Home Novel Fantasi The Klang (Sudah Terbit)
The Klang (Sudah Terbit)
Meja Editor
8/5/2025 09:04:45
240
Kategori: Novel
Genre: Fantasi
Senarai Bab
Bab 1

Kini, tahun 2097

"ERR ... puan. Saya nak tanya, biasanya budak-budak dari bilik seni tu keluar di sini ke?" soal Fuad kepada seorang wanita berkemeja putih dan berkot sejuk sepertinya. Peluh yang merenik-renik pada dahi masih belum sempat dilap.

"Ya betul, encik," jawab wanita berumur itu sebaik sahaja berpaling. Atas bawah memandang si penanya, kepelikan dari mana datangnya lelaki yang terkocoh-kocoh itu.

"Alhamdulillah, jumpa juga."

Fuad menghembus nafas lega sambil bercekak pinggang. Lenguh tubuh beransur hilang apabila dia sudah berada di hadapan salah satu pagar belakang Pusat Pendidikan Rendah Klang 3. Peluh yang meleleh disapu. 

"Anak encik baru pindah sini, ya?" teka wanita itu.

"Baru pindah? Oh, tak. Saya yang tak jumpa cari bilik seninya. Bila cikgu dia cakap mereka dah pindahkan bilik seni lama ke bilik baru minggu lepas, saya tak sempat pusing-pusing lagi." Fuad membuat penjelasan. 

"Oh, begitu." Wanita itu mengangguk.

"Memang biasa ambil seorang ke?"

"Biasanya kawan saya yang datang jemput dia sebab kadang-kadang saya tak sempat. Itu yang menonong saya tadi sebab tak berapa kenal tempat." Fuad tersengih.

"Ah, biasalah tu. Saya pun bergilir-gilir dengan suami saya." Wanita itu memahami.

"Tahun tiga ke?" soalnya lagi. 

"Ya, betul. Tiga Kejora."

"Oh, kalau begitu samalah macam saya. Anak saya pun tahun tiga. Kejora juga." Wanita itu tersenyum teruja. 

Terangguk-angguk Fuad, tanda menghargai sikap ramah wanita itu.

"Pak ngah!"

Fuad berpaling ke sebelah. Kelihatan dalam satu kelompok, seorang kanak-kanak lelaki sedang berlari dari halaman sekolah ke pagar. Terus hilang penatnya, digantikan dengan senang hati. Senang hati melihat kanak-kanak itu sihat dan cergas seperti ketika hari pendaftarannya di sini. Sebaik sahaja kanak-kanak itu tiba di hadapannya, Fuad terus mendukungnya seperti tidak terasa apa-apa beban pada lengan.

"Kenapa pak ngah yang datang? Aunty Leila sibuk ke?" Pantas kanak-kanak itu menyoal.

"Aunty balik lambat sikit hari ni, Ajim. Kena tutup kedai. Itu yang pak ngah datang ni," beritahu Fuad. Terikut-ikut lenggok lucu suara kanak-kanak itu.

"Ohhh." Mulut Ajim membulat. 

"Tapi Ajim masih duduk rumah Aunty Leila juga kan malam ni?" soalnya petah.

"Haah. Pak ngah masih belum selesai susun semua barang. Kalau dah siap semua urusan, pak ngah bawa Ajim tengok rumah baru kita, ya?"

Ajim mengangguk laju.

"Nasib baik pak ngah datang awal. Ajim ingatkan Aunty Leila tiba-tiba sibuk macam pak ngah tadi. Baru ingat nak balik sendiri."

"Eh, apa pula balik sendiri? Ajim tahu ke tren apa nak ambil bila sampai di stesen nanti?" Fuad cuak mendengarnya. Dada rasa seperti ditembak-tembak apabila terasa disindir.

"Tahulah. Hari-hari pun Ajim ikut Aunty Leila naik tren yang sama. Cuma perlu tukar dari tren ke rumah baru." Ajim melukis-lukis di udara, membayangkan peta perjalanan kereta api.

