Home Cerpen Cinta Senyum Yang Hilang
Senyum Yang Hilang
Lily kamarruddin
7/4/2013 03:39:30
3,393
Kategori: Cerpen
Genre: Cinta

Sepasang mata bundar itu memandang laut yang luas terbentang dihadapannya, fikirannya kosong. Sekosong kanvas putih tanpa palitan warna. Setitik pun tidak. Sesekali bibirnya bergerak-gerak tetapi buah bicaranya tidak ketahuan. Bibir itu hanya menggumam perlahan. Tiada siapa lagi mengerti bicaranya. Tidak orang lain, malahan dirinya sendiri tidak lagi dikenalinya. Pemilik mata itu sudah lama kehilangan senyumannya. Sudah lama kehilangan bicaranya. Sudah lama juga kehilangan fikirannya. Pemilik mata bundar itu kini sendiri dalam kesendirian dirinya yang hanya Allah sahajalah mengetahui.

Azrif mengeluh perlahan. Segala kesalannya tidak bermakna lagi. Seribu ucapan maaf pun tidak mungkin dapat mengembalikan senyuman dan fikiran Azalea lagi. Azalea dalam dunianya sendiri. Barangkali dunia sepi yang tidak bertepi. Barangkali dunia mimpi yang tiada jaga. Azrif tidak tahu, Azalea dihadapannya hanya boneka sepi yang bernyawa tetapi tiada berfungsi. Maafkan aku Azalea, itulah yang diratapkan dan diucapkan dihadapan Azalea setiap kali dia berhadapan dengan Azalea.

Azrif tidak pernah jemu menemani Azalea. Saban waktu terluang dia pasti akan membawa Azalea di tebing pasir itu. Di situlah kenangannya bermula dengan Azalea. Azrif berharap dengan membawa Azalea ke tebing pasir mengadap laut luas itu akan memberikan sesuatu untuk Azalea. Azrif tidak pasti, tetapi harapannya sangat tinggi menggunung. Manalah tahu tebing pasir mengadap laut itu akan dapat mengembalikan Azaleanya yang dahulu. Yang pasti harapan itu sebenarnya semakin pudar saban waktu.

Sudah hampir setahun Azref membawa Azalea ke tebing pasir itu. Azref teringat saat-saat manisnya dahulu dengan Azalea. “Rif tahu tak, tempat ni paling menenangkan Lea. Tempat ni seolah-olah membawa Lea mengembara ke mana sahaja Lea mahu. Tempat ni juga memberikan Lea Rif, lelaki yang paling Lea cintai” itu kata Azalea. Azrif kesal kerana itulah satu saat yang sebenarnya pernah dia lupakan.

Azrif tersenyum hambar mengenangkan bicara Azalea itu. Mengenangkan bicara Azalea itu ia bagaikan selumbar paling tajam di hatinya. Selumbar yang memberikan parut kekal untuk selamanya. Azref masih ingat ketika mereka baru berkenalan. Azalea di tebing pasir ini. Saat itu dia sangat terpikat melihat Azalea yang asyik melukis. Azalea sedang mempotrekan pemandangan lautan yang terbentang luas di hadapannya ketika itu. Azalea sangat cantik walaupun ketika itu di pipi Azalea terdapat palitan warna biru. Ketika itu Azalea juga wanita paling sempurna di hatinya.

Kerana desakan hatinya dia mengikut langkah kaki dan memberanikan diri menegur Azalea. Ternyata tegurannya di sambut dengan ramah. Ya Azalea seorang gadis yang peramah. Senyumannya sangat manis di tambah sepasang lesung pipit di pipi. Dari pandangan pertama hatinya sudah terpaut. Ya dia jatuh cinta dengan Azalea dari pandangan pertama. Dan dari perkenalan singkat itu bercambahlah bunga cinta antara mereka. Tebing pasir itu menjadi saksi lafaz cinta termetrai. Bahagianya mereka menganyam impian cinta yang mekar di temani simbahan bayu laut. Harum dan wangi membuai bahagia.

Beberapa bulan berkenalan akhirnya Azrif meluahkan hasratnya mahu menjadikan Azalea isterinya yang sah. Azrif dapat melihat betapa sepasang mata bundar itu bercahaya kegembiraan. Maka Azalea membawa dirinya bertemu keluarganya. Ternyata keluarga Azalea menerima sahaja siapa pilihan anak tunggal mereka itu. Setelah pasti dengan penerimaan keluarga Azalea, maka rombongan meminang dihantar. Selepas tiga bulan bertunang mereka diijabkabul di dalam majlis yang serba sederhana tetapi meriah.

Selepas berkahwin dia membawa Azalea berpindah. Azalea sebenarnya anak orang berada. Berbanding dengan dirinya datang dari keluarga sederhana. Sebagai seorang lelaki di merasakan kewajibannya untuk memenuhi keperluan Azalea. Mulanya kehidupan mereka bahagia dan sederhana sahaja. namun semuanya berubah selepas syarikat tempatnya bekerja ditutup dan dia mula menjadi penganggur.

