Home Cerpen Umum Saya dari Kayangan
Saya dari Kayangan
Hasan Z. Ali
16/4/2020 18:13:57
417
Kategori: Cerpen
Genre: Umum

Awal Mac 2020. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengisyhtiharkan Coronavirus Disease (COVID-19) sebagai pandemik. Dunia telah mengunci diri. Negara-negara maju mula menutup negaranya. Perintah Berkurung atau Lockdown telah dilaksanakan bagi membendung wabak ini. Negara-negara mula membawa pulang warganegaranya ke tanah air. Negara kaya China mulai lumpuh. Negara bongkak Amerika mengubur rakyatnya sendiri. Negara elegan Itali juga tersungkur.

 

Paling terkesan, Masjidil Haram, masjid paling suci umat Islam disekat kunjungannya. Mataf yang dahulunya bersesak dengan jemaah yang bertawaf siang dan malamnya, kini tinggal sebuah padang putih yang sunyi dari pijak kaki-kaki tetamu Allah. Bakal-bakal Haji dan Hajah 1441 hijrah sudah boleh menerima kenyataan, tiada ibadah haji dikerjakan untuk tahun ini. Situasi abnormal ini sudah lama tidak berlaku sejak wabak taun yang menimpa wilayah Hijaz dan serangan di Padang Arafah yang diperkirakan oleh sejarah beratus tahun lamanya. Tahun ini, dunia Islam meratapi kesunyian tanah suci.

 

Dunia lagipun sudah tua. Seandainya dikira dari turunnya Nabi Adam A.S. ke dunia ini, nescaya tak terkira tuanya. Dunia ini juga sakit melarat. Angkara gila dan rakus manusia, bumi batuk-batuk. Bumi demam panas. Ada hutan dibakar, ada sungai dicemar, ada saja bangunkan. Meniti akhir zaman, perilaku manusia menjadi-jadi. Agama Allah jadi taruhan. Sesetengah hanya pada nama semata-mata. Hidup dalam isme-isme yang merosak jiwa. Hidup semata nafsu serakah. Mencampakkan diri sengaja dalam hina nyata. Merai sakan siraman arak, menipu bohong rakyat serta mengaku songsang. Melampau. Bala tuhan beri. Tsunami, gempa kota, banjir, tornado dan tengkujuh. Tetap tiada kesan. Bahkan manusia mencipta bala sendiri. Jerebu dan sebaran radiasi. Gila. Mengingat tuhan pun ada masa. Masa susah disembah, masa senang boleh belah.

 


 

Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Amavalu sudah dipenuhi dengan warganegara dari luar negara yang selamat tiba di tanah air. Terdapat pelajar yang menuntut di luar negara dan pekerja mahir. Mereka semua diberi arahan untuk berkuarantin di pusat kuarantin yang disediakan oleh kerajaan selama 14 hari sebelum kembali ke pangkuan keluarga.

 

Serdadu-serdadu berkawal. Biasa bersembunyi di belakang kubu, hari ini mereka diarahkan untuk mengawasi rakyat marhaen sendiri.

 

Alat pengimbas diimbas pada dahi setiap orang. Mereka beratus tak kira kelas mahupun status beratur seperti budak sekolah menaiki bas-bas yang sudah menanti mereka di pintu balai penyambut.

 

Mereka kemudiannya dibawa ke pusat kuarantin yang disediakan oleh kerajaan. Salah satunya ialah Pusat Latihan Pertanian Negara di Jalan Mat Kilau. Biasanya bangunan ini digunakan oleh para pelajar kursus pertanian selama 6 bulan. Bilik asrama telah diubahsuai menjadi bilik-bilik kuarantin. Lagipula, senang, asrama bilik yang duduk dua orang sebilik. Tandas pun dalam bilik. Cukup untuk menempatkan 120 orang di sini. Ruang-ruang utama pusat latihan ini turut dibuat pengubahsuaian sementara. Pejabat pusat kini menjadi pejabat dan tempat perbincangan paramedik yang bertugas. Bilik rawatan pusat ini sedia menjadi klinik kecil, bilik kuliah menjadi ruang kajian dan pengumpulan sampel begitu juga kantin menjadi pusat sajian.

