Home Cerpen Umum Perwira Yang Hilang
Perwira Yang Hilang
Farah Hanim
28/8/2017 23:24:08
1,521
Kategori: Cerpen
Genre: Umum

PERWIRA KECIL-Norfarah Hanim

“Kamu gagal!” Adnan memandang wajah pegawai tentera yang bertugas untuk merekrut anggota tentera darat yang baharu.

“Tapi tuan masih belum periksa saya lagi!” bantah anak muda itu. Dia berasa amat tidak berpuas hati apabila permohonannya digagalkan sebaik sahaja pegawai tersebut melihat ke arahnya. Apa yang tidak kena dengan dirinya?

“Kamu tidak layak. Ok, seterusnya!” pegawai tersebut segera memanggil pemohon yang lain untuk diperiksa.

“Tunggu! Kenapa pula saya tidak layak? Periksa saya pun tuan masih belum lakukan.” Adnan menepuk kuat meja pegawai tersebut. Tindakannya itu mengejutkan rakan-rakan sebayanya yang turut hadir untuk mencuba nasib. Masing-masing berpandangan sesama sendiri. Tidak kurang, ada juga yang turut mentertawakannya.

“Kamu jangan mengamuk di sini! Cuba lihat cermin dan nilai sendiri! Kamu tidak menepati syarat-syarat untuk menjadi tentera. Sudah, jangan buang masa lagi. Baik kamu cari pekerjaan yang sesuai dengan diri kamu.” Pegawai itu menjenggilkan matanya terhadap Adnan. Air mata mula bergenang di tubir mata lelaki itu. 

Kali ini, sudah hampir sepuluh kali dia melakukan permohonan untuk menjadi tentera. Dia sememangnya ingin menjadi perwira yang akan membela bangsa kelak. Namun, mengapa cita-citanya ditolak ketepi dengan begitu mudah sekali?

 Setelah dimarahi oleh pegawai tersebut, Adnan segera mengambil barang-barangnya untuk keluar daripada situ. Sambil berjalan keluar, air matanya dikesat laju. Enggan dilihat oleh sesiapa pun. 

Ya, sememangnya, dia langsung tidak menepati syarat-syarat yang dikehendaki sebagai seorang tentera. Tubuhnya tidak tinggi mana. Hanya 160 cm. itu ialah ketinggian minima yang dikehendaki begi seorang lelaki. Pernah sekali dia diluluskan kerana perasaan belas kasihan namun, pada peringkat seterusnya, dia gagal kerana tubuhnya tidak sasa. Badannya kecil dan kurus. Hakikatnya, bagi Adnan, semua itu tidak penting kerana meskipun tubuhnya kecil dan kurus, namun semangatnya besar dan sememangnya hendak menjadi askar yang membela negara dan bangsa. Itu lebih penting baginya.

Lagipun, kebanyakan rakan-rakan sebaya yang turut memohon untuk menjadi tentera hanya inginkan populariti semata-mata dan bukannya benar-benar ikhlas hendak berjuang demi negara. Mereka semua membuatnya semakin menyampah dan merasakan syarat pemilihan tentera adalah tidak adil sama sekali.

Dia meneruskan langkahnya sambil membimbit beg baju. Kemeja putih lusuhnya diikat ke pinggang. Hatinya hampa kerana tidak terpilih.

“Woi, pendek!” kedengaran tawa sumbang dari arah belakang. Adnan segera berpaling. Siapa lagi kalau bukan Azhar yang selalu mengejeknya.

“Huh, kau?” Adnan berpaling kembali untuk menyambung langkahnya menyoroti lorong di belakang bangunan itu.

“Kau jangan nak belagak sangatlah pendek!” terasa seperti bahunya disentuh kasar oleh Azhar. Belum sempat dia menepis, Azhar terlebih dahulu menendang tubuhnya sehingga tersembam ke hadapan. Mujur sahaja Adnan sempat menahan tubuhnya daripada benar-benar terungkur dengan kedua-dua belah tangannya.

“Haha, itulah balasannya kalau kau tak sedar diri!” Azhar tertawa besar sambil bercekak pinggang. Dia meludah ke sisi tanda berpuas hati dengan apa yang telah dilakukannya terhadap Adnan.

