Daftar   |      Log Masuk   |   Terlupa password
Home Novel Cinta Sesuci Cinta Dalili
Sesuci Cinta Dalili
Cik Qieya
7/7/2018 15:55:49
800
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
Bab 1

“Macam mana, Ummar dah buat keputusan?”

Baru sahaja mahu suap roti bakar ke mulut, mama dah utarakan soalan mengenai perbincangan mereka dua hari lalu. Jujur, dia tak sempat nak fikir apa-apa lagi. Kesibukan dengan tuntutan kerja menyebabkan dia terlupa dengan permintaan Datin Kuzaifa.

“Belum, Ummar tak sempat nak fikir apa-apa lagi.”

“Habis tu bila lagi nak fikir?” Jelas riak kecewa.

Roti bakar yang belum sempat digigit, diletak semula ke dalam piring. Air susu diteguk, membasahkan tekak yang terasa kering.

“Kalau Ummar tolak?”

Hampir terlepas pisau pemotong roti yang dipegang Datin Kuzaifa. Wajah Ummar dipandang geram. Api marah dah mula hidup di dalam matanya.

“Macam tu aje Ummar tolak? Ummar ingat apa, ni tentang hidup Ummar tau?”

“Kalau mama dah tentukan keputusan untuk Ummar, buat apa lagi mama minta Ummar fikir?” 

Sungguh, Ummar masih tak faham kenapa mama beria-ia nak mengatur jodoh untuk dia? Alasan usia semakin meningkat bukan lagi faktor utama di zaman sekarang ini. Masih ramai yang seusia dia belum bertemu jodoh. Tak ada apa yang perlu disegerakan.

“Jadi Ummar setuju?” Ada sinar harapan pada riak Datin Kuzaifa. Harap sangat Ummar tak menolak permintaan dia.

“Tak boleh ke mama bagi Ummar kenal-kenal dulu dengan dia? Ummar nak tahu  juga sama ada calon isteri Ummar tu dah betul-betul bersedia nak pikul tanggungjawab.”

Bagi Ummar perkahwinan bukan satu percaturan. Sebaliknya sebuah ikatan bertunjangkan agama sebagai pegangan. Tentu sahaja dia mahu pimpin perkahwinannya sehingga ke syurga. 

Bukan untuk berkahwin setahun dua, selepas itu bercerai-berai. Lagi-lagi kalau masing-masing belum bersedia sepenuhnya.

“Kalau pasal tu Ummar jangan risau, kalau calon tu tak bersedia tak adalah semua ni berlaku.”

Ummar gigit bibir. Bagaimana dia mahu menerangkan kepada mama bahawa dia masih belum bersedia? Boleh ke mama faham perasaan dia? 

Dia bukannya mahu menolak jodoh ini, tapi biarlah kena caranya. Ini tidak, macam tergesa-gesa pula. Apa yang dikejarkan? Dia terfikir juga adakah calon isterinya itu masih belajar sehingga tidak punya waktu yang banyak kerana tuntutan pembelajaran. 

Entahlah. Otaknya masih tak dapat fikir dengan betul. Sesak rasanya.

“Tak ada ke gambar dia untuk Ummar kenal? Atau pun phone number ke? Senang Ummar nak berhubung dengan dia nanti.” 

Ummar tidak puas hati selagi dia tidak mendapat gambaran sebenar tentang calon pilihan mama itu. Dia risau andai selera mama tidak kena dengan citarasanya. 

Dari cara Datin Kuzaifa itu, sudah pastilah mahu cari calon menantu yang kena dengan statusnya. Tak mungkin mama memilih calon sembarangan.

Ada besar kemungkinan juga calon isterinya itu anak kepada rakan baik mama sendiri. Yalah, takkan mama nak jodohkan dia dengan orang tak dikenali pula.

Namun dia langsung tidak dapat sebarang klu mengenai calon yang diperkatakan. Siapa orangnya? Jika anak kepada rakan-rakan mama, siapa sahaja yang dia kenal? 

