Home Cerpen Kanak-kanak SABUT KELAPA
SABUT KELAPA
Zakuan Faizz
12/11/2015 06:57:59
5,038
Kategori: Cerpen
Genre: Kanak-kanak

“MAK, di mana Mak letak berus sabut untuk mencuci kasut sekolah saya?” kata Raiz sambil duduk menyangkung di dalam bilik air.

Raiz memandang liar ke kawasan sekitar bilik air. Dia mencari berus tersebut, namun tidak jumpa.

“Raiz, berus itu Mak sudah buang. Berus itu sudah kelihatan uzur. Bentuknya pun tidak lagi seperti asal, jadi Mak telah buangkannya ke dalam tong sampah,” sayup-sayup kedengaran suara Maknya datang dari ruang tamu rumah yang sedang sibuk menjahit pakaian.

“Bagaimana aku nak cuci kasut aku yang kotor ni?” ujar Raiz dalam hatinya yang sedikit bimbang.

Raiz sangat pembersih orangnya. Dia tidak suka melihat pakaiannya kotor. Baju sekolah yang dia gunakan setiap hari juga akan dia cuci selepas pulang dari sekolah. Dia tidak mahu baju sekolahnya berbau masam dan terkena peluh. Dia juga akan seterika baju seragam sekolahnya setiap hari. Dia akan seterika bajunya sehingga hilang kesan kedutan. Begitu juga dengan kasut sekolahnya. Dia tidak pernah pergi ke sekolah dengan kasut yang kotor. Oleh itu, dia sering dipuji oleh kawan-kawan sekelasnya.

Raiz juga sering digelar pelajar yang kemas pada setiap hari isnin. Raiz menjadi malu dengan pujian daripada kawan-kawannya itu.

“Lagi dua hari nak sekolah, kasut aku masih hitam tidak dicuci. Kalau aku pergi ke sekolah dengan berpakain kotor, pasti aku akan diejek oleh kawan-kawan,” bimbang Raiz ketika di dalam bilik air.

Raiz seperti cacing kepanasan. Dia berjalan ke kiri dan ke kanan kerana memikirkan kasutnya yang kotor itu.

“Mak, boleh tak kalau Mak belikan berus untuk mencuci kasut saya?” kata Raiz yang buntu pada ketika itu.

“Raiz, Mak belum dapat duit jahit daripada kawan-kawan Mak lagi. Jadi, Mak tak dapat nak beli berus yang kamu minta tu,” kata Maknya serba salah di ruang tamu.

Raiz hanya menundukkan kepalanya selepas sahaja mendengar kata-kata Maknya. Dia hanya terduduk diam sambil menyangkung. Tangannya menguis-nguis tali kasut yang telah basah di atas lantai. Dia seperti patah semangat untuk ke sekolah pada hari isnin nanti. Air matanya mula menitis mengena pehanya. Dia menangis terkenangkan keluarganya yang hidup susah selepas kematian ayahnya.

“Kalaulah ayah masih hidup, mesti ayah belikan berus untuk aku, dapat aku cuci kasut ini dengan bersih,” sebak hati Raiz.

Usianya baru menjangkau 10 tahun, Raiz sudah faham benar dengan keadaan Maknya. Raiz tahu bebanan yang Maknya tanggung selama tiga tahun selepas ketiadaan ayahnya. Oleh sebab itu, Raiz tidak memaksa Maknya untuk membeli barang yang dia minta itu.

Pada ketika itu, Raiz cuma menggosak kasutnya dengan menggunakan tangan. Sedikit serbuk perncuci ditaburkan ke atas kasut itu. Kelihatan banyak buih yang keluar daripada permukaan kasut. Sedikit kotoran sudah tertanggal daripada kasutnya. Walaupun tidak sebersih seperti selalu dia cuci, tetapi dia tetap berpuas hati.

Raiz berjalan keluar menuju ke ampaian. Dia menyangkut tali kasut di ampaian belakang rumahnya. Manakala, kasutnya diletakkan di atas batang pokok yang telah ditebang. Permukaan pokok tersebut tidak rata. Di bahagian batangnya pula terdapat kesan bakar berwarna hitam. Tanpa berfikir panjang, Raiz membiarkan sahaja kasutnya kering di atas tunggul pokok itu.

Setelah itu, dia berjalan masuk ke dalam rumah. Dia terus berjalan menuju ke biliknya. Sewaktu dia melangkah pergi, Maknya memanggil Raiz.

“Raiz, Mak minta maaf kalau Mak tak dapat belikan berus itu. Nanti kamu cuba cuci dengan menggunakan sabut kelapa tu ya. Mana tahu kotornya boleh ditanggalkan,” Maknya memberi cadangan.