"Hah, tengok tu. Nak ingat jalan balik pun kena lukis-lukis. Tunggu Ajim besar sikitlah baru boleh balik sendiri," usik Fuad membuatkan kanak-kanak umur sembilan tahun itu mencebik.

Wanita yang berbual bersama Fuad tadi memerhatikan sahaja anak-beranak itu bergurau senda. Dia tidak melihat dengan kaca pandang sangsi, tetapi rasa ingin tahu yang kuat apabila gelaran "pak ngah" diberikan kepada seseorang yang mengaku dirinya ayah kepada Ajim. 

Fuad sudah terbiasa dengan pandangan itu. Dia yakin wanita itu hanya tertanya-tanya bagaimana  pertalian baharu itu boleh tercipta. Jujurnya, dia berbesar hati untuk menceritakan. Cuma, tidak seperti perbualan mereka sebentar tadi. Ia jauh lebih sulit untuk dimulakan.

"Terima kasih untuk tadi, puan. Saya minta diri dulu. Assalamualaikum."

Fuad memilih untuk mematikan sahaja hasrat itu. Dia menunduk sedikit sebelum disambut dengan senyuman wanita itu.

Meninggalkan kawasan Pusat Pendidikan Rendah 3, Fuad dan Ajim berpimpin tangan merentas jalan tar yang sedikit sibuk dengan kenderaan. 

Di stesen keempat rangkaian rel LB-1 beberapa meter dari jalan itu, mereka beratur untuk menaiki tren yang bakal tiba kurang tiga minit lagi. 

Sambil menunggu, Fuad sedar genggaman tangannya pada tangan kecil Ajim bertambah kemas. Sebelum sempat Ajim perasan, dia lekas melonggarkannya. Enggan Ajim turut merasai ketakutan Fuad yang bermula daripada perbualan seperti tadi. Ketakutan melihat Ajim  membesar tanpa keluarga dan kampung halamannya.

Apabila tren sampai dan mula diisi dengan penumpang, mereka berdua melangkah ke dalam gerabak. Berpegang pada pemegang yang tergantung di sebelah kiri dan tangan Ajim di sebelah kanan. Fuad membiarkan tren itu membawa mereka keluar dari kesesakan manusia di platform dan menjauhi kepadatan dunia Lembah Barat. 

DI bawah dada langit yang ketandusan bintang, berlangsung kemeriahan yang menghidupkan setiap pelosok kota Lembah Pusat. Tidak kira di mana-mana, akan terlihat manusia berduyun-duyun keluar untuk mencari hiburan dan mendapatkan ketenangan sementara. 

Di sebuah kedai mamak, sekumpulan lelaki sedang menikmati baki malam dengan senda tawa. Fuad salah seorangnya. Selang seminit dia tidak menyertai perbualan, dia pasti akan mendongak ke langit. Melihat lampu-lampu neon yang terpancar jauh ke angkasa. Warna-warna bukan semula jadi terang-benderang tanpa mengira masa. 

"Ad. Giliran kau pula." Seorang lelaki berjaket hud kelabu menepuk bahu Fuad.

Fuad berpaling menghadap seorang lagi lelaki dengan gaya rambut crew cut di hadapan.

"Sila, Nas. Apa soalannya?" Anas gigih menatal skrin telefon pintarnya. Keningnya terangkat tinggi.

"Hah! Apa perkara baik paling tak masuk akal Nikeles pernah buat?" soal Anas begitu semangat.

Dia meleretkan pandangan pada Nikeles yang selesa bersandar pada kerusi plastik dengan kening yang juga terangkat. 

"Hmm ... apa, ya?" Fuad mengusap-usap janggut ratanya.

"Come on. Baru minggu lepas aku buat." Nikeles tersengih.

"Kau ... bagi kucing makan?" duga Fuad setengah yakin.

"Tettt. Salah!" Nikeles menafikan.

