Daftar   |      Log Masuk   |   Lupa Kata Laluan
Home Novel Cinta Cinta ini, tak seindah biasa
Cinta ini, tak seindah biasa
Azlina Ismail
9/11/2018 18:35:57
763
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
Bab 1

Seorang gadis, bersusuk tubuh kecil molek sedang berlenggang-lenggok berjalan di bahu jalan raya yang agak lengang. Di tangan kirinya, satu beg plastik kecil berwarna hijau sedang dipegang, dihayun mengikut rentak hayunan tangan. Sambil mengatur langkah, dia menguntumkan senyuman. Hatinya berlagu riang kerana mendapat upah lebih sedikit hari ini. Bertambah lebar senyuman terhias manis di bibirnya yang kecil dan mungil kerana kira-kira 200 meter lagi dia akan sampai ke destinasi.

Langkah kaki kian dihayun semakin laju. Begitulah rutin hariannya, menolong Mak Cik Melah yang tinggal di hujung kampung. Tugasnya, membantu menggoreng kuih-muih jualan mak cik itu. Sudah hampir setahun dia menjadi ‘tukang goreng’ kuih Mak Cik Melah. Sehari upahnya, lima ringgit. Bolehlah. Dapatlah juga dia menyimpan untuk keperluan lain. Kerja itu dilakukan sekadar untuk mencari duit sampingan sahaja.

PONN!

Opocot!” latahnya.

Seraya itu, terlepas beg plastik sedang dijinjit ke atas rumput. Pantas muka dan mata di halakan ke arah manusia yang telah membunyikan hon sebentar tadi. Kedua bibir sudah diketap kuat. Aturan pernafasan, sudah bertempiaran. Kembang kempis hidung, menyedut dan menghembus udara tak sempurna seperti selalu.

Hehehe.”

Tajam renungannya ditujukan ke arah susuk tubuh bertuah itu. Boleh pula dengan selamba, insan itu tersengih. Sekilas dia menjeling tajam motorsikal di sisi kanan. Dah elok-elok hon motor itu berbunyi sesuai dengan motorsikal Honda 125, boleh pula diubah menjadi bunyi seperti hon lori. Itulah perangai manusia, tak pernah puas dengan apa yang ada. Selalu mahu mengubah ciptaan sedia ada, mengikut citarasa yang entah apa-apa. Beg plastik terjatuh tadi, diambil. Mujur tak terkeluar kuih di dalam plastik itu kerana simpulan agak kuat.

Sorry Safa.”Jelingan tajam si gadis membuatkan dia menelan air liur. Habislah, mesti kena aku dengan mak nenek ni, hatinya berbisik.

Soalan terlebih bijak itu mengundangnya mengecilkan mata. Dijegil pula setelah melihat pemuda itu semakin melebarkan sengih. Geram. Ada juga kena hempuk nanti.

“Kau terkejut ke Safa?”

Safa Hawani membeliakkan biji mata pula.  

Senyap.

“Kau betul-betul terkejutlah ni?” Dia menelan air liur.

‘SAH, kena tengkinglah aku kejap lagi dengan ‘mak nenek’ ni,’ duganya di dalam hati pula.

“Tak terkejut lagi? Dahlah bunyi hon motor kau tu kuat. Kalau aku ada penyakit lemah jantung, dah lama pengsan!”

Kan, betul seperti dijangkakan.

“Safa, aku...”

“Aku, aku. Kau apa hal? Suka-suka hati kau ya, tahan orang tengah jalan? Nak kena ni?” kata Safa Hawani sambil ‘buku lima’ diacukan ke muka pemuda itu.

“Amboi, garangnya mak cik ni.”

“Apa mak cik-mak cik? Kau dengan aku, sebaya okey.”

Yelah, yelah. Aku minta maaf. Aku tak sengaja tertekan hon tadi.”

Safa Hawani mencebik mulut, “Tak sengaja konon. Blahlah!” Bibirnya telah dijuih.

Senyap.

