Home Novel Komedi/Romantik Komedi 'Dia' My Love
'Dia' My Love
Zan Zarida
13/8/2016 23:49:49
288,050
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Beli Sekarang
Bab 1

CUTI raya kali ini dihabiskan di Kuala Selangor sahaja. Dia dan adiknya balik menziarahi satu-satunya mak saudara yang ada. Sejak mama mereka kembali ke rahmatullah lima tahun yang lalu, dengan Chik Teh mereka bermanja dan menumpang kasih.

“Apa yang abang menungkan?” tanya adiknya sambil mengambil tempat di sofa.

Petang-petang begini, tiada aktiviti lain yang dapat dilakukan melainkan berborak dan melepak di hadapan televisyen. Pada sebelah pagi, memang ramai tetamu kecil yang berkunjung ke rumah. Tidak menang tangan adiknya melayan mereka.

“Ada la…”

“Apa dia? Tak syok la kalau tak nak kongsi dengan adik.” Ayat biasa yang sering adiknya tuturkan untuk mengorek rahsia abangnya.

I get to know someone…” beritahunya dengan ceria. Ketika ini wajahnya bercahaya dan berseri-seri bak bulan purnama.

“Okey…” Adiknya tersenyum-senyum. Dia dapat meneka perasaan abangnya. Pasti sahaja sudah terusik gara-gara seorang gadis.

She has the charismatic that I adore,” beritahunya lagi. Entah kenapa dia tidak berasa segan langsung untuk menceritakan apa yang dirasa ketika ini. Selalunya bab hati dan perasaan jadi rahsia sendiri.

“Wow! Confirm she has the look that capture your heart,” usik adiknya yang semakin teruja dengan cerita yang dia sampaikan.

“Sebenarnya hati abang dah tergolek-golek kerana dia,” akuinya lagi. Senyuman turut menguntum di bibirnya. Kali ini dia berasa sangat gembira dapat berkongsi cerita dengan adik kesayangan.

She melt your heart which has been frozen?” duga adiknya yang seronok sekali mengetahuinya. Dia juga beranjak lalu duduk rapat sebelah abangnya.

“Yup. Malangnya dia milik orang lain,” keluhnya sedikit hampa. Senyuman di bibir turut mati.

“Abang jangan cari pasal!” Adiknya mengingatkan. Dia juga tidak senang duduk. Baru mahu berkongsi kegembiraan, sudah terpaksa dilupakan.

“Tak ada la sampai macam tu. Dia tak pandang abang pun.”

“Kalau macam tu, minta kat ALLAH supaya ditemukan dengan gadis lain sepertinya. Tak pun semoga dia ada kembar yang masih solo.” Adiknya segera memberi kata semangat agar abangnya tidak kecewa.

“Itu harapan paling tak syok!” tungkasnya. Dia mahukan gadis itu, bukan orang lain yang persis dirinya.

“Habis tu, takkan abang nak dia jugak?” soal adiknya, terkejut.

“Andai ini adalah peluang terakhir, abang akan pastikan dia tetap jadi milik abang jugak,” ujarnya dengan yakin dan penuh semangat.

Dia nekad tidak mahu berpaling. Alang-alang sudah terhidang di hadapan mata, baiklah cepat-cepat dia rebut. Tidak kisah andai terpaksa bekerja keras dan minta bantuan orang lain untuk menjayakan misinya. Apa yang penting, gadis itu dapat disunting menjadi suri hatinya. Selagi tidak tercapai, dia akan terus berusaha.

“Abang ni… tak baik tau, merebut sesuatu yang dah jadi milik orang. Tambah berdosa andai meruntuh masjid,” nasihat adiknya.

“Abang bukan nak meruntuh masjid, tapi nak rebut peluang bina masjid!”

“Amboi, lain macam aje bunyinya!” usik si adik.

“Abang serius dan bukan main-main,” tegasnya dengan lantang. Impian memiliki gadis itu akan dia utamakan berbanding perkara lain.

“Adik memang yakin abang boleh jadi imam yang bagus, tapi carilah makmum lain yang masih tiada yang punya,” usul adiknya.

“Tapi abang nak dia jugak…” tuturnya.

Wajah gadis itu kembali bermain di mata. Sudah beberapa malam juga tidurnya tidak lena. Kadang-kadang, ketika bekerja pun dia boleh teringatkan gadis itu. Nampak sangat dirinya sudah gila bayang!

