Daftar   |      Log Masuk   |   Terlupa password
Home Novel Keluarga SAKITNYA CINTA
SAKITNYA CINTA
Ramlah Rashid
8/12/2012 00:01:39
3,625
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Senarai Bab
BAB 3
       “MACAM mana kes hari tu?”

        Mutiara meletak sudu di pinggan, air batu kosong dari gelasnya pula disisip perlahan. Dengan keluhan longgar, Ezeti seakan dapat mengagak ada yang kurang enak. Dengan sepasang matanya dia menumpu. 

       “Rupa-rupanya dia pernah didakwa memberi keterangan palsu di mahkamah.”

       “O?” kaget Ezeti. Mata Mutiara ditangkap deras.

       “Keterangan palsu untuk apa?”

       “Masa bagi keterangan sebagai saksi.”

        Mutiara menjungkit bahu dan mengeluh lagi perlahan. Lama pula renungan mereka bertembung, Ezeti menunggu. Berminat dia meski tiada kaitan dengannya. Sekadar perhubungan longgar antara mereka, dia tidak sepatutnya begitu prihatin. Tetapi dia gemar mendengar susur-galur kerjaya Mutiara. Sering juga meluah pendapat dan sesekali pendapat gadis itu diperlunya dalam melunas kerja. Selain itu simpati benar dia pada wanita malang ditemuinya beberapa hari sebelum.

       “Dia didakwa di bawah Seksyen 193 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan akan dihukum penjara maksimum tiga tahun dan denda.”

       “Kenapa dia melakukannya? Mesti ada sebab?”

“Soal punya soal, rupa-rupanya itu cara dia hendak lari dari cengkaman suami yang menderanya zahir dan batin.”

Berkerut kening Ezeti.

“Dia menjadi hamba sex suami, disewakan juga kepada lelaki lain oleh suaminya, penagih najis dadah.” Tampak kesal benar dia. “Lebih teruk lagi, suaminya selalu menyalahkan nasib malang dia menyebabkan mereka hidup dalam kesusahan.”

Ezeti geleng perlahan. “Dah dia yang pemalas, duduk goyang kaki, hisap dadah, ingat Allah nak bagi rezeki bergolek ke?” marah dia dalam emosi benci.

“Itulah pasal. Selalu suami menyalahkan isteri bila mala petaka diturunkan Allah. Tapi mereka tak sedar, tanggungjawab melengkapkan keluarga dengan kasih sayang adalah suami. Hem, sebab itulah aku tak suka jantan.”

Ezeti tertawa perlahan. “Yang namanya jantan.” Sedikit keras namun nada perlahan. “Lelaki bagus…” merendah, memanjakan suara. Senyumnya terkulum, bersenda.

“Jantan dengan lelaki susah nak bezakan kalau dalam kelompok manusia. Kadang-kadang kita tengok dia macam lelaki, rupa-rupanya jantan.” Serius dalam nada bersenda.

Ezeti tertawa perlahan meski kedengaran kata-kata Mutiara serius.

“Sebenarnya cerita tadi rahsia, Ira tak sepatutnya dedahkan pada umum.”

“Ala, aku tak akan bongkar rahsia ni, aku nak tahu bukan apa, sementelah aku kenal kakak tu, sudah pun anggap kakak angkat. Aku pun cadang nak tolong dia, jagi aku kena tahu kenapa dia begitu dan apa sebabnya.”

Mutiara mengangguk perlahan. Dia akui, Ezeti adalah penyelamat anak guamnya dari membunuh diri serentak dengan anak-anaknya sekali akibat kekecewaan.

“Timbalan Pendakwa Raya yang mengendali kes itu mengenakan ikat jamin RM3,000.”

“Dia bayar?”

Mutiara angguk perlahan. “Katanya hanya itu duit yang dia ada untuk sara hidup anak-anak. Dengan menyerahkan tiga ribu itu, dia dah tak berduit lagi untuk menyara hidup lima orang anaknya. Sebab itu dia nekat merentap nyawa semua mereka.”

Ezeti mengeluh perlahan, menggeleng juga berkali-kali.

