Home Novel Cinta MY SWEET HEART, DAHLIA
MY SWEET HEART, DAHLIA
AHC
5/2/2025 11:44:07
3,785
Kategori: Novel
Genre: Cinta
MSHD 12

DAHLIA bersyukur kerana sejak akhir-akhir ini, Furqan jarang mencari masalah dengannya. Mungkin kerana lelaki itu sibuk. Apa sahaja yang Dahlia hidangkan, Furqan akan habiskan tanpa banyak bicara. Kemudian, lelaki itu akan beredar dari situ.

Hubungan antara Furqan dan Puan Sri Fatihah juga sudah baik. Dahlia hela nafas lega. Dia berdoa agar segalanya kekal tenang. Dia tidak mahu ada sebarang masalah sepanjang dia tinggal di rumah itu. Dia akan akur semua arahan Furqan walaupun ia melukakan hatinya.

Sedang Dahlia sibuk di halaman menyiram pokok bunga, tanpa sedar, dia diperhatikan oleh Furqan dari beranda bilik lelaki itu. Lama Furqan memerhatikan tingkah laku Dahlia sehinggalah lelaki itu memanggilnya. "Hoi!" kuat suara Furqan tika ini.

Terus Dahlia menoleh ke arah suara itu sambil tangannya naik menutup mata kerana silau matahari yang memancar tepat di kepala. Mata dikecilkan sambil Dahlia melihat pada Furqan yang berdiri tegak di beranda bilik.

Furqan menggunakan jari telunjuk agar Dahlia datang dekat di bawah beranda biliknya. Seakan memahami isyarat itu, terus Dahlia meletakkan getah paip dan mengesat tangannya yang basah ke baju. Lalu, dia berjalan menghampiri kawasan itu. Kemudian, dia mendongak melihat pada Furqan yang ada di tingkat atas.

Furqan tarik nafas dalam, segala tingkah laku dan renungan Dahlia buat hati lelakinya terusik. Terus terlupa apa yang dia mahu katakan tadi.

Apalah kau ni, Furqan. Takkan dengan budak tak habis sekolah ni kau nak terpikat? Bisik hati kecilnya mengejek diri sendiri.

"Ada apa, encik?" Dahlia bersuara apabila melihat Furqan tidak berkata apa-apa.

Furqan tersentak. Terkebil-kebil saat sayup suara Dahlia menerobos ke corong telinganya. Dia kembali ke realiti. "Kau dah berapa lama tak kemas bilik aku?" soalnya.

Dahlia terdiam sejenak. "Aaa... encik yang tak bagi saya masuk bilik encik," jawabnya. Kalau diikutkan, dia takut nak menjawab pertanyaan Furqan. Tetapi, dia juga takut kalau lelaki itu marah jika dia berdiam diri. Dan soalan itu tadi, memang perlukan jawapan.

Mendengar sahaja balasan Dahlia, Furqan terdiam seketika. Betul juga, aku yang tak bagi dia masuk bilik aku. Desis hati kecilnya.

"Lepas kau bersihkan halaman, kau kemas bilik aku," pesan Furqan. Setelah itu, terus dia masuk semula ke ruang biliknya tanpa sempat Dahlia membalas.

Dahlia mengangguk perlahan walaupun dia tahu Furqan tak nampak perbuatannya itu. Lama Dahlia berdiri di situ. Seakan termenung melihat beranda bilik Furqan. Dia nampak ada sekuntum bunga mawar yang segar tersangkut di dalam pasu bunga kecil dan ada sebuah punch bag tergantung di sebelah bunga mawar itu.

Setelah beberapa saat mengamati, Dahlia kembali melakukan kerjanya yang tertangguh tadi.





"LAIN kali kalau aku suruh buat kerja tu, terus buat. Jangan terhegeh-hegeh," bebel Furqan apabila melihat Dahlia baru muncul di depan pintu biliknya.

"Saya minta maaf..." perlahan ucapan maaf itu Dahlia ungkap. Dia fikir Furqan tidak kisah jika dia mengemas halaman rumah dahulu. Dan itu yang Furqan katakan tadi. Menyuruh dia mengemas biliknya selepas selesai kerja di halaman rumah. Dan sekarang lelaki itu marah. Sungguh, Dahlia tak faham apa yang lelaki itu mahukan.

"Tu je lah yang kau tahu cakap? Cepat settle kan bilik aku!" suara Furqan sudah naik satu oktaf. Terus Dahlia tergesa-gesa masuk ke bilik lelaki itu. Dia turut membawa beberapa peralatan mengemas.

"Lagi satu, aku nak ingatkan yang barang-barang dalam bilik aku ni mahal. Nak pegang tu jaga-jaga sikit. Gaji kau pun tak mampu nak bayar ganti rugi," gumam Furqan, perlahan. Tetapi, Dahlia dengar apa yang Furqan katakan. Jadi, dia akan lebih berhati-hati dengan barang-barang yang ada.

