Home Cerpen Cinta RIANA Bab 3 & 4
RIANA Bab 3 & 4
Ai Em
3/5/2020 13:39:50
141
Kategori: Cerpen
Genre: Cinta

Bab 3


Price gun berwarna kuning aku kembalikan ke dalam laci berhampiran kaunter bayaran. Ah Hor duduk di belakang kaunter sambil menghisap sebatang rokok. Surat khabar lama di baca dengan tekun sekali. Lau, anak saudaranya yang berusia lapan belas tahun sibuk memantau pekerja dari kilang pengedar beras memunggah stok yang dipesan masuk ke dalam stor. Menurut Mek, pada mulanya Lau enggan membantu dikedai sebaik tamat tingkatan lima. Namun, setelah dipujuk dan disogok akan menanggung kos pelajarannya kemudian hari, barulah anak muda itu bersetuju. Walaupun sikap Lau agak keterlaluan bagi aku, peribadi yang ditonjolkan tidak pula begitu. Anak muda itu sebenarnya ramah-tamah. Malah, cepat pula bergaul dengan anak-anak muda di kampung ini. Pernah beberapa kali aku melihatnya duduk melepak dengan beberapa orang anak muda kampung sambil bermain game di telefon. Malah, bergurau-senda sambil berborak perihal semasa.

"Eh, kenapa merokok? Tak baik untuk kesihatan, lah." tukasku tanpa aku sedari. Beberapa orang pembeli yang mendengar terburai ketawa. Aku melihat tepat ke muka Ah Hor. Dia tergamam. Begitu juga aku. Perlahan-lahan aku tersengih dan buat-buat ketawa kecil. Terlepas cakap pulak dah! Beberapa ketika Ah Hor turut tersengih. Lalu, puntung rokok yang masih berbaki di campak ke bawah. Kaki yang berselipar jepun tertenyeh-tenyeh api yang masih menyala. Alamak, Ah Hor marah ke dekat aku. Aku cepat-cepat beredar ke belakang. Enggan berada di dalam situasi janggal itu. Lebih baik cabut dan meneruskan kerja-kerja yang lain. Sambil menyusun tin-tin susu pekat di rak dihadapanku, lirikanku kerap kali terarah kepada Lau yang sedang memerhatikan pekerja yang belum selesai memunggah. Setahu aku, Ah Hor dan Mek mempunyai dua orang anak lelaki dan seorang perempuan. Yang perempuan telah lama berhijrah dan menetap di Singapura. Aku cuma mengenali anak lelaki mereka yang sulung. Itu pun sudah lama semenjak kami bertemu selepas anak yang sulung itu berkahwin dan menetap di Kuala Lumpur. Terkadang, ketika menyaksikan pasangan suami dan isteri itu berbual dengan Lau, aku dapat rasakan mereka mengasihi anak muda itu seperti anak mereka sendiri. Barangkali dengan cara itu dapat mengubat sedikit rindu mereka kepada anak-anak.


Bab 4


"Mak, Pak Man ada telefon?" tanyaku kepada emak ketika kami duduk dipangkin dibawah pokok longan yang rendang.

"Tak ada pulak. Kenapa?" tutur emak sambil menatap wajahku. Melihat wajah emak meninggalkan lekuk kasihan. Dua bulan lalu, arwah abah meninggal dunia kerana kanser paru-paru. Kebetulan pula ketika itu abang Li, abang aku yang nombor tiga bercuti selama tiga bulan. Abang Li berkerja sebagai kelasi kapal. Mengembara melalui jalan laut merupakan cita-citanya semenjak kecil. Sementelah ketika itu keadaan di pejabat agak rumit, aku mengambil keputusan untuk berhenti saja. Aku sudah tidak mampu bertahan dengan gaji kecil berbanding beban tugasan yang berkali ganda banyaknya.

"Lain kali, kalau Pak Man telefon, mak tanyakan tentang tanah ni." sahutku sambil tersenyum tipis.

