Home Novel Thriller/Aksi Koyak (Sudah Terbit)
Koyak (Sudah Terbit)
Meja Editor
14/11/2023 15:01:09
4,747
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
Senarai Bab
Bab 2

Monitor kanan di stesen kerja Hisyam hidup. Ada anak panah tetikus yang merayap pada layarnya, mencicip simbol-simbol pada sudut bawah kanan komputer milik putera beradu itu.

Klik!...

Klik!...

Klik!...

Tetikus terus sibuk meluncur, mencari dan mengetuk pintu-pintu fail tertentu. Sehingga akhirnya tetingkap tetapan bunyi muncul di skrin.

Berns tersenyum simpul. Dia memicit lagi belakang kiri tetikus, kali ini pada simbol speaker, mengaktifkan tetapan tersebut. Lantas lampu led pada stereo amplifiers di bilik Hisyam turut menyala dan berdengung nyaring. Natijahnya ....

Drama romantis Hisyam dalam panggung mimpinya terganggu. Selena Gomez tiba-tiba memekik nada tinggi ala-ala penyanyi opera di depan mukanya. Pun begitu, dia tidak terkesan sangat. Alolololo, menjerit macam pontianak pun comel... Hisyam membalas dengan menyungging bibir lebar-lebar.

Berns sakit hati.

"Boleh pula kau tersenyum sengih kan! Bangunlah setan!" Dia menaikkan kelantangan bunyi speaker pada tahap tertinggi.

Di bilik terang, bingit gangguan frekuensi makin dahsyat menggetarkan gegendang telinga Hisyam. Spontan dia mengangkat tangan, menutup telinga. Terkemut-kemut mukanya menahan ketidakselesaaan itu. Namun matanya masih degil, tidak mahu dibuka.

Tingkah Berns tidak berhenti di situ. Pada skrin tengah di stesen kerja lelaki itu, anak panah tetikus yang dipandunya makin laju meluncuri senarai playlist muzik milik Hisyam. Dia sudah tahu efek bunyi yang mana patut dipilihnya - Nuclear Bomb Explosion.

"H, al-Fatihah untuk kau..." Berns serius.

Senyum.

Enter.

Kebabom!

Bilik Hisyam kiamat. Bergegar empat persegi dinding yang mengelilinginya. Terpelanting dia daripada kerusi, terperanjat besar. Tertumus jatuh tubuhnya ke lantai, macam nangka busuk. Serasa nyawanya terbang sesaat dan masuk semula ke dalam badan.

"Hisyaaammm!!!" Suara Ilham menambah gegak gempita bilik berkenaan. Pintu bilik Hisyam dipalu abangnya tanpa henti, bagai nak roboh!

"Bisinglah wei! Apahal kau memekak malam-malam buta ni! Mengamuk jiran-jiran!" Bebelan lelaki itu mengguntur, bersama ketukan yang tak surut-surut.

"Kau buka pintu ni sekarang! Hisyam!" arah Ilham, bengis. Tombol wijil dipulas-pulasnya banyak kali.

Tergocoh-gocoh Hisyam bangun. Pisat tidur dan sakit badan dia tak hirau. Membongkok merangkak dia mendapatkan stesen kerja. Kelam kabut dia berlutut dan memanjangkan tangan untuk menutup pembesar suara dan juga penguat stereo di kiri dan kanan meja tersebut.

"Dah tutup! Dah tutup!" Pekiknya ke arah pintu. Biliknya kembali aman daripada kesan bunyi bom yang maha dahsyat meletus sekejapan ini.

Hisyam bangun, terhuyung-hayang. Segera dia ke katil bagi mendapatkan alat kawalan jauh TV pula - dibisukannya peranti tersebut.

"Sorry! Sorry! Tak sengaja!" laung Hisyam lagi. Bunyi daun pintu yang bergoncang diguguh Ilham buat dia terpaksa menjerit kuat.

"Kau buat apa dekat dalam tu? Kau buka pintu ni!" Ilham mengeluar perintah. Barulah tenteram papan kayu itu daripada dihentakya.

"Tak ada apalah! Orang tertekan suis speaker je. Hesy! Itupun nak kecoh!" bentak Hisyam, tidak mahu kalah. Berani dia menaik suara kepada abangnya itu hanya kerana pintu bilik yang tutup terkunci.