Mujur Furqan berada di dalam bilik sekejap sahaja. Lelaki itu sudah pun keluar dari situ. Mungkin dia sendiri tak selesa berdua bersama Dahlia di dalam ruangan itu walaupun mereka suami isteri yang sah.

Melihat sahaja Furqan pergi. Dahlia hela nafas lega. Bolehlah dia memulakan kerja-kerjanya dengan tenang. Hati Dahlia terdetik nak ke beranda bilik itu. Dia mahu melihat bunga mawar yang ada di situ.

"Harap dia tak masuk," monolog Dahlia. Lalu, dia melangkah keluar ke beranda. Terus dia menghampiri bunga mawar berwarna biru itu. Terjengket-jengket kakinya nak mencium bunga tersebut. "Takda bau pun," kata Dahlia. Dahi berkerut nipis. Pelik.

Kluk!

Telinganya menangkap bunyi pintu bilik dibuka seseorang. Menggelabah Dahlia dibuatnya. Cepat-cepat dia menyapu beranda bilik itu. Nasib baik dia pegang penyapu tadi. Kalau tak, apa alasan yang dia nak bagi jika Furqan tanya apa yang dia buat di situ?

"Aku suruh kau kemas dalam bilik. Yang kau sibuk menyapu dekat sini, tu kenapa?" marah Furqan apabila melihat Dahlia sibuk menyapu di beranda biliknya.

Terhenti terus perbuatan Dahlia. Dia berdiri tegak di situ. Nak minta maaf, dia takut kena marah lagi. Jadinya, dia diam. Memang salah dia. Dia tertunduk takut. Bibir dikemam kuat. Dalam hatinya berdoa agar marah Furqan tidak berlanjutan.

"Tercegat dekat sini lagi buat apa? Masuk. Kemas dalam bilik aku cepat!" kuat suara Furqan tika ini. Geram betul dia dengan Dahlia. Lain di suruh, lain dibuatnya.

Mendengar sahaja arahan itu, Dahlia terus masuk kembali ke ruang bilik Furqan. Dia gunakan penyapu tadi untuk menyapu bilik lelaki itu. Baru beberapa kali penyapu dihayun, Furqan merampas penyapu itu dengan kasar. "Kau ni kan. Penyapu ni kau guna untuk sapu beranda dekat luar. Sekarang kau guna sapu dalam bilik aku? Kotorlah!" jerkah Furqan.

Muka Dahlia mula pucat lesi. Takut dia melihat muka bengis Furqan. Jantungnya berdegup kencang. Dia takut. Takut lelaki itu kasari dia lagi.

"Sa-saya minta ma-maaf...." mohon Dahlia dengan nada ketakutan. Matanya mula berkaca.

"Aku tahu kau tak habis sekolah. Tapi, takkanlah bodoh sangat!" hina Furqan lagi. Penyapu itu dihempas ke lantai. Lalu, lengan Dahlia dicengkam dengan kuat. Diheret wanita itu ke pintu keluar. Kemudian, tubuh Dahlia ditolak kasar keluar dari biliknya.

"Saya min-minta ma-maaf..." Dahlia yang sudah terduduk di lantai luar bilik Furqan itu, sekali lagi memohon maaf dengan nada yang terketar-ketar.

Berombak kencang dada Furqan menahan rasa sakit hati. Kemudian, dia masuk ke biliknya mengambil semua peralatan mengemas tadi dan dicampak ke arah Dahlia dengan kasar.

Batang penyapu terkena tepat pada dahi Dahlia. "Ahhh....!" Dia mengaduh kesakitan. Terus dahinya ditekup dengan kedua-dua telapak tangan.

Tanpa mempedulikan wanita itu, Furqan menghempas daun pintu bilik dengan kuat.

Dum!!!!!

Terangkat bahu Dahlia terkejut dengan hempasan pintu itu. Air mata yang meleleh ke pipi diseka dengan hujung jari. Lalu, dia bangun dari situ dan mengutip semua peralatan mengemas tadi.

"Kak, kenapa ni?" Hafiqa yang baru sahaja naik ke situ terus menerpa ke arah Dahlia.

"Takda apa," cepat sahaja Dahlia membalas dan cuba berlagak seakan tiada apa yang berlaku.

"Along buat apa dekat akak?" masih sahaja Hafiqa menyoal. Dia pasti sesuatu telah berlaku.

"Tak... dia tak buat apa-apa pun pada akak," laju gelengan Dahlia tika ini.

"Tipu. Ni apa?" soal Hafiqa sebaik sahaja matanya terlihat benjolan dan kesan lebam di dahi wanita itu.

Terus Dahlia menekup dahinya dengan telapak tangan walaupun dia tahu sudah terlambat. "Ni... akak terhantuk dekat dinding tadi," kata Dahlia cuba mencipta alasan lain. Dia tidak mahu Hafiqa tahu apa yang Furqan lakukan padanya. Lagi pula, lelaki itu hanya menghalau dia keluar dari bilik. Itu sahaja.