“Puih, aku tak percaya orang macam kau boleh terpilih untuk menjadi tentera.” Adnan tersengih sinis. Dia cuba untuk bangkit perlahan-lahan. Bajunya yang kotor terkena debu-debu di tanah ditepuk-tepuk sedikit. Dia malas hendak peduli dengan Azhar yang sememangnya tidak pernah serik untuk membuli orang lain.

“Ha? Apa kau kata?” Azhar mendekati Adnan sambil mengepal buku limanya. Bibirnya diketap perlahan menahan geram dengan lelaki itu. Adnan hanya mampu meneguk air liurnya. Dia segera berpaling untuk melarikan diri.

“Kau nak lari ke mana?” sekali lagi Adnan ditendang dan kali ini di bahagian perut pula. Tersembur air liur bercampur darah daripada mulutnya. Peritnya usah dicerita. Belum sempat Adnan hendak membalas, wajahnya ditumbuk berkali-kali sehingga lebam. Sebatang giginya telah patah. Keadaannya saat itu sememangnya mampu mengundang simpati sesiapa yang melihat. 

Adnan harus pantas memikirkan cara untuk melepaskan dirinya daripada pukulan Azhar yang jauh lebih besar daripadanya. Dia melihat melalui ekor matanya. Terdapat beberapa buah kotak besar di belakang Azhar. Tanpa membuang masa, Adnan membaling begnya ke arah Azhar. Dengan mudahnya, Azhar mampu mengelak serangan Adnan.

“Heh, baling barang pun tak betul. Macam mana orang pendek dan lemah macam kau boleh terfikir untuk jadi askar? Hahaha….”

Pang! Pang! Pang!

Beberapa paip besi jatuh dan mula menimpa Azhar. Cemas sebentar lelaki itu saat hendak mengelak jatuhan pain-paip besi tersebut. Kini, giliran Adnan pula tersenyum.

“Kalau badan sahaja besar tetapi otak kecil, tiada guna juga.” Adnan segera berlalu daripada situ. Baju kemejanya yang tersangkut di sebatang paip besi diambil bersama begnya. 

“Aduh, sakit juga…” lelaki itu mengaduh kesakitan saat dia cuba mengesat darah di bibirnya.

“Tunggu…”Azhar cuba untuk meminta bantuan Adnan namun langsung tidak dihiraukan.

Dari kejauhan, sepasang mata tua sibuk memerhatikan situasi yang sedang berlaku. Segaris senyuman terukir di wajahnya. Lelaki itu, sesuai sekali untuk misi kali ini.

***

Hari semakin gelap. Adnan kini sudah berada di hadapan rumahnya. Sunyi sekali suasana saat itu. Pasti ibunya sudahpun tidur. Dia mengeluh perlahan. Sudah beberapa kali dia dimarahi oleh ibunya kerana sering memohon untuk menjadi tentera sedangkan dirinya langsung tidak layak untuk menjadi askar. Kata ibunya, cukuplah jika dia sekadar membantu ibunya menorah getah di kebun orang Kaya iaitu Mr William.

Buku limanya dikepal penuh geram. Itulah yang paling dia benci. Mengapa, di tanah sendiri, orang Melayu harus menjadi hamba? Sedangkan ini Tanah Melayu! Ini tanah Melayu! memikirkan hal itu, dia belajar dengan bersungguh-sungguh meskipun terpaksa masuk ke sekolah Inggeris. Dia ingin menjadi orang yang terpelajar dan menghapuskan minda sempit masyarakat Melayu saat itu. Tanpa disedarinya, setitis mutiara jernih mula menitis dan mengalir dari tubir matanya. Air matanya yang ditahan sejak siang tadi kali ini terus keluar tanpa berhenti.

Dia sayangkan tanah airnya. Dia enggan terus hidup dalam penjajahan ini. Tidak lagi. Justeru, mengapa niatnya sucinya itu ditolak mentah-mentah oleh kaumnya sendiri?