"Hisy, buat apa tanya tentang tanah ni? Seganlah mak." kata emak lagi. Pak Man merupakan bapa saudaraku, iaitu adik kepada arwah abah yang menetap di Muar.

"Abang Li ada hantar mesej pagi tadi. Kami dah bincang mak.. Nak beli tanah ni dari Pak Man. Nanti mak cubalah tanya berapa Pak Man nak jual." jelasku pula. Riak kelegaan terpancar diwajah emak. Yelah, siapa tidak bimbang. Menumpang di tanah orang tanpa sebarang hitam putih. Lebih-lebih lagi setelah ketiadaan abah. Boleh jadi perihal tanah ini bakal menjadi isu jika tidak diselesaikan dengan segera. Bunyi hon kenderaan di jalan raya yang  berdekatan dengan rumah membuatkan khayalanku terusir pergi. Aku melirik jam dipergelangan tangan. 

"Mak, Nana pergi kedai dululah." ujarku lantas menyalami tangan emak. Kedua belah pipinya aku cium. Walaupun mini market itu terletak tidak jauh dari rumah, meninggalkan emak sendirian sering membuatkan aku bimbang. Padahal, emak jugalah yang memujuk aku supaya berkerja di mini market itu. Katanya dia tidak mahu melihat aku hanya terperap sahaja dirumah tanpa berbuat apa-apa. Kebetulan pula mini market Ah Hor sedang mencari pembantu sambilan. Cepat-cepat aje emak mengusulkan nama aku kepada Ah Hor dan Mek. Lalu disambut baik pula oleh mereka berdua. Kerja di mini market bermula jam sepuluh pagi dan berakhir jam enam petang. Hari ini aku perlu membungkus bawang pula. Lima guni bawang yang tiba petang semalam perlu dibungkus sebelum lebih banyak rosak akibat terlalu lama tersadai di stor pengedar. 

"Nana, kita pergi sekejap saja ah.. Mek ada dekat atas. Kalau supplier datang panggil Mek." pesan Ah Hor yang agak segak berkemeja lengan pendek dan seluar slack kelabu. Tiada lagi selipar jepun di kaki. Sepasang sandal kulit berwarna hitam kemas digayakan. Semenjak kecil sesekali dalam sebulan aku akan melihat Ah Hor bergaya begitu. Kata emak, Ah Hor bergaya begitu apabila ke bank di pekan untuk masukkan duit. 

"Mek dah sihat ke?" soalku. Pertanyaanku menahan Ah Hor dari masuk ke dalam Toyota Corolla edisi lama berona perak itu. Lau di tempat duduk pemandu senyap memerhatikan perbualan kami berdua. 

"Baik sikit dari semalam. Tapi dah boleh bangun. Okay, ah.." ujar Ah Hor lantas masuk ke dalam kereta. Aku berpeluk tubuh. Menghantar pemergian mereka hingga bayangan kereta yang dinaiki hilang dari pandangan. Seorang dua pembeli masuk ke dalam kedai. Aku cepat-cepat masuk dan menunggu di kaunter. Sekotak rokok dan air gas berada di atas kaunter. Atan, senior sewaktu aku bersekolah menengah dulu berbual sepatah dua bertanyakan khabar. Kemudian, beredar. Begitu juga Kak Ila yang merupakan pelajar emak di kelas mengaji Quran yang  datang untuk membeli barangan dapur. Kami berbual sebentar sebelum wanita itu turut mengundurkan diri. Aku menarik nafas yang dalam. Bosan bersendirian di dalam kedai. Patutlah Ah Hor ke pekan pada waktu ini. Tak ramai pembeli ketika ini. Mek pula masih belum pulih dari demam. Nak naik ke atas melihat keadaan Mek segan pula. Bangunan kedai dua tingkat ini sudah berzaman dibina. Namun masih utuh. Bahagian bawahnya dijadikan kedai. Manakala tingkat atas pula kediaman mereka sekeluarga. Akhirnya aku mengeluarkan telefon di dalam poket seluar buat mencari sedikit hiburan dari terus terseksa dengan suasana hening di dalam kedai tersebut. Sambil melayari paparan Facebook, ekor mataku seperti mengesan satu pergerakan. Aku mengangkat wajah. Terkesima melihat satu susuk yang agak kurus dan tinggi lampai tercegat di salah satu sudut yang bersambung dengan ruang dapur dibahagian belakang. Aku tidak jelas akan wajahnya kerana ditutupi oleh rambutnya yang panjang melewati paras dada. Nafasku terhenti. Dadaku berdebar kencang. Hantu? Kedua belah kakiku longlai. Bola mataku melihat sahaja pergerakan lelaki itu yang berjalan sedikit terhuyung hayang menuju ke arah peti sejuk yang menyimpan minuman. Satu tin 100 plus diambilnya lantas dia berjalan keluar dari kedai tanpa mempedulikan aku yang sedang memerhati. Biar betul? Hantu tak minum air gas! 

