Daftar   |      Log Masuk   |   Lupa Kata Laluan
Home Novel Cinta Cinta Made In Switzerland (Cinta Semanis Carrot Cake)
Cinta Made In Switzerland (Cinta Semanis Carrot Cake)
22/6/2013 20:13:03
33,227
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
Bab 3
Bab 3

“PANASNYA cuaca di sini,” ujar Malique sambil menyapu rambutnya yang keriting halus. Terasa manik-manik peluh membuat kepalanya sedikit basah. Mereka bertiga baru keluar dari kereta dan sedang berjalan di bawah matahari yang panas menghala ke restoran di seberang jalan.

“Memang cuaca panas ni agak luarbiasa. Sudah sebulan KL tak hujan,” beritahu Firdaus untuk memanjang perbualan antara mereka.

Restoran itu penuh kala mereka mencari tempat duduk yang sesuai. Bagi memenuhi keinginan agar masing-masing terasa nyaman, Firdaus memilih ruang makan yang berhawa dingin, di tingkat atas restoran. Setelah pelayan datang mengambil pesanan, Malique mengeluarkan sebuah fail dari dalam briefcase yang dibawanya.

Sekeping foto dihulur kepada Irina.

“Kenal orang dalam gambar ni?” soal Malique.

Irina memerhati gambar yang baru dihulurkan kepadanya. Dia mengangguk. Gambar itu juga dimilikinya, satu-satu gambar yang dia ada. Gambar kenangan yang mengingatkannya pada wajah ayah, emak dan dirinya yang ketika itu berusia tujuh tahun.

“Ni gambar saya, emak dan ayah,” jawab Irina sambil tersenyum.

Spontan gambar itu dihulurnya pula pada Firdaus. Lelaki itu tersenyum menatap gambar Irina. Sudah mengenakan tudung biarpun masih terlalu muda dan mentah.

Cute,” puji Firdaus.

Irina tersenyum manis. Matanya menatap sejenak ke wajah Firdaus. Ada rasa senang di hati kala senyumannya dibalas lelaki itu dengan lembut.

“Dan gambar ni,” kata Malique pula sambil mengunjuk sekeping lagi gambar bersaiz 5R.

Irina memandang wajah yang terpamer di penatapannya. Raut wajah lelaki itu tampak berubah, hampir-hampir tidak dapat dikenal. Wajah seorang lelaki yang telah mencecah setengah abad. Rambutnya masih hitam, diselangi sedikit uban di atas telinga. Kulit yang putih kemerahan, hidung mancung dan bibir yang tersenyum ceria. Kumisnya tebal dan dia memiliki dagu yang terbelah. Pun wajah itu masih kacak. Sisa ketampanan di zaman muda. Dan wajah itu kelihatan segak dan bergaya, lambang orang berharta dan berduit. Ceria dan bahagia. Itulah gambaran wajah terbaru ayahnya.

“Ni gambar ayah saya?” tanya Irina bagaikan ragu-ragu sendiri sambil menggaru kepala.

“Ya, ni lah ayah kamu. Abu Bakar Alias atau pun di sana dia dikenali sebagai Thomas Burns.”

“Thomas Burns?” Dahi Irina berkerut.

“Ya, dia tukar nama,” kata Malique sambi tersenyum melihat wajah Irina yang kelihatan kebingungan.

“Di mana dia sekarang?” tanya Irina seperti tidak sabar.

“Di Zurich, Switzerland. Saya datang untuk menjemput Cik Irina. Ayah Cik nak jumpa,” jawab Malique.

“Kenapa baru sekarang? Kenapa dia tak datang sendiri cari saya di sini?” soal Irina bertalu-talu.

Dalam hati mulai dihujani dengan pelbagai persoalan-persoalan lain. Bolehkah segala kata-kata Malique dipercayai? Benarkah ayahnya berada di Zurich? Kenapa begitu jauh ayahnya pergi? Dan kenapa begitu lama baru ada khabar berita tentang dirinya. Irina terasa jauh hati, marah dan geram. Kemudian semua itu ditindih pula rasa ingin tahu, ingin bertemu ingin melepaskan segala rindu di hati. Segala perasaan datang dan pergi. Rasa sayang dan benci. Rasa rindu dan takut ditinggalkan.

