Home Novel Komedi/Romantik Komedi 'Dia' My Love
'Dia' My Love
Zan Zarida
13/8/2016 23:49:49
288,596
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Beli Sekarang
Bab 6

USAI solat zuhur, Amy menuju ke bilik Rus. Dia terus sahaja membuka pintu bilik tanpa mengetuknya terlebih dahulu. Saat ini dia sudah tidak sabar mahu mengorek cerita daripada gadis itu. Tidak tenteram jiwa selagi tidak tahu cerita sepenuhnya.

Sebaik terpandang Rus sedang mengesat air matanya, dia berasa serba salah pula. Sudahlah masuk tanpa kebenaran kerana terbiasa berbuat demikian. Apatah lagi Rus juga tidak pernah menegur atau marah.

Sorry… kau nangis ke?” Amy bertanya lalu duduk di birai katil.

Rus tidak berkata apa-apa. Dari melunjur dia bersila, kemudian meletakkan kusyen kecil atas ribanya.

Amy pandang wajah sedih sahabatnya. Terbantut niatnya untuk bertanya pasal mat salih. Balik tadi, tiada pula tanda-tanda Rus sedang menghadapi masalah sampai boleh bersedih begini.

“Kalau ada apa-apa, ceritalah kat aku. Mana boleh aku tolong, aku tolong,” tutur Amy. Kini dia turut duduk di sebelah Rus. Bahu sahabatnya itu dipeluk erat.

“Entahlah, susah aku nak cerita kat kau. Biarlah dulu. Selagi boleh aku tanggung, aku pikul...” tutur Rus dengan sebak. Air mata kembali merembes.

“Eh, janganlah cakap macam tu, sedih aku mendengarnya. Apa gunanya aku jadi kawan kalau tak boleh tolong kawan sendiri.”

“Terima kasih sebab selalu jadi pendengar setia aku. Selalu jadi tempat aku mengadu dan meluahkan perasaan,” ucap Rus. Air matanya bagai tidak mahu berhenti mengalir. Sudah diseka, merembes lagi.

“Tak ada hal, tapi janganlah asyik bersedih sendiri-sendiri. Kalau aku tak ada, pada Nurul pun kau boleh luahkan jugak,” ujar Amy.

“Aku okey. Kau jangan risaulah,” balas Rus yang tidak mahu menyusahkan orang lain. Biarlah dia menelan perasaan sedih sendirian.

“Macam mana aku tak risau? Kau mana pernah menangis beria-ia macam ni,” tutur Amy yang bersimpati walau masih tidak tahu punca Rus bersedih.

“Entahlah, sejak dua menjak ni aku terlebih sensitif pulak,” beritahu Rus. Air mata dikesat dengan hujung lengan bajunya.

“Ni mesti ada kena mengena dengan lelaki tu, kan?”

“Hujung tahun ni, aku kena kahwin jugak dengan dia. Apa pun alasan aku bagi, mak aku tak nak dengar,” beritahu Rus dengan pilu.

“Kisahnya. Huzaif ada cakap apa-apa tak?”

“Dia tak pernah pun hubungi aku. Tu yang buat aku lagi sedih...” luah Rus.

“Aku rasa, dia pun bukan setuju sangat bertunang dengan kau. Entah-entah keluarga dia aje yang berlebih.”

“Itu aku tak pasti. Sekurang-kurangnya hubungilah aku, cakap dari hati ke hati. Apa nak jadi kalau sekali pun kami tak pernah bercakap?” Perkara itu yang membuat Rus terasa hati walau dia tidak mengharapkan apa-apa daripada lelaki itu.

“Kau ni biar betul?” Amy terkejut mendengar penjelasan Rus.

“Aku tak tipu…”

“Peliklah korang ni. Masa bertunang nilah patutnya ambil peluang kenal lebih rapat walau berjauhan. Sekarang ni macam-macam cara boleh guna,” komen Amy.

