Home Novel Cinta Mama, dia saya PUNYA!
Mama, dia saya PUNYA!
aireen erina
3/8/2015 22:36:18
15,139
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
BAB 10

SEWAKTU Izma Huda masuk ke pejabat di aras 1, suasana hingar-bingar dengan suara-suara pensyarah. Yang duduk di aras itu hanya enam orang, tetapi ruang itu dipenuhi dengan pensyarah dari aras bawah dan 2 serta yang duduk di bengkel dan makmal. Kalau sekali imbas, hampir 30 orang juga yang sedang berkerumum di aras itu.

Izma Huda menarik kerusi. Separuh meja kerjanya sudah dipenuhi dengan barang-barang pensyarah yang datang ‘melawat’ aras itu. Botol air, fail, kunci kereta dan entah apa-apa lagi. Dia sudah biasa. Bila sudah asyik bersembang, barang yang diletak terus ‘bertapa’ di atas mejanya. Lupa hendak diambil. Kalau ada hilang atau tertinggal barang, datang sahaja ke meja kerjanya. Jejak kasih memang boleh dibuat di sini!

“Apa hal kecoh-kecoh tu?” Izma Huda menyoal Janice di sebelah. Wanita yang muda tiga tahun darinya sedang asyik menyusun fail di atas rak yang dikongsi bersama.

“Awak tak tahu cerita ke? Seorang pelajar DTK 5 kena tahan lokap,” kata Janice bercerita bersungguh. Jarang sebenarnya hendak mendengar Janice bercerita hal orang. Pasti perkara ini sangat besar.

“Siapa? Kenapa? Bila?” Alamak, banyaknya soalan. Nampak sangat kecoh. Izma Huda malu sendiri.

Janice tersenyum simpul. Dia tahu, bukan hanya Izma Huda, semua orang pun teruja dengan cerita panas ini. Walaupun bukanlah pelik sangat cerita pelajar kolej masuk lokap, tetapi kalau disebabkan pelajar itu agak terkenal dengan sikap negatifnya, semua orang akan tertanya-tanya.

“Ala... si Atikah. ‘Anak’ Norain tu. Budak yang selalu timbulkan masalah. Entah berapa semester, tak habis-habis lagi belajarnya. Ambil diploma kalah orang ambil PHD. Asyik extend tak sudah-sudah. Sekarang buat hal, sampai meringkuk dalam lokap.” Balqis yang duduk di aras dua seronok sungguh bercerita.

Kerusi di depan meja Izma Huda ditarik lalu dia duduk menghadap. Dia yang pernah mengajar Atikah memang sangat anti dengan pelajar itu. Kalau tidak tahu hendak mengira litar elektrik sesiri atau selari masih boleh dimaafkan. Tetapi kalau tambah dan tolak pun masih merangkak macam budak darjah satu, memang pensyarah paling sabar pun boleh meletup. Itu belum kira sikapnya yang malas datang kelas, suka menipu dan entah apa-apa lagi.

‘Anak’ istilah yang diguna pakai bagi pelajar-pelajar di bawah jagaan Penasihat Akademik atau singkatannya PA. Kira macam guru kelas juga. Bezanya pensyarah akan jaga dari semester satu hinggalah pelajar tamat belajar. Kalau pelajar yang baik, boleh tamat apabila cukup masa tidaklah menyusahkan. Tetapi ada juga segelintirnya sudah masuk ‘senja’ di kolej ini, belum habis-habis juga. Memang niayalah PAnya itu.

“Apa yang dia buat sampai masuk lokap tu?” Izma Huda mula bertongkat dagu. Inikan cerita panas, haruslah beri tumpuan penuh!

“Dia baiki motosikal kat Kedai Hock Kee Seng Sungai Besar tu. Dah seminggu dia hantar. Semalam dia pergi ambil, kena bayar dalam RM200 lebih macam tu. Dia tak duit nak bayar ke, atau memang dia tak nak bayar tak tahulah. Boleh dia ‘ayam’ kan tauke kedai tu. Dia kata nak beli air bateri. Bila tauke tu masuk dalam, dia terus hidupkan enjin motor. Blah macam tu aje.” Wajah Balqis serius sungguh. Macamlah dia yang kena ‘ayam’ dengan si Atikah tu.