“Assalamualaikum. Hai anak muda, kenapa kamu masih di sini? Hari sudah gelap.” Tegur seorang lelaki tua yang berjanggut panjang dan putih seluruhnya. Adnan segera mengesat air matanya sebelum memandang ke arah lelaki tua yang sedikit bongkok itu. Mujur sahaja si tua itu membawa bersamanya sebuah lampu minyak tanah. Dia masih belum pernah melihat lelaki ini. Mungkin musafir, getus hatinya.

“Wa..waalaikumusalam. Sa..saya..nak masuk dah ni. Maafkan saya.” Adnan segra mengorak langkahnya.

“Tunggu!” panggil lelaki tua itu.

“Kau sepertinya mempunyai masalah yang sukar untuk diceritakan. Anak muda, siapa namamu?” soal lelaki tua itu lagi. Terhenti sebentar langkah Adnan.

“Saya? Nama saya Adnan. Err..”

“Panggil aku Tok Janggut.”Adnan menekup mulutnya hendak menahan tawa. Takkanlah nama lelaki tua ini benar-benar Tok Janggut? Wira daripada Kelantan yang dihukum bunuh dengan kejam oleh askar British lebih seratus tahun yang lalu.

“Kau agak biadap anak muda.” Tok Janggut tersenyum sinis. Adnan segera berhenti tertawa. Dia sedar akan kesilapannya saat itu.

“Ma..maafkan saya.” Adnan segera meminta maaf. 

“Tidak mengapa Adnan. Baiklah, seperti yang aku katakan tadi, kau sepertinya mempunyai masalah. Biar aku tawarkan sesuatu yang baik untuk kau. Namun, sebaiknya kau persiapkan minda kau untuk menerima semua ini sekiranya kau benar-benar ingin cita-cita kau tercapai.”

Gulp! Bunyinya agak serius sekali. 

“Adnan, adakah kau benar-benar fikir, dengan tubuhmu ini, kau akan terpilih dalam anggota askar Melayu?” soal Tok Janggut.

Senyap seketika. Adnan mengeluh perlahan. Benar. Dia sedar akan hakikat pahit itu. Dengan fizikalnya yang begini, mustahil untuk dia terpilih dalam askar. Lelaki tua di hadapannya dipandang lama. Siapa lelaki tua ini? Datangnya secara tiba-tiba. Kelihatannya lelaki berjanggut putih ini serba-serbi tahu tentang dirinya.

“Saya tahu, agak mustahil untuk saya masuk ke dalam tentera.” Tok janggut mengeleng perlahan mendengar jawapan Adnan itu.

“Aku rasa kau ini bukanlah seorang yang mudah berputus asa.”

“Tapi, sememangnya agak mustahil untuk saya menjadi tentera.”

“Bukan itu maksud aku. Kau… sayangkan bumi ini atau tidak?” Adnan mengangkat wajahnya. Soalan jenis apakah ini?

“Sudah tentu aku…”

“Jadi itu sudah cukup. Esok, jumpa aku di kaki bukit hujung sana selepas subuh. Dan, jangan beritahu sesiapa pun mengenai pertemuan kita berdua pada malam ini.”

“Hah? Untuk apa?”

“Kau akan tahu esok.” Lelaki tua itu melangkah perlahan bersama lampu minyak tanahnya. Susuk tubuh tua itu hilang ditelan kegelapan malam. Adnan termenung sebentar. Bolehkah lelaki yang bernama Tok Janggut ini dipercayai?

***

Pagi itu, dia menyusup keluar bersama lampu minyak tanah sebaik sahaja selesai menunaikan solat subuh secara berjemaah di surau kampung. Langkahnya tidak terus ke rumah sebaiknya terus menuju ke kaki bukit hujung kampung itu. Hatinya tertanya-tanya sama ada Tok Janggut itu benar-benar manusia atau jelmaan semata-mata. Hatinya dikuatkan untuk ke sana.

Semakin dia ke dalam kawasan penuh semak samun itu, suasana di sekelilingnya kian menjadi sunyi. Dari kejauhan kelihatan satu susuk bongkok sedang tersengih menanti kehadirannya. Nampaknya Tok Janggut benar-benar serius!