“Kenapalah suntuk benar fikirannya?”

“Dalam keadaan tertekan manusia akan melakukan apa sahaja, lebih-lebih lagi yang rendah imannya.”

Ezeti angguk, senyap. Menunduk dia memain-mainkan ketul air batu di dalam gelas dengan batang strow.

“So, macam mana sekarang?”

“Anak-anaknya akan kekal di Jabatan Kebajikan Masyarakat. Mereka dilindungi sepenuhnya.”

“Selama-lamanya?”

Mutiara geleng. “Sementara rawatan psikiatrik ke atas ibu mereka dilakukan dan pendakwaan di mahkamah di atas percubaan membunuh, selesai.”

“Sah dia gila?”

“Bukan gila, tapi gangguan fikiran akibat tekanan emosi. Dia ingat semua perkara, cuma sesekali akan hilang pertimbangan.”

“Kesian….”

“Begitulah nasib wanita selepas berkahwin. Untung sabut timbul…”

“Untung batu tenggelam….” Ezeti menyambung.

Tertawa mereka bersama, perlahan. Tidak lama ledaknya, senyap kembali. Ternyata tawa mereka tidak berisi gembira, bahagia jauh sekali, sekadar bunga kemesraan.

“Kahwin pilihan orang tua barang kali? Tak sempat mengenali hati budi bakal suami.”

Mutiara menggeleng keras. Berkerut juga keningnya. Ezeti menunggu.

“Saling mencintai, kenal juga lama. Suaminya berubah selepas diberhentikan kerja. Mula berjinak-jinak dengan judi dan mengedar najis dadah secara kecilan untuk menyara keluarga. Akibat kalah judi, duit jualan najis dadah digunanya sendiri. Untuk mengelak dari buruan ketua, isteri dimangsakan.”

Mengeluh lagi Ezeti, sedih benar dia. “Sekarang, kita boleh melawat dia?”

“Boleh rasanya. Ira dah beritahu dia, you kirim salam dan bercadang nak melawat dia.”

“Eh, boleh tak kita jaga anak-anaknya? Tak sampai hati biar tinggal di rumah anak-anak yatim.”

“Ibunya masih dalam kes…” Mutiara senyum sinis. “Budak-budak tu dilindungi di bawah akta hak kanak-kanak oleh Jabatan Kebajikan.”

Ezeti mengeluh perlahan.

“You tu pun bujang lagi, bukan senang orang bujang nak dibenar memiliki anak angkat.”

Ezeti berdengus perlahan. Kesal. “Anak-anak dia comel…”

Mutiara senyum lagi. Mengangguk juga.

“Kalaulah aku dapat anak-anak seramai itu, secomel itu, alangkah bahagianya.”

“Berangan untuk kahwin dulu baru berangan dapat anak.” Mutiara menggiat.

“Tak payah kahwin tak boleh? Aku nak anak aja.”

Mutiara mengerling tajam.

“You sempurna, kan? Jangan-jangan hormon lelaki tinggi tak?”

“Wei, semestinya aku wanita tulin. Berhormon estrogen dan progesteron, tau?”

“Habis tu, yang tak nak kahwin ni apa pasal?”

“Engkau nak kahwinkah?”

“Nak. Sapa kata Ira tak nak kahwin. Tapi…”

Ezeti menjungkit kepala, bertanya dengan soalan berisyarat.

“Nak kahwin dengan siapa?”

“Dengan lelaki, lah…”

“Nak cari yang namanya lelaki tu yang susah.”

Ezeti tertawa perlahan, Mutiara turut tertawa.

"Tau pun."

“Tapi memang tak boleh nak bawak keluar sekejap budak-budak tu, ya? Nak jaga sekejap pun tak boleh?” masih tidak berpuas hati dia. Soal pasangan hidup dan lelaki ditinggalkan tergantung tanpa penamatnya.

“Buat sementara ni biarlah budak-budak tu tinggal di sana, kalau you sayang dan kasihan, jengahlah selalu. Bagi semangat, bagi kasih sayang.”