 

Raiha antara yang ditempatkan di pusat latihan ini. Dia baru saja pulang dari Dubai, bercuti katanya. Menginap di Burj Al-Arab, harganya bukan calang-calang. Bagai bahu bersandar bantal emas, kaki ditungku bantal perak. Inikan pula membeli-belah di sana, kalau bukan beg tangan kulit Gucci dan kain Versace. Nama pun Dubai, tempat orang kaya. Balik pun dengan tempat duduk kelas pertama, setakat makan Nasi Kerabu tiga suap pun dah 90 ringgit, jus epal tawar gelas tinggi, apalah sangat. Celah gigi sahaja. Kelas perniagaan tak selesa buatnya. Inikan pula kelas ekonomi. Euwww, bukan tarafnya. Tapi, hebat-hebat dia pun, sampai tanah air tetap dikawal. Negaranya bukan negara kapitalis. Lihat saja, sampai tanah air terus disuruh beratur bersama orang kelas pertengahan dan kelas bawahan ke pusat kuarantin juga.

 

Raiha menunggu giliran untuk masuk ke pusat kuarantin.

 

“cik Raiha kan? Selamat datang ke Pusat Kuarantin Kod Anggerik 5 PLPNA. Bilik cik bernombor 58. Taklimat akan diberikan sebentar lagi,” kata Dr. Kamilah, seorang pegawai penyelia pusat kuarantin di PLPNA. PLPNA merujuk kepada Pusat Latihan Pertanian Negara Amavalu. Dr. Kamilah merupakan pegawai yang bertanggungjawab mengurus selia pekuarantin di pusat ini. Raiha mengambil nombor biliknya. Dia pun memikirkan benda-benda pelik di benak jiwanya. Statusnya sebagai seorang janda kaya dengan harta peninggalan suaminya yang merupakan mantan CEO syarikat perkapalan, mendiami rumah agam di Seri Berjaya, mempunyai pulau peribadi di utara Amavalu, memiliki inap desa di Australia, memiliki sebuah kondominium mewah di tengah-tengah bandar teknologi Safarahan, yang sekarang pula disuruh kuarantin selama 14 hari di pusat latihan PERTANIAN yang hina di matanya itu.

 

Seusai pendaftaran, Dr. Kamilah mula memberi taklimat kepada pekuarantin seramai 120 orang yang dipilih untuk dikuarantin di sini.

 

“Assalamualaikum dan Salam Sejahtera semua, nama saya Dr. Nur Kamilah Ilmi binti Affan. Saya merupakan ketua penyelia Pusat Kuarantin Kod Anggerik 5 Pusat Latihan Pertanian Negara Amavalu ini untuk menguruskan kalian di sini selama tempoh kuarantin selama 14 hari bagi memutuskan rantaian jangkitan COVID-19 sebelum anda semua dibenarkan untuk kembali ke pangkuan keluarga. Saya tahu ramai di sini merindui keluarga tersayang. Jauh dari Eropah, Asia dan Timur Tengah anda semua pulang ke tanah air ini hanya untuk bertemu dengan keluarga. Tapi kita kena putuskan rantaian COVID-19 terlebih dahulu. Saya harap semua faham. Disini kami akan berusaha sedaya upaya untuk menjaga anda semua. Kita disini ibarat sebuah keluarga besar yang saling berkasih-sayang,” begitulah kelembutan ucapan Kamilah. Dia tahu kelembutan bicara disenangi ramai. Maka dia harus bijak menyusun bibit kalimah.

 

Taklimatnya panjang. Pekuarantin tekun sambil terpaksa akur akan beribu kekangan yang dihadapi. Mereka hanya perlu duduk di dalam bilik sahaja sepanjang tempoh kuarantin. Mereka ditegah untuk berkumpul dan bersosial antara satu sama lain. Pihak medik akan mengetuk pintu bilik dua hingga kali sehari untuk memeriksa kesihatan pekuarantin bagi mengesan sekiranya ada gejala. Makanan turut dihantar dari bilik ke bilik. Ini bagi mengelakkan berkumpul atau sebarang situasi yang mengundang penyebaran.

 

Raiha mula diarahkan untuk masuk ke bilik kuarantin. Dia dari tadi menyimpan omelannya saja. Turut dibawa bagasi pakaian dan barang belian dari Dubai. Tadi, dia turut dibekalkan dengan kad pengenalan kuarantin, sebotol alat pembasmi tangan dan topeng muka.

 

Setibanya di bilik bernombor 58, dia membuka pintu. Hah, ianya hanyalah sebuah bilik kecil, ada sebuah katil bujang, meja belajar, kerusi, rak penyidai, pemanas air, kipas dinding, lampu kalimantang. Di tandas terdapat tandas duduk biasa, sinki dan pancur air. Bilik ini sebenarnya bilik asrama pelajar pertanian yang menuntut di sini.