“Percayalah! Keadaan tidak mengizinkan dia balik ke Malaysia. Kalau ikutkan hati, dia mahu balik ke negaranya sendiri. Tapi  tu lah, banyak masalah yang mungkin akan timbul,” terang Malique satu persatu.

“Kenapa? Dia sakit?”

Malique menggeleng.

“Susah untuk menerangkan semuanya pada Cik Irina,” katanya sambil memandang Firdaus sejenak, kemudian menyambung; “Terlalu rumit. Biarkan ayah cik sendiri yang bercerita. Saya tak pandai bercerita,” katanya sambil tertawa kecil seolah-olah ingin menutup kelemahan dirinya.

“Saya hanya menyampaikan pesanan dari dia. Tu saja.”

“Apa hubungan encik dengan ayah Irina?” soal Firdaus.

Rasa curiga sudah lama menghambat diri. Dia tidak senang mendengar berita yang baru didengarinya tentang Abu Bakar, bapa Irina.

“Saya kawan baik dia. Kami kenal di Malaysia, semasa saya dan dia masih muda. Sekarang saya juga adalah pekerjanya. Dia memiliki syarikat yang besar,” cerita Malique.

Dia mengeluarkan sekeping gambar lagi. Gambar dia dan bapa Irina kelihatan sedang makan dengan santai sambil bergelak ketawa. Irina memerhati gambar itu. Jelas menunjukkan bahawa bapanya sangat bahagia.

“Saya dah bekerja dengan dia hampir 15 tahun,” beritahu Malique.

“Hampir sama dengan masa dia meninggalkan saya dan emak,” kata Irina hampir-hampir teresak.

“Maafkan saya. Saya tahu segala kepedihan yang kamu berdua hadapi,” balas Malique.

“Encik tahu? Alangkah ironinya,” jawab Irina sedikit sinis.

“Ayah bahagia dan mewah di sana sedangkan kami hidup miskin dan derita,” balasnya lagi.

“Dia mahu tebus kesilapan lalu, Cik Irina. Cik ikutlah saya ke sana. Tiket penerbangan pun dah ditempah. Minggu depan saya akan kembali ke Zurich.”

Malique merenung wajah Irina dalam-dalam. Irina menundukkan wajahnya. Dia tidak tahu samada dia akan pergi mengikut Malique atau pun sebaliknya. Dia benar-benar buntu. Tengahari itu seleranya benar-benar hilang. Dia tidak dapat menikmati hidangan enak yang terhidang dengan sepenuhnya.

Sebelum berpisah dengan Malique, lelaki itu memberikan dia nombor telefon. Dia meminta Irina menghubunginya secepat mungkin. Namun Irina belum membuat keputusan pasti.

Tiba di pejabat, Firdaus mengurungnya di dalam bilik kerja lelaki itu. Sejak tadi, Firdaus berjalan mundar mandir sambil mengeluh panjang. Firdaus yang terlebih gelisah jika dibandingkan dengan Irina. Dia takut dan bimbang Irina akan pergi mengikut Malique menemui bapanya yang sudah 15 tahun tidak ditemui.

“Macam mana kalau si Malique tu penipu? Dia nak culik awak, Irina!”

“Nak culik saya? Buat apa?”

“Saya dapat rasa dia ada simpan niat buruk. Cara dia pandang awak, cara dia bercakap, semuanya penuh muslihat,” kata Firdaus.

“Tapi dia punya maklumat yang tepat tentang diri saya, Encik Firdaus. Dia dah buktikan yang dia kenal dengan ayah saya. Dia tahu ayah saya kat mana. Dia bawa pesanan dari ayah.”

