Home Novel Cinta Jane & Cassandra (Sudah Terbit)
Jane & Cassandra (Sudah Terbit)
Meja Editor
10/1/2025 09:17:59
2,315
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 5

KERJA pembersihan rumah seorang hoarder atau pengumpul kronik terdiri daripada enam langkah mudah. Ya, langkahnya mudah dari segi teori, tetapi bukan dari segi perlaksanaan. Perkara pertama yang harus dilakukan adalah menilai kawasan dan mencipta strategi untuk mengatur, mengemas dan membersih sesebuah kawasan itu. Leila paling suka langkah pertama kerana ia tidak ubah seperti merangka taktik peperangan. Di mana dia harus berlindung, di mana dia harus menyerang dan di mana dia harus "menggali" laluan agar memudahkan proses pembersihan.

Langkah kedua adalah memastikan diri sendiri dilindungi daripada sebarang bahaya seperti kaca pecah, bahan mudah terbakar, haiwan berbahaya yang mungkin bersarang di mana-mana serta serangga yang mungkin menggigit atau menyengat. Leila tidak pernah memasuki mana-mana kawasan yang dipenuhi sampah sarap dan bahan terbuang tanpa memakai kelengkapan pelindung diri. Tidak kiralah jika dia harus berenang dalam peluhnya. Lebih baik berenang dalam peluh daripada berenang dalam virus, kuman dan bakteria!

Langkah ketiga pula memastikan semua peralatan lengkap. Ini termasuk alat mencuci, alatan tangan dan alat untuk meletakkan bahan buangan. Dia pernah membuat kesilapan amatur di mana dia berbaik sangka apabila pihak pemilik kata mereka ada menyediakan plastik dan tong sampah, tetapi akhirnya mendapati plastik dan tong sampah itu sendiri terbenam di bawah  timbunan sampah sarap yang dikumpul. Sejak itu, Leila memastikan dirinya sentiasa membawa semua barang keperluan di dalam beg sandar hitam pemberian rakan sekerjanya, Abang Jo. Hadiah itu sempena hari jadinya dua tahun lalu. Niat Abang Jo adalah supaya Leila menyertai geng pendakiannya. Tetapi akhirnya, beg yang boleh memuatkan khemah dan beg tidur itu hanya digunakan untuk membawa segala jenis peralatan mencuci.

Langkah keempat, mencipta dan mengatur akses untuk memudahkan kerja pemindahan. Biasanya Leila akan mulakan dengan mengosongkan ruang laluan. Kemudian membersihkan ruang dari tingkat atas ke bawah. Seterusnya ruang belakang ke depan dan akhir sekali bilik kecil ke bilik besar. Ini untuk memastikan dia tidak membuat kesilapan yang sama seperti sebelum ini, di mana dia "berjaya" mengotorkan semula ruang tamu yang sudah pun dibersihkan kerana harus melalui kawasan yang sama setiap kali dia keluar membuang sampah.

Langkah kelima, menyimpan barang yang masih boleh diselamatkan. Dalam situasi ini, dia tidak menggunakan nasihat Marie Kondo untuk menyimpan barang yang "mencetus kegembiraan". Kalau ditanya seorang pengumpul apa barang yang spark joy, ada kemungkinan kerja pembersihan tidak selesai sampai kiamat. Ia bukan sesuatu yang boleh diselesaikan dengan satu cara. Apa yang Leila lakukan adalah menilai sendiri menggunakan kaedah 2B. Adakah ia bernilai? Atau buangan?

Langkah yang terakhir adalah melakukan pembersihan secara menyeluruh. Ini bahagian yang paling digemarinya. Tiada apa yang lebih memuaskan hatinya selain melihat permukaan yang kotor dan berminyak kembali bersih dan licin serta hiasan yang berdebu kembali berkilat dan wajah yang muram kembali ceria.

Rumah Che Non merupakan rumah teres yang mempunyai tiga buah bilik tidur dengan dua buah bilik air di tingkat atas dan sebuah lagi bilik di tingkat bawah berserta tandas. Dapurnya sudah diubah suai dengan penambahan dapur basah di bahagian belakang rumah yang boleh diakses melalui dapur kering yang merupakan binaan asal dapur rumah itu. Ada ruang makan yang membawa ke ruang tamu yang boleh diakses dari luar melalui cermin gelangsar.

Hari pertama kerja pembersihan dihabiskan di tingkat atas yang jauh lebih mudah dikemas memandangkan Che Non sendiri tidak berdaya untuk kerap mendaki tangga. Kerja yang  disangka akan mengambil masa seharian selesai menjelang waktu asar tanpa Leila dibantu oleh sesiapa. Hanya dia dan koleksi muzik hit, The Beatles di telinganya.