 

Sudah semestinya Raiha tidak berpuas hati. Bilik pakaiannya 5 kali ganda lebih besar. Itu tak termasuk almari tas tangannya lagi. Lantai pula hanya simen semata-mata. Kipas pula hanya sebuah melekat di dinding. Raiha mula merungut.

 

“kenapa saya kuarantin dekat sini? Tempat ni tak setaraf dengan saya tahu tak?,” suara Raiha meninggi pada Fatin, seorang pramusaji yang menghantar makanan dihadapan biliknya. Fatin hanya mampu menenangkan Raiha kerana mengurus tempat kuarantin bukan bidang kuasanya.

 

“puan,nanti saya beritahu pada Dr. Kamilah ya,” pujuk Fatin. Dia meletakkan bungkusan makanan dan minuman diatas meja di hadapan bilik Raiha. Ia merupakan SOP dalam sajian kepada pekuarantin demi mengelakkan sentuhan.

 

“ni ada makanan, saya letak disini ya,” senyum Fatin walaupun bertopeng muka.

 

“hah, apa ni? Nasi goreng kampung? Telur goreng? Air sirap? Kampung betul makanan ni,” Raiha merungut lagi. Fatin bengang namun ditahan saja. Orang kaya memang banyak perangai. Makan pun merungut. Rezeki Allah tu. Bersyukurlah. Entah-entah orang kaya ni bagi nasi goreng kampung ni kat kucing mereka je kutt. Hina sangat.

 

“puan, makan sahaja apa yang ada, inikan rezeki Allah,” Fatin mula menyindir. Serasa di hati mahu maki, tapi ditahan saja. Raiha mengendahkan sahaja. Lagipun, dia memang lapar sejak dari lapangan terbang lagi. Fatin pun berlalu untuk menyambung agihan makanan dari bilik ke bilik.

 

Raiha ikutkan tak kuasa nak makan makanan ‘gelandangan’ itu katanya. Waktu dia melancong ke Kuala Lumpur, dia pernah makan nasi goreng. Memang rasa murahnya. Dibasuhnya mulut dengan kopi Esspresso RM15.00 di sebuah kafe Inggeris dekat Pasar Seni. Dia tak ingin benda murah lama berbekas di mulutnya. Dia pun mengambil sudu plastik. Murah. Makan beberapa suap. Sedap juga makanan murah ni. Takdelah sampai nak muntah tapi bolehlah. Ada ikan bilis, kangkung dan hirisan lada. Boleh tahan jugaklah. Diminumnya air sirap yang sudah cair aisnya. Tawar sikit. Dia sendiri dah rasa macam orang yang merempat makan benda murahan ni.

 


 

“Doktor, boleh tak saya nak cakap sikit dengan doktor?,” Raiha akan memanfaatkan sebaiknya masa apabila berpeluang berbicara dengan Dr. Kamilah.

 

“ya cik Raiha, ada apa?,” kata Dr. Kamilah. Inilah pertemuan kedua mereka setelah pendaftaran tempoh hari.

 

“kenapa saya kena kuarantin dengan tempat yang……… doktor faham-fahamlah, kan?” kata Raiha berpimpin angkuh.

 

“saya tak faham, tempat yang apa tu cik,?” Dr. Kamilah sedikit kebingungan.

 

“doktor, tempat ni bukan standard saya doktor. Suami saya walaupun dah arwah, dia CEO syarikat. Bilik kecil, sempit, berhabuk lepastu ada bau macam deodoran lelaki ni tak sesuai dengan saya. Makanan pulak, huhu sedih! Nasi goreng kampung? Doktor, bagilah saya kuarantin kat hotel 7 bintang ke, makan stik ke, ini duduk dalam bilik panas ni TV pun takde,” rungut Raiha makin angkuh.

 

Dr.Kamilah sedar dan terketuk. Tak sangka dia dapat pekuarantin dari kayangan rupanya. Serba tak kena. Tak boleh hidup susah. Hanya tahu merungut siang dan malam. Baru dua hari, terus merungut minta itu ini. Tambahan pula dia sememangnya sibuk menguruskan pemeriksaan pekuarantin dan pengumpulan sampel, dia turut terpikul di bahu melayan manusia kayangan juga.

 

“cik Raiha, in shaa Allah saya usahakan ya,” kata Dr. Kamilah perlahan. Dia bengang, namun kerana tanggungjawab, dia cuba berikan perkhidmatan yang terbaik.

