Daftar   |      Log Masuk   |   Terlupa password
Home Novel Cinta Cinta Si Trouble Maker
Cinta Si Trouble Maker
Puteri
3/8/2018 22:14:35
2,424
Kategori: Novel
Genre: Cinta
BAB 12

Nurul menggeleng melihat Hafiz yang sibuk memusingkan buaian yang didudukinya seperti budak kecil. Dia menghembuskan nafasnya kasar. Dia melemparkan majalahnya di atas meja. 

“Inilah orang lelaki. Kau katakan tiap malam pergi meeting, rupanya ada simpan perempuan ya. Kalau dulu aku tak nak kahwin dengan kau, nak bunuh diri. Patutnya kau ditembak dengan senapang gajah.” Nurul meniru salah satu dialog filem P.Ramlee. Hafiz tergelak.

“Gelak-gelak. Orang cakap betul. Nanti jangan sampai berjalan senget sebelah.” Nurul mengingatkan. Muka Hafiz kembali muram. 

“Abang tak nak jadi anak derhaka.” Hafiz memberitahu. Nurul menghembuskan nafasnya kasar.

“Dah tak tahu nak cakap apa dekat abang long. Rasa nak tumbuk muka abang long ini pun ada. Apa kata abang long pergi beli susu, minum. Biar sel-sel d.h.a itu berhubung.” Balas Nurul sebelum berlalu pergi. Hafiz hanya membiarkan. 


Nabila memulas tombol pintu bilik Nurul dan terus melangkah masuk. Nurul mengangkat kepala dari terus melihat komputer ribanya. Dahinya berkerut. Ini dah apahal perempuan ini masuk bilik aku ini. Nabila tersenyum memandang Nurul sambil berjalan untuk duduk di katil Nurul. 

“Buat apa itu?” Soal Nabila berbasa-basi. 

“Assignment.” Tipu Nurul. Dia sedang bermain permainan di komputer ribanya. Nabila mengintai sedikit komputer riba Nurul. 

“Tipu. Main game.” Balas Nabila seraya ketawa kecil.  Nurul terus duduk dari baringnya. Dia mengalihkan komputer ribanya ke tepi. 

“Tak kisahlah. Nak apa?” Soal Nurul. Nabila menggeleng. 

“Saja. Nak kena-kenal. Tak boleh?” Soal Nabila lagi. Dia hanya bersikap selamba. 

“Keluar dari bilik ini.” Halau Nurul. Dia mencapai kembali komputer ribanya dan terus bermain permainan di komputernya kembali. Nabila menggeleng. Berdegil. 

“Keluarlah!” Marah Nurul. Nabila masih berdegil. Dia berdiri untuk melihat-lihat bilik Nurul. Dia membuka almari baju Nurul. Dia mencapai sehelai jubah Nurul. Di acu-acukan ke badannya. 

“Cantiklah jubah ini. Akak ambil boleh?” Soalnya selamba. Nurul menggeleng. 

“Letak balik dan tolong keluar dari bilik ini.” Arah Nurul. 

“Macam muat dengan badan akak. Akak ambil ya?” Nabila berura-ura mahu melangkah keluar dengan jubah tersebut sebelum Nurul yang sudah mulai bengang membaling komputer ribanya ke arah Nabila. Langkah Nabila terhenti. Dia terperanjat dengan tindakan Nurul. Habis berkecai komputer riba Nurul. Televisyen yang berada di biliknya jatuh. 

Hafiz yang sedang duduk di dapur menunggu makanan dihidangkan Kak Siti, tersentak dengan bunyi yang kuat dari bilik Nurul. Datin Aidah dan Nek Siti juga turut terkejut. Mereka semua terus berlari naik ke bilik Nurul. Mereka semua terperanjat dengan apa yang dilihat. Nabila sedang berdiri di dalam bilik dengan sehelai jubah Nurul dan muka Nurul yang merah tanda menahan marah. Turun naik dada Nurul menahan amuknya. Hafiz segera menarik Nabila untuk keluar dari bilik Nurul. 