Dua pensyarah lain yang berdiri di belakang Balqis senyum-senyum mendengar cerita itu. Izma Huda pun rasa hendak tergelak. Semangat Balqis yang bercerita membuatkan cerita itu lebih sensasi.

“Yang kelakarnya, dia lupa dia ada tinggalkan nombor telefon kat kedai motosikal tu. Dengan nama semua. Apalagi, report polislah tauke tu. Kawan rumah dia kata, petang semalam, polis datang dua buah kereta bawa dia pergi balai.”

Kali ini Izma Huda ternganga. Tiada lagi senyuman yang terukir. “Sampai dua buah kereta polis? Aduh, macam kes bunuh pulak aku dengar. Gila kentang sungguh budak Atikah seorang ni.”

Izma Huda tepuk dahi. Nasib baik sepanjang enam semester Atikah di kolej ini, dia tidak pernah mengajar di kelas pelajar itu. Kalau dia pun turut sama mengajar, mungkin perasaan berapi-api pada pelajar itu sama dengan apa yang dirasai oleh Balqis sekarang. Oh, minta dijauhkan ALLAH mengajar pelajar macam tu. Memang sakit kepala!

“Habis siapa yang jamin dia keluar lokap?” soal Izma Huda pantas. Suaranya terpaksa ditinggikan dek kerana riuh- rendah suasana di dalam pejabat itu sekarang. Semuanya bercerita mengenai perkara yang sama. Masing-masing mula mengeluarkan ideologi sendiri, menambah perasa cerita sebenar. Barulah gempak sikit kan!

“Siapa lagi kalau bukan ‘mak’ dia si Norain tu. TUHAN tu Maha Kaya, budak bermasalah macam tu dapat PA yang bukan main baik lagi. Kalau akulah, aku biar aje dia bermalam kat lokap dalam tujuh malam. Biar dia tahu bumi yang dia pijak!”

Bagai tersedak Izma Huda mendengar kata-kata Balqis. Serentak dia dan Janice ketawa. “Wah, tujuh malam? Kejam gila kau ya Balqis. Memang geram sungguh kau pada dia.” Izma Huda ketawa mengekek.

Memang Balqis cukup bengang dengan Atikah. Apa tidaknya, semester lepas Atikah telah mengadu pada ketua jabatan bahawa Balqis telah membatalkan kelas sesuka hati. Padahal, Balqis sudah memberitahu awal-awal kelas akan ditangguhkan pada minggu berikut kerana dia terpaksa balik kampung, ada hal kecemasan.

Atikah yang tidak hadir ke kelas waktu pengumuman itu dibuat, datang berlenggang semasa kelas dibatalkan. Kawan-kawan sekelas pun tidak ada yang memberitahu. Mungkin rakan sekelas dia pun tidak kuasa melayan budak senget macam Atikah. Sudahnya, Balqis pula yang dituduh bukan-bukan. Memang angin satu badanlah!

“Tak silap aku, semester lepas pun ada modul yang gagal lagi. Entah berapa lama dia tu kat sini, tak tahulah,” suara Balqis semakin mengendur. Mungkin api kemarahan sudah mulai padam apabila meluahkan apa yang terbuku di hati.

Di dalam kerancakan berbual mengenai Atikah, dua orang pelajar beruniform chef masuk setelah memberi salam. Izma Huda yang tempatnya jauh sedikit dari pintu utama, langsung tidak perasan. Orang perempuan kalau bercerita, gajah lalu depan mata pun boleh tak perasan. Ini pula dua orang pelajar itu. Dia hanya tersedar apabila rakan-rakan setugas terutamanya lelaki tiba-tiba bersorak girang tiba-tiba.

“Ha... tu dia. Makanan dah sampai. Apa pulak menu hari ni agaknya?” Zulhilmi yang selalu sahaja mengusik tidak melepaskan peluang. Diikuti kata-kata yang membawa erti yang sama dari beberapa rakan yang lain.

Wajah Izma Huda sudah merah padam. Malu bercampur geram. Janji Nazhan memang janji plastik! Tidak sampai seminggu berjanji, dah pun mungkir. Jantan munafik!

“Terima kasih cik. Selamat menjamu selera,” kata salah seorang dari pelajar itu sebelum beredar.

“Seronoknya ada orang hantar makanan sampai ke meja. Kita ni usahkan orang nak datang hantar makanan, nak air masak pun kena datang ambil sendiri kat aras ni.” Kata-kata Zulkarnain diiringi gelak ketawa berdekah-dekah seluruh pejabat.

Memang penyataan yang sangat mengada-ngada! Water dispenser cuma diberi satu sahaja setiap jabatan. Memanglah ‘tong’ air itu perlu diletakkan di aras ketua jabatan. Takkan hendak diletak di makmal pula. Kalau semua orang mahu satu water dispenser, beli sendirilah jawabnya!

“Apa kau beli ni? Macam sedap aje. Ada lebih ke?” Alamak, bandaran sudah sampai.

Hilal sudah menjenguk-jenguk bungkusan makanan di atas meja Izma Huda. Gadis itu jadi serba salah. Balqis di hadapannya pun senyum simpul. Siapa tidak tahu gelagat Hilal. Balqis menyengetkan badan sedikit apabila kepala Hilal seperti hendak tersentuh bahunya pula. Dia pula yang akan digelakkan jika terlanggar nanti.

“Kau jangan kacau. Boyfriend dia yang bagi. Kalau kau nak, cari satu girlfriend kat jabatan sana, faham!” Zulhilmi pura-pura marah. Dia menarik lengan Hilal agar menjauhi meja Izma Huda. Tindakan Zulhilmi disusuli gelak tawa.

Izma Huda masam mencuka. Wajah Nazhan terbayang-bayang di depan mata. Memang nak kena ni! Dia mengambil makanan itu. Hari ini, dia tidak mahu berkompromi lagi. Kalau selama ini dia membiarkan sahaja makanan dihantar dijamu pada kawan-kawan, kali ini lebih baik dia memulangkan semula. Biar Nazhan tahu betapa seriusnya dia dengan keputusannya. Keputusan untuk tidak jatuh cinta pada sesiapa pun!

“Awak nak bawak pergi mana makanan tu?” tanya Janice dengan wajah yang polos.

“Nak pulangkan semula,” jawab Izma Huda tegas.

Janice seperti terkejut. Bukan hanya Janice, semua yang ada di dalam bilik itu turut terkejut. Mungkin tidak sangka senekad itu tindakan Izma Huda kali ini.

“Isk, tak baik tu Izma. Kalau orang beri, kita pulangkan. Nanti kecil hati dia.” Jujur gadis berbangsa India itu menasihati.

Izma Huda terpempam. Rakan-rakan yang lain gelak kecil. Izma Huda tahu mereka memerlinya. Dia melepaskan keluhan. Dia duduk semula. Hasrat di hati terpaksa dilupakan. Janice ni, buat orang serba salah pulak! Getusnya di dalam hati.

“Kalau tak jadi pulang, bagilah aku makan,” pinta Hilal tanpa segan disambut dengan gelak tawa yang lain.

“Kau tak payah! Kau makan, lepas tu kau pergi cerita dengan Nazhan, kan? Dahlah makan percuma, lepas tu kau buruk-burukkan aku pulak.” Izma Huda melepaskan amarah pada Hilal. Memang lelaki bandaran itu bermulut longkang. Apa saja yang berlaku di jabatan ini, Hilal akan jadi tukang cerita!

“Alah, janganlah marah. Aku bukan buruk-burukkan kau. Aku cakap perkara betul. Dah memang betul kau tak makan, takkan aku nak tipu pulak?” Hilal membela diri. Tergaru-garu kepala sambil tersengih.

Makin meluat Izma Huda melihat. Sakit hati pada Nazhan makin meluap-luap. Ditambah lagi melihat sengihan Hilal. Kalau dapat sekeh kepala Hilal pun bagus juga. Orang keliling tidak henti ketawa memerli. Rasa hendak masuk dalam laci sahaja!

“Dahlah, ambiklah nak makan sangat!”

Akhirnya Izma Huda mengalah. Bekas makanan berupa kotak ditolak ke hadapan. Pantas sahaja Hilal mengambil dan membawa ke ruang tetamu, tidak jauh dari situ. Sekali lagi Izma Huda mendengus geram!

Bukan hanya Hilal, rakan-rakan lain pun beria-ria hendak melihat pemberian Nazhan. Izma Huda kekal di meja kerjanya. Langsung tiada hati hendak mengambil tahu. Menyampah lagi ada! Dia bersandar geram. Alahai hati, sabarlah!

Kotak putih berukuran sekaki kali sekaki itu dibuka perlahan-lahan. Semua mata terfokus pada tempat yang sama. Hilal mengangkat penutupnya perlahan-lahan. Hampir separuh, semua bagai terpana. Cup cake pelbagai warna tersusun kemas di dalamnya. Hilal menolak penutup sehingga habis.

“Wah, nampak macam sedap!” kata Khairi dari jauh. Sengaja hendak memerli.

“Cantiknya. Kuasanya dia buat bentuk comel-comel kat atas kek ni.” Balqis yang sudah menyertai rakan yang lain senyum gembira melihat. Kek comel seperti itu mampu membuat sesiapa sahaja senang hati.

“Untungnya. Bertuahlah badan.” Ada suara lain pula menyampuk.

Izma Huda masih mematung. Lagi ramai yang memuji, makin membara hatinya. Terkumat-kamit dia menyumpah Nazhan dalam diam. Rasa menggelegak otaknya menahan marah.

Pensyarah-pensyarah lebih 20 orang itu berebut-rebut hendak merasa. Bertolak-tolak seperti anak kecil. Macamlah tak pernah tengok cup cake. Jakun betul!

“Aku nak yang tu, comel. Ada bentuk cincin kat atas ni.” Rabiatun yang lebih selesa dipanggil Ruby cepat-cepat mencapai.

“Ini lagi cantik, siap ada tangga. Mana nak panjat agaknya?” Sharif pula mencapai sebiji.

Dan entah apa-apa lagi komen dari rakan-rakan sejabatan yang hanya menambahkan sakit di hati gadis itu. Izma Huda menjeling tajam. Benci!

“Alamak! Kenapa ada benda keras kat dalam kek ni?” Tiba-tiba Ruby bersuara dengan mulut yang penuh. Dia menadah tangan, isi kek yang sudah dikunyah mahu dikeluarkan.

Riuh pula sekali lagi dengan gelagat menggelikan daripada Ruby. Izma Huda masih buat tidak kisah.

“Apa benda keras tu?”

Balqis merapati Ruby. Bahu Ruby dipegang. Walau orang lain geli dengan perlakuan Ruby, tetapi Balqis teruja mahu tahu.

Ruby tidak boleh bercakap. Sesuatu yang bukan makanan di dalam mulutnya harus dikeluarkan. Dia menarik sedikit demi sedikit. Benda keras yang dirasakan bukannya batu, tetapi rasa seperti kertas. Semua mata tertumpu ke arah Ruby sekarang. Suspens sungguh!

Seperti cebisan kertas yang keluar dari mulut Ruby. Agak panjang juga, hampir setengah sejengkal. Ruby melihat dan merenung dalam. Balqis di sebelah juga kusyuk memerhati.

“Aaa...” Serentak dua wanita itu menjerit nyaring. Mujur tidak tersembur keluar kek di dalam mulut Ruby. Kertas itu cepat-cepat diberi pada Izma Huda.

“Ei, apa ni?” Izma Huda kegelian. “Dah makan bagi orang pulak. Pengotor!” ujarnya geram.

“Kenapa?” Hampir serentak rakan-rakannya bertanya.

Izma Huda menolak kerusinya ke belakang. Rakan-rakan lain menyerbu mejanya. Dia sendiri malas hendak melihat. Mazlina mendekati dan melihat kertas yang di atas meja Izma Huda. Dia menilik dan membaca berhati-hati.

My Only Love Izma!

Sweetnya Nazhan ni. Kenapalah kau tak jatuh cinta kat aku Nazhan oi!” Balqis mula tersengih-sengih berangan.

Badan Izma Huda dipeluk erat sambil menutup mata. Lagak Balqis tidak ubah seperti sedang memeluk Nazhan. Izma Huda menolak keras. Seluruh aras bergema dengan ketawa. Wajah merah Izma Huda seperti bertukar biru. Malu!

“Kau ni Izma, kalau aku dapat lelaki macam ni, sekarang jugak aku berlari ke JPH tu. Aku ajak dia pergi rumah tok kadi malam ni jugak!” kata-kata Mazlina disambut hilaian tawa yang lain. Bilik itu semakin riuh dengan usikan dan gelak tawa.

Izma Huda memicit dahi. Makin sakit kepalanya dengan lelaki bernama Nazhan Nizar!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh aireen erina