Home Novel Umum IRTIHAL
Bab 59

Gaziantep, Turki

Aslan memandang ke luar jendela. Kelibat orang ramai yang lalu-lalang di luar kafe menjadi perhatian. Ada yang melangkah perlahan, ada yang melangkah dengan tergesa-gesa, ada juga yang melangkah sambil berbual dengan rakan di sebelah. Gelagat mereka yang pelbagai menarik minatnya. Dalam kepala dia cuba membayangkan kehidupan setiap satu daripada mereka. Lelaki muda berpakaian kemas dengan beg bimbit di tangan mungkin dalam perjalanan ke tempat kerja. Wanita separuh abad dengan kasut tumit tinggi serta cermin mata hitam barangkali menuju ke pusat beli-belah. Gadis berambut pendek yang melangkah pantas sambil mengheret beg bagasi pastinya ingin pulang segera ke rumah.

Aslan tersenyum kecil. Rasanya kali terakhir dia memerhatikan orang ramai dengan penuh minat seperti ini ketika dia masih di Ufa, dalam perjalanan bertemu Zelimkhan di hotelnya. Juga sehari sebelum dia dan Zelimkhan berangkat ke Turki tidak lama dahulu.

Hari berganti hari. Bulan berganti bulan. Musim berganti musim.

Walaupun hanya seketika, kehidupannya di Syria terasa begitu panjang. Lima bulan yang dihabiskan di Syria mengubah pandangannya pada dunia.

Keamanan bukanlah sesuatu yang berkekalan. Manusia meragut keamanan demi mempertahankan ego masing-masing, menunjuk-nunjuk kepada manusia lain yang mereka punya kuasa. Apa yang dimiliki oleh manusia-manusia tamak itu tidak pernah cukup. Lantas mereka merampas daripada manusia yang tidak berdaya. Untuk membuktikan yang mereka mampu menentukan nasib seseorang. Tunduk dan patuh; nyawa, keluarga,dan harta benda akan selamat. Bangkit dan melawan; akan hilanglah segalanya yang disayangi dalam dunia.

Kitaran kehidupan yang keji.

Dan Aslan, menjadi salah seorang saksi kepada kitaran tersebut.

Letupan, runtuhan, tangisan, kematian – semua yang dilihatnya di Syria tidak mungkin hilang dari ingatan. Mimpi yang sepatutnya indah, kini dilakari dengan tangisan hiba mereka yang teraniaya. Sudah berpuluh kali Aslan terbangun dari tidur bersama jeritan. Jika di Syria, Rawwad akan bangun untuk menenangkannya. Di Turki, tugas itu digalas oleh Lamberd.

Mimpi buruk yang sama makin kerap bertandang kebelakangan ini. Menurut Lamberd, mimpi itu mungkin tercetus kerana rasa bersalahnya pada Haydar dan rakan-rakan jamaat yang Aslan tinggalkan.

Terutamanya 'dia'.

Zelimkhan Ramidinovich Batsaraev.

Sahabat yang menyelamatkan jiwanya daripada terus berkecai tatkala tangannya dilumuri darah.

Sahabat yang menumpahkan air mata hiba ketika dirinya diselimuti kesakitan.

Sahabat yang sentiasa ada di sisinya ketika susah dan senang.

Sahabatnya di dunia dan akhirat.

Hanya Allah yang tahu betapa dalam rasa sayangnya kepada Zelimkhan. Hanya Allah yang tahu betapa remuk hatinya saat melihat Zelimkhan melangkah pergi.

Mengapa takdir memisahkan mereka?

Mengapa perlu Zelimkhan yang terpaksa menggalas berat jihad ini?

Mengapa bukan dia yang berada di Syria, dan Zelimkhan yang berada di Turki?

Mengapa mesti dia yang berada dalam lindungan sebuah keamanan, bukannya Zelimkhan?

Bernafas di tanah yang bebas ini, tiada satu detik pun berlalu tanpa dia memikirkan keselamatan Zelimkhan di tanah seberang. Nama sahabat baiknya itu sentiasa meniti di bibir dalam setiap doa. Usikan dan senyuman ikhlas Zelimkhan selalu membayangi hidupnya.

Walaupun dia tahu betapa inginnya Zelimkhan menggapai syahid, terpaksa hidup di dunia di mana Zelimkhan tidak lagi wujud, bukan sesuatu yang dia mahukan.

Namun jika saat itu tiba, sudah bersediakah dia menghadapi kenyataan menyakitkan tersebut?

"Aslan Sakaev?"

Lamunan Aslan termati. Segera dia berpaling ke arah si pemilik suara. Seorang lelaki berambut hitam dengan jambang yang nipis tersenyum memandangnya.

