Home Novel Cinta Khas Buat Suraya Anne
Khas Buat Suraya Anne
kamika
3/2/2022 09:59:01
3,661
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 21

Terkelip-kelip matanya memandang laluan yang amat dikenali itu. Dia mengarahkan van jenazah yang dinaiki membelok masuk ke halaman melihatkan pintu pagar yang terbuka luas. Jiran tetangga sedang berkumpul sama ada di laman mahupun di luar. Mungkin telah dimaklumkan oleh Hanis kepada kedua orang tuanya akan ketibaan mereka pada jam itu. Hari sudah hampir ke tengah hari. Suasana yang terik terkadang mendung itu tidak terasa bahangnya tatkala angin tenggara berhembus. Tibanya Suraya disambut dengan satu pelukan dan esakan dari Mak Long. Suraya tersenyum sedikit membalas pelukan itu. Tubuhnya diraih lagi ke dalam satu pelukan yang lain. Suraya melirik. Maksu Azah rupanya. Kemudian dipaut tubuhnya oleh tangan yang lain. Suraya jeling. Bertentang mata dengan Aunty Lela dan Kak Ipah. Masing-masing menatapnya dengan mata yang merah tanda mereka juga sedang bersedih. Sayup kedengaran alunan bacaan dari sekumpulan wanita membacakan surah Yasin secara beramai-ramai dari dalam rumah. Seorang lelaki hampir sebaya usia dengan bapanya mendekati memaksa jarak antara dirinya dan kumpulan wanita itu diregangkan. Suraya kenal akan lelaki itu tetapi sudah lupa namanya. Rakan sekerja bapanya.

"Yaya, pakcik datang sebagai wakil dari jabatan." ucap lelaki yang memperkenalkan diri sebagai Pakcik Shamsul itu. Kedengaran mesra. Barangkali nama manjanya itu sering dituturkan oleh bapanya kepada rakan-rakan dipejabat. Kemudian, bertanyakan Suraya keadaan Encik Fauzi ketika ini. Menurut Pakcik Shamsul beberapa orang kakitangan dari jabatan itu akan datang melawat bapanya dihospital pada keesokan hari.

"Jenazah ni bawa ke rumahnya untuk solat sahaja. Selepas tu terus ke kubur untuk dikebumi."

Suraya terdengar Haji Din berkata. Tiada lagi Haji Omar kerana untuk urusan berlainan negeri, ianya dibawah seliaan Haji Din yang juga ahli jawatan kuasa kebajikan Masjid Jamek.

"Baiklah. Mari sama-sama angkat bawak masuk ke dalam. Siapa-siapa nak solat tu silalah masuk. Diorang ni dari Klang. Jauh lagi tu nak kena patah balik." ujar Pak Long agak kuat. Sebelum beredar, sempat Pakcik Shamsul menyerahkan sekeping sampul surat putih sama seperti yang diterima daripada Mr. Lee tadi. Suraya dipimpin oleh Mak Long masuk mengikut anjung rumah. Ruang tamu kelihatan lapang. Pasti Pak Long dan Mak Long yang membantu mengemaskan ruang itu supaya mudah untuk dijadikan sebagai ruang solat. Suraya tidak langsung terkejut dengan keadaan itu. Kunci pendua rumah itu memang telah lama diserahkan kepada orang tua Hanis. Begitu juga dengan kunci pendua rumah mereka yang berada dalam pegangan bapanya. Masing-masing mengambil langkah berjaga-jaga sekiranya tiada dirumah.

"Yaya nak ikut ke kubur ke?" tanya Mak Long. Suraya geleng. Dia pernah membaca sepotong hadis yang melarang wanita dari mengiringi jenazah.

"Eloklah macam tu. Orang perempuan seeloknya tunggu sahaja dirumah. Kemudian nanti barulah Yaya pergi, ye." kata Mak Long lagi. Suraya angguk. Selesai solat jenazah yang kebanyakan jemaah terdiri daripada jiran tetangga dan kenalan orang tuanya, maka sekali lagi jenazah diusung untuk dibawa masuk ke dalam van. Suraya memerhati dari balik pintu. Bibir dikatup rapat. Dada menjadi sebu.

'Selamat jalan, mummy.'