Mengangguk Ezeti perlahan. Kepada Mutiara diberitahu rancangannya untuk ke hospital, melawat wanita malang yang diperkatakan mereka. Katanya, selepas ke hospital dia akan ke rumah anak-anak yatim pula, melawat lima beradik yang hampir menjadi mangsa bunuh ibu sendiri yang tertekan fikirannya. Mereka nyaris maut selepas memakan makanan yang sudah diracuni ibu sendiri.

“Sekarang cik peguam menangani kes apa pulak, selepas berjaya kes tuntutan nafkah RM1 juta bekas isteri hartawan?”

Mutiara senyum senget, air batu kosong disisipnya lagi.

“You berminat benar pada kerja Ira, ya? Kenapa tak jadi peguam aja dulu?” Mutiara seakan mahu memulang ‘paku buah keras’.

“Berminat tak semestinya nak menceburi, sekadar tahu, pengetahuan am, kan? Lagipun aku tak sepandai engkau dalam memutar belit fakta.” Tertawa dia di hujung sendanya.

“Hei, peguam tak semestinya pandai membelit, yang penting, semangat menegakkan kebenaran dan membantu yang teraniaya.”

“Semangat begitu pun aku tak ada. Orang seni hanya tahu seni, menghiburkan dan mengusik parasaan orang, juga keuntungan.” Tawa Ezeti meledak. Mutiara turut tertawa namun dikawal, tidak setinggi tawa Ezeti.

“Ira mewarisi bakat walid, aku macam umi. Sebuah kombinasi yang cukup baik.” Ezeti menyambung, Mutiara diam cuma. Mengeluh dia dalam diam.



KUBAWA salam bulan dan catatan rindu seorang penyair, ingin kuungkap kata cinta tapi kepada siapa? Ingin kulukis lakaran kasih tapi potret yang mana…. Menggeleng dia berkali-kali. Sudah lebih satu jam senaskah itu berpeluh dipegangnya, difahami langsung tidak, dihafal jauh sekali. Peristiwa sepetang bersama Ezeti juga rancak bergentayangan, bermain tanpa pengarah mahupun penerbit. Pelakonnya hanya mereka bertiga. Meski ada anak-anak kecil meriangkan namun dia bagaikan tuli. Rakan Ezeti itu juga yang memenuhi, menggugah perasaan. Sudah berkali-kali dia terkenangkannya.

“Kenalkan, Mutiara. Ira, ini Neor.” Seringkas itu.

Dia mengangguk cuma, manis senyumnya. Sungguh menjaga santun dan pekerti, tidak seperti di kalangannya apabila berkenalan, akan bersalaman dan ada kalanya bersentuhan pipi meski berlainan jantina. Segalanya dikira Neor dalam diam. Disisipkan renungan jauh ke salur hati gadis itu. Menilik bagaimana orangnya dari sudut pandangan mata hati. Jelas punya seribu kelebihan, istimewa sungguh dia.

Mata terpaku terus melekat, bibir berjaya mengorak senyum meski bergetar namun sempat dimaniskan. Sempat juga diajar jantung untuk berdegup mengikut rentak biasa. Dipesan pada hati agar bertenang dan bersabar….

“Hai, saya Neor, Mior Rezamudin Mior Ahmad.” Geruh suaranya. Dia sendiri mendengar kekalutan itu. “Panggil saja saya Neor.” Bagai tidak berpuas hati cara Ezeti memperkenalkannya kepada gadis itu, dia bertindak memperkenalkan diri sendiri agar lebih lengkap, lebih padat.

Gadis itu sekadar senyum mengangguk hormat. Manis sungguh, cantik sungguh dan segala-galanya tersedia di seraut wajah lembut itu. Neor mengeluh perlahan. Empat puluh lima minit bersama bagaikan hanya satu minit berlalu. Tidak ada lagi perkataan yang cicir dari lengguk lidahnya, hanya bisu. Helaan nafas bagaikan mencekik khalkom, tidak membenar dia menutur apa-apa. Hanya mendengar perbualan dua sahabat itu.

“Terima kasih, jumpa lagi nanti, assalamualaikum.” Kata-kata terakhir dia kepada Ezeti pastinya namun Neor mewakilkan dirinya mendahului.