Sebulan tidak bekerja mulai mengubah sikapnya. Dia mulai menjadi malas. Walaupun dia bekerja tetapi ia tidak kekal lama kerana dia merasakan kerja-kerja tersebut tidak sesuai dengan jiwanya. Dia mulai merungut apabila kerja dengan gaji yang diterima tidak setimpal. Azalea menasihatinya supaya bersabar. Tetapi dia mulai menengking Azalea dan mulai mengungkit adakah Azalea menyesal mengahwininya.

Dari tengkingan akhirnya tangannya mulai naik ke muka dan badan Azalea. Selalunya ia akan berakhir dengan Azalea menangis kesakitan. Semakin lama keadaan kewangan mereka makin meruncing menyebabkan Azalea sendiri mulai berusaha menampung masaalah tersebut dengan menjual lukisan yang dihasilkannya. Usaha Azalea berbaloi apabila beberapa buah hasil lukisannya dibeli orang.

Namun dia pula mulai menjadi cemburu apabila melihat Azalea mulai dikelilingi ramai orang. Sikap cemburu yang mulanya biasa sahaja tiba-tiba menjadi cemburu buta. Dia mulai mempersoalkan apa sahaja yang Azalea lakukan. Sehingga sampai ke satu tahap dia bimbang jika Azalea mengadu semua masaalah rumahtangga mereka kepada ibu dan bapanya. Pada fikirannya alangkah hinanya maruahnya sebagai suami jika ibu bapa Azalea mengetahui perihal dirinya yang tidak bekerja lagi itu. Malah dia juga mulai takut jika Azalea meninggalkannya. Fikirannya mulai kacau dengan sikap cemburu.

Walaupun Azalea menafikan dengan lembut, tetapi penafian itu tetap dianggapnya sebagai jawapan yang menyakitkan hati. Dari menganggur dan asyik bertukar-tukar kerja dia mulai berjinak-jinak dengan judi. Harapannya kalau menang nanti bolehlah dia kaya dan tidak perlu lagi bersusah payah seperti sekarang. Tetapi dia tidak pernah menang. Apabila kalah dia berjinak-jinak dengan arak pula. Balik ke rumah Azalea menjadi mangsa maki hamunnya pula. Puas hatinya dapat melampiaskan rasa marah kerana kalah berjudi itu kepada Azalea.

Suatu hari dia kalah teruk setelah berjudi dengan wang gadaian cincin emas perkahwinannya. Kecewa kerana kalah dia minum begitu banyak dengan harapan dapat melupakan kekalahan tersebut. Ketika pulang ke rumah dia melihat seorang lelaki keluar dari rumahnya. Sangkanya ketika itu orang yang dilihatnya itu adalah lelaki yang berasmara dengan Azalea ketika dia tiada di rumah.

Dipengaruhi alkohol, perasaan cemburunya mulai menyemarak. Tanpa usul periksa sebaik sahaja masuk ke rumah dia memekik-mekik nama Azalea. Isterinya itu kebingungan apabila tanpa usul periksa dirinya mulai ditampar, disepak dan di maki hamun perempuan curang. Puas Azalea meminta dia menghentikan tindakan ganasnya itu namun dia seperti kerasukan tidak mempedulikannya. Apabila Azalea sudah lembik dan tidak bergerak barulah dia berhenti memukul Azalea.

Ketika itu barulah dia sedar kepala Azalea sudah berlumuran darah. Namun baru sahaja dia mahu berfikir sesuatu pihak polis sampai. Dia tidak tahu siapa yang menghubungi polis. Keadaan menjadi agak tegang apabila dia mulai melawan untuk tidak di bawa ke balai. Kekecohan itu mulai mengundang kehadiran jiran tetangga. Tidak lama kemudian sebuah ambulans juga tiba. Azalea yang terbaring berlumuran darah itu diberi rawatan kecemasan sebelum di angkat ke atas strecther dan di masukkan ke dalam ambulans.

Malam itu kejiranan tersebut kecoh dengan peristiwa tersebut. Dia yang masih dipengaruhi alkohol sebenarnya tidak begitu menyedari apa yang berlaku. Apabila di gari dan dipaksa naik ke atas land rover polis dia cuba melawan tetapi tidak berjaya. Malam itu dia meringkuk di lokap dan Azalea pula di bawa ke hospital. Apa yang pasti dia masih belum menyesali apa yang terjadi dan tidak begitu memikirkan apa kesan dari kegilaannya tadi terhadap Azalea. Seminggu di lokap barulah dia dapat di ikat jamin oleh bapanya.

Perkara pertama yang didengarinya dari mulut bapanya ialah Azalea mengalami kecederaan teruk di seluruh badan. Akibat hantukan kuat di kepala Azalea juga mengalami pendarahan otak dan menyebabkannya koma. Namun satu ayat yang membuatkan dia terkesima “Kau tahu tak Lea mengandung Rif?”. Matanya bulat memandang wajah bapanya, sungguh dia benar-benar terkejut.

“Lea mengandung ayah?” soalnya terkejut.

“Ya, tapi sayang kandungannya dan tiada. Lea keguguran Rif” lemah sahaja suara bapanya menuturkan.