Nek Siti cuba menenangkan Nurul. Dia memeluk Nurul dan mencium dahi Nurul untuk menenangkannya. Datin Aidah tidak berani hendak berbuat apa-apa. Dia tidak pernah melihat keadaan Nurul begitu. Dia segera melangkah keluar dan menghubungi suaminya. Nek Siti mengarahkan Kak Siti keluar sebaik sahaja dilihatnya pembantu rumahnya itu mahu mengemaskan barang-barang yang jatuh. Kak Siti mengangguk sebelum berlalu keluar. 

Dia menggosok-gosok dadanya. Berderau darahnya melihat keadaan itu. Nurul yang dilihatnya seorang yang amat berlemah-lembut. Apa yang dilihatnya tadi lain benar dengan Nurul yang selalu dilihatnya. Dia menghampiri Datin Aidah yang baru sahaja selesai menghubungi suaminya. 

“Saya dah telefon suami saya. Sekejap lagi dia sampai.” Beritahu Datin Aidah. Kak Siti mengangguk. 

“Puan tak telefon abang-abang dia?” Soal Kak Siti ingin tahu. 

“Saya dah suruh suami saya bagitahu.” Balas Datin Aidah. Kak Siti hanya mengangguk. 

“You buat apa dalam bilik dia?” Soal Hafiz ingin tahu. Nabila menunduk.

“Jawablah! You buat apa dalam bilik dia?” Soal Hafiz marah. 

“Sayang cuma nak kenal-kenal dengan dia. Tak akan itu pun salah.” Balas Nabila selamba. 

“Jubah itu pula?” Soal Hafiz lagi inginkan penjelasan. 

“Dia bagi dekat sayang. Sayang tak nak. Dia yang paksa.” Balas Nabila. Selamba sahaja dia berbohong. Hafiz tersenyum sinis. 

“Jangan nak tipulah. Itu jubah arwah mak dia tau. Tak ada siapa yang boleh ambil dan pakai jubah mak dia tanpa keizinan dia. Kalau betul dia yang suruh you ambil itu, tak akan dia mengamuk sampai macam itu sekali.” Balas Hafiz. Nabila hanya tertunduk. Tidak berani hendak bertentang mata. 


Zulkifli baru sahaja selesai berjumpa dengan Ezzah. Dia memberikan amaran kepada Ezzah supaya tidak berbuat begitu lagi. Ezzah hanya mengangguk. Dia malu dengan Zulkifli. Ini mesti si Nurul yang bagitahu, kalau tidak tak akan dia tahu. Aku ingatkan dia sukakan aku sebab dia layan aku baik sangat, rupanya tak. Tak apa, aku akan pastikan sir Zul akan jadi milik aku. Kalau aku tak dapat dia tak ada siapa boleh dapat dia. Itu sumpah Ezzah. 

Zulkifli meraup wajahnya sebaik sahaja duduk di kerusinya. Dia menghembuskan nafasnya kasar. Marahnya masih belum habis lagi. Suka-suka sahaja Ezzah mengeluarkan khabar angin begitu. Kalau diikutkan hatinya mahu sahaja ditengking gadis itu tetapi memikirkan suaranya mungkin didengar oleh orang, dia cuba menahan amarahnya. 

“Sir.” Panggil Azura. 

“Apa?” Jerit Zulkifli. Azura terperanjat. Pensyarah-pensyarah yang berada di situ juga turut terperanjat. Zulkifli mengendurkan suaranya apabila melihat Azura yang memanggilnya. 

“Sorry. Ada apa?” Soal Zulkifli. 

“Ini assignment Nurul. Dia emel dekat saya. Saya print dan hantarkan.” Balas Azura seraya menghulurkan laporan yang dibuat oleh Nurul. Zulkifli mengangguk sambil menyambut huluran Azura sebelum Azura melangkah keluar dari bilik itu. 