“Ya, jumpa lagi, waalaikumsalam…” manis senyumnya rasa ikhlas sungguh.

Kesal juga tidak mengambil kesempatan selama empat puluh lima minit itu sebaik mungkin.

Masih banyak masa lagi…. Pujuknya sendiri. Direnung sekeliling ruang yang lengang. Sudah kian sepi seruang kondorminium itu sesepi hatinya yang kosong. Sejak pertemuan dengan sahabat Ezeti siangnya, sampai ke kelam malam itu, wajah manis yang sering menjelma dalam hayal dan mimpinya kekal bergentayangannya. Rindu kian memanas.

Dia kan kawan baik Zet? Esok lusa ajaklah mereka keluar makan. Masih juga mahu memujuk sendiri. Senyum lagi dia. Wahai hati, sabarlah. Mungkin belum masanya, jodoh kan rahsia Allah? Mengeluh lagi Neor, ringan lagi dia dibawa merentas. Teringat kembali percintaannya bersama yang tersayang lama dahulu. Meski sudah berjanji untuk tidak mengenang dan mengingati apa yang sudah ditinggalkan, namun sesekali sesat juga perasaannya. Yang itu, itu juga terkenang dan dikenang.

“Nanti kalau dah pergi bandar, jangan lupa kampung.”

“Mana boleh lupa, tempat jatuh lagi dikenang…” senyum dia melirik ke sebelah. Anak tangga rumah tua itu sering menjadi tempat mereka bertenggek selain pangkin di bawah pokok jambu di halaman. Sudah banyak janji setia terakam di situ. Ibunya tidak melarang, menggiat juga tidak. Cuma pandai-pandailah menjaga maruah, katanya selalu.

“Selagi bergelar umat Islam, bangsa Melayu dan masyarakat Timur, maruah diri dan nama baik keluarga mesti diutamakan.”

Dia dan buah hatinya akur sentiasa. Tidak akan diizin orang ketiga menghancur iman dan menggegar agama. Tidak juga mahu ada mata melihat mereka sumbang, dia mahu orang melihat mereka sekadar sahabat karib. BFF.

“Awak nak kerja apa di sana nanti?”

“Kerjalah apa-apa pun asal halal.”

“Di sini juga tak kurang pekerjaan yang halal…”

“Kat sana senang sikit nak dapat peluang.”

“Peluang apa? Peluang jadi penyanyi?”

Dia sekadar tersenyum. Dia tahu, dia tidak pernah berjaya menyorok dari gadis itu. Lamanya perhubungan mereka dan eratnya silatulrahim, tidak membenarnya menjadi perahsia.

“Itu pun rezeki halal juga, kan?” bijak juga dia membujuk.

“Saya minat seni, menyanyi cuma loncatan, saya nak mengetengah bakat saya mencipta lagu. Banyak sudah lagu-lagu yang saya cipta tapi terus tersimpan. Kan baik kalau dapat saya manfaatkan?” dia nampak gadis itu mengangguk berkali-kali.

“Saya sokong minat dan kesungguhan awak. Awak memang berbakat, pergilah mencuba nasib.”

“Awak tak kisah kalau saya pergi, awak tinggal di sini?”

“Saya dah besar, pandai jaga diri.”

Neor senyum cuma, jawapan yang langsung tidak mengujanya.

“Lagipun apa nak takut, ini kan kampung saya?”

Neor tertawa pula, ligat, lama tetapi terkawal. Tawanya berbaki senyum panjang.

“Bukan saya nak kata awak takut….”

Tawa gadis itu berbunga juga, mekar sudah halaman perasaan disiram wangian juga. Ke dua-duanya terhibur sungguh.

“Pergilah, tamat kontrak saya nanti, saya akan mencuba nasib bersama awak.”

“Betul?”

Anggukan gadis itu disambutnya.

“Saya bercadang, selepas tamat kontrak, saya tak nak sambung lagi. Nak cari kerja di bandar pulak. Sambil tu nak sambung belajar.”