 

Dr. Kamilah malas sebenarnya. Kalau dia tak uruskan penginapan baharu Raiha, dia akan bertemu dengan Raiha setiap hari dan mendengar merungut merungut merungut. Tapi, kalau Raiha dipindahkan ke hotel, jadi satu kerjaan baharu pula nak suruh pemeriksa kesihatan pergi ke sana hanya untuk memeriksa Raiha. Dia bermesyuarat dengan jawatankuasa Pusat Kuarantin Kod Anggerik 5 PLPNA.

 

Rupa-rupanya bukan Raiha seorang sahaja yang bermasalah. Ada lagi manusia banyak songeh yang memang terdiri daripada puak-puak kayangan. Itu tak kena ini tak kena. Memang lahir bangsawan, mati pun keranda emas. Dr. Kamilah mula tertekan. Kakitangannya menenangkannya. Dia berhubung dengan Jawatankuasa Pusat Kuarantin COVID-19. Dr. Kamilah bercadang untuk mewujudkan pusat kuarantin baharu yang kecil di sebuah hotel mewah di bandar Amavalu. Dalam stres itu, dia telah menghubungi beberapa hotel terkemuka; Berseintein Locality, Grand Amavalu, Royal Chempaka dan  Autumn Tower. Mereka enggan kerana mereka bimbang kesihatan pekerja masing-masing tambahan pula sudahpun bercuti. JPK pun menolak cadangan Dr. Kamilah bulat-bulat. Kakitangan kesihatan sangat terhad inikan pula melayan kerenah kluster kayangan.

 

Dr. Kamilah hampa. Namun dia tabah menghadapinya. Tenang, 14 hari sahaja menghadap semua ni. 3 hari berlalu. 11 hari sahaja lagi. Tenang, sabar kata hati Dr. Kamilah.

 


 

“maafkan saya cik Raiha, saya dah usahakan tapi tak boleh,” Dr. Kamilah memohon maaf.

 

“tak boleh diharap langsung doktor ni. Aku ni dah hilang maruah dah duduk dalam reban ni kau tahu tak?,” tengking Raiha. Dr. Kamilah bengang. Tapi masih memohon maaf.

 

“maaf kau takde gunalah, doktor. Aku ni bini CEO. Kaya. Sampai sini kena duduk kat sehina-hina tempat ni. Dapat pulak doktor takleh pakai. Makan najis lagi, huh,” kata-kata bongkak-sebongkaknya. Dr. Kamilah sudah hilang sabar.

 

“cik Raiha, jangan biadab sangat ya cik Raiha. Sekaya-kaya cik Raiha, cik Raiha tu surirumah je. Persatuan bawang orang-orang kaya je. Acah main golf konon. Ni, kalau rasa gulai ayam ni najis, takpe, saya ambil balik. Puasa jelah cik Raiha. Dapur kami kat sini memang masak najis. Kami tak pandai nak kunyah emas,” Dr. Kamilah bagi ayat 'triggered' pada Raiha. Dua orang petugas bersamanya menyokongnya.

 

Raiha menolak Dr. Kamilah. “eh, manusia, kau jaga sikit kata-kata kau eh. Silap haribulan aku boleh saman kau tau.,” ugut Raiha. Dr. Kamilah mengusap PPE-nya. Dia pantang dicabar. Dia tidak lagi melihat jawatannya.

 

“eh pompuan! Kau rasa kau kaya boleh bawak mati ke? Kau ingat aku ada masa nak layan kau banyak songeh ni! kau ingat aku ada masa nak sakit kepala? Sombong punya manusia,” Dr. Kamilah bersuara keras. Dia tahu dia berada di bendera kebenaran.

 

Raiha menghempas pintu. Marahnya menjahit dendam. Bongkak terus bongkak. Dia menyepahkan biliknya. “arghh!!,” jeritan amarah.

 


 

Dr.Kamilah dipanggil oleh pihak atasan JPK. Dia dituduh biadab dengan pekuarantin. Dia berunding. JPK sendiri pernah menolak cadangannya bulat-bulat. Naik gila Dr. Kamilah mengadap hari-hari. Hilang kredibilitinya sebagai seorang doktor kalau begini. Raiha sudah menfailkan tuduhan di mahkamah. Dengan angkuhnya dia berkata “biadap punya doktor,”. Tak semena-mena Dr. Kamilah dikenakan tindakan tatatertib. Dia akur. Dia dipaksa memohon maaf pada Raiha. Dr. Kamilah melutut. Raiha menghina doktor itu dengan meletak kaki di atas peha melutut Dr. Kamilah. Raiha sudah menang.