The Beatles adalah kugiran kegemaran arwah abi yang sering dimainkan di bilik kerjanya ketika mereka masih kecil. Memori Leila sendiri tentang abi dan The Beatles agak kabur berbanding Jannah yang sering bercerita tentang bapa mereka. Setiap kali dia cuba ingat, apa yang ada dalam mindanya hanyalah imej seorang lelaki yang duduk membaiki barang yang rosak sambil ditemani lagu-lagu rancak dendangan suara Paul McCartney dan John Lennon.

Sama seperti yang didengarnya sekarang sambil membersihkan sebuah almari buku di bilik ketiga. Dia menggunakan bahan cucian serba guna buatannya sendiri yang terdiri daripada 70 peratus alkohol isopropil dan lima ke enam titisan sabun basuh pinggan Dawn untuk membunuh bakteria dan kuman. Satu campuran bahan yang diajarkan kepadanya ketika dia berusia sepuluh tahun dan tinggal bersama keluarga gila yang tidak ingin diingatinya.

She loves you and you know it can't be bad
She loves you, and you know you should be glad

Tatkala dia menyental permukaan almari yang sebelum ini dipenuhi dengan bahan bacaan yang sudah berhabuk, dia cuba menyental sekali semua ingatan tentang perbualannya dengan Asmawi di gerai makan sebelum ini. Perbualan yang berakhir dengan tiba-tiba apabila Asmawi memilih untuk beredar dari situ. 

"Tak ada perempuan dalam dunia ni yang tak nak berkahwin, Lei. Abang tak percaya."

Leila menyembur lagi campuran bahan cucian itu. Kali ini di bahagian tepi almari yang masih mempunyai beberapa kesan torehan di sudutnya. Mungkin suatu masa dahulu, almari itu digunakan oleh Che Non untuk mengukur ketinggian anak tunggalnya dan perubahan ketinggian itu diabadikan dengan kesan torehan. Namun kini, insan yang diukur ketinggiannya itu sudah tiada lagi. Yang tinggal hanya kesan itu. Sama seperti memorinya bersama Asmawi suatu masa lalu. Ia juga tidak ubah seperti torehan pisau yang semakin pudar.

"Abang takkan berputus asa, Lei. Abang akan balik ke Scotland hujung minggu ni untuk selesaikan proses pemindahan. Once abang balik ke Malaysia semula, abang berniat untuk ubah fikiran Lei." 

Hati dan perasaan seorang wanita ini sangat aneh. Dia tahu apa yang dia mahu dan tidak mahu, tetapi pada masa yang sama, dia juga rasa takut sekiranya dia membuat keputusan yang salah. Tidak kisahlah jika dia sudah bertekad sekalipun. 

Lebih mudah untuk membuat keputusan apabila anda tidak diberikan sebarang pilihan atau peluang. Namun, sebaik sahaja peluang itu tiba-tiba disogok dan disua di depan anda seperti sepinggan nasi goreng panas buat insan yang sedang berpuasa sunat, tiba-tiba rasa goyah dan tidak pasti itu muncul.

Inilah masalahnya menjadi wanita!

Leila tahu apa yang dia mahu. Dia mahu bersendirian hingga ke akhir hayat. Dia mahu menemani Jannah dan menjadi dua beradik yang saling menemani dan menyokong antara satu sama lain hingga mereka menghembuskan nafas terakhir. Mungkin ia satu perjanjian berat sebelah kerana si kakak tidak pernah tahu pun wujudnya perjanjian tidak bertulis itu, tetapi Leila sudah bertekad.

Dia sudah membuat keputusan itu sebaik sahaja Jannah diisytiharkan bebas kanser. Mereka pernah terpisah seketika di awal usia. Dia juga pernah hampir kehilangan kakaknya itu pada saat dia baru menginjak usia dewasa. Itu sudah cukup untuk membuatkan Leila takut mahu menghadapi kehilangan sekali lagi. Takut untuk meninggalkan Jannah sendirian. 

Tatkala dia beralih ke almari pakaian yang sudah pun dikemaskan, Leila teringat perbualannya dengan Nik pada malam selepas pertemuannya dengan Asmawi. 

"Helo?"

Suara Nik serak basah tanda lelaki itu baru bangun tidur. Mungkin Nik tertidur lagi di sofa ruang tamu rumahnya. Itu perkara biasa. Lelaki yang sudah tiada komitmen memang begitu gayanya.

"Nik, masa kau bercerai dengan bini kau dulu, ada tak kau macam ...."