Tanpa sedar tangan diangkat dan dia melambai perlahan ke arah van jenazah yang mula bergerak meninggalkan perkarangan rumah. Satu elusan lembut dibelakang tubuhnya membuatkan Suraya berpaling. Maksu Azah memandang penuh simpati.

"Yaya, Maksu ada, Mak Long ada.. Aunty Lela pun ada. Kami semua sayangkan Yaya dan anggap Yaya macam anak kami sendiri."

Suraya senyum pendek. Angguk.

"Yaya mesti penat, kan? Pergilah rehat dulu. Kalau nak makan nanti Mak Long suruh Jai hantarkan." ujar Mak Long pula. Jai itu adik lelaki Hanis yang paling bongsu. Suraya angguk lagi lalu berpaling untuk masuk ke biliknya. Baru semalam dia berada dirumah ini. Bersama kedua orang tuanya. Hari ini dia kembali. Tetapi bersendiri. Suraya menolak pintu bilik yang tidak berkunci. Backpack yang sentiasa melekap ditubuh dicampak ke katil. Begitu juga dengan tudung dan sweater yang dikenakan. Dia mahu ke bilik air untuk membersihkan diri namun tubuh merayu untuk berbaring sebentar. Terus direbahkan badan ke tilam. Tidak sedar bila masa dirinya dibawa pergi oleh lena.

"Yaya.. Bangun. Dah pukul 2.00 ni." seru satu suara. Terpisat Suraya menggosok mata. Menutup mulut yang menguap besar dan kelopak mata dibuka perlahan-lahan. Hanis.

"Erm.."

"Bangun. Pergi mandi. Lepas tu makan."

"Erm. OK." sahut Suraya lemah tetapi tetap digagahkan tubuhnya untuk bangun. Mencapai sehelai tuala dan menuju ke bilik air. Usai mandi yang agak lama masanya diambil dari kebiasaan, barulah dia mengingati kembali situasi yang sedang  berlaku. Sempat air mata berjuraian ketika bilasan terakhir mengenai tubuh. Dia mengambil wuduk lantas keluar. Rumahnya terasa sunyi. Suraya masuk ke bilik. Hanis sedang duduk dibirai katil sambil bermain telefon.

"Aku bawakan makanan. Ada dekat dapur."

Suraya angguk sambil mencari sehelai persalinan. Sehelai jubah hitam yang dibelikan oleh arwah ibunya dua tahun yang lalu ditarik keluar. Disarungkan ke tubuh dan tanpa banyak bersuara sejadah berserta telekung solat dicapai. Selesai solat yang dilaksanakan secara jama' terus dia melangkah ke dapur. Mangkuk tingkat satu-satunya benda yang ada di meja makan. Suraya mengambil pinggan dan sudu. Hanis pula senyap mengekor dari belakang.

"Makan?" pelawa Suraya. Hanis geleng. Suraya mencedok nasi putih dan lauk ke pinggan.

"Eh, kau balik dengan apa? Aku tak berapa perasanlah sebab tak sempat nak fikir apa-apa." tanya Suraya. Tidak jadi mahu memulakan makan. Hanis merenungnya dalam.

"Nanti jap, Yaya. Aku nak tanya dulu. Kau okay, tak?" soal Hanis serius. Buat seketika Suraya diam. Kemudian dia menarik satu nafas yang panjang.

"Han, siapa tak sedih ibu sendiri meninggal. Tapi aku cuba untuk tak hanyut dalam perasaan tu. Bila aku tengok officemate, mama kau, Maksu, jiran-jiran dan orang-orang yang datang yang turut bersedih aku tahu aku tak seorang. Korang semua ada. Korang semua baik sangat layan aku."

Sekali lagi nafas dihela.

"Aku nak kuat demi abah aku." ucap Suraya. Hanis mengangguk beberapa kali.

"Aku dan Irfan pun ada, Yaya. Jangan lupa tu." Hanis mengingatkan. Suraya melirik kepada rakan akrab dihadapannya. Senyuman nipis dilakarkan.

"Eh, ada sorang lagi." ujar Hanis. Suapan yang pertama dan kening Suraya sedikit terangkat.

"Bos kau."

Suraya angguk.

"Mr. Lee memang baik."