“Mari, kita tidak boleh buang masa lagi.” Tok Janggut segera mengatur langkahnya utuk mendaki bukit itu. Adnan yang masih teragak-agak hendak mengikuti lelaki tua yang baru sahaja dikenali malam tadi masih lagi tercengat di situ. Dia masih ragu-ragu dengan Tok Janggut.

“Tok Janggut bukan komunis bukan?” soalan itu diajukan dengan suara yang terketar-ketar. Bimbang juga dia jika diserap masuk ke dalam kumpulan yang menolak kewujudan tuhan itu. Tok Janggut tersenyum lalu mengeleng perlahan.

“Adnan, orang tua seperti aku ini, komunis langsung tidak pandang. Ayuh, apa kau tunggu lagi. Cepat! Sebelum hari cerah!” Tok Janggut kembali mendaki bukit itu. Kata-kata lelaki tua itu langsung membuatkan pemuda itu yakin. Dia segera mengikuti Tok Janggut.

Dari curam bukit, mereka merentas hutan tebal itu tanpa sebarang bicara. Meskipun hari sudah cerah, namun suasana hutan masih gelap memandangkan rimbunan pepohon besar di rimba itu telah pun menutup sebahagian langit. Kedengaran unggas-unggas dan mergastua bersiulan dan menyambut nyanyian merdu satu sama lain. Nyaman sekali suasana flora dan fauna itu. Adnan masih mengikut tanpa banyak soal. Mujurlah, dia sememangnya seorang yang bersemangat tinggi dan tidak mudah mengalah. Melihatkan kepada lelaki berjanggut putih di hadapannya saat itu, dia sendiri pun kagum. Sungguh kuat Tok Janggut hendak berjalan sejauh ini.

Hampir dua jam merentas hutan di bukit itu, mereka sampai di sebuah gua. Lubang gua itu sungguh kecil dimana hanya seorang sahaja yang mampu masuk dalam satu masa. Adnan meneguk air liurnya perlahan. Adakah lelaki tua ini ingin dia masuk?

“Adnan, silakan masuk ke dalam gua ini.” Tok Janggut mempersilakan lelaki muda itu itu masuk terlebih dahulu.

“Tok Janggut, ini gua apa?” Adnan mula mempersoalkan kewujudan gua itu. Selama ini, belum pernah dia terperasankan kewujudan gua itu sekiranya datang ke sini untuk mengutip kayu api.

“Cuba masuk.”

Memandangkan soalannya tidak berjawab, dia turutkan sahaja arahan Tok Janggut itu. Gua itu bagaikan diciptakan untuk manusia kurus sepertinya. Dengan mudahnya dia masuk ke dalam. Setelah Adnan berjaya bolos ke dalam, giliran Tok Janggut pula. Namun, Tok Janggut sampai agak lambat memandangkan tubuhnya lebih berisi berbanding Adnan.

Bagaikan melihat dunia baharu, Adnan tergamam sebentar saat melihat di sekelilingnya. Gua itu sangat luas dan cerah dengan lampu minyak tanah. Pelbagai mesin-mesin asing sedang beroperasi. Beberapa orang pemuda yang hampir sebaya dengannya turut ada di situ.

“Tok Janggut! Tempat apakah ini? Saya tidak mahu masuk dalam kumpulan pengganas!” Adnan mula memberontak.

“Woi, siapa yang kau panggil pemberontak?” seorang lelaki menjerit dari belakang sebuah mesin. Terjongket bahu Adnan kerana terkejut dengan sergahan daripada orang yang tidak dikenalinya itu. Tok Janggut hanya tersengih sambil menepuk-nepuk bahu Adnan.

“Adnan, tahniah, kamu terpilih untuk menjadi Tentera Khas Malaya”

“Ap..apa?” Adnan ternganga sebaik sahaja mendengar kata-kata Tok Janggut itu. Gurauan apakah ini?

“Tok Janggut.. ini semua..”

“Tak masuk akal bukan?” Tok Janggut memotong ayatnya. 

“Kau patut bersyukur budak!” lelaki yang menengkingnya dari sebalik mesin tadi bangun lalu mara ke arah mereka. Sekali lagi Adnan terkejut. Bukankah lelaki ini ialah pegawai yang telah menggagalkannya dalam pemilihan tentera semalam?