Khabar itu sebenarnya bagai satu ledakan bom atom kepadanya. Azrif mulai ditimpa kesalan yang tidak sudah. Dia mulai rasa sangat berdosa kepada Azalea. “Maafkan Lea bang, ampunkan Lea” kata-kata itu terngiang-ngiang ditelinganya. Ya!, Lea merayu dan merayu tetapi dia begitu pekak dan tuli untuk memahaminya. ‘Lea tak berdosa, abang yang berdosa’ Azrif menuturkannya perlahan dengan rembesan airmata yang bercucuran. Dia meramas-ramas rambutnya sendiri. Kesal, marah dengan diri sendiri dan bingung bersatu membungkus dirinya di dalam kesalan yang amat dalam.

Di hospital dia diserang dan dimaki hamun oleh ibu Azalea. Ketika itu dia hanya mematung sahaja. Dia menerima apa sahaja maki hamun dan kalau dibunuh pun dia sanggup kerana penyesalan di dalam hatinya jauh lebih berat dari apa yang sepatutnya dihukum ke atas dirinya. Barulah dia tahu selama ini Azalea tidak pernah mengadu apa-apa. Malah orang yang dilihatnya keluar dari rumah pada malam kejadian adalah sepupu Azalea. Sepupunya perempuan, cuma gadis itu agak sedikit tomboy. Sekali pandang memang akan kelihatan seperti lelaki.

Dia yang cemburu buta dan tidak pernah usul periksa. Sepupunya datang pun kerana mahu mengambil lukisan yang ditempahnya dengan Azalea. Lukisan gambar pemandangan itu ditempahnya dengan Azalea kerana mahu menghadiahkannya kepada kawan. Namun leka berbual lukisan itu tertinggal ketika dia pulang. Menyedari lukisan tersebut tertinggal dia berpatah balik dan ketika itulah dia melihat Azrif sedang memukul Azalea. Kerana bimbang dengan kegilaan Azrif sepupunya menghubungi polis.

Semua cerita itu menyebabkan dia menjadi sangat menyesal dan kebingungan. Malah ketika mahu melihat Azalea dia terpaksa merayu ibu dan bapa Azalea. Dia rela jika selepas ini dia dihukum tetapi dia mahu melihat Azalea. Puas merayu akhirnya bapa Azalea membenarkan. Luluh hatinya apabila melihat Azalea kini terlantar di atas katil hospital. Jelas di matanya seluruh tubuh Azalea lebam-lebam. Azalea kini bergantung kepada mesin bantuan pernafasan. “Maafkan abang Lea..maafkan abang” itulah yang dirayu dan diulang-ulangnya ke telinga Azalea.

“Abang zalim, abang tak guna” Azrif mengongoi. Dia menyesal dan sangat-sangat menyesal. Di saat ini jika Azalea itu berdiri di hadapannya dia mahu memaut kaki Azalea dan memohon ampun.

Setelah berbincang akhirnya keluarga Azalea tidak mahu mendakwa Azrif kerana mendera anak mereka. Bagi mereka melihat keadaan Azrif sekarang sebenarnya itu hukuman yang paling teruk dari di penjara. Azalea koma dan bakal anaknya juga telah tiada. Setiap hari Azrif duduk di sisi Azalea. Setiap hari dia akan menangis dan meminta maaf kepada Azalea walaupun Azalea tidak mendengarnya. Sebulan koma akhirnya Azalea sedar. Ketika Azalea sedar Azriflah yang paling gembira. Kalau boleh dia mahu mengumumkan kepada dunia Azaleanya sudah sedar.

Namun semuanya tidak bermakna. Azalea memang sedar dari koma. Tetapi Azalea tidak mengenali sesiapa. Azalea yang pernah dikenalinya kini tidak mengenali dirinya juga. Kerosakan otaknya menyebabkan memori silamnya lenyap. Otaknya juga tidak mampu menyimpan apa-apa memori akan datang. Setiap hari Azalea akan bangun dan terjaga dengan fikiran yang kosong. Kosong seperti bayi yang baru lahir. Azalea tidak pernah tersenyum, bercakap dan ketawa seperti dulu.

Dan sejak itu Azrif mengambil keputusan menjaga Azalea sampai ke akhir hayat. Dan rutinnya setiap hari pasti dibawanya Azalea ke tebing pasir itu. Azrif berharap berlaku keajaiban. Cukuplah jika dia dapat melihat Azalea tersenyum. Dan doa itu dipanjatkan kepada ilahi setiap hari. Hatinya sudah cukup merasa berdosa apatah lagi Azalea tidak pernah menjawab adakah dia telah dimaafkan. Dosa ini kubawa sampai mati bisiknya lelah. Azrif menyapu wajahnya sendiri. Airmatanya gugur lagi. Dia kini menjadi sangat murah dengan airmata. Dan kesalannya tidak akan berakhir sampai bila-bila.

“Lea, jom balik” Azrif memegang tangan Azalea yang masih duduk berlunjur di tebing pasir itu. Azalea tidak menjawab. Dia hanya mengikut sahaja tangan Azrif yang memimpinnya. Matanya masih memandang matahari yang kian tenggelam diufuk barat.


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Lily kamarruddin