Sayup-sayup kedengaran bunyi ketawa berdekah-dekah daripada headphones yang ada di atas lantai. Sekilas Hisyam memandang fon kepala itu, dan kemudian dia menoleh ke monitor tengah di stesen kerjanya. Pada kotak avatar di sudut kanan, ada beruang katik bertatu api yang sedang terhenjut-henjut tak cukup nafas mentertawakan harimau ganas bermata satu yang tengah berpinar mata dan pusing kepala.

"Babi lah kau Berns!" Hisyam panas hati, bengang dengan beruang katik itu.

"Apa kau cakap? Kau babikan aku!" Ilham terkesan dengan makian Hisyam. Dia sudah menyingsing lengan.

"Bukan abanglah! Hisyam cakap dengan kawan!" Hisyam membela diri. Dia bergegas ke stesen kerja, menyemak apa yang berlaku kepada sistem komputernya.

"Kau main lagi game tak ada faedah tu ya?" Ilham menepuk lagi daun pintu, melepaskan geramnya yang semakin menumbuh cambah.

"Mana ada! Orang tak main gamelah!" ujar Hisyam. Laju jari-jemarinya menari. Bising ketikan papan kekunci memenuhi ruangan bilik.

"Kau dah cari kerja ke belum? Daripada kau main game tu, baik kau cari kerja! Sampai bila aku nak tanggung kau!" Ilham masuk mod bersyarah.

Senyap. Hisyam tidak membalas. Dia sibuk membina semula firewall yang dirobohkan Berns sebentar tadi. Bila masa lah malaun ni tanam back door dekat komputer aku? Siut betul!

"Cari kerja Hisyam! Dah dekat dua tahun kau grad, tak dapat-dapat lagi kerja! Apa cerita? Kau nak jadi apa?" Tak jemu Ilham memetir di depan pintu bilik adiknya itu.

"Yalah! Yalah! Nanti orang carilah kerja. Cuba jangan membebel!" balas Hisyam, memarahkan abangnya pula. Punat enter dia tekan. Sistem keselamatan komputernya kembali terpasang, malah diperketat. Hilang jejak Berns daripada komputernya itu, melainkan sambungan mereka di dalam laman rahsia Satwa Tenggara.

"Kalau aku tak membebel, kau tak jalan!" Terusan Ilham menghambur liur di luar bilik Hisyam.

Hisyam mengerling jam dinding yang ada di atas TV - pukul sepuluh setengah.

"Kau bukan kerja malam ke hari ni bang?" duganya, memandang tepat ke arah wijil. Sudah macam 'jail buddy' pula mereka dua beradik berkomunikasi di balik daun pintu.

"Oh! Haah! Aku dah lambat!" Akhirnya Ilham meninggalkan juga muka pintu bilik adiknya itu.

Tapi masih lambat mulut dia nak senyap.

"Abang pergi kerja dulu!... Kau cari kerja Syam! Jangan main game je sampai tak tidur malam! Kalau hujung bulan ni kau tak dapat kerja, aku jual semua gajet dengan komputer kau tu!" Sayup-sayup kedengaran suara Ilham yang sudah menjauh.

"Ya! Ya! Aku cari! Aku cari!" jawab Hisyam. Cair taik telinganya diceramah tak henti-henti.

Dia berpaling, mendengus marah. Siap kau Berns! Tak sabar-sabar Hisyam mahu mencarutkan beruang katik.

Walau bagaimanapun langkah kakinya terencat. Perhatiannya ditarik sesuatu di layar TV. Dia mendepani peranti itu. Remote control di tangannya ditekan - unmute.

Pembaca berita sedang melaporkan tentang kumpulan Hackers Malaya yang dikatakan berjaya membongkar kegiatan sexual grooming yang dilakukan oleh seorang ustaz selebriti. Walaupun begitu, ada sebahagian netizen yang merupakan penyokong 'ustaz selebriti' tersebut, menyatakan bahawa Hackers Malaya, sebaliknya, adalah ejen fitnah semata-mata. Pada bahagian bawah skrin tersebut tertayang banner berjudul;

Hackers Malaya Buat Hal Lagi: Peminat Ustaz Selebriti Koyak!

Dahi Hisyam berkerut. Kemudian dia tersengih, melarik senyum sebelah mulut.