“Adnan, kenalkan ini ialah Leftenan Syahid.” Tok Janggut tersenyum penuh makna. Adnan memaksa dirinya untuk bersalam dengan lelaki itu meskipun tidak menyukainya.

“Ja..jadi Tok Janggut ialah…”

“Aku ialah saintis persendirian yang mencipta senjata untuk askar melayu. Namun teknologi kita masih belum sehebat orang Inggeris. Jadi kerana itulah, kami memerlukan kau Adnan.”

“Saya?” Adnan menunjuk kea rah dirinya sendiri.

“Ya. Kau akan menjadi bahan eksperimen untuk menjadi tentera yang paling padu dan gagah di abad ini. Jika berjaya, kita dapat bebaskan negara kita daripada cengkaman musuh barat!” Adnan hanya mampu tersengih dan mengeleng perlahan. Mustahil. Semua itu mustahil.

“Tok Janggut, saya yang akan jadi gagah? Cukuplah jika saya dapat menjadi tentera. Itu sudah buat saya bersyukur. Tak usahlah menyindir saya lagi.”

“Kau akan dapat apa yang kau mahukan Adnan. Leftenan Syahid di sini pada hari ini adalah untuk merekrut kau. Selepas ini, kau akan ikuti latihan dengan tentera-tentera lain. Sebelum kau menjadi bahan eksperimen penting ini, kami akan melakukan pelbagai ujian terlebih dahulu untuk memastikan kau adalah orang yang terbaik.” Tok Janggut mencampakkan sebuah beg kepada Adnan.

“Tugas kau bermula hari ini.” Leftenan Syahid segera berlalu. Tok Janggut menyuruh Adnan untuk mengikuti pegawai tersebut. Saat itu Adnan sendiri tidak tahu sama ada dia patut gembira atau tidak. Namun, akhirnya dia memilih untuk gembira.

***

“Baris sedia!”

“Ke kanan lurus!” 

Kemas sekali gerak kawad pemuda-pemuda yang baru sahaja terpilih dalam anggota tentera itu kecuali seorang lelaki. Dia agak rendah dan kurus berbanding yang lain. Setiap arahan kawad yang diberikan dilakukannya dengan tidak teratur. Walaupun sudah diajar berkali-kali, dia masih sukar untuk mengubah kesilapannya itu. 

“Yang melakukan kesilapan, sila jujur dan hukum diri semdiri dengan bangkit tubi sebanyak 20 kali bagi setiap kesilapan!” tanpa membuang masa, Adnan segera meniarap untuk melakukan bangkit tubinya sebagai hukuman terhadap kesalahan yang telah dilakukan dalam barisan kawad. Rakan-rakannya yang lain tidak segan silu mentertawakannya. 

“Kenapalah dia boleh terpilih? Lucu betullah!” bisik seorang tentera pelatih di hadapan sambil menekup mulutnya.

“Yang lain sila senyap.” Leftenan Syahid segera bersuara. Dia mengeluh perlahan melihat Adnan yang bekerja keras melakukan bangkit tubinya. Tok Janggut di sisinya dipandang dengan wajah kurang percaya. Dia langsung tidak bersetuju saat lelaki tua itu menyuruhnya merekrut lelaki itu ke dalam tentera pelatih.

Tok Janggut hanya tersengih dan mengangguk perlahan. Dia mencapai bom asap palsu dari kotak berhampiran lalu mencabut pin bom tersebut. Tanpa memberikan sebarang amaran, bom tersebut digolekkan ke arah barisan kawad tentera itu.

“Hati-hati, aku tercabutkan pin bom. Semua lari!” Tok Janggut menjerit lantang. Masing-masing terkejut dengan kehadiran bom tersebut. Mereka semua segera melarikan diri. Ada yang bersembunyi untuk mengelakkan letupan bom tersebut. Adnan yang melihat situasi tersebut segera berlari ke arah bom tersebut lalu menekup bom tersebut dengan tubuhnya.