“Tak apalah Mak, Raiz sudah cuci kasut itu. Alhamdulillah ia tetap bersih walaupun menggunakan tangan.” kata Raiz yang baru sahaja menjejakkan kakinya di hadapan pintu biliknya.

Setelah itu Raiz terus masuk ke dalam biliknya.

Raiz kasihan dengan kata-kata Maknya itu. Dia juga terfikir tentang sabut kelapa yang diperkatakan oleh Mak. Raiz berasa lucu apabila mengulang kata-kata Maknya sebentar tadi. Baginya, belum cuba, belum tahu.

Setelah itu, dia terus mencapai beg sekolah yang berada di sudut hujung bilik. Dia mengeluarkan buku dari dalam beg. Niatnya untuk menyiapkan kerja sekolah sewaktu masa lapang. Raiz tidak suka membuang masa. Sifat Raiz itu sering dipuji oleh gurunya. Kawan-kawan sekolahnya juga suka berkawan dengan Raiz. Dia mahu mengikut sikap Raiz yang tidak suka menangguhkan kerja sekolah.

Setiap petang, Raiz tidak keluar bermain bersama rakan-rakannya. Dia hanya duduk di dalam bilik sambil membaca buku. Semua masa yang terluang dia habiskan dengan membaca buku selepas menyiapkan kerja sekolah. Baginya, masa itu emas. Raiz memegang pepatah itu sebagai panduan dalam hidupnya.

Oleh sebab itu, dia sering mendapat nombor satu di dalam kelas Empat Harmoni. Setiap kali cikgunya memberitahu keputusan kedudukan kelas, kawan-kawanya sudah tahu Raiz di tempat pertama. Raiz bangga dengan keputusan yang dicapai selama ini. Namun, dia tidak riak dihadapan kawan-kawannya. Malah, dia suka mengajar kawan-kawanya dengan ilmu yang dia ada. Kawan-kawannya sangat sayang akan Raiz.

Setelah waktu petang, Raiz tidak ingat tentang kasutnya yang dijemur di luar rumah itu. Dia sangat tekun membaca. Apabila terdengar bunyi ayam berkokok, barulah dia sedar. Dia berjalan menuju ke dapur, lalu membuka pintu belakang rumahnya. Raiz memerhati ke kawasan sekeliling rumah. Selepas itu, matanya tertumpu pada kasutnya itu. Dia terkejut. Perasaannya bertukar menjadi marah. Dia melihat kasutnya terjatuh dari tunggul pokok itu.

“Siapa yang jatuhkan kasut aku?” bentak hatinya.

“Mesti ayam yang tadi bermain di sini, lalu kasut aku terjatuh ke bawah mengena arang hitam pada tunggul pokok ini!” geram Raiz sambil mehentakkan kakinya ke atas tanah.

Air matanya mula berjurai ke pipi.

“Macam mana aku nak hilangkan warna hitam ni?” kata Raiz sambil melihat kasutnya.

Ketika itu, dia sangat buntu. Dia memberitahu Maknya tentang perkara itu.

“Mak! macam mana Raiz nak cuci kasut ni?” teriak Raiz dari belakang rumahnya.

“Kasut Raiz, kotor terkena arang, warna hitam arang itu melekat pada kasut Raiz,” sambung Raiz sambil menangis.

Maknya datang ke belakang rumah. Maknya melihat Raiz dengan perasaan yang sungguh sayu. Maknya cuba memujuk Raiz. Dia mengambil kasut Raiz. Lalu, dibawa masuk ke dalam bilik air. Maknya menyuruh Raiz untuk mengambil sabut kelapa yang berada di bawah pokok jambu di belakang rumahnya. Raiz dengan cepat bergegas pergi mendapatkan sabut kelapa itu. Dia cuba mengetuk sabut kelapa itu untuk membuang habuknya. Setelah itu, Raiz menghulurkan sabut kelapa itu kepada Maknya.

Dengan bersusah payah Maknya menyental warna hitam yang terlekat pada kasut Raiz. Dia menaburkan sedikit serbuk pencuci di atas kasut. Kelihatan, warna hitam tadi sudah luntur dari kasut itu. Maknya membilas kasut itu dengan air yang banyak. Dia menunjukkan kasut yang bersih itu kepada Raiz. Kini, Raiz mula tersenyum.

Dalam fikirannya, Maknya adalah benar. Sabut kelapa itu sangat berguna untuk menggosok warna hitam pada kasut Raiz.

“Terima kasih Mak,” ucap Raiz sambil tersenyum gembira.

“Sama-sama sayang. Sudah jangan menangis lagi. Kamu jemur semula kasut ini pada esok hari. Nasib baik esok masih cuti,” kata Maknya dengan lembut sekali.

                                                            TAMAT.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.