"Kau kerja lebih masa kat kilang bapak kau?"

"Salah lagi. Cuba kau ingat balik apa Anas pernah beritahu kau."

Fuad kelihatan sudah ketandusan telahan. Dia memandang Anas untuk mendapatkan klu, tetapi Anas membuat mimik muka kosong. Matanya dikecilkan pada Nikeles, tetapi hasilnya tetap sama. 

"Tak bolehlah. Aku tak tahu. Apa jawapannya?" Fuad mengalah.

"Aku belanja budak-budak Kenyalicious makan," dedah Nikeles akhirnya.

"Biar betul kau?" Terbeliak biji mata Fuad seolah-olah ia pengakuan daripada seorang penjenayah. 

"Aku ingatkan kau bergurau aje hari tu," ujarnya sambil memandang Anas pula.

"Inilah Fuad Mokhtar. Kawan dah berubah jadi orang yang pemurah dan baik hati pun dia masih tak percaya. Hisy, hisy, hisy." Nikeles tergeleng-geleng. 

"Baik hatilah sangat. Itu pun sebab kau nak ambil hati bapak kau, kan?" Cepat sahaja Anas mengambil peluang mengempiskan semula hidung Nikeles yang kembang.

"Kenapa dengan Pak Mus?" Fuad tidak faham.

"Pak Mus sekarang tengah fikir sama ada nak jual Kenyalicious atau tak. Dia tak rasa Nik serius nak teruskan perniagaan dia. Itu yang Nik kena tunjuk-tunjuk rajin tu." 

"Apa pula tunjuk-tunjuk?" Nikeles tidak puas hati. 

"Aku memang seriuslah. Cuma kalau bab nak yakinkan bapak aku ni, aku kena go extra sikit. Kalau dia rajin buat kerja, aku kena dua kali ganda rajin. Kalau dia suka jaga hal ehwal pekerja, aku kena dua kali ganda suka," sambungnya. 

"Entah kau, Nas. Kau pun jobless. Nak cakap orang." Fuad beralih sokongan.

Anas menggaru belakang kepala seraya tersengih. "Kau tak pernah cerita part tu. Mana aku nak tahu?"

"Memandangkan Anas buat silap, apa kata ...." Fuad mengangkat telunjuknya.

Nikeles tiba-tiba menyuakan sebuah piring kecil kepada Fuad. 

"Hah, Fuad. Jangan buat lupa pula hukuman kau. Game tetap game. Sedap ni."

"Aduh, baru ingat boleh mengelat tadi."

Fuad teragak-agak mencapai sebiji pil merah jambu dari piring itu lalu memasukkannya ke dalam mulut. Baru saja dikemam, wajahnya sudah berkerut jelik sebelum terbatuk-batuk. Pil tadi dimuntahkan ke lantai. 

"Perisa apa yang kau letak ni, mangkuk?"

"Air jamban." Nikeles pantas terbahak-bahak. Anas juga tidak dapat menahan tawanya.

"Apa terkutuk sangat perangai? Tak sekolah ke?" marah Fuad.

"Janganlah marah-marah. Perisa aje," ujar Nikeles yang masih ketawa.

"Buat-buat tak tahu pula si Fuad ni. Inilah ang mo terkutuk di Lembah Selatan. Aduhai, warna pink pula tu dia letak. Memang win!" Anas mengelap matanya yang berair. "Kalau tak letak pink, manalah kau orang nak makan."

Nikeles menolak air kosongnya ke arah Fuad. Separuh isi gelas sahabatnya itu meneguk.

"Bapak kau bagi ke kau main dengan mesin kilang dia, Nik? Dah macam selalu sangat kau hasilkan benda tak berfaedah ni," soal Fuad selepas meletakkan gelas.

"Alah, tak apalah. Aku guna defect stock. Daripada buang, baik aku guna untuk buat benda lagi fun. Betul tak, Nas?"

