak tanya satu soalan." kata Han. Aku mengangkat kedua belah kening. 

"Kenapa awak kerja di kedai?" soalnya. Dahiku sedikit berkerut tanda aku tidak memahami soalannya itu. 

"Kenapa awak tanya macam tu?" tanyaku pula.

"Awak kerja untuk tahu selok belok perniagaan, kan? Kenapa tak terus-terang dari awal? Bagitahu saja dekat saya yang awak nak belajar berniaga. Kan senang?" ujar Han lagi dengan wajah yang serius. Fikiranku makin keliru. Apa kena dengan Han ni? Nadanya kedengaran seperti orang yang sedang marah. 

"Saya tak faham kenapa awak nak marah. Kenapa saya kerja di kedai, saya ada alasan saya sendiri. Saya tak perlu jelaskan pada sesiapa. Huh!" tuturku sedikit bengang. Tiba-tiba saja didesak begitu siapa tidak angin. 

"Okay, lah. Terima kasih banyak-banyak hantarkan saya balik. Blekkk!!!" kataku lagi sambil menjelirkan lidah dan menutup pintu itu dengan kuat. Disambut pula dengan dentuman petir diluar. Aku terjerit kecil. Emak yang mendengar perbualanku dengan Han sejak dari tadi menggelengkan kepala. 

"Orang tua-tua kata, mula-mula gaduh. Lepas tu masam muka. Tahu-tahu makan nasi minyak." ucap emak seraya menuju ke bilik tidurnya. Hisyyy, emak ni!!! 


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh