2,211
Kategori:
Genre:
Senarai Bab

BUKU garis dua berkulit coklat itu diselak. Dia mencatat beberapa perkara yang dirasakan penting menggunakan pen dakwat biru. Hari ini dia tiada kelas tambahan tetapi sengaja dia melepak di tepi kolam ikan untuk menunggu Iqbal. Belajar di kelas yang berbeza macam inilah. Bila Iqbal ada kelas tambahan dia yang akan menunggu lelaki itu dan bila dia ada kelas tambahan Iqbal yang akan menunggunya.

Kerja sekolah sudahpun dia siapkan tadi. Jam tangan dilirik sekilas. Jarum jam sudah meginjak ke angka 4. Sekejap lagi mesti lelaki itu muncul dengan sengih lebar. Azrin Alissa tersenyum sendiri.

“Berangan.” Sapa Iqbal sebaik sahaja melihat kekasihnya tersenyum sendiri. Kepala Azrin Alissa diketuk perlahan menggunakan buku rujukan Biologi.

“Mana ada.” Dalih Azrin Alissa sambil memuncungkan bibir tanda protes.

Buku-buku yang berselerak di atas meja segera disusun. Kotak pensil yang terbuka itu dizip dan dimasukkan ke dalam beg. Iqbal mencapai diari Azrin Alissa seraya membukanya. Belum sempat dia membaca tulisan Azrin Alissa, kekasihnya itu terlebih dahulu merampasnya. Matanya dijegil luas.

“Sibuk aje awak ni.” Ngomel Azrin Alissa sambil bercekak pinggang. Suara gelak tawa Iqbal yang mencelah masuk ke gegendang telinga kedengaran merdu sahaja baginya.

“Awak masih memuja bintang?” Matanya melirik ke arah kulit diari Azrin Alissa yang bercorak bintang. Kekasihnya yang seorang ini suka sangat pada bintang. Baginya cukuplah mereka sekadar menikmati keindahannya seadanya. Entah apa yang Azrin Alissa suka sangat pada bintang dia sendiri pun tidak tahu.

“Mestilah. Bintang kat dada langit adalah salah satu keindahan yang Allah cipta dekat dunia ni. Jadi kita kenalah menikmati keindahannya selagi kita masih mampu melihat.” Balas Azrin Alissa sambil tersenyum manis.

“Tapi cahaya bintang yang awak nampak kat langit malam tadi adalah keindahan masa silam. Cahaya bintang mengambil masa beratus atau beribu tahun cahaya untuk sampai ke bumi. Awak seolah-olah memuja masa silam, masa di mana kita masih belum wujud.” Bidas Iqbal sambil berpeluk tubuh. Wajah Azrin Alissa di hadapannya direnung.

Sudah acap kali mereka berdebat soal bintang. Sengaja dia mengutarakan topik yang sama kerana Azrin Alissa terlalu taksub pada bintang. Dia cuma mahu menyedarkan Azrin Alissa bahawa bintang di langit cuma keindahan masa silam yang hanya perlu dinikmati seadanya. Bukan dipuja sebegitu sampai semua benda pun dia mahu corak bintang. Tengoklah, beg sekolahnya pun bercorak bintang.

“Saya bukan puja tapi menghargai. Walaupun ia cuma keindahan masa silam, ia tetap cantik di mata saya.” Hujah Azrin Alissa sambil turut berpel uk tubuh. Keningnya di angkat ala-ala Ziana Zain.

“Suka hati awaklah. Kalau berdebat dengan awak sampai esok pun tak habis.” Iqbal mengalah sahaja. Dia sudah tahu Azrin Alissa punya banyak modal untuk mematahkan hujahnya. Lagi pula hari sudah semakin lewat. Mereka harus pulang segera.

Azrin Alissa tersenyum kemenangan. Buku-bukunya segera diangkat dan dibawa ke dada seraya melangkah membuntuti Iqbal yang sudah mengambil langkah untuk pulang.

Bunyi suara dari intercom menyedarkan Azrin Alissa dari kenangan. Dia segera bangun dari kerusi. Lehernya dipanjangkan untuk mencari kelibat orang yang ditunggu di balai ketibaan. Sengaja dia turut serta menjemput Iqbal di lapangan terbang tanpa memberitahu lelaki itu. Kononnya mahu membuat kejutan. Puan Fatihah di sisinya tersenyum lebar. Dia sudah tidak sabar untuk berjumpa dengan anaknya.

Sewaktu dia memberitahu wanita separuh abad itu bahawa dia mahu menjemput Iqbal, Puan Fatihah terus bersetuju memandangkan dia hanya tinggal sendirian sejak suaminya meninggal dua tahun yang lepas sewaktu Iqbal masih di Dublin. Dia melirik ke arah Puan Fatihah yang masih bergaya walaupun umur sudah mencecah 44 tahun.

“Iqbal.” Jerit Puan Fatihah sebaik sahaja dia melihat kelibat Iqbal di celah orang ramai.

Azrin Alissa segera mengalihkan pandangannya ke hadapan. Matanya dikecilkan, cuba mencari susuk tubuh Iqbal. Seketika kemudian dia tersenyum senang melihat lelaki itu menolak troli yang dipenuhi bagasi diikuti seorang perempuan dari belakang. Sekejap. Perempuan??

Perempuan yang dilihat berlindung di sebalik tubuh Iqbal tadi segera memanjangkan langkah untuk menyaingi langkah Iqbal. Lengan Iqbal dipaut mesra sambil tersenyum. Azrin Alissa mengerutkan dahi. Siapa pula perempuan tu? Sejak bila Iqbal ada adik perempuan berambut blonde?

“Hai.” Sapa Iqbal seraya memeluk ibunya. Azrin Alissa yang berdiri di sisi ibunya dikerling sekilas.

Oh Tuhan, apakah lelaki ini sudah buta sampai aku yang berdiri di sebelah ibunya ini langsung tidak disapa? Sudahlah dia langsung tidak memberi salam.

“Siapa ni Iqbal? Cantiknya.” Soal Puan Fatihah. Tangannya sudah mencapai rambut perang perempuan berkulit cerah yang sedang tersenyum manis di sisi Iqbal. Pasti Puan Fatihah jakun melihat rambut perang original itu.

Azrin Alissa berdehem beberapa kali sebelum memberi salam. Serentak Iqbal dan Puan Fatihah menjawab. Perempuan berambut blonde itu hanya tersenyum. Ah, sakit pula hatinya melihat senyuman perempuan ni! Tak lenguhkah mulut dia? Dari tadi lagi asyik tersenyum. Marah Azrin Alissa di dalam hati. Entah kenapa dia merasa tidak sedap hati.

“Mommy, Iqbal kenalkan, this is Lara Breslin. Lara this is my beloved mommy.” Ujar Iqbal bersama sengihan lebar. Tangannya diletakkan di atas bahu Lara yang menghulurkan tangannya kepada Puan Fatihah.

Azrin Alissa sudah terlopong. Ke manakah menghilangnya Iqbal yang sentiasa menjaga pergaulannya ?

And this is my friend.” Ulas Iqbal pendek sambil menunding jari ke batang hidung Azrin Alissa.

Hi, I’m Lara Breslin.” Huluran tangan Lara disambut teragak-agak. Sungguh dia tidak pernah menduga Iqbal akan berkata begitu padanya. Lupakah lelaki itu pada hubungan mereka yang terjalin sejak di tingkatan 5?

“Come. Let it go home.” Canang Puan Fatihah dengan bahasa inggeris yang tunggang langgang. Bunyi ketawa Iqbal dan Lara yang menyusup masuk ke dalam telinga langsung tidak dihiraukan.

Dia masih berdiri di situ. Memerhati susuk tubuh tiga orang hamba Allah yang sedang berjalan meninggalkannya. Entah kenapa dia tidak mampu berganjak dari situ. Air mata yang ditahan akhirnya merembes membasahi pipi. Dia menyapu kasar air mata yang membasahi pipi menggunakan jemari. Dia mahukan penjelasan.


WAJAHNYA yang sugul itu ditatap di hadapan cermin tandas. Sungguh dia tak menduga Iqbal akan memperlakukannya sebegini. Balik sahaja dari airport semalam dia terus mengunci diri di dalam biliknya. Berkali-kali juga mak dan adiknya mengetuk pintu bilik namun tidak dihiraukannya. Biarlah dia merawat lukanya sendiri. Dia mahu bersendirian.

Akibat menangis berjam-jam, wajahnya menjadi pucat. Di tambah dengan lingkaran gelap di bawah mata menyebabkan dia menjadi beruang panda yang bertukar menjadi zombie. Ah, kalaulah ada yang melihatnya, pasti mereka akan menjerit ketakutan.

Dia baru sahaja menghubungi Iqbal sebentar tadi. Kesudahannya tetap sama, dia menangis selama sejam sebelum melepaskan amarah dengan menjerit di hadapan cermin.

“Iqbal dah tak sayangkan Rin. Fullstop. Berhenti fikirkan masa silam. Semua tu dah tak ada makna bagi saya. Saya harap awak boleh terima keputusan saya untuk menikahi Lara. Keindahan masa silam tak perlu dikenang untuk selamanya Rin. Awak patut lepaskan masa silam supaya awak boleh teruskan kehidupan dan mencari kebahagiaan awak sendiri. Jadi berhenti fikir pasal saya.” Itulah jawapan Iqbal apabila dia bertanyakan hubungan mereka. Sebaik sahaja berkata begitu, Iqbal terus memutuskan panggilan mereka.

Aaahhhhh. Azrin Alissa menjerit buat kesekian kali.

Seketika kemudian pintu biliknya diketuk bertalu-talu.

“Woi, kau gila ke kak?” jerit Azlin dari luar sambil tangannya tidak henti-henti mengetuk pintu. Bimbang sungguh dia kalau-kalau kakaknya membuat perkara yang tidak semenggah. Ini semua Iqbal punya pasallah. Kalau Puan Fatimah tidak menelefon maknya tadi pasti mereka masih belum tahu punca perubahan sikap kakaknya. Beria sungguh Puan Fatimah bercerita fasal Iqbal yang balik bersama bakal menantunya. Puih.

AZRIN Alissa menghempaskan punggungnya ke atas kerusi bersama keluhan. Hujung minggu yang bagaikan mimpi ngeri baginya akhirnya berakhir dengan pertumpahan air mata. Mujurlah wajahnya yang sudah tak serupa muka orang ini mampu diselindung disebalik mekap tebal. Selalunya dia cuma memakai bedak alas dengan pelembap bibir sahaja namun hari ini dia terpaksa bermekap tebal. Ini semua salah Iqbal. Tak guna punya Iqbal. Cemuh Azrin Alissa di dalam hati.

“Wow, Azrin Alissa pakai mekap hari ini? Mengigau ke?” soal Najjah yang muncul bersama dua cawan kopi. Dia meletakkan secawan kopi ke atas meja Azrin Alissa sambil secawan lagi dipegangnya. Dia menghirup perlahan kopi yang masih berasap.

“So, macam mana hujung minggu kau? Seronok berjumpa dengan Iqbal setelah 7 tahun tak jumpa?” Najjah menayang muka seposen dengan kening terangkat sebelah.

Azrin Alissa yang sedari tadi diam menjeling maut.

“Jangan kau sebut nama jantan tak guna tu.” Balas Azrin Alissa sekali nafas bersama bibir yang diketap kuat. Tangannya dikepal-kepal menahan marah. Dia sudah tidak sedih sekarang. Yang dia rasa cuma perasaan marah.

“Eh, apasal ni? Apa dah jadi?” soal Najjah dengan mata terjegil. Tiba-tiba sahaja kawan pejabatnya yang paling rapat ini berubah rentak. Selalunya wajah itu ceria sahaja bila berbicara soal Iqbal.

“Dia dah tinggalkan aku Najjah. 7 tahun aku tunggu dia, ini balasan dia dekat aku?” Azrin Alissa kembali beremosi. Matanya sudah berkaca-kaca. Sungguh dia merasa diperbodohkan.

7 tahun dia menanti kepulangan Iqbal, akhirnya penantiannya sia-sia. Yang dia hairan, lelaki itu melayan dia baik-baik sahaja ketika mereka berhubung melalui e-mail sewaktu Iqbal di Dublin. Sebelum melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan, lelaki itu berjanji bahawa sebaik sahaja dia pulang, dia akan mengahwini Azrin Alissa. Tapi kesudahannya, lelaki itu bawa balik perempuan berketurunan Irish sebagai calon isterinya. Kejam sungguh Iqbal.

“Apa yang dia buat pada kau Rin?” bahu temannya itu diusap perlahan. Di mana kurangnya Azrin Alissa di mata Iqbal sehingga lelaki itu sanggup tinggalkannya?

“Dia cakap dia dah tak sayangkan aku. Dia nak kahwin dengan Lara yang seksi tu hujung tahun ni.” Azrin Alissa menarik nafas dalam-dalam. Dia harus sabar. Semua ini adalah ujian buatnya. Kalau Allah sudah takdirkan dia dan Iqbal tiada jodoh, dia harus terima semuanya dengan redha. Tenang Azrin Alissa, kau boleh lupakan dia.

Selepas menceritakan kisah cinta tak kesampaiannya pada Najjah, hati Azrin Alissa terasa lega sedikit. Betullah kata orang, bila kita sudah tidak mampu bertahan, kita harus meluahkan segala rasa kita pada seseorang. Alhamdulillah, Allah hantarkan Najjah untuk mendengar isi hatinya.

“Kau ingat tak minggu lepas syarikat ada buat cabutan bertuah sempena ulang tahun yang ke 21?” soalan Najjah dibalas dengan anggukan.

Minggu lepas memang syarikatnya ada mengadakan cabutan bertuah, namun bossnya masih belum mengumumkan siapakah orang yang bertuah itu. Nasib lah kalau ada boss yang kedekut macam Encik Fadli tu. Seorang je yang dia pilih sebagai pemenang.

guess what, akulah orang yang bertuah tu.” Najjah tayang senyum bangga sambil mengangkat kening double jerk.

“Wow, tahniah Najjah. Apa hadiahnya?” wajah berseri Najjah itu ditatap dengan mata bersinar.

“Hadiahnya adalah..” tangannya menepuk meja ala-ala bunyi drum.

“Tiket penerbangan pergi dan balik ke Osaka untuk seorang.” Sambung Najjah dengan suara yang tidak bersemangat. Kedekut betul Encik Fadli. Sekurang-kurangnya bagilah untuk dua orang. Perempuan manalah yang berani pergi ke Negara orang seorang diri, lainlah kalau perempuan yang sanggup buat apa sahaja sebab tengah patah hati. Ngomel Najjah di dalam hati. Wait, perempuan yang sanggup buat apa sahaja sebab patah hati?

Azrin Alissa yang sedang tersengih itu di jelling sekilas.

.

APARTMENT yang berdiri di hadapannya itu dipandang lama. Kerana Najjah dia menjejakkan kaki ke Osaka. Juga kerana mahu menenangkan fikiran dia nekad untuk ke sini seorang diri. Azrin Alissa menarik nafas dalam-dalam sebelum mula melangkah masuk untuk check in.

Ini adalah kali pertama dia menjejakkan kaki di bumi Jepun. Mujurlah ada pak cik Google yang membekalkannya pelbagai maklumat. Memandangkan Jepun merupakan Negara yang kosnya paling tinggi di dunia, Azrin Alissa memilih untuk menggunakan servis AirBnB sahaja. AirBnB jauh lebih murah daripada hotel, sesuai sangat untuknya yang datang melancong dengan bajet ciput.

Masuk sahaja ke dalam bilik, Azrin Alissa ternganga. Walaupun harganya murah, tetapi biliknya sangat selesa. Apartment milik Mr. Noriyuki Ueno ini menyediakan pelbagai kemudahan . ada dapur dan perkakas untuk memasak, ada aircond dan heater, ada futon, pokoknya segala keperluan yang kita perlu memang disediakan di sini.

Azrin Alissa membaringkan tubuhnya ke atas katil empuk yang boleh memuatkan dua orang. Terasa lenguh tubuhnya menaiki kapal terbang selama beberapa jam. Mudah-mudahan di temui ketenangan yang dia mahukan di sini.

“Yosh! Gambate kudasai ne Azrin-chan.” Bisik Azrin Alissa supaya dirinya kembali bersemangat. Dia bingkas bangun dan membuka selendang yang membaluti kepalanya. Dia mahu mandi dan solat dahulu. Kemudian dia mahu berehat sepuas-puasnya. Besok dia mahu keluar. Ke mana dan di mana dia belum tahu. Yang penting, dia sudah jauh beribu batu dari Iqbal.


BERTUAH juga dia tinggal di apartment ni, dekat sangat dengan stesen train Sinshaibashi Eki (EXIT 6). Senanglah dia mahu ke mana-mana tempat yang ingin dia lawati. Azrin Alissa berjalan menuju ke jalan raya. Dia mahu melintas jalan untuk ke Nanba, kawasan membeli belah yang popular di Osaka.

Dalam masa 8 minit sahaja dia sudah nampak pelbagai shopping mall. Ada butik Forever 21, H & M, Gucci dan sebagainya. Azrin Alissa masuk ke dalam beberapa buah butik sekadar untuk mencuci mata tanpa ada niat mahu membeli. Ada juga beberapa barang yang dia berkenan namun disimpan dalam-dalam niat untuk membelinya memandangkan harganya yang agak mahal dan melangkaui bajetnya. Sudahnya dia hanya mampu membeli beberapa cenderahati di kedai souvenir. Dia membeli sehelai mafela untuk Najjah tanda terima kasih. Untuk adiknya Azlin, dia membeli baju bertulis I Love Osaka manakala untuk mak dia membeli kusyen kecil yang bercorak bunga sakura.

Malam itu dia tidur lena kerana keletihan bersiar-siar di Nanba.

Dia tidak tahu harus ke mana hari ini, moodnya sudah melayang sebaik sahaja mendapat panggilan daripada Azlin. Kata adiknya, Iqbal dan Lara datang ke rumah dan memberi sekeping kad jemputan padahal perkahwinan mereka lambat lagi. Pasti lelaki itu sengaja mahu menyakiti hatinya.

Bosan duduk di dalam bilik, dia melepak di atas bangku di luar apartmen. Melihat orang-orang Jepun yang lalu lalang di kawasan itu sedikit sebanyak memujuk hatinya yang sakit. Sungguhlah orang Jepun sememangnya gila berfesyen. Walau ke mana pun mereka pergi pasti mereka akan berdandan sakan. Pakaian mereka sememangnya up to date. Rata-rata perempuan Jepun yang dia lihat, sangat suka memakai baju yang mempunyai riben seperti yang dia biasa lihat dalam anime.

“Ohayou Azrin-san.” Sapa Mr Noriyuki Ueno bersama senyuman. Lelaki ini sememangnya mesra dan murah dengan senyuman. Dia sendiri berasa senan berbual dengan lelaki separuh abad ini memandangkan dia agak fasih bahasa inggeris.

Azrin Alissa membalas bersama senyuman ceria.

Where are you going today?” soal Mr Noriyuki Ueno sambil melabuhkan duduk di sebelah Azrin Alissa.

I don’t know where to go. I got bad news from my hometown and my mind really messy right now.” Balas Azrin Alissa hambar.

There’s a roses garden at the east side of Nakanoshima Park. You can go there by train. I think you really need fresh air to calm yourself.” Mr Noriyuki Ueno tersenyum buat kesekian kali sebelum meminta diri untuk masuk ke dalam.

Azrin Alissa segera mengeluarkan telefon bimbitnya. Dia mahu mencari maklumat tentang lokasi yang diceritakan Mr Noriyuki Ueno. Seketika kemudian dia berlari masuk ke dalam apartmen dan keluar bersama beg sandangnya.

Dia menaiki kereta api di Shinsaibashi Station yang terletak di hadapan apartmen. Hanya perlu menuruni tangga untuk ke stesen kerata api tersebut memandangkan ia merupakan kereta api bawah tanah. Perjalanan ke Nakanoshima Park hanya mengambil masa 8 minit dengan menaiki kereta api.

Tiba sahaja di taman ros yang diceritakan Mr Noriyuki Ueno, Azrin Alissa ternganga. Cantik sungguh keindahan alam ciptaan Allah. Jakun seketika dia melihat taman yang agak luas itu. Ramai pelancong yang mengunjungi taman ini memandangkan ia merupakan tempat tarikan pelancong. Sempat juga Azrin Alissa mengambil gambar untuk dibuat kenangan.

Dia melabuhkan duduk di atas bangku yang disediakan di bawah pokok. Bau bunga ros yang menusuk hidung dihirup dalam-dalam. Terlupa seketika soal Iqbal yang menyakitkan hati. Nampaknya dia sudah jumpa tempat melepak. Esok dia mahu ke sini lagi.

Mascot beruang yang sedang melayan kanak-kanak itu mencuri perhatian Azrin Alissa. Terhibur dia melihat mereka berebut belon yang dipegang mascot tersebut. Kanak-kanak itu mula menolak antara satu sama lain. Dalam bergelut dengan kanak-kanak yang hiperaktif itu, mascot beruang tersebut tersadung dan terus rebah.

Serentak Azrin Alissa berlari mendapatkan beruang yang sudah tergolek itu. Entah kenapa hatinya berbisik mengarahkannya supaya menolong. Dia menghulurkan tangan.

“Daijobu desu ka?” soal Azrin Alissa.

“watashiwa daijobu desuyo” Balas si beruang sambil menyapu kotoran pada maskotnya.

Next time, becareful.” Pesan Azrin Alissa dalam bahasa inggeris pula. Dia tidak tahu bercakap dalam bahasa jepun. Sekadar dua tiga patah perkataan tu dia pandailah juga. Azrin Alissa segera kembali ke bangku. Dia malas berbicara lama-lama memandangkan dia tidak mengenali lelaki yang memakai mascot beruang itu.

Buku yang dibawa dari tanah air itu dikeluarkan dari beg. Novel bertajuk Jeriji Besi itu baru dibeli di kedai buku Popular minggu lepas. Dia cuma sempat membaca beberapa bab memandangkan dia sibuk dengan kerja. Azrin Alissa menyelak helaian yang ke 24.

Tiba-tiba bangku yang di duduk dirasakan bergerak, Azrin Alissa segera menoleh ke kiri. Si beruang yang sedang memandangnya melambaikan tangan. Azrin Alissa sudah tidak sedap hati. Alamak, apa yang beruang ni nak dengan aku?

Azrin Alissa menarik nafas dalam-dalam seraya kembali membaca. Sungguh dia tidak mampu bertenang sekarang. Bangku yang dia duduk sudah bergoyang-goyang. Dia menjeling sekilas ke sisi.

Si beruang berhenti menggoyangkan bangku seraya melambaikan tangan.

Tali beg sandangnya digenggam erat. Dia memandang ke hadapan sambil tangannya memasukkan buku ke dalam beg. Satu dua tiga.

Azrin Alissa segera berlari sekuat hati seperti Watson Nyambek. Angin yang menampar-nampar wajahnya langsung tidak di hiraukan. Dia menoleh ke belakang. Beruang tadi masih mengejarnya namun mereka sudah berjarak beberapa meter. Pasti sukar untuk lelaki itu mengejarnya memandangkan mascot yang dipakainya agak berat.

Sudahnya Azrin Alissa memutuskan untuk pulang sahaja.

Malam itu dia menceritakan kejadian siang tadi pada Najjah. Gadis itu ketawa sahaja mendengarnya. Hatinya rasa tercuit juga bila teringatkan adengan kejar mengejar antara dia dan beruang sesat siang tadi. Kalau dia tahu semua ini akan berlaku, pasti dia tidak berani untuk menolong.

Keesokkannya Azrin Alissa ke Nakanoshima Park lagi. Dia memerhati kawasan sekeliling seraya menarik nafas lega. Mujur beruang kelmarin sudah tiada. Kakinya diheret menuju kea rah sebtaang pokok besar. Oleh kerana di situ tiada bangku, Azrin Alissa melabuhkan duduk di atas rumput sahaja. Terasa seperti watak heroin dalam cerita Hollywood pula. Bezanya tiada kain corak kotak-kotak dan bakul yang dipenuhi makanan. Yang ada cuma dia dan beg sandangnya.

Dia kembali membaca buku. Tujuan dia ke sini cuma untuk mencari ketenangan dan membaca buku sahaja.

“Assalamualaikum.” Azrin Alissa mengangkat muka sambil mulutnya menjawab salam. Lelaki yang sedang berdiri di hadapannya itu direnung dengan kening berkerut.

“Kita kenal ke?” soal Azrin Alissa ragu-ragu. Mata lelaki itu berwarna coklat. Keningnya hitam, tidak tebal dan tidak juga terlalu nipis. Senyumannya manis menampakkan lesung pipit di sebelah kanan bibir. Kulitnya sawo matang seperti kebanyakan lelaki melayu. Orang Malaysiakah?

Lelaki itu tersenyum sambil melambaikan tangan.

Macam pernah tengok pula. Macam beruang yang mengejarnya semalam. Eh.

Azrin Alissa segera bingkas bangun. Dia mahu meninggalkan tempat ini secepat mungkin. Debaran di dada semakin kencang. Pasti lelaki ini punya niat tak baik.

“Tunggu dulu. Saya cuma nak berkenalan. Awak datang ke sini seorang diri aje kan?” Soal Wan sambil melangkah laju, cuba menyaingi Azrin Alissa.

“Mana awak tahu saya sorang diri aje? Awak skodeng saya ya?” langkahnya diberhentikan secara tiba-tiba. Hampir sahaja lelaki itu melanggar tubuhnya namun sempat dielak. Azrin Alissa berpaling ke belakang dengan wajah merah. Anak mata Wan ditatap tajam.

“Eh, tak tak. Saya cuma teka sahaja. Jadi, boleh kita berkenalan?” Wan mengangkat kedua belah tangannya ke sisi tanda tidak bersalah. Garangnya dia, tapi manis. Bisik Wan di dalam hati.

Percayalah, dia ikhlas mahu mengenali gadis yang bertudung litup ini. Entah kenapa sejak melihat wajah gadis ini, dia jadi tidak keruan.

“Tak boleh.”

“Kenapa pula?”

“Sebab saya tak sudi.”

“Kalau tak sudi, sudi-sudikanlah.”

Lama mereka berbalas kata. Sedar-sedar mereka sudah berada di stesen kereta api. Kebetulan pula kereta api baru sahaja sampai. Tanpa berfikir, Azrin Alissa terus sahaja memboloskan diri ke dalam. Pintu yang hampir tertutup itu ditenung dengan perasaan tidak sabar. Hampa, lelaki yang mengejarnya itu sempat memboloskan diri ke dalam bersama sengihan lebar.

Azrin Alissa mengeluh perlahan. Malang sungguh nasibnya. Niat mahu mencari ketenangan, tapi yang dia dapat cuma pertemuan dengan seorang lelaki pelik. Azrin Alissa tidak tahu ke mana destinasinya. Dia sudah malas mahu berfikir.

Wan melabuhkan duduk di sebelah Azrin Alissa yang masam mencuka. Hatinya tidak akan tenang selagi dia belum mengetahui nama gadis ini. Wan berdehem beberapa kali. Tiada balasan. Akhirnya dia diam sahaja sehinggalah kereta api yang mereka naiki berhenti di sebuah stesen. Mereka membuntuti penumpang lain yang berasak keluar.

Ya Tuhan, di manakah dia? Azrin Alissa memandang sekelilingnya. Dia tidak kenal tempat ini. Ini bukan Shinsaibashi Station. Tangannya dimasukkan ke dalam beg sandang, cuba untuk mencari telefon bimbit. Dugaan apakah ini? Telefonnya habis bateri pula.

Azrin Alissa sudah hilang arah. Dia berjalan ke kiri sebelum kembali berjalan ke sebelah kanan stesyen. Sudahnya dia mencangkung dan menangis seperti anak kecil. Dia sudah tidak pedulikan orang awam yang sedang menatap pelik padanya.

“Awak.” Panggil Wan serba salah.

“Jangan kacau saya.” Balas Azrin Alissa dengan suara kasar. Dia menjeling geram Wan yang sedang berdiri sebelum kembali menyembamkan mukanya ke lutut.

“Kalau awak nak duduk kat situ sepanjang hari ni, duduklah. Saya nak balik.” Balas Wan sengaja mahu mencuri perhatian Azrin Alissa. Gadis itu terus mengangkat muka. Mata bundarnya merenung wajah Wan.

“Awak tahu jalan balik?” teragak-agak dia mengutarakan soalan sambil kembali berdiri. Wan mengangguk perlahan bersama senyuman manis.


TUALA yang digunakan untuk mengeringkan rambut itu disangkut pada penyidai. Habis lenguh tubuhnya gara-gara mengikut Wan ke taman tema. Di mana tempatnya dia sendiri pun tak tahu. Akibat tersesat punya pasal, dia terpaksa berkenalan dengan lelaki yang dia tidak tahu hati budinya. Selepas menghabiskan masa beberapa jam bermain di taman tema tadi, dia merasakan Wan bukanlah seperti yang dia sangka. Lelaki itu agak baik dan paling penting menjaga batas pergaulannya. Kalaulah Iqbal seperti Wan. Ah, Iqbal lagi!

Ada hikmahnya juga dia tersesat siang tadi, dapat jugalah dia berseronok sambil mengenali hati budi Wan. Ya, Wan Muhammad bin Wan Ali nama si beruang yang mengejarnya kelmarin. Percaya atau tidak, dia agak selesa bersama lelaki itu.

Macam pernah dia dengar pula nama Wan Muhammad bin Wan Ali tu. Azrin Alissa memejamkan mata sambil cuba memerah otaknya. Entah pada pukul berapa akhirnya dia tertidur dan diulit mimpi indah bersama Wan.

Pagi itu dia ke Nakanoshima Park sekali lagi untuk berjumpa Wan, semuanya di atas permintaan Wan. Dia setuju sahaja sebagai balasan lelaki itu membawanya ke taman tema dan pulang ke apartmen. Azrin Alissa melabuhkan duduk di bawah pokok yang sama. Telinganya disumbat dengan earphone sambil tangan mula menyelak buku.


Melepaskan mu, bukan mudah bagiku

Untuk melalui semua ini,

Pabila kenangan kita mengusik jiwa dan hati,

Kala malam tidurku tak lena mengenangkanmu


Azrin Alissa menggeleng perlahan.


Oh Tuhan, ku mahu yang terbaik,

Terbaik buatku, insan kerdil ini,

Oh Tuhan, noktahkan kehilangan ini,

Munculkan dia, dia terakhir buatku..


Bait-bait lagu Terakhir nyanyian Sufian Suhaimi itu benar-benar menyentuh perasaannya. Lagu ini seperti kisah cintanya yang tidak kesampaian. Apakah kisah cinta Sufian Suhaimi juga begitu? Masih singlekah bekas guru itu?

“Ya Allah, Kau munculkanlah dia yang terakhir buatku. Aku sudah lelah mengharap yang tidak pasti.” Doa Azrin Alissa sambil menyapu mukanya dengan telapak tangan. Entah kenapa dia merasakan Iqbal seperti sudah tidak wujud lagi dalam hatinya.

“Mencintai tak semestinya memiliki. Kalau betul kita cintakan seseorang, lepaskan dia supaya dia boleh bersama orang yang dia cinta.” Sampuk Wan bersama senyuman manis. Dia melabuhkan duduk di sisi Azrin Alissa.

“Saya dah lepaskan dia.” Azrin Alissa menghadiahkan senyuman yang dirasakan paling manis. Terima kasih keindahan masa silam. Kalau tiada masa silam, pasti dia tidak akan berada di sini untuk melihat keindahan masa hadapan.

“Kita kahwin jom.” Canang Wan tiba-tiba. Buntang mata Azrin Alissa mendengar cadangan mengejut lelaki itu.

“Kita baru aje kenal dua hari, awak dah ajak saya kahwin? Mengarut.” Balas Azrin Alissa dengan senyum yang masih di bibir. Kenapa ya bibir ni tidak mahu berhenti dari tersenyum?

“Taklah, kita dah lama kenal. Saya kenal awak dalam mimpi setahun yang lepas. Percaya tak saya hampir kahwin? Tapi bila Allah takdirkan kita tiada jodoh dengan seseorang, masa berjabat tangan tok kadi pun perkahwinan tu takkan berlangsung. Bekas tunang saya lari sebulan sebelum majlis kahwin kami. Beberapa malam saya buat solat istikharah untuk meminta petunjuk Allah, dan hasilnya saya mimpikan awak.” Panjang lebar Wan bercerita. Sungguh ia benar belaka, tiada satu pun yang dia tipu.

“Tapi saya tak kenal awak.”

“Tipulah, awak kenal saya. Malah awak adalah peminat saya.” Wan segera menyelak muka surat terakhir buku yang dibaca Azrin Alissa. Terpapar gambarnya yang tersenyum beserta biodata penulis novel Thriller nombor satu Malaysia. Wan Muhammad bin Wan Ali.

Kalau sudah jodoh takkan ke mana. Itu yang dia sematkan dalam hati. In Shaa Allah Wan adalah yang terakhir untuknya.

“Aku terima nikahnya Azrin Alissa binti Azizan dengan mas kahwinnya RM101 tunai.” Ucap Wan dengan sekali lafaz. Saksi yang berada di kiri kanan mengangguk sambil bersetuju mengatakan sah.

Terima kasih ya Allah untuk anugerah yang paling indah ini.

-TAMAT-



psssttt.. jangan lupa ya baca karya saya yang lain. contact me through ig @ika4mei terima kasih pada yang sudi membaca karya saya. ;)

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh