Home Novel Thriller/Aksi MARIONETTE
MARIONETTE
Irse Mayra
27/5/2018 14:25:29
2,258
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
Bab 3
Julai 2266

Mata yang terpejam dibuka perlahan-lahan.
 
Hitam.

Cuma warna itu yang mewarnai penglihatan. Sangkaan si gadis, mungkin anak matanya sedang menipu, cuba memberontak. Lalu dia mengelipkan mata berkali-kali. Namun apa yang terpampang di hadapan hanyalah warna hitam.

Si gadis tidak puas hati. Dia segera menggerakkan tangan kanan ke hadapan muka.

Besar bola matanya. Bentuk tangan langsung tidak terlihat.

Apa sudah terjadi? Adakah dia sudah buta? Mengapa tiada warna lain yang dilihatnya melainkan warna hitam?

Dia memicit lengan kiri dengan sekuat hati.

Sakit.

Kawasan yang dipicit tadi terasa berdenyut-denyut. Rasa sakit itu membuat hatinya lega sedikit. Dia masih lagi dapat merasai kesakitan. Sekurang-kurangnya dia pasti yang dia masih hidup.

Dia memalingkan kepala ke kiri dan ke kanan. Hanya kegelapan melatari suasana. Hatta satu bayang-bayang pun tidak terlihat olehnya.

Sekilas hatinya terdetik, di mana dia berada sekarang ini? Di tempat mana dia sedang berbaring? Bagaimana dia boleh berada di sini? Persoalan-persoalan itu menari-nari di ruangan minda. Dia cuba mengingat kembali apa-apa perkara yang boleh memberikan dia sebarang idea tentang keberadaannya di tempat itu.

Tiada memori, tiada apa-apa peristiwa terlintas di fikiran. Ingatannya kosong.

Dia segera membangunkan diri daripada tempat pembaringan yang keras dan sejuk. Satu idea terlintas di benaknya, mungkin dia boleh mendapatkan sesiapa di situ. Mungkin ada orang lain selainnya di tempat itu.

“Hello!” Dia menjerit. Suaranya bergema di sekeliling. “Ada sesiapa di sini?” soalnya.

Sia-sia.

Hanya sunyi dan sepi yang menyambut.

Lantas dia berdiri. Kaki digerakkan ke hadapan. Baru dua langkah dia berjalan, tubuhnya menjunam ke bawah. Serta-merta mukanya mencium satu permukaan keras.

“Uh ... uh ....” Dia mengerang kesakitan.

Dengan hentakan yang begitu kuat, dia pasti tempat dia berbaring tadi memiliki ketinggian sekurang-kurangnya satu meter. Tidak mahu lagi mengambil risiko berjalan dalam gelap, dia memilih untuk merangkak sahaja.
Sambil merangkak, tangan kanannya meraba-raba di hadapan agar dia bisa menemukan sesuatu. Jika tempat dia berada sekarang ialah sebuah bilik, lambat laun dia pasti akan bertembung dengan dinding bilik. Mungkin dia boleh mencari pintu keluar selepas itu.

Pergerakannya terhenti tatkala jari-jemari kanannya menyentuh sesuatu. Dia meraba-raba objek yang disentuhnya; permukaan yang licin dan sejuk. Dia berdiri perlahan-lahan sambil melekapkan kedua-dua tapak tangannya pada permukaan licin itu.

Dinding.

Dia lalu merendahkan kembali tubuh ke posisi merangkak. Tapak tangan kanannya masih terlekap pada dinding tersebut. Badan pula disokong oleh kedua-dua kaki dan tangan kiri. Tapak tangan kanan yang melekap pada dinding digerak dengan berhati-hati ke hadapan, mengikuti pergerakan kakinya.

Akhirnya, tapak tangan kanannya menyentuh suatu permukaan yang berbeza daripada permukaan tadi. Dia cepat-cepat berdiri lalu meraba permukaan baru tersebut.

Ada beberapa corak beralur lurus dari kiri ke kanan permukaan baru itu. Jari-jemarinya akhirnya menyentuh satu alur ke bawah yang menjadi pembahagi kepada permukaan yang disentuh.
    
Pintu.

Dia menolak pintu tersebut dengan sekuat hati. Usahanya gagal. Pintu itu sedikit pun tidak bergerak. Dia menolak dengan lebih kuat. Hasilnya tetap sama.

Geram, otaknya ligat mencari idea. Mungkin juga pintu di hadapannya ini ialah pintu automatik yang boleh terbuka di kedua-dua bahagian; kiri dan kanan. Jika begitu, dia patut membuka pintu tersebut dengan memisahkan kedua-dua belah pintu.
    
Kali ini dia cuba membuka kedua-dua pintu itu. Sekali lagi usahanya menemui kegagalan.
Dia merengus kuat. Barangkali dia harus mencari suis lampu di tempat itu terlebih dahulu untuk menilai keadaan sekeliling.

Dia kembali teraba-raba dalam gelap.

Jari kirinya tersentuh sesuatu yang berbentuk segi empat. Benda segi empat tersebut berbentuk seperti kotak kecil. Ada bahagian di kotak tersebut yang timbul ke atas. Dia menekan kotak itu.
Tiada apa-apa yang berlaku.

Dia meraba kotak tersebut kembali. Jarinya menyentuh satu objek bulat yang boleh ditekan. Jari telunjuknya menekan objek bulat itu dan serta-merta keadaan sekeliling yang gelap, bertukar terang.

Cahaya daripada lampu automatik siling menerjah masuk ke dalam matanya, menyilaukan penglihatan.
Dia mengelip mata berkali-kali sehingga pandangan yang kabur menjadi jelas. Beberapa kali juga dia menggosok-gosok mata dengan tangan untuk mengurangkan rasa pedih.
    
Pandangan kini dihala pada satu suis bulat yang sederhana besar. Ternyata itulah suis yang ditekannya sebentar tadi untuk menghidupkan lampu. Dia atas suis bulat itu pula ada sebuah alat pengimbas. Pada alat pengimbas tersebut terdapat skrin kecil, papan kekunci kecil, dan tempat imbasan ibu jari. Ada beberapa kekunci yang memaparkan nombor kosong hingga sembilan serta butang yang tertulis perkataan ‘ENTER’ pada alat pengimbas tersebut.
    
Dia menekan nombor satu, dua, tiga, dan empat lalu menekan ‘ENTER’. Skrin yang terletak di atas kekunci tersebut memaparkan perkataan ‘INVALID PASSCODE’.

Satu keluhan dilepaskan. Pintu automatik berwarna kelabu muda itu besar dan tinggi. Tidak mungkin dia dapat memecahkan pintu sekuat ini.

Hampa, dia berpaling ke belakang.

Apa yang terhidang di depan mata bisa membuat jantungnya gugur.

Di hadapannya tersusun berpuluh-puluh badan manusia yang sedang terbaring di atas meja.

Kesemuanya kaku seperti mayat.

Saat itu dia merasakan dirinya bagaikan terapung di udara. Kakinya sudah tidak kuat untuk menyokong badannya. Akhirnya dia jatuh terjelepok di atas lantai.

Seluruh tubuhnya menggigil. Tubuh-tubuh yang terbaring kesemuanya memakai baju panjang tanpa lengan warna kelabu. Dia memandang dirinya. Dia turut memakai pakaian yang sama seperti mereka.
Cepat-cepat dia berundur lalu menyandarkan diri pada pintu automatik. Kaki dilipat ke dada. Tangannya memeluk erat kedua-dua lutut.

Tubuh-tubuh yang tampak lena dibuai mimpi itu diperhatikan lama.

Adakah mereka cuma tidur? Mengapa mereka tidak bangun dan cuba mencari jalan keluar sepertinya?

“Tenang … kau kena tenang … mereka cuma tidur …,” ujarnya sekadar menyedapkan hati yang walang.

Dia masih hidup.

Dia berada di tempat ini dan dia masih hidup. Jadi mereka juga pasti masih hidup sepertinya. Mereka pasti akan bangun selepas dikejutkan.

Tidak perlu takut.

Dengan segala kekuatan yang ada, dia memaksa kakinya berdiri. Setelah merasakan jiwanya sedikit tenang, dia melangkah ke hadapan, menuju ke arah tubuh-tubuh yang terbaring.

Dia mendekati salah satu meja di sebelah kiri. Seorang gadis berambut panjang warna merah sedang terbaring di situ. Kulitnya putih dan pucat. Umurnya mungkin dalam lingkungan 14 ke 16 tahun.

“Hai.” Dia memanggil. Sejujurnya, dia tidak tahu bagaimana caranya harus dia membangunkan orang yang sedang tidur. “Ummm...hai,” panggilnya sekali lagi dengan suara yang lebih kuat.

Tiada reaksi.

“Awak boleh dengar saya tak?” soalnya sambil menggoyang-goyangkan bahu kanan gadis tersebut. Gadis itu tidak menjawab pertanyaannya.

Dia naik hairan. Tidak mungkin ada orang yang tidak sedar jika dibangunkan seperti itu. Mengharapkan firasatnya salah, jari dirapatkan ke hidung si gadis.

Tiada hembusan nafas.

Dia tidak puas hati. Pergelangan tangan gadis itu dipegang.

Tiada nadi.

Ternyata gadis itu sudah tidak bernyawa lagi.

Matanya memandang tubuh-tubuh yang lain. Adakah mereka juga seperti gadis ini?

Dia beralih ke meja sebelah. Ciri fizikal dan lingkungan umurnya sama seperti gadis pertama. Dia mengulang kembali apa yang dia lakukan pada gadis pertama kepada gadis kedua.

Sama seperti gadis pertama, gadis kedua juga tidak lagi mempunyai denyutan nadi. Dia meneruskan pemeriksaannya ke atas tubuh-tubuh  lain.

Sayang sekali mereka juga sudah tidak bernyawa lagi. Ketika dia sibuk memeriksa tubuh yang kelima belas, pintu automatik bilik itu terbuka.

Dia mengangkat wajah, memandang ke koridor di luar pintu bilik yang terang-benderang.
 
Dengan pantas, dia meluru ke arah koridor, keluar meninggalkan bilik misteri itu. Namun baru beberapa langkah, dia terdengar bunyi derapan tapak kaki dari koridor yang menganjur ke kanan, tidak jauh dari koridor tempatnya berada. Tubuhnya segera membatu. Naluri kini mendesaknya untuk berpatah balik ke bilik tadi.

Tidak semena-mena, lampu koridor terpadam. Derapan tapak kaki tersebut terhenti.

“Macam mana lampu boleh terpadam?” Soal satu suara garau.

“Entah. Dahlah tadi semua pintu di bangunan ni terbuka sendiri.” Jawab satu lagi suara.

“Jangan-jangan ada penceroboh tak?” Soal suara yang lain.

“Hahaha. Takkanlah boleh ada penceroboh? Makmal tentera ni kebal tau. Mungkin ada litar pintas. Kejap lagi hiduplah generator tu.”

Suara-suara itu kemudian ketawa lagi.

“PENCEROBOH! PENCEROBOH DIKESAN! SEMUA UNIT BERSIAP SEDIA!”

Arahan daripada speaker mematikan ketawa suara-suara tadi. Seketika kemudian, lampu kecemasan di koridor terpasang.

Penggera berbunyi nyaring.

“PENCEROBOH DIKESAN DI BAHAGIAN A12. SEMUA UNIT SEGERA BERGEGAS KE BAHAGIAN A12.”

Dengan kelam-kabut, pemilik suara-suara tadi berpatah ke belakang, berlari menjauhi koridor tempatnya berdiri. Helaan nafas lega terlepas dari dada. Kesempatan itu digunakan untuk mencari jalan keluar.

Langkahnya terhenti tatkala melihat seorang lelaki keluar dari pintu di sebelah kanan koridor.

Demi sahaja melihat wajahnya, lelaki itu segera mengacukan pistol.
   
“Tolong ... tolong jangan bunuh saya ....” Dia merayu lalu mengangkat tangan untuk menyerah diri. “To … tolong jangan bunuh saya ....” Terketar-ketar dia mengulang. Hidup dan matinya kini berada di tangan lelaki itu.
    
“Marionette!” Lelaki itu mengucapkan. Mata birunya memandang gadis di hadapan dengan penuh rasa benci.
    
Inilah masanya untuk membalas dendam demi adik perempuannya.     
    
Dia, Adam Elmurzaev, akan menghapuskan marionette ini.


Previous: Bab 2
Next: Bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Irse Mayra