Bersetuju benar dia. Dalam hati bertaman rasa ria, pelangi diukir bersama tasik madu, untuk menangguk secangkir manisan itu untuk si tuan puteri.

“Tak sayang meninggalkan kampung?”

“Nantipun kita boleh balik selalu, kan?”

“Kita?” teruja lagi dia menangkap senyum si manis.

Telefon bimbit bernada singkat memberi amaran ada pesanan ringkas, bolos, sekali gus merentap fikiran yang melayang. Segera diangkatnya telefon di sisi. Ditekan kekunci buka, disemak laman pesanan. Senyum dia berdengus perlahan. Hanya pesanan dari CELCOM. Dilepasnya semula telefon bimbit itu. Sedikit kecewa.

Sudah lebih 6 tahun berlalu namun pedih semalam, sesekali masih terasa denyutnya dan kadang-kadang luka itu membuat dia mengunci hati untuk insan lain.

Neor mengeluh perlahan. Gambaran gadis yang pernah menjadi pujaannya direnung dalam samar perasaan. Sudah lama dia tidak menatap seraut wajah itu, meski sekeping potret tidak dibenar tersimpan. Tidak benci pada kenangan lalu, cuma tidak mahu sebarang tanggapan serung dari sesiapa. Maka jadilah dia pungguk yang merindu bulan di siang hari, malamnya pula dia menjadi buta. Akhirnya dia sekadar membayang bagaimana rupanya bulan itu.

“Di mana Fifei sekarang?”

Sebaik tersedar kelancangannya menyebut seuntai nama singkat itu, dia menutup mulut. Beristighfar dia perlahan. Sudah 7 tahun aku belajar melupakannya, mana mungkin malam ini menyebutnya semula! Dia membentak sendiri. Sakit rasa dadanya dik bentakan itu. Marah benar dia. Mengeluh pula, berusaha merawat kelukaan yang tiba-tiba. Semakin dirawat semakin pula melarat sakitnya. Berdarah pula. Lagi dia sesat ke lembah semalam….

“Selamat hari jadi, semoga hari ini lebih baik dari semalam….” Segulung kertas putih berikat reben berwarna merah dihulur.

“Apa ni?”

“Tengoklah sendiri.” Manis lagi senyumnya.

Segulung kertas berikat itu sudah melonggar di jemari. Sekilas nafas di hela, terbentang sudah sebuah potret berlukis pensil hitam.

“Cantiknya, terima kasih….” Dia hampir terjerit.

Fifei sekadar senyum. Manis sungguh, ikhlas benar dia.

“Berapa lama ambil masa melukis ni?”

Fifei menunjuk dua batang jarinya yang ditegakkan.

“Dua hari?”

Dia angguk cuma.

“Wah, sesingkat itu?” teruja dia bakat yang dimiliki gadis itu.

“Terima kasih, potret ni lebih cantik dari saya sendiri. Awak memang berbakat.”

Fifei mengucap terima kali lagi. “Nama pun cikgu lukisan kan?”

Neor mengangguk faham. “Cikgu memang berbakat…” pujinya lagi sambil mengusik. “Tapi tak kan nak jadi guru sandaran dan guru ganti selamanya?”

“Dapat peluang nanti, saya pergilah…”

“Bagus, saya akan jadi guru muzik.” Tawanya meledak sedikit kuat.

“Tapi mengajar di institusi muzik, bukan sekolah. Nak jadi cikgu sekolah, kena ada ijazahlah pula.” Lagi dia tertawa, mengutuk diri sendiri.

“Cikgu juga namanya kan? Asal didikasi, jasa guru sentiasa dikenang.”

Serambi rumah tua itu disemah kuntuman bunga yang mewangi namun terkawal. Kembangan hanya berlengguk di tangkai sendiri-sendiri, tidak langsung mencemar adap dan budaya.

“Kita warnai dunia ini dengan seni-seni halus yang membahagiakan.”

