Home Novel Fantasi Red Sun: Even If It's Another Life
Red Sun: Even If It's Another Life
Ema Raimah
3/11/2025 11:51:26
115
Kategori: Novel
Genre: Fantasi
Senarai Bab
prolog
disclaimer: Plot cerita, nama watak, nama kerajaan, atau sejarah yang ada dalam cerita fantasi ini hanyalah rekaan fiksi semata-mata. Tiada kena mengena dengan sejarah mana-mana pemerintahan dinasti dahulu kala. 



PROLOG 

 KERAJAAN HAERYEO, ABAD KE-16


ANGIN malam mengalun bisu, menyapu reranting hutan yang lebat bagaikan meleraikan rahsia yang terlalu lama dipendam. Di bawah bayang-bayang bulan yang malu-malu, seekor kuda gagah menyusur lorong hutan dengan derap yang cemas, menggoncang daun-daun yang berguguran seolah turut menangisi takdir dua jiwa yang sedang melarikan diri.

Inhyuk menggenggam tali kekang dengan erat. Nafasnya mengiringi degup dada kencang antara tekad dan ketakutan. Di belakangnya, Haeji berpaut erat, pelukannya memaut pinggang Inhyuk bukan hanya demi keseimbangan. Tetapi kerana dunia yang dirasakan semakin hancur di bawah kakinya. Pengkhianatan Miae telah menghancurkan seluruh kepercayaannya. Namun di sisi Inhyuk, dia masih merasa selamat.

"Aku tak tahu ke mana arah kita. Tapi aku akan membawa kau jauh dari semua ini," bisik Inhyuk, bukan hanya kepada Haeji, juga kepada dirinya sendiri.

Apabila hutan berganti padang rumput yang terbuka luas, angin menghembus lebih deras seakan cuba menahan mereka. Inhyuk menarik perlahan tali kekang, memperlahankan derapan kuda yang kini tercungap.

"Kau akan ikut aku ke mana saja aku bawa kau pergi?" soal Inhyuk perlahan, menoleh sedikit ke belakang.

"Selagi aku bersama kau, aku tak pernah takut," jawab Haeji sambil mengukir senyum, namun air matanya jatuh tanpa suara.

Namun senyum itu tidak sempat bertahan. Dari kejauhan, gemuruh derap kaki kuda bergema bagai guruh dari langit tak berampun. Inhyuk memandang ke hadapan. Di antara kabus nipis senja, kelihatan sosok Putera Yisoo di atas kuda, memimpin lebih dua puluh bala tentera. Di tangannya, terhunus busur panah; di belakangnya, pedang berkilat tergantung menanti darah.

"Haeji," seru Inhyuk. Suaranya dingin dan bergetar.

Haeji mengangkat kepala. Wajahnya memucat sebaik terlihat tatapan membunuh Putera Yisoo. Raja dalam hatinya dan pengkhianat dalam takdirnya.

"Putera Yisoo..." bisiknya. Jantungnya retak.

Tanpa ragu, Inhyuk menarik kekang kuda, membelok tajam lalu memecut ke kanan, menjauh dari kejaran. Haeji menggenggam pinggangnya erat.

"Aku percayakan kau," katanya.

Namun nasib enggan bersahabat. Panah dilepaskan tepat ke kaki belakang kuda. Jeritan binatang malang itu memecah senyap, sebelum tubuh mereka tercampak ke tanah. Langit seolah menangis.

Putera Yisoo turun dari kudanya. Langkahnya perlahan terasa seolah-olah setiap langkah menanggung dendam yang disemai oleh cemburu.

"Inhyuk! Haeji!" jeritnya.

Inhyuk menahan perit, segera membantu Haeji bangkit. Tangan mereka berpaut erat seperti nazar yang tak boleh diingkari.

Mereka berlari ke arah bukit batu yang menara tinggi di tepi laut. Ombak bergemuruh di bawah, menghantam tebing dengan garang. Dunia kini hanya ada dua jalan: melawan atau menghilang ke dalam azab samudera.

"Kita sudah tak punya jalan pulang," ujar Inhyuk, mata menatap luas lautan.

Putera Yisoo dan tenteranya tiba. Anak panah menanti arahan. Putera Yisoo melangkah ke hadapan, tenang namun wajahnya bagai ribut tertahan.

"Serahkan Haeji. Dia milik beta," katanya.

"Tidak. Dia milik dirinya sendiri... dan patik mencintainya," Inhyuk bersuara, mata tak goyah.

Tanpa menunggu, Putera Yisoo mengangkat pedang. "Beta takkan benarkan!" raungnya lalu menyerbu.

Bunyi pedang berlaga mengisi ruang yang tadi hanya ada bunyi ombak. Haeji meronta, ditahan oleh Laksamana Dongmin. Inhyuk berperang dengan jiwa dan tubuh, bukan hanya untuk hidup. Tetapi untuk cinta yang telah dia pilih meskipun berbalut dosa.

Ketika matanya melirik pada Haeji, Putera Yisoo mengambil peluang. Pedangnya menembus perut Inhyuk. Dunia membeku. Darah memancar dan Inhyuk rebah.

"Maafkan kanda, adinda..." bisik Putera Yisoo, tangannya menarik pedang dari tubuh lelaki yang pernah dianggap sahabat.

"Inhyuk!" jerit Haeji.

Tetapi sebelum pedang Putera Yisoo sempat mengakhiri segalanya, langit berubah menjadi gelap, angin bertiup semakin kencang. Di bawah tembing ombak putih kini bertukar menjadi merah. Seperti petanda sesuatu yang buruk akan berlaku.

Dengan sisa tenaga, dia melepaskan diri, menikam lengan Dongmin dengan cucuk sanggul pemberian Inhyuk. Dia berlari ke arah lelaki yang sedang nazak. Anak panah mengenai tubuhnya, satu demi satu Tetapi langkahnya tidak berhenti.

"Inhyuk!" jeritnya.

Tubuhnya menghempap Inhyuk tepat ketika Putera Yisoo mengayunkan pedang. Darah menyembur. Kali ini, bukan darah musuh. Tetapi darah Haeji.

Putera Yisoo kaku.

Pedangnya jatuh. "Haeji...?"

Terlambat.

Dengan sisa nafas, Haeji membisik, "Jika takdir memisahkan kita hari ini... izinkan kita bertemu kembali di kehidupan lain."

Tubuh mereka yang berlumur darah dan air mata tertolak ke belakang, lalu jatuh ke laut yang ganas. Laut yang merah.

Putera Yisoo menjerit nama Haeji. Tapi suara itu dibawa pergi oleh angin. Tiada lagi yang tinggal di atas tebing, selain penyesalan yang tak mampu ditebus dengan seribu musim luruh.


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.