“Apa hal kau nak jumpa aku ni!”

Ei kau ni, boleh tak ubah sikit nada suara kau tu? Garang semacam. Macam nak telan aku pun ada.”

“Telan kau? Tak selera aku.”

“Amboi mulut, daftar insuran mahal kot?”

“Mestilah.” Safa Hawani menjeling Ahmad Iqbal kemudian menyambung, “Lain kali, buat aku terkejut lagi!”

Sorry.” Ahmad Iqbal buat muka kesian.

Sorry... naik lorilah!” Safa Hawani merengus halus.

Senyap.

“Apahal cari aku?” Safa Hawani bernada lembut pula. Malas mahu panjangkan marah. Bukan ada apa-apa untung pun.

“Tanya macam ni, kan bagus. Lemah-lembut, lemah-gemalai.”

Ei lekaslah, nak apa? Melalut pula dia!” Oktaf suara Safa Hawani tinggi kembali.

Er Safa, aku,aku...”

“Aku apa!”

“Nak pinjam buku sejarah kau.” Dengan sekali nafas Ahmad Iqbal berkata kemudian menyambung, “Aku tak sempat salin soalan Cikgu Jamilah semalam.”

“Pasal tu aje?” Safa Hawani membeliakan matanya lagi.

“Janganlah buat mata macam tu. Takutlah.”

Safa Hawani mencebik. Menyampah. Ahmad Iqbal, seorang pemuda, punyai muka kacak tapi sayang suka sangat berlagak ‘lembut’. Sampaikan ada dikalangan orang-orang di kampung mereka menggelar pemuda itu ‘budak separuh masak’.

“Sikit-sikit takut. Meluat aku. Iqbal oi, perempuan pun tak penakut macam kau tau.” Mulutnya dijuih pula.

‘Perempuan lain mungkin penakut tapi kau, tak Safa.’ Ahmad Iqbal hanya sengih dalam hati. Berani cakap kuat-kuat?

“Dah aku memang macam ni dari kecik, nak buat macam mana? Cepatlah Safa, nak bagi pinjam tak?”

“Kalau aku tak nak bagi?”

“Janganlah macam ni Safa. Kau tak sayang kat aku?”

“Bila kau jadi pakwe aku, sampai kena bersayang-sayang ni?”

“Tak nak bagi, sudahlah!”

Ei, meluat! Merajuk tak kena tempat. Gelilah!” kata Safa Hawani sambil mengangkat kedua bahunya kemudian digoyangkan, tanda geli.

“Safa, bagilah aku pinjam,” rengek Ahmad Iqbal.

“Tunggulah, buku tu ada kat rumah. Kau ingat, aku dah hilang akal, usung buku sekolah merata-rata?” Makin geram dia apabila melihat Ahmad Iqbal menyengih.

“Manalah tahu kalau kau memang tak betul?”

Ei, kau nikan Iqbal...” Safa Hawani mengetap gigi. Malas mahu melayankan kerenah Ahmad Iqbal, dia kemudian berpaling lalu memulakan langkah.

“Safa, naiklah. Biar aku hantar kau balik.” Tangan Ahmad Iqbal menepuk lembut kusyen di bahagian belakang motorsikalnya.

Pelawaan Ahmad Iqbal itu telah mengundang Safa Hawani untuk meluaskan biji mata. Kemudian, dia berpaling menghadap Ahmad Iqbal. Secara perlahan-lahan matanya mengecil sebaik melihat tahap keselambaan di riak muka itu tak berkurangan.

Apasal tengok aku macam tu? Naik ajelah.”

“Tak nak!”

Eh, jual mahal pula dia ni. Lekaslah Safa, bukan senang aku ajak orang naik motor ni.” Ditepuk lagi kusyen motornya.

“Tak kuasa aku. Lembut-lembut kau tetap lelaki okey. Kau nak, nanti sekampung jaja cerita aku naik motor dengan kau?”

“Amboi, sejak bila jadi ustazah ni?”