"Betul." Anas tersengih bak kerang busuk.

"Kenapa, Ad? Kau nak bawa balik sikit?" soalnya.

"Dah kenapa pula aku nak bawa balik pil ni?" 

"Buat kenangan. Yalah, makanan kat Teratai Residential kan lagi sedap? Buat apa kau perlu datang sini lagi?" Anas memandang Nikeles yang kemudiannya mengangguk setuju.

"Apalah yang kau orang fikirkan lebih-lebih ni? Aku tinggal sana aje, bukannya kena penjara. Ada masa, aku datanglah lepak lagi." Fuad segan membincangkan hal itu. 

"Kita orang tak cakap pun kau takkan ada masa. Cuma kat sana nanti, semua benda dah ada. Selesa pun selesa. Mana tahu nanti taste kau pun jadi atas," terang Nikeles.

"Aku orang Tembok Luar, Nik. Mana boleh lupa diri."

"Kita orang tahu." Nikeles tersenyum nipis.

Kejanggalan mengisi ruang udara yang sedikit tercemar dengan asap rokok dari meja sebelah. Mendengar kata-kata Nikeles, minda Fuad terus dibawa menelusuri sedutan-sedutan pantas kehidupannya sejak kebelakangan ini.

Dari hari pertama dia mendaftarkan diri sebagai warga Tembok Dalam sehingga malam ini, seseorang yang berjaya memiliki kerjaya di Lembah Pusat. Dari suatu titik kecil yang tiada makna kepada suatu titik yang bercahaya. Sarat dengan pengalaman berharga.

"Atas tak atas, aku nak tanya ni. Operasi kita jadi atau tak minggu depan? Aku nak kena siapkan dron aku ni." Anas membantu mematikan kejanggalan itu. 

"Mestilah jadi. Demand tinggi kut sejak dua menjak ni," balas Nikeles.

"Dengan aku, mestilah selalu jadi." Fuad kembali ceria. 

"Itu yang aku nak dengar. Aku dah boleh bau berapa banyak untung yang kita akan dapat." Nikeles menyiku lengan Fuad. Sebelah tangan membuat gaya menggosok duit. 

"Bukan sebab untung aje tau kita buat benda ni." Fuad pantas mengingatkan.

"Betul. Tapi tak salah juga kata Nik tu, Ad. Kalau tak ada untung, macam mana nak sustain?" sokong Anas terhadap kenyataan Nikeles.

Fuad terdiam. Nikeles dan Anas saling berpandangan.

"Kita dah buat benda ni lama, Ad. Aku, kau, Anas dan budak-budak Kenyalicious lain percaya pada perjuangan yang sama. Keuntungan takkan menjadi asbab runtuhnya usaha kita selama ni." Nikeles menggosok-gosok bahu Fuad. Mahu memujuk sahabatnya itu.

Fuad mengangguk perlahan. Dia mendongak ke arah sempadan langit yang jauh. Tanda-tanda kegusaran pada wajahnya menghilang sebelum dia kembali tersenyum.

"Kalau bukan sebab kau orang, apalah yang aku boleh buat?"

Anas dan Nikeles diam tidak menjawab, tetapi mengikut Fuad membuang pandangan mereka ke arah langit dan berkongsi senyuman. Berbeza dengan mereka berdua, wilayah di bawah langit luas itu bakal menjadi rumah baharu Fuad. Tempat dia berkhidmat kepada konglomerat. Apabila berada di sana, wilayah itu hanya mempunyai satu fungsi. Ia menjadi tempat khas mereka mengaut segala keuntungan dan memulangkannya semula kepada orang-orang yang memerlukan.

Wilayah itu mengikat mereka bertiga. Buat satu matlamat yang lebih besar daripada kehidupan mereka sendiri.

*****

Ang mo ialah slanga Hokkien yang merujuk kepada orang berkulit putih yang menetap sama ada di Malaysia, Singapura, Thailand atau Taiwan.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.