“Yang lain, jauhi aku!” Adnan menjerit mengarahkan yang lain bersembunyi. Mulutnya mengira detik-detik yang tersisa sebelum bom tersebut meletup.

“Tiga..dua..” Adnan memejamkan matanya. Satu…hatinya menyebut. Dia tidak kisah jika diletupkan di situ asalkan yang lain terselamat.

Terasa seperti dahinya dijentik. Matanya dibuka perlahan. Eh, apa sudah jadi? Bom tersebut tidak meletup?

“Dah, hentikan drama kamu tu.” Leftenan Syahid bersuara acuh tak acuh. Wajah Tok Janggut dijeling sambil mengeleng-ngeleng kepalanya perlahan.

“Sekarang kita sudah boleh lihat siapa yang berani dan siapa yang penakut macam tikus!” ujar Tok Janggut sambil tersengih. Dia segera berjalan pergi. Tentera pelatih yang lain hanya mampu tersipu-sipu malu. Tidak sangka pula lelaki tua itu hendak menguji mereka. Azhar yang turut berada di situ hanya mampu mengetap bibirnya menahan geram. 

Adnan yang masih tidak faham dengan situasi tersebut hanya mampu terpinga-pinga di situ.

“Sudah, yang lain semua bubar!” Leftenan Syahid memberikan arahannya.

Begitulah sehari-hariannya. Meskipun Adnan langsung tidak menyerlah dalam latihan fizikal namun, apabila diberikan tugas yang melibatkan percaturan dan strategi, dia langsung tidak menghampakan. Kesemua ciri-ciri yang dikehendaki pada diri pemuda itu telah pun dianalisis dalam diam oleh Tok Janggut. Semua itu langsung tanpa pengetahuan Adnan. Lelaki itu sendiri sudah pun lupa akan sebab utama dia direkrut ke dalam tentera.

***

“Adnan, sudah tiba masanya ujian dijalankan. Adakah kau sudah bersedia?” soal Tok Janggut. Dia dibaringkan dia atas katil khas yang ditutup dengan cermin kaca bagi memudahkan pemerhatian dilakukan ke atas lelaki itu. Adnan mengangguk perlahan.

Lantas tanpa membuang masa lagi, dia disuntik dengan sejenis serum berwarna ungu. Giginya diketap perlahan kerana menahan sakit yang amat sangat. Cecair itu terasa seperti bisa yang menjalar ke seluruh badannya. Pandangannya kian berpinar-pinar. Samar. Wajah Tok Janggut dikerling dengan pandangan sayu. Setitis cecair jernih mengalir dari hujung matanya sebelum pandangannya gelap seratus peratus. 

***

Sudah dua tahun berlalu. Begitu banyak perubahan telah berlaku. Adnan telah pun dilantik menjadi pegawai atasan dalam unit ketenteraan. Dia bertanggungjawab dalam merangka strategi peperangan. Namun, keamanan itu cuma sementara. Selagi Tanah Melayu masih belum merdeka, selagi itu keamanan itu bukan milik kita!

“Tuan, kami dapat berita bahawa tentera Jepun telah mendarat di Kota Bharu!” Adnan termenung panjang saat mendengar perkhabaran buruk itu. Nampaknya, askar Inggeris telah tumpas di tangan Jepun. Tidak habis-habis dengan penjajahan. Dia tidak akan benarkan sekali lagi tanah airnya dijajah. Pencoroboh itu patut diusir dari sini!

Lalu strategi peperangan pun dirangka. Namun, terdapat cela dalam percaturan kali ini. Hal ini kerana, wujudnya tali barut dalam kalangan orang Melayu. Sangka mereka, dengan membiarkan Jepun memerintah Tanah Melayu, orang Melayu juga akan dapat hidup aman sentosa di bawah pemerintahan Jepun namun janji dan propaganda yang ditaburkan oleh tentera negara matahari terbit itu bagai menanam tebu di bibir sahaja. Mereka jauh lebih kejam berbanding orang Inggeris.

Begitu banyak kemusnahan berlaku. Kali ini, Adnan sendiri terpaksa berhadapan dengan mereka semua. Di sekelilingnya, sahabat-sahabat seperjuangan sudah pun tumbang menyembah bumi setelah ditikam dengan bayonet milik tentera Jepun.