“Sejak bila pula aku pernah naik motor dengan kau?”

Hesy kau ni Safa kalau bertekak, asyik nak menang aje. Bagilah aku ‘can’ sikit, menang kali ni.”

“Boleh blah.”Safa Hawani menjelirkan lidah.

Ahmad Iqbal sudah ketawa besar. Menjadi sahabat kepada gadis itu adalah satu perkara terindah di dalam hidupnya. Sampaikan ada yang mengatakan mereka pasangan sejoli. Mana tak sejoli, yang ‘lembut’ itu dia dan yang ‘keras’ adalah gadis itu. Safa Hawani bukanlah perempuan jenis tomboy cuma gaya dan lagak agak kasar. Dia pula bukanlah jenis lelaki lembut. Sudah sejak azali dia memang begitu.

Eh, takkanlah aku nak biarkan kau jalan kaki. Naiklah.”

“Tak nak!”

“Naik ajelah. Aku tak suruh pun kau pegang aku.” Ahmad Iqbal mempelawa lagi.

“Tak kuasa aku. Tu, kat depan tu aje rumah aku. Dah, jom.”

Safa Hawani melajukan langkah. Walau langit nak runtuh sekalipun, membonceng  motor dengan lelaki yang tiada ikatan atau pertalian dengannya, jangan harap! Walaupun Ahmad Iqbal rapat dengannya sejak dari sekolah rendah, batasan perlu dijaga. Baginya, dia tak kisah berkawan dengan Ahmad Iqbal walau ada setengah daripada rakan-rakan mereka menggelar pemuda itu mat patah. Kalau diikutkan, macam-macam gelaran yang diberi kepada mereka berdua. Ada dia kisah? Yang penting, pemuda berperwatakan lembut seperti Ahmad Iqbal tak pernah mengambil kesempatan ke atasnya.

“Yang kau tersengih-sengih macam kerang busuk, kenapa Safa?” Sejak dia masuk ke dalam rumah Safa Hawani hingga kini, asyik sengih saja ‘mak nenek’ ni. Hairan dia.

Safa Hawani terkejut. Asyik mengelamun hingga tak sedar dia sudah berada di rumah dan kini sedang duduk di ruang tamu.

“Aku... sengih?” Safa Hawani meletuskan ketawa yang...

Ahmad Iqbal sudah menggeleng berkali-kali. Patutkah seorang perempuan gelak kuat macam tu? Kalaulah ada rombongan mahu masuk meminang, lari lintang-pukang mereka nanti sebab ingatkan ada pontianak mengilai.

“Kau ni Safa, tak larat aku tegur. Cubalah gelak perlahan sikit. Tak malu ke, kat orang yang dengar? Kita, perempuan...”

Op..op kejap, kita perempuan?” Safa Hawani bernada memerli sambil jari telunjuk bergerak antaranya dengan Ahmad Iqbal .

“Itulah, tak habis cakap dah potong. Safa, kita tu perempuan, jaga sikit perangai.”

“Iqbal, kau... tak hilang ingatan, kan?”

Ahmad Iqbal menggeleng kuat. “Apasal tanya macam tu pula? Aku elok aje, waras lagi tau.”

“Kau, macam baru kenal aku pula. Aku, kan dah biasa gelak macam ni. ”

“Sebab dah biasalah aku tegur. Jangan sampai sebati perangai tu dengan kau Safa. Tak manis tau.”

“Berleterlah pula dia ni. Tengoklah, kalau aku dah ada boyfriend nanti aku ubahlah gelak aku ni.” Safa Hawani menyengih. Nasihat Ahmad Iqbal tak pernah disemat baik-baik. Masuk telinga kanan, akan dipastikan keluar ke telinga kiri pula.

Hmm, yelah tu. Kalau boyfriend kau tu aku, tak apalah juga. Kalau dengan lelaki lain, tak tahulah aku. Takut nanti diorang fikir, ‘Aku ni berkawan dengan pontianak ke?’ Betul tak cakap aku Safa?”

