Home Novel Cinta Aku yang dilupakan
Aku yang dilupakan
Maryani Zailani
31/3/2023 18:37:13
2,938
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
TEASER

Fahmi tertinjau-tinjau mencari seseorang. Yasmin di sebelah turut sama mengikut perlakuan lelaki itu. Ketika ini mereka sudah duduk di tempat berdasarkan tiket masing-masing. Tidaklah terlalu dekat dan tidak terlalu jauh dari pentas utama. Agak strategik untuk menyaksikan persembahan teater sebentar nanti.

Jam tangan dilihat, lagi 10 minit persembahan akan bermula. Fahmi sudah tidak sabar-sabar untuk menontonnya. 

“Cari siapa? Melilau je…”

“Tak ada siapa,” balas Fahmi dengan cepat.

“Yalah tu.”

Perbualan mereka terhenti apabila ruangan dewan digelapkan. Hanya lampu sorot tertumpu pada pentas utama. Tirai merah dibuka dengan perlahan-lahan menandakan persembahan akan bermula. Para hadirin bertepuk tangan dengan penuh bersemangat termasuklah Fahmi dan Yasmin.

Pada permulaan babak, mereka dapat melihat prop seperti di sebuah ruang tamu rumah orang berada pada tahun 60-an. Perabot kebanyakannya diperbuat dari kayu. Set peti televisyen vintage dan pemain piring hitam menarik perhatian mereka.

Fahmi berdebar hebat melihat Adela Sofea muncul. Perempuan itu berpakaian kebaya hijau dan berkain batik dengan corak bunga Iris yang diselingkan warna hijau biru. Jari-jemari perempuan itu menyentuh permukaan pemain piring hitam.

‘Cantik…’ detik hati Fahmi, dia mendengar sendiri jantungnya berdengup kencang.

“Aku tidak suka kau berkawan dengan orang kebanyakan itu.”

Bersama dengan suara itu, masuk seorang perempuan yang melakonkan watak seorang ibu. Dia menuturkan setiap bait kata menggunakan bahasa baku. Dia berkebaya warna tanah liat dan berkain batik hitam dengan corak bunga mawar merah. Cermin mata bulat dan bersanggul tinggi untuk wataknya.

“Saya tetap dengan keputusan saya. Saya akan bernikah dengannya,” balas Adela Sofea.

“Baiklah. Kalau itu yang kau mahukan… aku izinkan. Susah nanti kau jangan balik rumah ini dan menangis teresak-esak.”

Lampu sorot dimatikan. Perubahan latar tempat terjadi. Apabila lampu sorot dihidupkan, audiens melihat sebuah pohon besar di tepi tasik. Adela Sofea dan pelakon lelaki utama saling bersandar pada pohon itu sambil tersenyum manis. 

Fahmi terbayang, dialah pelakon utama lelaki itu. Tersenyum-senyum seperti kerang busuk dibuatnya. Yasmin terperasankan hal itu lantas menyiku lengan Fahmi dan lelaki itu menyiku kembali. Mengganggu sahaja dirinya mahu berangan ketika ini.


Persembahan teater malam itu hampir sampai ke kemuncaknya. Adela Sofea sebagai watak Melati menghalang beberapa orang suruhan ibunya yang mahu menangkap lelaki tersayangnya dalam cerita itu. 

Fahmi yang menonton berasa begitu terharu. Terasa Adela Sofea sedang mempertahankan dirinya di dunia sebenar.

“Jika kamu semua mahu mengapa-apakan dia… kamu harus langkah mayat aku dahulu!” Jerit Melati dengan marah.

“Ke tepi Melati! Aku tidak peduli kau perempuan atau apa! Sekali aku amuk… semuaku bunuh!” Herdik orang suruhan itu, sudah bersiap sedia dengan buluh yang sudah diruncingkan hujungnya.

Adela Sofea dalam watak Melati nampak begitu tidak bermaya. Mekap tepi bibir untuk menampakkan kesan lebam dipukul nampak begitu realistik. Fahmi kasihan melihatnya. 

Melati yang begitu keras mendepakan tangan menghalang orang suruhan tadi, menarik buluh itu lalu dibawa ke leher.

“Bunuh… bunuh aku kalau engkau mahu membunuh lelaki kesayanganku!”

“Kau sudah gila Melati!”

Orang suruhan itu menolak Melati. Namun tidak semena-mena, Melati terus menarik buluh dengan kuat lalu mencucuk lehernya. Para pelakon begitu terperanjat, masing-masing meluru ke pentas utama mendapatkan Adela Sofea.

Penonton yang pada mulanya menyangka itu sebahagian daripada babak lakonan bertepuk tangan. Sangkaan mereka, itulah pengakhirannya. Namun, kru-kru sudah bermuka cemas di samping pasukan perubatan tiba-tiba meluru naik ke atas pentas untuk memberi rawatan kecemasan.

Barulah para penonton turut panik. Fahmi pula hampir gugur jantungnya melihat keadaan Adela Sofea tidak sedarkan diri dan berdarah-darah lehernya bagai tiada henti.

“Astagfirullah!” Ucap Fahmi berulang kali dan Yasmin pun begitu.

Peluh menitik dengan lebat di dahi. Adela Sofea dibawa keluar menggunakan pengusung dengan berhati-hati. Buluh yang dicucuk ke leher olehnya tidak dikeluarkan dikhuatiri keadaan dirinya semakin memburuk.

“Eh, abang nak pergi mana?” Tegur Yasmin apabila Fahmi terus bangun mengejar pasukan perubatan tadi.

Orang ramai mulai berpusu-pusu keluar menyebabkan Yasmin sukar untuk mengejar Fahmi. Hampir-hampir kehilangan jejak.


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.