"Bukanlah. Adrian tu kau nak campak mana? Aku balik ni naik kereta dia tau, tak? Kau dah lupa ke dia paling banyak membantu tau. Kerja-kerja kambus tanah dekat kubur pun dia tolong tau? Macam mana aku tahu? Ayah aku yang bagitahu. Tu.. Dia ada dekat luar. Aku ajak makan tak nak. Rehat pun tak nak. Bimbang pulak aku kalau dia pengsan. Cuba kau pergi tengok. Dari tadi dia duduk bawah pokok mempelam tu." tiba-tiba Hanis membebel panjang. Tidak lagi mengunyah, Suraya bingkas bangun. Macam manalah dia boleh terlupakan lelaki itu. Lelaki yang banyak menghulurkan bantuan tanpa perlu dia membuka mulut.

"Han, ajak adik-adik kau datang makan dekat sini." arah Suraya sambil mencuci tangan disinki. Hanis memandang hairan namun diikut sahaja suruhan itu. Nombor Dani adik lelaki keduanya didail. Menggunakan kuasa veto yang dipunyai dia menyuruh Dani dan Jai datang dengan kadar segera.

Suraya mencapai sehelai tudung di dalam bilik. Kemudian bergegas keluar. Seperti dikatakan memang benar Dr. Adrian sedang duduk dipangkin di bawah pohon mempelam. Baru perasan pakaian yang dikenakan oleh lelaki itu adalah tshirt putih dan berseluar jeans biru lusuh. Seluar itu nampak comot dengan kesan coklat seperti debu tanah. Suraya sedikit kecewa dengan dirinya sendiri.

"Bos, kenapa duduk sini?" sapaan Suraya mengejutkan lelaki itu. Jauh agaknya mengelamun. Tingkah itu ditutupi dengan satu senyuman.

"Dr. Adrian, saya tengah bercakap ni." kata Suraya separuh geram kerana soalannya sebentar tadi dibiarkan sepi.

"Yes, Suraya. Saya dengar..."

"Masuklah ke dalam. Makan dan bersihkan diri."

Dr. Adrian menggeleng.

"Tu, adik-adik Hanis datang. Tengok tu.. Maksu Azah pun ada dengan anak bongsunya. Marilah, masuk." kata Suraya lagi sambil jari telunjuk menunjuk ke arah jalanan. Dr. Adrian menoleh. Dan lama pandangan terpaku ke arah rombongan kecil itu. Perlahan-lahan dia berdiri.

"Okay. Saya nak mandi. Boleh tumpang bilik air?"

Suraya angguk. Lelaki itu beredar. Menuju ke kereta yang diparkir dibahu jalan. Suraya menanti. Baik rombongan kecil itu dan Dr. Adrian sama-sama melangkah ke halaman.

"Dah bangun, Yaya." tegur Maksu Azah. Suraya tersipu sebelum menganggukkan kepala.

"Maksu, kenalkan bos Yaya. Dr. Adrian. Bos, ni ibu saudara Hanis, Maksu Azah."

Maksu Azah senyum. Memandang Dr. Adrian sambil menganggukkan kepala.

"Tadi Hanis ada bagitahu sebab Maksu tanya siapa lelaki handsome yang balik dengan dia tu. Nak kata Irfan jauh beza." cerita Maksu Azah. Suraya senyum tipis. Dr. Adrian pula diam. Bukan Suraya tak perasan akan lirikan lelaki itu kepada Maksu Azah. Tak berkelip memandang. Kalau dah dasar lelaki!

"Marilah masuk." kata Suraya melangkah terlebih dahulu. Maksu Azah dan adik-adik Hanis terus ke dapur. Dr. Adrian pula masih tercegat dimuka pintu menunggu Suraya menunjukkan arah. Tetapi gadis itu seakan buat tak faham sahaja. Terus menonong mengikuti yang lain.

"Suraya, awak terlupa sesuatu ni." panggil Dr. Adrian. Suraya berpaling. Kedua bahu dijungkitkan.

"Saya. Boleh awak tunjuk mana bilik air?"

Senyap. Tetapi Suraya tidak jadi mengikut arah mereka yang lain. Dia berpatah ke arah laluan dibahagian hadapan yang berdindingkan casement window yang dipasang hingga ke penjuru dinding lagi satu. Langkah Suraya ke kanan pula dan gadis itu berhenti di antara tiga daun pintu dihadapan mereka ketika ini.

"Ini bilik tetamu."