Senyum ke duanya, mengangguk juga bersungguh-sungguh. Hening sungguh petang yang dijejak menyusur senja. Makcik Rominah sesekali mengerling dari ruang tengah, menggeleng juga perlahan sambil terus melipat pakaian yang diangkat dari jemuran. Katanya dia tidak pernah curiga pada keakraban mereka selagi pertemuan-pertemuan berlaku di hadapan matanya. Neor dan Fifei sendiri selesa berbual begitu dari meminggir dari mata khalayak. Mereka lebih gemar terbuka dan bersaksi juga.

“Saya nak fremkan gambar saya ni.”

“Up to you, awak punya sekarang. Terpulang nak buat apa, asal jangan dibuang atau dibakar.”

Dia tertawa lagi.

“Berapa hari cuti?” Fifei menukar perbualan.

“Esok nak balik dah.”

“Sekejap je cuti?”

“Pemuzik kelab malam macam saya ni, ada kerja ada gaji.”

Mengangguk Fifei perlahan, bersungguh-sungguh. “Berusahalah.”

“Awak tak jijik pada pemuzik macam saya?”

“Kenapa saya nak jijik, seni itu bersih, kan? Yang penting orang macam kita mengekalkan kesucian itu.”

Senyum Neor berbunga senang. “Beruntung saya dapat awak. Faham jiwa saya.”

“Awak dah dapat saya ke?” berkerut keningnya, dalam senda dia serius.

“Awak, jangan cakap macam tu. Saya sungguh-sungguh cintakan awak.” Dia sedar, saat itu dia sangat-sangat emosi. Melihat seriusnya Fifei, dia menjadi takut akan kehilangan.

“Fei,” rasa gementar dadanya mahu menyudahkan nada bisikan serius itu.

“Kita bertunang?” lagi memperlahan intonasi. Tidak mahu ada yang lain mendengar.

Kedengaran tawa Fifei melantun sedikit kuat, ditutup mulutnya dengan tangan kanan. Merah juga mukanya mungkin mengawal malu.

“Apa yang riang benar berdua ni?” tiba-tiba ibunya muncul membawa sedulang hidangan ringan. Rupa-rupanya sewaktu dia menghilang selepas selesai melipat pakaian, ibunya menyediakan air pambasah tekak.

Fifei pantas bangun, senyum masih berbaki. Dulang air bujang disambutnya lalu diletak di atas meja hidang di hadapan mereka.

“Tak payah susah-susah Mak Leha.”

“Tak susah mana, air bujang aja.” Makcik Rominah meletak punggung.

“Mak, kalau kami bertunang, mak setuju tak?”

“Reza…” Fifei menolehnya dengan kening berkerut. Malu pastinya.

Dia tidak mempeduli, Makcik Rominah juga direnungnya mengharap kepastian dan persetujuan. Di kening ibunya ada kerutan, tidak pasti erti kerutan itu.

"Reza, bertunang bukan kerja main-main."

"Reza tak main-main. Reza sungguh-sungguh.

Ibunya menggeleng perlahan seraya mengeluh juga. "Fifei macam mana?"

“Saya masih nak sambung belajar. Kerja tetap pun tak dapat lagi.” Ada manis di wajahnya walaupun jawapan di bibirnya memberi maksud menolak.

Makcik Rominah menangkap sinar mata Reza.

“Lepas bertunang boleh juga belajar, kan mak?” dia masih bertawar-menawar.

"Emak takut kelurga Fifei tak benarkan. Kalau nanti pinangan kita ditolak, kamu berdua dah tak boleh berkawan lagi. Lebih baik berkawan macam ini saja dulu."

“Ya, mak saya mesti tak benarkan…” sayu rintihnya, Neor faham. Orang tua Fifei sudah dikenali keperibadiannya. Pada mereka, pelajaran perkara utama.

“Beginilah, Reza ada cita-cita, Fifei pun ada cita-cita. Tak perlulah bertunang dulu, selepas masing-masing dah berjaya, dah ada duit, serahkan pada takdir dan jodoh. Kalau ada jodoh, tak kan ke mana."

“Awak tunggu saya?” dia mahu Fifeinya bersumpah setia bersaksi ibunya. Mahu bertunang cara begitu.