Safa Hawani gelak lagi besar hingga mengekek-ngekek sambil menekan perut. Keras terasa urat perutnya kerana asyik ketawa. Lawak Ahmad Iqbal sangatlah menggeletek hati hingga memaksa dia gelak luar biasa hari ini.

Ahmad Iqbal semakin kuat menggeleng. Berbuih-buih sudah mulutnya menegur, langsung tak diendahkan.

Haish, memang tak makan saman betullah ‘mak nenek’ ni. Buang masa bagi nasihat.’ Ahmad Iqbal menghela nafas sambil menggeleng perlahan.

“Dah puas ke gelak?”

“Senak perut aku ni, dengar lawak kau. Kau... couple dengan aku?” Safa Hawani gelak sinis kemudian menyambung, “Tak pernah muncul pun dalam mimpi aku perkara tu, sepanjang kenal kau tau Iqbal.” Safa Hawani mengelap hujung matanya yang berair dengan jari telunjuk. Air mata tiba-tiba meleleh kerana terlalu kuat ketawa.

“Kau jangan perkecilkan aku Safa. Buatnya masin mulut aku ni, baru kau tahu.”

“Kau tunggu kejap Iqbal.” Sepantas kilat Safa Hawani menghilang ke dapur.

Ahmad Iqbal terpinga-pinga namun hanya membiarkan sahaja.

Tak lama kemudian, Safa Hawani ke ruang tamu kembali sedang kedua tangan menatang sebuah dulang.

“Buat susah-susah aje kau ni Safa.” Sempat dia mengerling dulang itu. Terdapat secawan air teh dan dua biji kuih donut di dalam sebuah piring.

Safa Hawani sengih.

“Iqbal, nah. Minum teh suam ni.” Cawan dihulur.

Ahmad Iqbal tanpa segan silu pantas mengambil cawan tersebut. Disua ke mulut kemudian kedengaran bunyi dia menghirup air teh itu. Tak lama kemudian dengan spontan, terkebil-kebil matanya.

“Ada lori gula terbalik dalam air teh kau ke Safa?”

Safa Hawani lantas gelak.

“Memang aku sengaja lebihkan gula.”

“Kau kan tahu, aku mana minum manis-manis?” Ahmad Iqbal meletakkan kembali cawan ke meja.

Takdelah, manalah tahu, masin mulut kau tu boleh dikurangkan.” Acara gelak secara kuat diteruskan kembali. 

“Kau ni Safa, suka kenakan aku.” Ahmad Iqbal menjeling. Bertuah punya kawan. Ingatkan bolehlah hilangkan dahaga, terkena pula dia.

“Dahlah, malas nak layan kau lagi. Mana buku sejarah tu Safa? Aku dah lambat ni. Bising mama aku nanti. Janji nak keluar kejap, ni dah dekat setengah jam aku kat rumah kau.”

Pergh,berjela-jela alasan kau ya Iqbal. Tunggu, aku pergi ambil.”

Ahmad Iqbal menyambar sebiji donut. Menyua ke mulutnya, digigit sedikit dan dia mula mengunyah sambil mimik muka menunjukkan bahawa dia sedang menikmati kunyahannya. Sesuatu rasa sedang meresap perlahan-lahan ke jiwa.

‘Sedaplah pula donut Mak Cik Melah ni. Selalunya, tak adalah gebu macam ni.’ Dia menggigit dan mengunyah lagi.

Nah Iqbal!”

Oh sedap!”

Safa Hawani tak melepaskan peluang lantas gelak semahu-mahunya. Lucu, melihat gelagat Ahmad Iqbal yang terkejut hingga terpelanting donut berbaki setengah ke lantai. Hari ini merupakan harinya,  melakukan aktiviti yang mampu menurunkan tekanan iaitu dengan ketawa.

“Kau ni Safa, sayanglah donut tu. Dahlah sedap.” Ahmad Iqbal melirik ke arah donut di lantai. Lantas dia mengutip semula. Sehelai tisu diambil dari dalam kotak di atas meja lantas dia mengelap di sekitar kawasan donut itu terjatuh. Bimbang akan dihurungi oleh sang semut pula nanti.