“Ikat dia!” arah Ketua tentera Jepun itu. Adnan yang sudah longlai itu diikat di sebatang pokok. 

“Biar aku ajar bagaimana caranya hormat orang Jepun!” Askar Jepun itu menikam perut Adnan berkali-kali sehingga lelaki itu tidak mampu lagi menyuarakan rasa sakitnya. Sebelum sekali lagi dia ditikam, sebutir bom asap tiba-tiba dilontar ke arah meraka.

“Eh, musuh datang! Cepat bersiap dengan senjata masing-masing!” Askar itu mengarahkan konco-konconya dalam bahasa Jepun. Namun asap yang keluar daripada bom tersebut menyukarkan meraka untuk melihat ke hadapan.

“Dasar penjajah, aku takkan biarkan kau rosakkan keamanan bumi bertuah ini!” seorang lelaki berjanggut putih muncul dengan keris di tangannya. Dalam asap tebal itu, dia menikam satu persatu tentera yang ada.

“Adnan, kau harus kuat. Kau harus kuat!” Tok Janggut segera memapah tubuh Adnan dengan berhati-hati. Perutnya sudah hampir hancur kerana ditikam berkali-kali. Namun lelaki tua itu tidak mudah gelabah. Dia mengeluarkan sebotol cecair berwarna unggu.

“Sepatutnya kau tidak boleh ambil botol kedua ini selepas dos pertama dua tahun lalu. Namun, aku tetap harus berikhtiar untuk menyelamatkan satu nyawa. Ya Allah, selamatkanlah anak muda ini.” Cecair itu dicurahkan ke atas luka tikaman pada badan Adnan.

Bang! 

Bergema kawasan itu dengan satu bunyi tembakan senapang. “Uhuk!” tersembur cecair merah pekat dari mulut lelaki tua itu. Tubuhnya rebah mendakap tubuh Adnan.

“Ya Allah. Merdekakanlah Tanah Melayu….”

“Tok Janggut…?” kedengaran suara halus daripada Adnan. Namun matanya masih terpejam. Tok Janggut hanya mampu melakar senyuman terakhirnya. Akhirnya pandangannya kian samar.

Gelap.

Setelah dua tahun berlalu, Jepun mengundur diri setelah bom atom dilepaskan di Hiroshima dan Nagasaki. Ternyata mereka juga serik dengan serangan besar itu. 

Tanah Melayu kembali diperintah oleh British namun semua itu tidak lama. Masyarakat Melayu semakin sedar dan mulai bangkit untuk bersuara. Ternyata cara yang sesuai bukan lagi dengan peperangan senjata dan pertaruhan nyawa namun, cukuplah dengan kelantangan dalam bersuara ditambah pula dengan kemunculan masyarakat intelek dalam kalangan masyarakat tempatan.

Tahun demi tahun berlalu. Pelbagai cabaran hadir termasuklah dengan ancaman komunis selama 14 hari. Setelah itu, mereka dapat dibanteras dengan kebijaksanaan pemimpin pada masa itu. Melihatkan Malaysia yang sudah mampu berdiri atas kaki sendiri, British telah memberi kepercayaan kepada Malaysia untuk membina kerajaan sendiri dan memerintah di negara sendiri dengan beberapa syarat penting. Tanggal 31 Ogos 1957 ialah detik yang paling mengharukan buat semua rakyat Malaysia. Akhirnya kalimah ‘Merdeka’ itu berjaya dilaungkan dengan rasa bangganya. 

Merdeka! MERDEKA!

Peperangan kecil itu ternyata telah mengorbankan begitu banyak nyawa. Mereka semua dinobatkan sebagai perwira yang berjuang untuk tanah air. Semua yang menyertai peperangan itu tersenarai namun, nama Adnan langsung tidak tercatat dalam sejarah. Hal ini kerana, jasadnya hilang dari tempat kejadian saat operasi mencari mangsa peperangan dilakukan. Tiada sesiapa pun yang tahu di mana lelaki itu pergi. Sama ada hidup ataupun mati, hanya Allah yang tahu.



Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Farah Hanim