"Wah, soalan peribadi muncul tiba-tiba. Tak ada mukadimah, tak ada salam. Macam ni ke etika kewartawanan?" Nik tertawa.

"Oh, sorry."

"Tak apa. Apa soalan kau?"

"Masa kau dengan Diana bercerai, berapa lama masa kau ambil untuk move on?"

"Maksud kau berapa lama masa aku ambil sebelum aku ajak kau kahwin dengan aku?" Nik tergelak lagi. Dia sendiri rasa lucu memikirkan bagaimana dia pernah mengajak Leila berkahwin sebanyak lima kali. 

"Ya."

 "Kalau tolak bahagian yang aku ajak kau kahwin dua jam selepas kes cerai aku selesai tu ...." Nik membuat kiraan dalam hati.

"Tiga tahun setengah."

"Kan? That is ample time to move on from a divorce, right? Bukannya selepas beberapa bulan."

Soalan itu lebih bersifat retorik berbanding soalan yang memerlukan jawapan.

"Kenapa kau tanya soalan macam ni?" soal Nik. 

Leila terus menceritakan apa yang berlaku. Lebih mudah untuk dia meluahkannya kepada Nik berbanding Jannah sendiri. Nik ada pemikiran yang ringkas. Nik tidak akan duduk merisaukannya seperti mana Jannah akan lakukan. Lagipun, dia lebih rela menyusahkan Nik dan membuat lelaki itu risau berbanding membiarkan kakaknya yang kegusaran. Si kakak yang sudah banyak berkorban buat dirinya.

"Kau cakap tak dengan dia yang kau tak nak kahwin?" 

"Dah. Tapi dia kata keputusan aku tu tak masuk akal," balas Leila seraya mengeluh.

"Well ...."

"Apa? Kau bersetuju dengan dia?"

"Kalau aku cakap nanti kau marah."

"Kau cakap apa-apa pun, aku akan marah, Nik. That's the dynamic."

Nik ketawa lagi. Ya. Itu hubungan mereka. Nik yang tidak pernah serius tentang apa-apa akan sering kali mengatakan sesuatu yang buat Leila marah. Leila akan marah dan Nik akan ketawa besar. Leila yang terlalu banyak berfikir pula akan mengatakan sesuatu yang buat Nik juga berfikir. Apabila Nik berteleku memikirkan apa yang dikatakan, Leila akan mengetawakan Nik kerana mudah terpengaruh dengan apa yang dia katakan. Begitulah dinamik mereka setiap hari. Mungkin kerana itu mereka boleh bersahabat baik.

"Kau bukan perempuan yang dah tua, Lei. Kau banyak masa lagi. Mungkin dalam lima ke enam tahun lagi, kau akan berubah fikiran. Macam mana kalau masa tu tiba-tiba kau tersedar yang kau sebenarnya ... apa ayat klise tu? Ingin disayangi dan menyayangi?"

"There is no such thing. Love is fleeting. Friendship remains. Tengok kau sendiri. Berapa lama k kau dengan Diana bertahan? Kau orang asyik bergaduh sepanjang perkahwinan. Tapi bila kau  orang berpisah dan kekal jadi kawan, hubungan kau orang tu jadi lebih baik, kan?" 

"Betul juga. Tapi itu cara yang sangat mudah dan cetek untuk memahami maksud love and friendship, dol. Marriage is hard work. Love is hard work."

"Kalau susah, kenapa kau nak suruh aku ubah pendirian aku?" 

"Aku tak suruh kau ubah pun, Lei. Aku tak suruh pun kau kahwin dengan si Asmawi tu dan berlari ke arah mentari senja sambil pegang bunga macam semua gambar wedding kat Instagram. Aku cuma nak kata, ideas can change. Perception can change. Mungkin dengan orang lain, bukan dengan mamat tu yang ajak kau kahwin lepas beberapa bulan bercerai dengan isteri dia. Atau mungkin bukan dengan aku, si duda anak dua yang kacak bergaya dan dah betul-betul moved on daripada perceraian."

Laju Leila menjulingkan mata ke atas.

"Tapi, kau tak boleh berdegil dengan satu keputusan. Kau tak boleh padlock yourself to that decision dan telan kuncinya," sambung lelaki itu.

Tidak. Perbualannya dengan Nik juga tidak memudahkan lagi keadaan.

Usai mengemas tiga buah bilik yang berada di tingkat atas, Leila mengangkut saki-baki sampah yang masih tinggal menuruni tangga. Melepasi ruang tamu yang masih dipenuhi timbunan barang dan terus keluar dari kawasan rumah.