Bilik yang berada disebelah kanan ditunjukkan.

"Awak boleh guna untuk rehat. Yang tengah ni bilik air. Enjoy." ujar Suraya lantas beredar mengikuti laluan itu yang berpenghujung ke dapur. Geleng kepala Dr. Adrian melihat gelagat gadis itu. Tetapi tidak di simpan dalam hati. Daun pintu ditolak. Sebuah bilik tamu yang kemas dengan kelengkapan asas disediakan. Beg galas yang disandang berisi pakaian diletakkan di atas sebuah bangku. Dia ingin membersihkan diri dahulu sebelum kembali menemui Suraya. Selesai solat Dr. Adrian berbaring sebentar dikatil sambil melihat telefon. Email dan aplikasi WhatsApp berkelip dengan notifikasi. Pandangannya berbalam sebelum menjadi kelam dan hitam.

"Bang, abang.. Bangun. Kakak Yaya suruh bangun."

Mendengarkan suara itu Dr. Adrian membuka mata. Terus bangun terduduk dikatil. Oh, adik Hanis. Tetapi tidak tahu namanya. Wajah keanak-anakan seperti masih dimenengah rendah. Dr. Adrian angguk dan tersenyum kepada budak lelaki yang sedang malu-malu kucing itu.

"Kak Yaya suruh pergi ke dapur."

Dr. Adrian angguk lagi. Dia bingkas bangun dan menuju ke bilik air. Dicuci muka bagi menghilangkan sisa mengantuk yang masih berbekas. Laluan yang diambil oleh Suraya tadi dijelajahi. Cantik kediaman orang tua gadis itu. Disebelah kirinya terdapat sliding door untuk ke anjung. Hiasan yang minimal dilewati disepanjang laluan. Tiba didapur yang agak luas dan selesa, tiga pasang mata memandangnya. Dr. Adrian melemparkan satu senyuman.

"Adrian, mari makan. Nanti nak bertolak balik, kan?" panggil Maksu Azah. Langkah Dr. Adrian terhenti buat seketika. Terpana.

"Err, Adrian?" seru Hanis pula. Dr. Adrian tersentak lalu dengan selamba mendekati meja makan segi empat tepat itu dan duduk disalah satu kerusi. Jauh dari semua yang ada. Wajah Suraya dijeling sekilas. Masam.

"Eh, biar Maksu aje yang buat." kata Maksu Azah secara tiba-tiba sebaik menyedari kelakuan pelik Suraya. Diambilkan pinggan lalu dicedokkan nasi dari salah satu mangkuk tingkat yang ada. Kemudian disudukan lauk. Dr. Adrian melawan rawan hati yang tiba-tiba menyapa. Sepatah ucapan terima kasih diberikan kepada wanita itu. Dr. Adrian makan dengan tenang. Mendengar perbualan kosong yang berlangsung di antara mereka bertiga. Cuma, Suraya paling banyak mendiamkan diri. Entah kenapa.

"Okay, Anis dah bincang dengan ayah dan mama. Esok pagi kami akan ke JPN dahulu. Daftarkan kematian. Lepas tu baru bertolak ke Klang. Adrian boleh hantarkan Yaya?" tanya Hanis.

"Tak payah. Aku tumpang Maksu." sahut Suraya terlebih dahulu. Tidak menyedari kata-kata itu meninggalkan kesan kepada hati seseorang.

"Oh, Maksu lupa nak cakap. Maaflah Yaya. Maksu sebenarnya dalam perjalanan ke JB. Hantar Ilman ke U. Kebetulan dapat panggilan dari Mak Long teruslah Maksu singgah ke sini. Maksu tak dapat nak tolong melainkan Yaya nak balik ke Klang esok hari." jelas Maksu Azah. Suraya bungkam. Hati Dr. Adrian lega.

"OK. Nak tak nak Yaya, kau balik dengan Adrian."

Suraya menoleh ke arah bertentangan. Hujung kuku digigit. Pilihan yang sedang difikirkan kesemuanya terbatas. Terhad.

"Erm." sahut Suraya pendek. Bagi Maksu Azah dan Hanis mungkin mood swing Suraya itu ada kaitan dengan situasi ketika ini. Tidak bagi Dr. Adrian. Dia pasti ada sesuatu yang lain yang mengganggu fikiran gadis itu. Dan gangguan itu datang darinya. Tapi, apa yang dia dah buat?