“Kau asal?” Soal Damien hairan. Zulkifli menggeleng. Damien menyambung kerja-kerjanya kembali. 


Hampir satu jam kemudian, tiga biji kereta memasuki perkarangan rumah. Datin Aidah segera berlari ke muka pintu untuk menyambut anak dan suaminya. Baru lega sedikit rasa hati Datin Aidah. 

“Apa ceritanya ini?” Soal Encik Yusof. Shahrul dan Asyraf juga turut menghampiri Datin Aidah untuk mengetahui apa sebenarnya yang berlaku sehingga Nurul mengamuk. 

“Nabila ambil baju arwah ibu. Itu yang dia mengamuk.” Balas Hafiz sambil berjalan menghampiri mereka semua. 

“Dia macam mana sekarang?” Soal Asyraf risau. 

“Ada dalam bilik dengan nenek. Dah tidur. Kak Siti tengah kemaskan bilik dia dekat atas itu.” Balas Hafiz lagi. 

“Nasihatkan sikit bakal isteri kamu itu. Silap-silap satu hari nanti, dia pula yang kena campak.” Pesan Dato Yusof sebelum berlalu pergi untuk melihat Nurul. Shahrul dan Asyraf mengikuti langkah Dato Yusof. Hafiz hanya mengangguk. 

Dato Yusof melangkah masuk ke dalam bilik Nurul. Dilihatnya Nek Siti sedang memeluk Nurul. Nek Siti hanya memberi isyarat yang Nurul sedang tidur. Dato Yusof mengangguk. Dia memberikan isyarat untuk bercakap dengan Nek Siti di luar. Shahrul dan Asyraf membantu Kak Siti mengemaskan barang-barang yang jatuh. 

“Laptop dengan TV, dua-dua rosak.” Beritahu Kak Siti perlahan. Shahrul dan Asyraf mengangguk faham. 

“Macam mana perempuan itu boleh masuk dalam bilik Nurul?” Soal Shahrul ingin tahu kepada Kak Siti. Kak Siti hanya mengangkat bahu tanda tidak tahu. 

“Kak Siti pun tak tahu. Masa itu, kak Siti tengah sediakan makanan untuk abang long kamu. Kak Siti ingatkan perempuan itu tengah berborak dengan mama dan nenek kamu. Kak Siti dengar bunyi benda jatuh kuat, terus kita orang semua naik atas. Hilang semangat kak Siti masa itu rasanya. Tengok perempuan itu tengah berdiri dalam bilik, pegang baju arwah ibu kamu. TV dengan laptop dah dekat bawah sini. Muka Nurul merah padam masa itu. Mama kamu pun tak berani dekat dengan dia takut. Yalah, kami tak pernah tengok dia macam itu.” Jelas Kak Siti panjang lebar. Shahrul dan Asyraf hanya mengangguk mendengar penjelasan kak Siti. 

“Mana perempuan itu sekarang?” Soal Asyraf. 

“Abang long kamu hantar dia balik naik teksi. Mengamuk perempuan itu masa abang long kamu suruh dia balik naik teksi tadi. Lepas Nurul mengamuk tadi itu, dia orang bergaduh. Yang kak Siti dengar, perempuan itu cakap Nurul yang bagi baju itu dekat dia. Dia tak nak. Nurul yang paksa. Abang long kamu kata, kalau dia yang suruh ambil jubah itu, tak akan dia mengamuk sampai macam itu sekali. Mengamuk besar abang long kamu tadi.” Jelas Kak Siti lagi. Shahrul dan Asyraf hanya mengangguk faham. 

“Lepas ini, kalau perempuan itu ada dekat sini, pastikan dia tak masuk bilik sesiapa pun dekat rumah ini kalau tak ada orang teman. Kalau perlu seret dia, kak Siti seret aja dia.” Pesan Shahrul. Kak Siti mengangguk faham.


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.