"Hoi!! Pencuri!!!" Aku menjerit. Tiada lagi kaki yang longlai tatkala aku membuka langkah untuk mengejar. Tetapi, hantu itu tidak ke mana-mana. Dia masih berdiri dihadapan kedai sambil meneguk air bergas tersebut sehingga habis. Tin yang kosong dicampak ke tepi. Hampir tepat untuk masuk ke dalam tong sampah yang disediakan. Aku memberanikan diri. Berjalan mendekati dengan jarak yang selamat untuk aku bertindak jikalau hantu itu cuba apa-apakan aku. Aku memerhati. Hanya berkaki ayam dan berseluar jeans. Baju pun tak pakai. Dari gerak laku aku dapat satu kepastian. Lelaki! 

"Err.. Air tadi tu seringgit lima puluh sen." kataku tanpa teragak-agak. Aku pasti setiap CCTV yang berada di dalam mini market ini merakamkan perbuatan lelaki itu. Jika Ah Hor melihat, dia akan tahu aku tidak melihat sahaja lelaki ini mencuri di dalam kedainya. Kata-kataku tidak disambut. Lelaki itu mengangkat wajahnya yang masih berselindung dibalik juraian rambut lurusnya yang hitam berkilat. Dia mengangkat kedua belah tangan mengirai rambut yang panjang itu menggunakan jari jemarinya yang runcing. Jari tengah terdapat sebentuk cincin berwarna perak dan hitam. Di jari kelingkingnya juga terdapat sebentuk cincin. Tetapi seperti cincin orang perempuan bentuknya. Dua utas gelang manik dan dikiri dan kanan. Lelaki ini gemarkan aksesori. Matanya terpejam rapat disaat dia mengemaskan rambut dan mengikatnya. Hanya separuh sahaja ikatan yang dibuat. Jambang dan misai yang tumbuh diwajahnya kelihatan tidak kemas. Keadaan lelaki itu langsung tidak terurus. Lelaki itu membuka mata. Kemudian, menoleh kearahku seakan mengetahui apa yang bermain difikiranku saat ini  Aku tergamam. Dia tersenyum sumbing lalu berpaling dan berjalan masuk ke dalam kedai kembali sebelum mendaki tangga untuk ke ruang atas. Dadaku kembali berdebar kencang. Telefon digenggaman aku buka. Nombor Ah Hor aku dail. 

"Ah Hor! Ada pencuri dalam kedai. Dia naik atas. Aku takut dia buat apa-apa dekat Mek." ceritaku dengan desah bimbang. 

"Rambut panjang ke?" soal Ah Hor. Aku terkedu. Aik? Macam mana Ah Hor boleh tahu? Oh, barangkali CCTV yang dipasang boleh dipantau melalui telefonnya. Ya. Boleh jadi. 

"Ha'ah."

"Oh. Takpe.. Takpe. Jangan risau. Tu bukan pencuri. Dia sudah bangun ah? Kalau macam tu, bila supplier datang minta tolong dialah. Jangan ganggu Mek." pesan Ah Hor sebelum memutuskan talian. Aku makin terkedu. Bukan hantu, bukan pencuri. Siapa? 


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.