“Iqbal, biarkan. Nanti aku laplah.”

“Elok aku dah habis lap, baru nak cakap.” Ahmad Iqbal mencebik mulut. Lalu dia kembali ke sofa, melabuhkan duduk. Donut yang dikutip tadi diletakkan semula di atas dulang.

“Selalunya, kau merungut tak sedap. Ada aje komen kau pasal donut Mak Cik Melah tu. Keraslah, tak gebulah, itulah, inilah.”

“Itu dulu tapi hari ni, sedaplah pula. Gebu, lembut. Eh Safa, Mak Cik Melah taruk apa kat dalam donut tu?”

“Kau nak tahu Mak Cik Melah taruk apa?” Safa Hawani buat-buat memandang keliling. Dia menginjak sedikit tubuh supaya lebih dekat dengan Ahmad Iqbal tetapi masih berjarak besar hingga seekor gajah pun boleh lalu.

“Kalau aku cerita, kau jangan heboh kat orang lain pula. Naya nanti aku kena bebel dengan Mak Cik Melah tu kalau dia tahu aku dah pecah lubang rahsia resepi dia.” Nada suara dan lagaknya sudah macam minah kepoh.

“Janji tau.” Safa Hawani memandang muka Ahmad Iqbal.

“Aku janji.” Ahmad Iqbal mengangkat tangan seperti mahu membaca ikrar. Dia benar-benar berminat mahu tahu isi kandungan resepi kuih donut makcik itu. Mana taknya, tiba-tiba boleh jadi sedap dan gebu.

“Kalau kau nak tahu, dia bubuh tepung, gula, marjerin, air tapi ada satu benda ni, dia mesti taruk. Kira macam pelarislah. Tak ada benda tu, tak jadi donut-donut tu semua.” Semakin serius mimik muka Safa Hawani.

Ei, seram pula aku nak makan kuih Mak Cik Melah lepas ni tapi nak tahulah juga apa pelaris tu?”Ahmad Iqbal semakin teruja pula.

 “Pelaris tu... kau betul-betul nak tahu?”

“Cepatlah cakap, apa dia?”

Ish kau niIqbal, tak sabar,” Safa Hawani buat-buat memandang sekeliling lagi kemudian menyambung, “Kau tahu, Mak Cik Melah tu letak...”

“Aku cepuk juga kau Safa. Lekaslah! Jangan bagi aku suspen boleh tak?” Geram dia melihat ulah Safa Hawani. Main-main pula minah ni.

“Dia taruk... MAURIPAN.”

“Siapa mauripan?” Mata Ahmad Iqbal sudah terkebil-kebil.

Safa Hawani meletuskan ketawa besar hingga berair kedua-dua mata. Perutnya terasa semakin senak lantas ditekan dengan perlahan.

Ei, gelaklah pula dia ni. Cakaplah, siapa mauripan tu?” Ahmad Iqbal mengetap gigi. Geramnya.

“IBU ROTILAH. Benda yang orang guna buat roti, donut...” ketawanya disambung kembali tetapi kali ini taklah sekuat tadi.

Dengan spontan Ahmad Iqbal memandang Safa Hawani dengan mata terbeliak. Ceh, terkena pula dia.

“Kau ni Safa... ei, geram betullah. Ingatkan bendasing apalah Mak Cik Melah tu taruk. Dahlah, malas aku. Layankan kau, apa kerja pun tak jadi. Aku nak baliklah.” Dia bangun kemudian melajukan langkah ke arah pintu. Buku sejarah kini sudah bertukar tangan.

“Lah, dah nak balik Iqbal?” Puan Rohaya menegur sebaik melihat anak muda itu berada di muka pintu.

“Ya mak cik. Boleh sakit jiwa sembang lama-lama dengan Safa tu.” Dia menjeling susuk gadis yang sedang melaju ke dalam rumah.