Usai makan dan kembali ke bilik tamu Dr. Adrian duduk sebentar memeriksa kembali telefon pintar dan mengemaskan barangan sebelum keluar. Ketika itu juga Suraya keluar dari bilik yang bertentangan. Gadis itu juga sedang menggalas beg sepertinya. Dr. Adrian senyum. Masam mencuka yang diperolehi.

"Hati-hati memandu. Maksu tengok Adrian macam penat aje. Boleh ke drive ni?" tanya Maksu Azah mengambil berat. Kepalanya dijengul mengikut tingkap kereta yang dijatuhkan.

"Inshaallah boleh. Lagipun taklah jauh sangat." ucap Dr. Adrian berbasa-basi. Getaran didada yang berombak disembunyikan buat dirinya seorang. Maksu Azah senyum. Suraya belum masuk. Masih tercegat dikelilingi oleh Pak Long, Mak Long, Aunty Lela dan Hanis serta adik-adiknya. Anak Maksu Azah yang bernama Ilman juga ada.

"Tentang majlis, Yaya jangan bimbang. Pak Long dah uruskan dengan sekolah tahfiz tu. Segala urusan dikampung Yaya tak perlu fikir, ye." pesan Pak Long meletakkan tangan dibahu Suraya. Sebentar sebelum dijatuhkan. Suraya angguk. Terhutang budi dengan keikhlasan keluarga Hanis itu.

"Jaga diri. Inshaallah esok kami datang." kata Mak Long pula seraya merangkul tubuhnya. Suraya senyum sedikit.

"Yaya, kalau ada apa-apa jangan segan bagitau Aunty, tau."

Ingatan dari Aunty Lela itu juga disambut dengan senyuman dan anggukan. Selesai bersalaman Suraya masuk ke dalam kereta dengan perasaan yang berat. Kereta yang dipandu mula bergerak perlahan meninggalkan halaman dan kawasan perumahan itu. Memerhati lambaian dari jiran tetangga yang baik hati Suraya diam melayani perasaan. Antara sedih, sayu, terharu, rindu dan tidak sabar untuk menemui bapanya dihospital. Tidak berapa lama kemudian kereta yang dipandu berhenti. Suraya memandang Dr. Adrian hairan.

"Mari ke kubur dulu." kata Dr. Adrian lantas mematikan enjin kereta. Suraya menarik nafas yang panjang. Memang dia tengah geram dengan lelaki itu. Tapi perasaan yang disimpan seringkali dipatahkan oleh lelaki itu dengan bermacam perbuatan yang tak mampu Suraya jangkakan. Setelah melewati denai kecil berjarak tiga puluh meter mereka berhenti. Tanah yang masih merah ditandai dengan batu nisan daripada kayu buat sementara waktu ditenung. Itulah kubur arwah ibunya. Suraya duduk mencangkung berdekatan batu nisan kayu itu. Diucapkan salam sebelum tangan ditadahkan. Dimulai dengan puji-pujian dan selawat serta doa untuk ibu bapa. Kemudian dibacakan tiga Qul dan Fatihah dengan niat pahalanya dihadiahkan kepada arwah ibunya. Bergenang air mata. Makin penuh hinggalah kolam matanya pecah. Lima belas minit disitu akhirnya dia bersuara untuk beredar. Dr. Adrian yang menanti tidak jauh dari kedudukannya dikawasan kubur lama itu mengangguk.

'I love you, mummy.'

Ucapan yang sering bermain dibibirnya sejak dari kecil dilafazkan di dalam hati.

Perjalanan ke Klang mengambil masa kira-kira dua jam itu ditelusuri dalam kesunyian. Baik Suraya mahupun Dr. Adrian masing-masing langsung tidak bersuara. Ketika tiba diperkarangan hospital kereta yang dipandu oleh Dr. Adrian berhenti di hadapan pintu utama.

"Terima kasih." ucap Suraya lalu pintu kereta dibuka.

"Esok pagi saya datang." kata Dr. Adrian sebelum Suraya turun. Suraya tidak mengendahkan. Tidak memandang. Terlalu banyak perkara yang perlu dihadam. Separuh darinya ingin dipadam. Yang pasti yang berkaitan dengan Dr. Adrian seorang.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.