"Akak cakap betul-betul." Hafiqa tak puas hati dengan jawapan yang Dahlia berikan. Dia yakin Furqan ada lakukan sesuatu pada wanita itu. Penyapu dan beberapa peralatan mengemas yang berselerak di lantai, dia ambil. Lalu, diserahkan pada Dahlia.

"Betul. Takda apa," bersungguh Dahlia yakinkan gadis itu.

Hafiqa mencebik. Macamlah dia tak tahu yang Furqan ada memarahi kakak iparnya itu. Tetapi, disebabkan Dahlia tidak mengaku, terpaksalah dia akur. "Jomlah turun. Fiqa ada beli pisang goreng tau. Kita makan sama-sama," ajaknya.

"Fiqa beli guna duit Fiqa ke?" soal Dahlia. Dia cuba menceriakan wajahnya tika ini.

Hafiqa mencebik. Selalu sahaja Dahlia menanyakan soalan sebegitu jika dia beli apa jua makanan. "Ya. Duit Fiqa. Bukan duit abang. Akak ingat Fiqa takda duit ke?"

Dahlia hela nafas lega. Kalau duit Furqan, memang dia tak boleh jamah langsung kerana amaran lelaki itu sebelum ini. Dia tak berani. Takut lelaki itu menuduhnya muka tak malu dan sengaja ambil kesempatan.





"BILA Dato' Amran punya dinner, along?" soal Puan Sri Fatihah ketika mereka satu keluarga duduk santai di ruang tamu menonton televisyen.

"Malam esok," ringkas Furqan menjawab sambil matanya dihala ke skrin televisyen.

"Bawa Dahlia," arah Puan Sri Fatihah dengan nada selamba.

Terus Furqan memandang pada ibunya itu. "Nak buat apa bawa dia? Dato' jemput along dengan mommy je." Berkerut dahinya tika ini. Dah kenapa aku kena usung sekali perempuan tu? Bentak hati kecil Furqan.

"Mommy tak dapat pergi. So, bawa Dahlia," balas Puan Sri Fatihah lagi. Tenang sahaja riak mukanya tika ini. Dia tahu Furqan mesti tak puas hati dengan arahannya. Tetapi, dia tetap mahu anak lelakinya itu membawa Dahlia bersama.

Furqan merengus kasar. Kata-kata Puan Sri Fatihah tidak dibalas. Malas nak berbalah lagi. Dia sendiri penat nak bergaduh dengan ibu sendiri kerana dia tahu, dia takkan menang.

Sementara itu, Dahlia yang ada di dapur terjengah-jengah ke luar. Dia juga menonton drama yang ditayangkan dari situ. Walaupun agak jauh dari tempat dia berdiri, tetapi, skrin televisyen yang besar itu masih jelas kelihatan.

"Kenapa Henry tu tak tanya Sufi? Kan fitnah semua tu. Kesian Sufi..." monolog Dahlia sendiri. Begitulah setiap kali dia menonton drama. Pasti sahaja ada persoalan yang keluar daripada bibirnya. Hendak pula, drama itu memang dia ikuti sejak dari awal walaupun, dia hanya menonton dari jauh.

Jantung Dahlia berdegup kencang apabila melihat Furqan sedang berjalan menuju ke dapur. Kelam kabut dia masuk ke ruangan dapur sambil mengemas apa yang patut. Dalam hatinya berdoa agar Furqan tidak nampak yang dia curi-curi menonton drama itu tadi.

"Buatkan aku air kopi," Furqan bersuara setelah dia berada di dapur.

"Baik, encik," segera Dahlia mencapai muk yang ada di dalam kabinet dapur. Kemudian, dia mengambil serbuk kopi yang biasa Furqan minum. Dibancuh air yang lelaki itu minta.

Aku tak tahulah kenapa mommy nak sangat aku bela dan simpan dia ni? Siap suruh aku bawa pergi dinner lagi. Bisik hati kecil Furqan sambil matanya memerhatikan Dahlia yang sedang membancuh air minumannya.

"Ni air encik." Berhati-hati Dahlia letakkan air itu di atas island kitchen yang ada di depan Furqan.

"Esok mommy suruh aku bawa kau pergi dinner. Pakai elok-elok sikit. Jangan malukan aku," kata Furqan dengan tenang. Kemudian, muk yang berisi air kopi itu dia ambil dan bawa ke ruang tamu semula.

Dahlia terpinga-pinga. Dinner? Dinner tu makan malam kan? Betul ke dia ajak aku? Nanti makan dia bayar ke atau aku kena bayar sendiri? Bertalu-talu soalan itu muncul di benak fikiran Dahlia. Hatinya mula bimbang. Entah apa lagi yang Furqan nak buat pada dia agaknya.

Dahlia melepaskan keluhan kecil. Dia tahu, dia terpaksa akur dengan arahan lelaki itu. Jika tidak, pasti Furqan akan memarahinya.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.