“Tapi kenapa ayah awak tak contact awak sendiri? Dia boleh je contact awak guna skyppe ke? Fb ke? Kenapa dia mesti hantar orang untuk jemput awak kat sini? Kalau betul dia tu bawa pesanan dari ayah awak, at least awak minta bercakap dengan ayah awak sendiri, untuk mengesahkan berita ni.”

“Saya rasa lelaki ni tak boleh dipercayai. Entah-entah dia dari sindiket mencari perempuan untuk dijadikan pelacur? Lebih baik awak hati-hati, jangan mudah percaya pada orang asing. Jangan percaya kat dia Irina. Tolong jangan percaya walaupun satu ayat dari mulut dia.” nasihat Firdaus.

“Saya tak rasa dia bohong, Encik Firdaus.”

“Jadi, awak akan ikut dia pergi Zurich? Kalau awak pergi, memang awak dah gila! Awak bahayakan diri awak sendiri. Awak sengaja cari nahas.”

Irina terdiam. Dia tidak tahu. Dia buntu. Irina bangun lalu menuju ke pintu. Lebih baik dia mengadu dan bertanya keputusan dari Allah. Jika ini ketentuan dari Tuhan, dia akan ikut. Dia akan pergi dengan izin Allah.

“I nak solat lepas tu sambung buat kerja,” katanya tetapi Firdaus pantas menuju ke pintu dan menghalang Irina keluar dari bilik kerjanya. Blind di dinding cermin sudah lama diturunkannya kerana dia tahu ada mata-mata liar di luar sana yang memerhati aksi mereka berdua. Mereka ingin tahu apa yang berlaku.

Sudah pasti mereka syak, kerana sejak pulang dari lunch tadi Irina terus masuk ke bilik kerja Firdaus. Dua jam sudah berlalu tetapi dia belum keluar dari situ.

“SayaI harap awak tak pergi ikut dia. Memang merbahaya awak pergi seorang-seorang. Macam mana kalau saya ikut?” 

Tiba-tiba idea itu muncul dari kepala Firdaus. Terbeliak mata Irina mendengar kata-kata Firdaus yang dirasakannya langsung tidak masuk akal.

“Saya harus pastikan awak selamat, Irina. Saya tak mahu kehilangan awak,” katanya lagi sambil berdiri begitu dekat dengan Irina.

Irina rasa tidak selesa. Dia ingin bergerak, tetapi Firdaus memegang kedua-dua bahunya dengan kukuh. Mata mereka bertentang dan wajah begitu dekat antara satu sama lain. Irina memejamkan matanya tidak ingin memandang mata lelaki itu. Desah nafasnya terasa berhembus laju di pipi Irina.

“I love you, Irina,” Bisik Firdaus syahdu.

“Encik Firdaus, saya malu dengan kawan-kawan setugas di luar sana. Dia orang tengah mengumpat kita!”

“Agh! Pedulikan mereka. Yang penting hati dan perasaan saya pada awak. Cinta saya pada awak, suci dan unggul Irina. Tolong percaya pada saya. Saya akan buat awak bahagia.”

“Encik Firdaus, Saya tak tahu nak kata apa dah! Saya pening. Tolonglah, saya nak keluar. Saya belum solat zohor lagi ni.”

“Tak. Saya tak benarkan awak keluar selagi awak belum janji, awak takkan ikut Malique jumpa lelaki yang kononnya ayah awak tu! Awak akan tertipu nanti. Sekarang ni ada bermacam taktik orang nak perdaya gadis cantik macam awak,” ujar Firdaus, berdegil dan bersungguh-sungguh mempertahankan pendapatnya.

Irina percaya pada Malique. Hati kecilnya berkata begitu. Walaupun tadi, dia ragu tetapi dia akan cuba menyakinkan dirinya sendiri. Dia akan meminta Malique menghubungi bapanya dan dia sendiri ingin mendengar suara Abu Bakar. Walaupun suara bapanya itu sudah tidak dingat lagi tetapi Irina yakin sebaik mendengar suara Abu Bakar, dia akan tahu bahawa lelaki itu benar-benar bapanya atau pun seorang penyamar.