“Jangan ambil hati dengan anak mak cik tu.”

“Kalau asyik ambil hati dengan dia, hilang dah hati saya ni mak cik. Alah mak cik, saya kenal sangat dengan anak mak cik tu. Mulut aje macam orang tak daftar insuran tapi hati baik.” Ahmad Iqbal gelak kecil apabila melihat emak sahabatnya juga begitu.

“Ni, mak cik ada buat kerabu mangga. Ambillah.” Puan Rohaya menyua kerabu yang berada di dalam satu bungkusan.

“Terima kasihlah mak cik. Buat susah-susah aje.”

“Jangan lupa bawa buku aku tu esok!” Safa Hawani memekik dari dalam rumah.

Yelah.” Ahmad Iqbal lantas menyarung selipar kemudian berjalan mendekati motorsikal yang diparkir di bawah pohon mangga di laman rumah sahabatnya itu. Sebaik enjin motor dihidupkan, dia memacu motorsikal keluar dari laman rumah tersebut.

Safa Hawani berdiri di ambang tingkap rumahnya, melihat Ahmad Iqbal dengan senyuman terukir di bibir. Senyumannya itu... tak tahulah membawa maksud apa? Gelagat dan telatah pemuda patah itu tak pernah menjemukan. Tak pernah merasa kekok berkawan dengan Ahmad Iqbal malah dia sangat menyenangi pemuda itu. Sambil menyandarkan tubuh ke bingkai tingkap sedang kedua tangan bersilang memeluk tubuh, senyuman di bibir semakin lebar.

“Jangan tenung anak bujang orang lama-lama. Jatuh cinta nanti, baru tahu.”

“Mak ni, terkejut Safa. Mana ada tenung, tengok aje.”

“Habis tu, bukan main lebar lagi mak tengok Safa senyum bila tengok Iqbal naik motor tadi. Mesti ada apa-apa ni?”

“Mana ada? Mak ni, janganlah serkap jarang.”

Hah, nak ngelat. Mata mak ni bukannya rabun.Safa, mak ni orang tua, banyak dah makan garam jadi...”

“Betullah mak, tak ada apa-apa.” Safa Hawani menggigit bibir bawah sebaik melihat emak senyum sinis.

 “Mak ni. Safa tengok aje. Lagipun, dengan mamat patah tu... tak naklah. Apa, lelaki sejati dalam dunia ni dah pupus ke sampai Safa nak kena pilih dia?”

“Manalah tahu, termasin mulut mak ni nanti, jadi betul-betul. Lagipun, mak tengok Iqbal tu baik budaknya. Nak kata tak ada rupa, hensem orangnya. Alah setakat patah, boleh luruskan balik. Zaman sekarang, kan dah canggih.”

“Mak, kami kawan ajelah. Lagipun, berbeza kita dengan keluarga dia tu mak. Mak ingat, Mak Cik Sabrina tu suka, Safa kawan dengan Iqbal? Selama ni, Safa buat pekak aje bila dia perli. Macamlah Safa hadap sangat anak dia tu.”

“Tak baik Safa cakap macam tu. Dengar kat Iqbal, kecil hati dia nanti. Buruk-buruk pun, mak dia juga. Alah, biarlah Mak Cik Sabrina tu. Tak payah nak ambil hati sangat apa dia kata. Yang penting, Safa ikhlas kawan dengan Iqbal.”

“Sebab tak ambil hatilah Safa tetap kawan dengan Iqbal.”

“Baguslah kalau macam tu. Dah jom, tolong mak hidang makanan. Bising pula ayah tengok apa pun tak siap lagi.”

“Takut juga mak kat ayah.” Safa Hawani senyum sinis.

“Bukan takutlah, hormat.”

Safa Hawani meletuskan gelak tetapi tak kuat. Dia menuruti emak dari belakang. Waktu begini, dia dan keluarga akan makan bersama. Segala hal berbangkit tadi, ditolak ke tepi.

 

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.