 

Raiha rasa dia menang. Dan dia ingin membuat benda lagi teruk pada Dr. Kamilah.

 


 

Keesokan harinya, pagi-pagi lagi Fatin sudah menyediakan menu sup cendawan panas, sandwich sardin dan teh o suam untuk pekuarantin di PLPNA. Dia mula menyusun pada troli sajian. Ditolaknya troli berjalan untuk diagihkan.

 

Bilik 56 sudah, 57 pun sudah. Kini bilik 58 pula. Eh, ada darah mengalir dari bawah pintu. Bunyi mengaduh terdengar sayup-sayup di dalam. Fatin takut. Dibukanya pintu perlahan-lahan.

 

Masha Allah! Raiha menangis kerana terpijak kaca. Darah memancut keluar. Walaupun sudah ditutup, namun ia kian mencurah. Fatin memuka kasihan. Dari kaki lima tingkat 4 itu, Fatin melaung tolong. Beberapa petugas kesihatan tiba di pintu bilik. Mereka menuntun Raiha ke bilik rawatan.

 

Sesampainya di bilik rawatan, lukanya dibasuh dengan air mengalir. Dia menjerit sakit. Disapu antiseptik kemudian lukanya dibalut. Dr. Kamilah pun datang melihat.

 

“cik Raiha, macam mana? saya tengok pendarahan kritikal walaupun hanya luka kecil.,”kata Dr. Kamilah.

 

Raiha menangis teresak-esak. Dia menyesal kerana berlaku biadab terhadap Dr. Kamilah.

 

“doktor, maafkan saya,” kata Raiha berseduan. Dia terharu kerana Dr. Kamilah mengambil berat padanya. Dia faham kenapa Dr. Kamilah berlaku biadab padanya tempoh hari. Sebab dia yang biadap dulu.

 

Dr.Kamilah menahan airmata dari menembus kelopak mata. Dia sedar tanggungjawab sebagai doktor. Dia tak sepatutnya berlaku biadab. Bukan kerana dia seorang doktor atau seorang yang bekerja dalam sektor perkhidmatan, akan tetapi sebagai seorang Muslim yang sejati. Seorang Muslim dilarang menyakiti saudaranya dengan kata-kata mahupun perbuatan. Dia benar-benar menyesal.

 

Raiha dan Dr. Kamilah saling bermaafan. Walaupun tidak berpelukan, masing-masing telah bermuhasabah diri. Sejak dari itu, Raiha cuba memahami kehidupan warga marhaen dan menyenangi frontliners seperti Dr. Kamilah.

 


 

14 hari tamat akhirnya. Semua pekuarantin dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing. Namun, mereka perlu duduk di rumah selagi masih berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

 

Raiha mengemas barangnya. Dia rasa macam sekejap sahaja.

 

Bas-bas sudah bersedia untuk menghantar pulang pekuarantin di PLPNA. Raiha mencari Dr.Kamilah.

 

“eh, apa ni Raiha?,” Dr. Kamilah terkejut dengan sebuah totebag yang dipenuhi dengan aneka cenderamata dari luar negara.

 

“ini cenderamata yang saya beli di Dubai. Ambillah, saya hadiah,” kata Raiha tersenyum.

 

“eh, tak perlulah Raiha, mahal sangat ni, sayang,” Dr. Kamilah segan bila diberi hadiah itu. Dia berkira-kira 1000 ringgit jejak juga tu nilainya.

 

“takpe, lagipun doktor dah ajar saya erti kehidupan yang sebenar. Doktor dah menyedarkan saya bahawa kesombongan tak boleh membawa apa-apa manfaat,” terang Raiha. Selama ini pun dia sering memandang rendah pada golongan bawahan, yang sebenarnya mencerminkan erti realiti.

 

Dr. Kamilah serba salah. Lagipun, jika ditolak kecil hati Raiha. Terima kasih memadai.

 

“nanti tambah kawan di Facebook tau!,” kata Raiha riang. Mereka ketawa keceriaan.

 

Raiha menaiki bas meninggalkan Pusat Latihan Pertanian Negara Amavalu. Raiha melambai pada Dr. Kamilah dari jauh. Mereka berdua telah mendapat satu pengajaran yang bermakna dalam hidup mereka.

 

-tamat-

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.