“Encik Firdaus, selama ni saya hidup sorang, tak ada sesiapa yang protect saya. Saya hanya memohon perlindungan dari Allah. Saya yakin pada diri sendiri. Saya akan percaya pada perkara yang saya ingin percaya.”

“Ina, biarkan saya lindung awak, sayang. Mulai hari ni. Awak percaya pada saya. Selama awak kerja kat sini, ada saya tipu awak? Ada saya khianat kat awak, Ina?”

Irina mengertapkan bibirnya sejenak.

“Terima kasih Encik Firdaus. Saya tahu encik baik hati.Saya hargai perasaan encik. Tapi perlu jumpa ayah saya. Dah lama saya tak jumpa dengan dia,” balas Irina separuh berbisik.

Firdaus termenung mendengar kata-kata Irina. Ada kebenarannya jua. Irina merindui seorang bapa yang sudah 15 tahun tidak ditemui.

“Izinkan saya pergi solat dulu. Dah nak habis waktu ni. Nanti saya akan beritahu apa-apa perkembangan. Okey, Encik Firdaus?”

“Okey... okey sayang. Saya pun nak solat jugak.”

Daun pintu ditarik dan Irina diizinkan keluar. Sebaik wajah Irina muncul, terdengar siulan dari para pekerja lelaki. Mereka mulai menyindir nakal. Irina rasa malu kerana sepanjang hari itu dia bagaikan jadi titik tumpuan semua orang terutama Firdaus.

Ya Tuhan! Kenapalah hidup aku jadi kacau, tak berjalan dengan mulus kebelakangan ni?

Selesai solat, panjang doa Irina. Pelbagai peristiwa diingatinya dengan jelas. Dia masih terasa betapa perit pipinya ditampar Noriza. Dia dituduh perempuan tidak bermaruah, cuba merampas Firdaus. Padahal Irina tidak pernah berniat begitu. Kebelakangan ini Firdaus memang kian berani meluahkan perasaannya. Dan dia sentiasa mengelakkan diri. Tetapi sampai bila dia harus mengelak? Mereka bertemu setiap hari di pejabat ini. Apakah salah satu jalan keluar adalah dengan pergi meninggalkan bumi Malaysia ini?

Ayah! Benarkah ayah ada di sana? Benarkah ayah sedang mencariku dan menanti kehadiranku? Oh Tuhan! Bantulah aku membuat keputusan yang tepat.

AKHIRNYA Irina dapat mendengar suara bapanya yang sudah lama tidak menyentuh cuping telinga. Air mata Irina mengalir laju. Tanpa sedar dia teresak sambil tangan memegang erat telefon bimbitnya.

“Ikutlah Uncle Malique. Memang ayah yang hantar dia ke KL untuk jemput Irina,” kata bapanya dengan lembut. Bahasa Melayu lelaki itu masih baik, biarpun sudah lima belas tahun bermastautin di luar negara. Irina percaya seratus peratus bahawa lelaki itu memang bapanya. Suaranya lunak dan lembut.

Irina dihambat rindu. Dia memejam mata, membayangkan kali terakhir dia menerima sentuhan bapanya. Sentuhan kasih sayang. Belaian mesra seorang ayah. Dia membesar tanpa kehadiran bapanya itu. Hidupnya terasa begitu pincang. Lebih-lebih lagi setelah emaknya pergi. Tetapi kini kasih sayang bapanya pula mengambil ruang yang kosong, yang ditinggalkan emak.

Malique yang ada di hadapan Irina hanya tersenyum mendengar perbualan antara Irina dan bapanya. Selepas habis waktu kerja tadi, Irina menghubungi Malique. Dia meminta Irina datang ke hotel penginapannya. Irina terus ke sana tanpa pengetahuan sesiapa, jauh sekali Firdaus. Petang itu Firdaus sibuk dengan meeting. Irina bersyukur kerana bebas dari pertanyaan ketuanya yang tidak keruan itu. Menagih cinta pada waktu dan saat yang amat tidak kena.

“Kenapa ayah tak datang sendiri ke Malaysia jemput Ina?” tanya Irina ingin tahu.

“Ayah ada alasan yang tersendiri mengapa ayah tak dapat datang. Sebenarnya ayah tak boleh jejakkan kaki lagi ke Malaysia. Terlalu bahaya, nyawa ayah akan terancam.”

“Kenapa?”

“Susah ayah nak ceritakan semuanya Ina. Bila Ina dah ada depan ayah, ayah akan ceritakan semuanya sayang. Percayalah. Ayah takkan sembunyikan apa-apa. Ikut sajalah Uncle Malique datang ke Zurich. Tiket pun dah ayah uruskan.”

Irina diam sahaja. Kini dia memikirkan pula pekerjaan yang akan ditinggalkannya.

“Harap Ina dapat ikut Uncle Malique, sabtu depan. Ayah tak sabar nak jumpa Ina. Ayah rindukan Ina sangat-sangat,” kata bapanya lagi.

“Tapi kat sini, Ina ada kerja ayah. Ina perlu dapatkan cuti lebih dulu.”

“Tinggalkan semuanya Ina. Kamu tak perlu balik ke sana lagi. Kamu akan terus tinggal dengan ayah. Di sini semuanya cukup. Jangan kamu risau. Malah ayah dah pun tinggalkan semua harta-harta ayah atas nama kamu. Jangan pula kamu terkejut nanti sekiranya kamu dipanggil dengan nama Irina Thomas Burns.”

“Hmmm... Ya, Uncle Malique ada beritahu Ina, ayah dah tukar nama.”

“Tu identiti baru ayah. Tapi percayalah sayang, ayah tetap ayah Ina yang dulu. Kita orang Melayu,” kata Burns sambil tertawa kecil.

“Hanya nama saja ditukar kepada Thomas Burns. Untuk memudahkan urusan perniagaan. Di sini ayah terpaksa bersaing dengan bangsa asing. Jadi imej amat penting untuk membuktikan bahawa ayah mampu berjuang ke peringkat antarabangsa. Ina, kau akan mewarisi harta benda ayah yang nilai berjuta Euro,” Jelas Burns lagi, masih terus cuba menyembunyikan rahsia paling besar dalam hidupnya. Rahsia mengapa dia menguburkan terus nama Abu Bakar bin Alias.

“Ayah! Ina bukannya mahu harta ayah. Ina hanya nak jumpa ayah saja. Lepas tu Ina nak balik Malaysia. Kehidupan Ina yang sebenar adalah di sini. Di tanahair yang tercinta ni. Ina sayang untuk tinggalkan Malaysia. Nanti tak dapat nak melawat pusara emak,” jawab Irina dengan dada yang sebak apabila teringat pada arwah ibunya.

Dia sudah sebati dengan kehidupan di sini. Walaupun Kuala Lumpur panas membahang, tetapi dia sudah biasa. Dia tidak dapat membayangkan pula suasana dan cuaca di negara empat musim itu.

“Jangan macam tu Ina. Ayah yakin kau dah banyak menderita dan hidup susah dengan emak kau dulu. Beri peluang ayah tebus semua kesilapan ayah yang lalu. Ayah mahu lihat kamu kahwin dan bahagia. Kamu dah ada kekasih?” Bapanya bersuara lembut, mengharap pengertian daripada si anak.

Irina hanya tertawa kecil. Kala itu matanya terbayangkan wajah Firdaus. Bibir Irina terus kelu, tidak ingin menyebut nama itu. Firdaus bukan kekasihnya. Dia tidak pernah menganggap Firdaus lebih daripada seorang ketua.

“Ayah tunggu kamu datang, Ina. Tak sabar rasanya nak jumpa dengan anak ayah yang sudah sekian tahun ayah rindui,” kata bapanya sebelum menamatkan perbualan.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.