Fifei rupa-rupanya bersetuju sangat. Perjanjian tercipta bersaksi wanita separuh usia itu. Tidak langsung malu mereka memeterai janji, disangkanya ibu itu memahami dan menyenangi perhubungan mereka yang terjalin sejak zaman kanak-kanak. Seutas rantai emas putih halus, berhias sebiji berlian kecil dihulur kepada ibunya.

“Reza belinya masa dapat gaji pertama, bersama rantai yang Reza beli untuk mak.”

Makcik Rominah menyambut, dibelek sekilas sebelum beralih kepada gadis yang sudah senyap di sebelahnya. Neor di hadapan mereka hanya menghidang senyum manis.

“Untuk Fifei?” tiada senyum di bibir ibunya, kucam juga tiada. Hanya tampak serba-salah.

Neor mengangguk. Ibunya turut mengangguk lalu menyerahkan kepada Fifei.

“Simpanlah untuk kenangan. Kalau ada jodoh, adalah.” Disimpankannya ke dalam tapak tangan Fifei.

Fifei membelek pula. “Tak perlulah bagi apa-apa…”

“Ambiklah, saya ikhlas.”

Fifei berpuas hati dan mengucap terima kasih, bersungguh-sungguh benar.

“Lepas ni saya akan bersungguh-sungguh bekerja untuk kumpul duit banyak-banyak.”

“Lelaki mesti ada kerja tetap, rumah, kenderaan, sebelum meminang anak dara orang. Barulah orang tak ragu-ragu serahkan anak mereka. Kena ukur baju di badan sendiri. Keluarga Fifei bukan calang-calang. Setakat SPM Reza tu, emak takut nanti ayah Fifei tak terima.”

“Hah.” Terhambur dengusan keras sebaik seekor cicah jatuh di balkoni kondomeniumnya. Kejutan itu memutuskan ingatan yang terbiar lama. Marah dia pada rakusnya perasaan membawanya mengutip kenangan indah itu. Sudah lama kenangan itu tidak melintas, sudah diajar hati agar tidak hanyut. Tidak sudi lagi dia mengenang silamnya tetapi sejak akhir-akhir, Fifeinya seakan dekat. Sudah sering muncul bertamu di dalam hati.

Ditongak frem gambar yang dilukis buah hatinya, direnung lama. Setiap hari akan dilakukan begitu, tidak langsung jemu dia. Rindupun bertaut. Malam itu berlainan benar perasaannya. Hairan benar dia.

Telefon dicapai, nombor telefon Ezeti dicari, laju. Ditekan kekunci panggil dan menunggu dia untuk beberapa detik yang singkat.

“Zet, saya nak kenal kawan awak tadi, boleh?” lancar benar ungkapannya disudahkan dengan senafas yang singkat juga.

“Tadi bukankah dah kenal dia?” berbaul nakal.

“Saya nak kenal rapat…”

“Apahal ni?” lagi seakan bersenda. Neor sudah faham maksud gadis itu.

“Tolonglah…” keras benar bunyinya membuat Ezeti di talian tertawa kuat.

“Sebenarnya saya dah pernah nampak dia sekali masa kita minum di restoran hari tu. Itulah perempuan yang awak perolokkan saya.”

“O, dah tangkap cintanlah ni?”

Neor senyum dan tertawa perlahan.

“Awak dah lupakan kekasih awal dan akhir awak ke?”

Neor terpukul. Benar-benar terhenyak. Potret sendiri dalam bingkai di dinding, ditongak lagi.

“Yang berlalu sudah saya biarkan berlalu, tak guna dikenangkan lagi…” sedikit beremosi jawapannya meski seakan bersenda.

“Tapi awak pernah baritahu saya, tidak mungkin ada yang lain akan menempat di hati awak selepas perpisahan pertama dengan orang pertama?”

“Saya nak mulakan hidup baru. Awak selalu nasihatkan saya supaya melupakan hitam semalam, kan? Awak kata, yang pahit boleh dimaniskan asal kita berusaha. Sekarang saya nak berusaha menjadikan hidup saya manis.”

“Ya, memang saya suruh awak begitu, tapi sekarang, saya tengok awak macam sebaliknya.”