“Abang yakin seratus peratus dia adalah jodoh abang?” soal adiknya sambil memegang kejap lengannya.

“Bukan setakat yakin seratus peratus, tapi lima ratus peratus!” tekannya.

“Sudahlah! Sampai sekarang pun abang masih tak ada girlfriend. Lagi nak cakap besar!” kutuk adiknya pula.

“Sebelum ni memang tak ada, tapi sekarang dah muncul kat depan mata,” balasnya.

“Mana? Mana?” Sengaja adiknya berlagak seperti tercari-cari.

“Di sini,” beritahunya sambil tapak tangan menepuk dadanya beberapa kali.

Adiknya menggeleng melihat gelagatnya. Tidak menyangka abangnya akan jatuh cinta lagi. Pasti sahaja gadis itu mempunyai keistimewaan yang luar biasa.

Ketika ini matanya sudah terpejam. ‘Izinkan saya jaga hati dan diri awak…’ bisiknya sambil membayangkan gadis itu berada di hadapannya.

“Amboi, dah sampai mana abang berangan?” Tiba-tiba adiknya menepuk kuat bahunya.

“Etiopia…” Nama negara di benua Afrika pula yang disebut!

“Tak mau la Etiopia, sana panas dan tak best!” balas adiknya pula.

“Kat sanalah best, tak ada sesiapa yang nak kacau.” Ada sahaja idea untuk mempertahankan jawapannya.

“Kalau nak bercinta, kena pergi ke tempat yang sejuk dan nyaman. Tak pun pergi ke negara yang ada banyak bunga, barulah hati si gadis mudah dipikat.”

“Gadis itu sendiri merupakan sekuntum bunga yang mengharum…” pujinya.

“Perh! Biar betul abang ni? Atau otak abang sudah mereng disebabkan seorang gadis?” Adiknya seakan tidak percaya dengan bicaranya.

“Abang masih waras, okey? Dia gadis yang istimewa dan lain dari yang lain,” pantas dia menjawab.

Bukan senang dia hendak berjumpa dengan gadis yang boleh buat hatinya tersentuh hanya kerana perkara yang kecil sahaja. Meskipun gadis itu kategori cantik menawan, namun keperibadiannya lebih memikat hatinya.

“Lain macam mana pulak? Semua perempuan sama aje, yang berbeza cuma hati dan akal.” Adiknya berasa tidak puas hati pula mendengarnya.

“Itulah yang membezakan dia dengan gadis lain, termasuk adik abang ni!”

“Jadi, dia lebih baik dari adik la?” Si adik sudah bernada tidak gembira.

“Adik tetap kesayangan abang walau siapa pun yang bertakhta di hati ini,” balasnya agar adiknya itu tidak berkecil hati.

“Ya sangatlah tu.” Kini adiknya mencebik.

“Janganlah merajuk. Rasanya bukan abang aje yang suka kat dia, adik pun pasti akan suka.”

“Ada gambar dia tak?” Tiba-tiba adiknya mahu tahu pula.

“Malangnya tak ada…” keluhnya. Dia juga turut berasa kesal kerana tidak terfikir mahu mengambil gambar gadis itu ketika di hadapan mata.

“Alah, abang ni potong stim betul! Baru nak berangan keluar shoppingdengan dia.”

“Adik ni ingat shopping aje!”

“Terapi...”

“Terapi yang membazir duit!” perli abangnya.

“Abang lelaki, apa tau?” balasnya sambil berpaling dari memandang abangnya.

“Buat apa penat-penat cari duit, kalau akhirnya dihabiskan dengan membeli-belah? Kalau beli barang yang sentiasa dipakai tak apa jugak.” Dia memberi kata nasihatnya kepada adik tersayang.

Whatever!” Jawapan yang selalu diberikan apabila tidak tahu hendak membalas kata-kata abangnya.

“Adik tolong abang, ya?” pintanya dengan wajah kasihan. Dia amat mengharapkan bantuan adiknya.

“Tengoklah macam mana…” jawab adiknya. Sengaja buat tidak kisah.

“Dia cantik macam adik jugak,” pancingnya.

“Okeylah, okeylah!” Akhirnya adiknya bersetuju juga untuk membantunya.

“Macam tulah adik abang! I love you,” ucapnya seperti selalu.

I love you too…”



Previous: Prolog
Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.