"Yang kuban-kuban je tajuk berita pun!" ucapnya sendiri, geli hati. Alat kawalan TV dicampak kembali ke atas katil. Kakinya kembali melangkah ke stesen kerja. Fon kepala di lantai, dia ambil lalu punggung dilabuhkan ke Zouhud. Kerusi boleh pusing itu kemudiannya berputar mengadap tiga monitor melengkung yang statik tidak ke mana-mana.

Baru saja dia mahu memasang headphones ke telinga, tiba-tiba ....

"Aku cakap serius ni Syam! Cari kerja! Kalau tak, aku jual komputer kau tu karang!" Berbunyi lagi ugutan Ilham.

Terpusing Hisyam dibuatnya. Kuat betul jeritan abangnya itu - datang daripada ruang tamu. Zouhud sudah mengadap ke muka pintu. Lahhh! Ada lagi orang tua ni! Tapi sebelum sempat dia menjawab balas, kedengaran pula bunyi pintu rumah dihempas kuat.

Bang!

Senyap.

Mulut Hisyam ternganga, suaranya tertinggal di kerongkong. Dia hanya mampu menderam marah. Matanya menyepet kecil. Hidungnya terkemut-kemut. Kembang kempis dia menarik dan menghembus nafas bagaikan lembu matador. Fon kepala yang dipegang terkangkang di kiri kanan telinganya, terlepas sendiri.

Hisyam menggenggam dua penumbuk. Bengang! Geram! Sakit hati! Semua rasa itu bersatu dalam lubuk hatinya, terpanggang di situ.

Di bilik gelap, Berns sedangleka meluncuri beberapa laman media sosial di internet menerusi satu daripadadua monitor di meja belajarnya. Sedari tadi dia hanya menjadi pendengar setiasegala sketsa yang terjadi di bilik Hisyam menerusi sambungan laman rahsia pasukan Satwa Tenggara yang masih berlangsung. Tersenyum sengih dia melayan jerit tengking Ilham kepada pemilik avatar harimau ganas bermata satu itu. Ganas konon! Podah!

"Eeee... eeee... eeee..., membebel macam mak nenek!" Tidak semena-mena, suara Hisyam kedengaran dekat di telinganya. Tergelak Berns, membayangkan gelagat Hisyam yang kini sedang melampias geramnya kepada abang tak berapa nak tercinta.

"Dia ingat aku tak kerja ke? Aku duduk depan komputer ni, aku buat kerja tahu tak!" Hisyam menggantikan ulah Ilham tadi, membebelkan abangnya pula. Zouhud dipusingkan semula mendepani stesen kerja.

"Kerja apa yang kau buat?" Soalan Berns terdengar sinis. Bergema kekek tawa garaunya di fon kepala yang dipakai Hisyam.

Itu buat panas hati Hisyam mencapai takat didih. Dia membetulkan kedudukan mikrofon yang berjuntai dari fon kepalanya ke mulut, sedia untuk menghambur amuknya kepada Berns pula. Namun kala itu juga muncul satu artikel di skrin komputernya - kiriman beruang katik bertatu api.

Pengarah Tersohor Didakwa 5 Pertuduhan Merogol

Pelakon Wanita dan Lelaki

Membaca tajuk laporan berkenaan buat panas hati Hisyam menyejuk terus.

"Wau! See, kau sendiri dah bagi bukti!" ucapnya, girang. Rasakan kau! Dasar biseksual tak ada pendirian. Semua kau sondol!

"Sekarang bagitahu aku... Siapa pula yang patut kita koyakkan lepas ni?" soal Hisyam, teruja.

Di bilik gelap, luncuran skrin monitor Berns terhenti pada satu poster.

Jawatan Kosong di Perusahaan Sarif

Posisi: Pembantu Peribadi

*Kemasukan Segera

Dan pada ketika itu juga, akaun media sosialnya mendapat notifikasi baru. Dia mengklik pautan yang dititipkan notifikasi tersebut. Terpampang artikel daripada satu laman popular yang berjudul;

Dato' Sarif Mohamad: Tokoh Usahawan yang Prihatin dengan Kebajikan Golongan Pekerja

Berns berkira-kira, serius memikir. Matanya tancap pada avatar harimau ganas di skrin komputer yang sedang girang melepaskan konfetti kepada beruang katik yang bermuka bosan. Mungkin aku boleh gunakan mamat bengong ni .... Getus hatinya.

"You'll see..." jawab Berns, tersengih.

-----

Prapesan Koyak di: https://www.karangkrafmall.com/k-lit-koyak-aini-bakar

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.