“Saya macam mana di mata awak?”

“Macam dah gila bayang.”

“Hei! Jangan serkap jarang.”

Ezeti tertawa sedikit kuat.

“Kerana nak melupakan semuanya maka saya nak mengisi kekosongan hati saya…”

“Itu saja sebabnya? Nak memperjudikan Ira ke?”

“Zet, hati saya dah terbuka untuk mencari pengganti. Kebetulan saya benar-benar tergoda dengan dia. Jadi, salahkah saya mencuba nasib?” sayu dan mendayu bunyinya. Memang dia ingin merayu….

Ezeti tertawa lagi. Kuat dan semakin kuat, berlangsung sedikit lama.

“Kenapa awak ketawa? Gila dah?” Neor serius.

“Kelakar.”

“Apa yang kelakarnya?”

“Kelakar sebab awak cuba nak tipu diri awak sendiri dan berusaha untuk menipu saya.”

Neor terdiam, senyap. Menyesal dia menggunakan Ezeti untuk mengenali gadis itu lebih rapat. Rasa benar-benar dimalukan. Meski terhenyak namun tidak mungkin dia berundur.

“Bahagian mana dia macam Fifei?”

“Saya tak kata mereka serupa?”

“Tak mungkin awak akan jatuh cinta pada yang tidak ada kaitan dengan cinta pertama.”

Neor mengeluh perlahan. memang tidak mungkin dibohongi sahabat karibnya itu. Dan memang dia hanya akan jatuh cinta pada gadis yang punya ciri-ciri seperti kekasih pertamanya.

Ezeti tertawa lagi. Tawanya sungguh melukakan. Neor berasa sangat-sangat disakiti.

“Di mana awak kenal Fifei?” mahu marah tetapi tidak ditemui rasa marah. Mahu mengherdik namun tidak dipelajari ilmu begitu. Akhirnya perlahan disoalnya Ezeti.

“Dari dalam diri awak.”

Neor mengeluh perlahan. Jelaslah, Ezeti memang sahabat. Dia bukan sahaja rakan seperjuangan tetapi benar-benar sahabat sejati.

“Zet, saya dah berjaya melupakan semuanya, tolong jangan kembalikan memori itu. Jangan dipanaskan semula semangat lama saya, saya tak nak ingat lagi semua itu….” Merintih dia, panas kulit wajah, diraup berkali-kali.

“Sorry Neor.” Mendatar dia bernada kesal. “Saya berusaha untuk bersenda, tak sangka awak serius malam ni. Kenapa emosional sangat ni? Semangat malam?”

“Boleh tak, saya kenal dengan kawan awak tu?” itu juga pintanya.

“Boleh, apa salahnya.”

“Dia belum kahwin, kan?”

“Belum.”

“Balum bertunang?”

“Belum.”

“Hatinya belum berpunya?”

“Hei, itu awak kena tanya dia sendiri. Saya tak tau hatinya sebab tak nampak di mata.”

“Kan kawan baik awak? Tak kan awak tak tahu?”

“Tak tahu.”

“Bohong.”

“Kami berkawan cara professional. Hal peribadi tak pernah saya bertanya dia.”

“Tak pernah dengar dia bercerita pasal teman lelakinya?”

“Teman lelaki dia adalah saya, teman wanita pun saya.” Tertawa lagi dia.

“Baiklah, kalau begitu, awak tolong bagi nombor telefon dia, nanti saya call dia, tanya sendiri.”

“Amboi, nekatnya?”

“Saya tak boleh tunggu lagi.”

“Dah angau dah?”

Neor tertawa perlahan.

Semoga mentari yang terbit esok, membawa kepanasan yang bisa membakar semula semangatnya yang semakin mendingin. Pesanan ringkas Ezeti yang mencatat nombor telefon yang dipinta dibaca pantas. Ditekan nombor telefon itu, juga pantas. Dia menunggu lama, langsung tiada jawapan. Dua kali dicuba, akhirnya dia mengalah. Mengeluh dia perlahan, nekat menunggu hari siang untuk meneruskan hasrat.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.