Aslan bangun lalu menghulurkan tangan untuk berjabat. Huluran tangannya disambut lelaki tersebut. "Aslan Sakaev, kan? Saya Ekmel Yazar." Ekmel memperkenalkan diri dalam bahasa Rusia.

"Ya, saya Aslan. Duduklah, tuan."

"Tak perlulah panggil saya tuan. Ekmel sahaja sudah memadai." Ekmel memberitahu. Kedua-dua pemuda itu melabuh punggung di atas kerusi yang bertentangan. "Awak dah pesan makanan?"

"Belum."

"Kalau begitu kita pesan makanan dahulu. Hal-hal lain kita bincang lepas ni." Ekmel mencadangkan. Dia kemudian memanggil pelayan untuk mendapatkan buku menu. "Awak nak makan apa, Aslan?" soal Ekmel. "Saya belanja."

"Apa-apa pun boleh." Aslan tersenyum kecil, segan sebenarnya dengan Ekmel. Ini kali pertama mereka bertemu. Sebelum ini mereka berbual sekali sahaja di telefon. Ekmel menghubunginya dan memperkenalkan diri sebagai wakil seorang lelaki dengan nama keluarga Aushev dari Ingushetia. Pemuda itu berjanji akan membantu Aslan menguruskan hal visa, passport, serta segala apa diperlukannya untuk berada di Turki secara sah. Terkesima Aslan dengan kata-kata Ekmel. Siapa sebenarnya Ekmel? Dan siapa 'Aushev dari Ingushetia' yang meminta Ekmel menolongnya?

'Mungkinkah Tarkhan Aushev?' Aslan berteka-teki sendiri. Jika tekaannya benar, ini bermakna Abu Yasmin merupakan anak saudara bekas presiden republik tersebut. Mantan presiden yang sangat dia kagumi dan hormati.

"Pilih makanan yang awak nak. Jangan malu-malu," pelawa Ekmel. Aslan tersenyum kekok. Firasatnya kuat mengatakan yang Ekmel Yazar bukanlah nama sebenar lelaki Turki di hadapannya ini. Walaupun pemuda itu berjanji untuk menolongnya, namun dia masih perlu berhati-hati. Bukan mahu berburuk sangka, cuma ingin mengelak masalah di kemudian hari.

Selesai membuat pesanan, Ekmel kembali menyambung bicara.

"'Tuan' memaklumkan, awak kini sukarelawan di kem pelarian. Kem Karkamis ke?"

"Ya. Saya kerja di klinik," jawab Aslan.

"Doktor?"

"Ya. Sebenarnya saya belum tamat residensi klinikal lagi." Aslan berkata jujur.

"Tapi awak dah ada ijazah perubatan, kan?"

"Ya."

"Dalam kumpulan awak di Syria, posisi awak sebagai petugas perubatan, atau ... askar?" Ekmel bertanya. Tatapan mata yang tadinya mesra kini berubah dingin. Dia ingin mengetahui segalanya tentang Aslan. Untuk menilai peribadi lelaki itu. Sama ada dia boleh dipercayai, atau tidak.

Aslan terdiam seketika. Sudah tentu Ekmel tahu yang dia ialah seorang askar. Mengapa Ekmel bertanya lagi?

"Askar." Aslan menjawab.

Dingin yang memancar pada mata Ekmel menghilang saat senyumannya bertandang di bibir. Dia mengangguk perlahan. "Jangan risau. Rahsia awak akan saya simpan. Selepas ni, kita akan kerap berurusan, jadi adalah satu keperluan untuk mengenali awak dengan lebih mendalam. Tambahan pula hal ni melibatkan 'Tuan'. Jadi semuanya mesti ditangani dengan cermat. Apapun yang terjadi kelak, kita tak boleh libatkan 'Tuan' sekali."

"Saya faham. Tapi sebelum itu, boleh saya tanya jika 'Tuan' yang awak maksudkan itu ialah ... Tarkhan Aushev?"

"Awak rasa?"

Soalan Ekmel menghapus pertanyaan di minda Aslan. Dia tahu tiada gunanya dia bertanya untuk kepastian. Ekmel tidak akan menjawab. Aslan juga sudah sedia maklum tanpa perlu bertanya lebih lanjut.

"Ini permintaan anak saudaranya. 'Tuan' tak dapat menolak permintaan tersebut. Saya yakin awak tahu yang 'Tuan' bukan orang biasa. Menyembunyikan identitinya daripada awak tak bermakna apa-apa. Sebab saya nak awak maklum kepada siapa awak harus berterima kasih. Dan kepada siapa budi tersebut harus dibalas bila tiba masanya."