Hala tujunya adalah tong roro yang dihantar oleh pihak majlis bandar raya sehari sebelum kerja pembersihan dilakukan. Tong roro yang diletakkan di hadapan rumah Che Non kini sudah menjadi tong rasmi untuk semua penduduk terdekat membuang barang mereka sendiri. 

Tipikal.

Leila sempat memerhati rumah salah seorang jiran Che Non yang terletak di arah bertentangan usai dia mencampakkan plastik sampah hitam terakhir ke dalam tong itu. Rumah itu menarik perhatiannya kerana satu-satunya rumah yang dipenuhi oleh pokok bunga ros. Dari luar sehingga ke dalam. Tidak ubah seperti taman nurseri. 

Entah kenapa mengingatkan dia tentang babak di hujung filem animasi Disney "Sleeping Beauty" di mana sang putera harus melepasi istana yang dipenuhi tumbuhan berduri untuk sampai ke bilik Aurora. 

Mujur ia dijaga dengan baik. Kalau tidak, mahu koyak rabak baju para tetamu yang datang melawat. Mungkin pemiliknya juga seorang pengumpul!

"Banyak sangat, kan?" Suara seorang wanita menegur dari belakang.

Leila terkejut seraya menoleh ke belakang. Seorang wanita hamil sedang tersenyum sambil bersilang tangan. Wanita itu muncul dari arah sebuah kereta yang diletakkan agak jauh dari kedua-dua buah rumah. Apabila dilihat Leila terpisat-pisat memandangnya, wanita itu memuncungkan bibir ke arah rumah yang dipenuhi pokok bunga itu. Memaksudkan rumah yang diperhatikan Leila dari tadi.

"Boleh tahanlah. Tapi kalau terjaga elok, tak ada masalah. Cuma risau banyak nyamuklah kalau pokok banyak sangat macam tu," komen Leila. 

Wanita itu mengangguk setuju. "Betul. Puas dah kita cuba slow talk, tak mahunya dia dengar cakap kita."

"Siapa?" soal Leila tidak faham.

"Mak saya. Itu rumah dia."

"Oh. Sorry. Saya tak tahu." Leila tersengih segan.

Wanita itu menggeleng. Senyuman masih terukir di bibirnya.

"Tak apa. Awak ni tukang cuci yang Kak Yah panggil untuk tolong Che Non, kan? Yang specialise untuk ...." 

Wanita itu tidak menghabiskan ayatnya. Sekadar mengangkat kening. Mungkin rasa tidak selesa atau kurang hormat untuk menggunakan perkataan itu bagi menggambarkan wanita tua itu.

"Ya. Sayalah tukang cuci tu." Leila tersenyum.

"I see. Kak Yah ada cakap dengan saya pasal masalah Che Non ni. Mama pun ada sebut-sebut juga. Yalah. Risaulah juga, kan? Takut esok lusa jadi apa-apa dekat dia kalau rumahnya macam tu." 

"Betul." Leila mengangguk.

Pandangan wanita itu kembali beralih pada rumah ibunya tadi.

"Tapi agak-agak, kalau rumah banyak pokok bunga macam tu, dikira sejenis masalah yang sama ke?" 

Leila tergelak. "Bahagian dalam rumah okey tak?"

"Bahagian dalam okey aje. Kemas. Pokok bunga ni ajelah yang bertimbun-timbun."

Leila terangguk-angguk. "Kalau benda yang dikumpul tu tak memudaratkan kesihatan sendiri atau orang lain, cuma berlebihan, ini dikira obsession yang normal saja. Tak sampai tahap hoarder."

"I see."

Leila segera menanggalkan sarung tangannya lalu menyeluk poket seluar. Mencari sesuatu yang terperosok ke dalam. Sesaat kemudian, dia mengeluarkan kad perniagaannya.

"Kalau ada kenal sesiapa yang perlukan bantuan, ini nombor saya." 

Kad itu bertukar tangan.

"Mama!" Suara seorang kanak-kanak muncul dari arah rumah yang dipenuhi pokok bunga itu.

"Ya?" jawab wanita itu.

"Cepatlah! Babah kata tak boleh makan kalau mama tak masuk rumah lagi!"

"Okey, Affan. Sekejap. Sekejap."

Wanita itu kembali memberi perhatian kepada Leila.

"Sorry. Anak kita dah bising. Thanks for this." Dia menggawangkan kad itu sebelum memasukkannya ke dalam beg tangan.

"Sama-sama. Saya Nur Leila, by the way. Panggil Leila."

"Sameera. Panggil saja Samee."

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.