Wanda? Anak kepada Datin Habibah dan Datuk Zainal itu sudah bertunang hampir setahun lalu. Kata mama, bulan lepas Datin Habibah sudah menyerahkan kad jemputan supaya menghadiri majlis anak mereka dua minggu lagi. Jadi Wanda bukanlah calon itu.

Eifa atau nama penuhnya Syarifah Hasnah itukah? Wanita berambut blonde yang sangat sensitif tentang nama sebenarnya sendiri itu? Dia tak rasa Eifa pilihan mama. 

Seperti mana sensitifnya Eifa terhadap nama sendiri, begitu jugalah dalam bab memilih pasangan. Dia juga pernah dengar Eifa takkan pilih lelaki Melayu sebagai suami, jadi nama Eifa perlu dicantas dari senarai.

Mel, anak kepada Puan Sri Marina dan Tan Sri Habib itu? Tak mungkin. Mel tidak pernah anggap dia lebih dari seorang abang. Setahunya Mel sudah punya kekasih. 

Dia sendiri diberitahu oleh Mel mengenai hal itu semasa mereka terserempak di Pavilion beberapa bulan lalu. Ada seorang pemuda bersama Mel ketika itu. Jadi Mel juga bukan orangnya.

Ah! Nak pecah kepala dia.

“Ada. Mama dah dapat dari ayah dia sendiri semalam. Ummar tunggu kejap.” Datin Kuzaifa bangun dan menapak laju meninggalkan ruang makan menuju ke tingkat atas.

Lima minit kemudian Datin Kuzaifa kembali bersama sekeping gambar di tangan. Diserahkan kepada anaknya.

Ummar mengambil gambar yang diberikan oleh mama dengan perasaan berdebar-debar. Terpejam matanya beberapa saat, mengumpul semangat sebelum melihat calon yang dimaksudkan oleh mama.

Ketika wajah perempuan yang dimaksudkan menyentuh kanta mata, dada yang tadi berombak tenang dirasakan bagai dihempas ombak. Ternganga mulutnya. Matanya membulat. Terkejut.

Betul ke ini calon yang mama maksudkan? 

Penampilan gadis di dalam gambar tersebut diperhatikan. Berbaju kurung dengan rambut diikat ekor kuda. Tak ada sebarang solekan yang bertempel pada wajah berkenaan. Orangnya nampak biasa sahaja. 

“Mungkin dia tak setaraf kita, tapi mama rasa dia yang paling sesuai sekali. Ummar kan pernah cakap nak cari isteri yang hidupnya biasa-biasa aje,” sambung Datin Kuzaifa bila Ummar masih membelek-belek gambar di tangan.

“Mama kenal dia?” Tak puas hati, ditilik pula wajah gadis di dalam gambar. 

“Nak kata kenal rapat tu tidaklah, tapi ayah dia dulu pernah kerja dengan papa.” Datin Kuzaifa sembunyi resah. Ada cerita yang terpaksa dirahsiakan.

Sah! Ummar tak salah melihat. Kalau tadi wajahnya serius, sekarang ada senyuman yang menghiasi seulas bibir itu. Sungguh Ummar terharu, doa dia didengari selama ini.

“Ummar setuju.” Tak fikir panjang, keputusan terus dibuat.

Datin Kuzaifa tergamam. Betul ke apa yang dia dengar ni? Bukan satu mimpi? Atau dia sebenarnya sedang mengigau?

“Ummar setuju?”

Ummar mengangguk tanda mengiakan pertanyaan mama. Dia yakin ada sesuatu yang Allah aturkan untuk dia. 

“Ummar nak naik atas jumpa dengan papa sekejap.”

“Pergilah.” 

Ummar bangun dan berlalu ke tingkat atas. Datin Kuzaifa menghantar langkah anaknya dengan senyuman yang cukup lebar. Lega kerana pujukannya berjaya.

Hanya tinggal selangkah lagi. Ya, selangkah lagi sebelum dia masuk ke dalam rancangan seterusnya. Ummar bersetuju pun dia dah cukup senang hati.

Matanya dibawa ke tingkat atas. Pandangannya tersirat dengan seribu makna.



Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.