Aslan tersenyum. Tiada pertolongan yang diberikan secara percuma di dunia ini. Terutama apabila pertolongan tersebut dihulurkan oleh seorang ahli politik. Dia maklum akannya.

Suatu hari nanti, budi ini akan dipulangkan kembali saat 'Tuan' memerlukan khidmat daripadanya.

*****

Idlib, Syria

Markas Dzhamaat Halifat

Abu Muhammad memasukkan peluru ke dalam pistol Abu Hurairah. Pistol tersebut dia terima selepas amir mereka selesai membaca wasiat rakannya itu. Selain pakaian dan selimut yang diwasiatkan kepada jamaat, segala barangan Abu Hurairah diwasiatkan kepada Abu Muhammad seorang. Pistol, telefon, malah buku nota hariannya, semuanya diberikan kepada anak muda tersebut.

Kehilangan Abu Hurairah hampir menterbalikkan dunia Abu Muhammad. Persahabatan singkat mereka memberi bahagia kepadanya, memberinya rasa diperlukan. Mengajarnya kemanisan kasih-sayang dalam Islam. Memberikan makna dalam hidup.

Sama seperti persahabatannya dengan Abu Bakar.

Abu Muhammad mengetap gigi kuat ketika wajah lelaki itu muncul di mindanya.

Abu Bakar, lelaki yang dia kasihi, percayai, dan dianggap seperti abang sendiri.

Tergamaknya lelaki itu berpaling tadah. Meleburkan janji-janji yang ditaburkan di bawah sinaran bintang suatu ketika dahulu.

Hanya harapan palsu yang dia terima. Bersama sebuah hakikat yang memedihkan.

Abu Bakar mementingkan diri sendiri. Kewujudannya tidak bermakna apa-apa di mata lelaki itu. Dia hanya seorang rakan yang bisa digantikan. Akan muncul beribu lagi Abu Muhammad dalam dunia Abu Bakar. Lelaki itu tidak rugi apa-apa.

Sama ada dia hidup atau pun mati, dunia Abu Bakar tetap akan berputar.

Dan, bukankah sebuah kematian itu lebih mudah buatnya?

*****

Ufa, Republik Bashkortostan, Rusia

---

Ruslan: Apa khabar? Sihat?

---

Anastasia tersenyum lebar di bucu katil. Sejak pertemuannya dengan Ruslan empat hari lalu, setiap pagi pemuda itu mengirim mesej bertanya khabar kepadanya. Setiap pagi juga Anastasia akan menjawab, 'Khabar baik. Saya sihat. Awak?' Kemudian Ruslan akan menjawab kembali dengan dua patah perkataan, 'Khabar baik. Saya juga sihat.' Lalu mesej mereka berdua berakhir di situ untuk hari tersebut.

Rutin mesej yang sama berulang lagi keesokan harinya.

Kadangkala Anastasia rasa ingin ketawa apabila membayangkan wajah serius Ruslan saat menaip mesej kepadanya. Pasti pemuda itu rasa kekok kerana sepanjang Anastasia mengenali Ruslan, mereka jarang berbual ketika di dalam kelas, apatah lagi saling berkirim mesej.

Sisi lain Ruslan yang tidak dijangka itu mengundang senang di hati Anastasia. Saat dia hampir lemas dalam duka, Ruslan muncul, menggenggam erat tangannya, lalu menariknya kembali ke tebing harapan. Keprihatinan pemuda itu memberinya semangat baru untuk bangun, membebaskannya sedikit demi sedikit daripada kecelaruan perasaan yang membelenggu.

Pertemuan dengan Ruslan juga membantu Anastasia memahami pendirian dan keputusan yang dibuat Yuri. Juga mengajarnya bersimpati dengan nasib yang menimpa Makka dan anaknya di Chechnya. Hingga ke hari ini, republik tersebut masih belum stabil sepenuhnya. Bayangkan terpaksa hidup dalam ketakutan dan keresahan sepanjang masa ketika perang. Pasti sukar bagi Magomed.

Biarpun begitu, Anastasia yakin, Magomed tentu hidup dengan bahagia sekarang. Tahun ini dia telah pun memasuki usia 18 tahun. Adakah Magomed masih berada di Chechnya? Atau sudah menyambung pelajaran di Moscow? Mungkinkah dia berada di Ufa? Belajar di universiti yang sama dengan Anastasia? Entah-entah mereka pernah berselisih di mana-mana.

Anastasia tersenyum mengingatkan segala kemungkinan tersebut.

Hubungan ayah dan ibunya sudah berakhir.

Namun hubungan dia dan Magomed baru sahaja bermula.

Dia bertekad ingin menemui satu-satunya adik yang dia miliki dalam dunia ini.


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Irse Mayra