“Entah-entah nombor telefon aku pun dia tak pernah nak ambil tahu,” keluh Rus.

“Kau ada nombor dia kat sana?” tanya Amy.

Rus menggeleng.

“Alahai, dua kali lima aje kau dengan dia! Tapi, apa yang buat kau bersedih sangat?”

“Sebab terpaksa kahwin dengan dia la!”

“Aku rasa tak terlambat kalau kau cari calon lain, kan?”

Rus terus pandang tepat ke wajah Amy. “Apa maksud kau?”

“La… takkan tak faham? Tunjuk kat keluarga kau yang kau ada calon yang lebih baik dan lebih sayangkan kau.”

“Kau ingat senang ke nak cari dalam masa terdekat ni? Siapa aje yang suka dan sayang kat aku?”

“Sebab tu kena cari,” balas Amy.

“Kalau kau bagi tempoh setahun pun, belum tentu aku dapat cari!”

“Itu kata kau. Siapa tahu, kat luar sana ada yang berkenan dengan kau?”

“Mengarut!” Rus tidak suka dengan apa yang Amy cadangkan. Ia bukanlah pilihan yang tepat.

“Zaman sekarang ni, dalam sekelip mata boleh aje berlaku perkara yang pelik-pelik. Kau aje yang tak nak ambil tahu,” tegur Amy.

Bukan dia tidak tahu perangai Rus yang hanya memberi tumpuan pada kerja dan keluarganya sahaja. Hal-hal yang lain, malas dia hendak prihatin dan peduli. Fasal lelaki lagilah dia tidak ambil pusing. Kalau bertembung dengan jejaka yang suka mengusiknya, pasti sahaja dia membuat pusingan U. Biarlah ikut jalan jauh dari terpaksa berselisih.

“Nak tak kalau aku perkenalkan dengan seorang lelaki ni? Dia pun sedang mencari calon isteri,” cadang Amy.

“Kau ni… kan aku dah jadi tunangan orang?”

“Alah, boleh aje putuskan. Kalau dia tak putuskan, kau ajelah yang putuskan! Takkan nak teruskan hidup dengan lelaki yang tak kau cintai?”

“Kau bila bercakap, semuanya ambil mudah. Bukan nak fikir perasaan orang lain!” sungut Rus.

“Permudahkan jangan menyusahkan. Selalu dengar ayat tu, kan?”

“Eii… memang susah bercakap dengan kau ni!” Dari berasa sedih, kini Rus berasa bengang pula dengan bicara sahabatnya itu.

“Fikir sedalam-dalamnya sebelum menerima dia dalam hidup kau. Hidup dengannya bukan untuk sehari, tapi kalau boleh untuk selama-lamanya. Buatlah keputusan dengan akal yang waras dan penuh yakin. Menyesal kemudian hari dah tak berguna.”Amy mengingatkan.

“Yalah…” balas Rus, lemah. Apa yang Amy katakan ada juga benarnya.

“Okeylah, aku malas nak kacau. Kau rehat ajelah, tapi jangan bersedih sangat. Karang banjir rumah kita ni walau sekarang ni musim panas.” Sempat juga Amy mengusik sebelum keluar dari bilik Rus.


SEJAK Amy tinggalkan dirinya, Rus asyik termenung dan bersedih mengenang nasib diri. Hatinya mudah sahaja berasa hiba dengan layanan emaknya. Bukan baru sekarang dia berperasaan begitu, malah sejak dia bersekolah rendah lagi. Mujur dia rapat dengan abahnya.

Kalau dia mahukan sesuatu, hanya pada abahnya dia meminta. Kalau dengan emaknya, memang tidak akan dilayan. Akhirnya dia akan memendam rasa dan berasa amat tersisih dengan emak sendiri. Abah dia jugalah yang akan sentiasa memujuknya.

Tiba-tiba wajah abah kesayangan terlayar di ingatan.

“Abah faham perasaan anak abah. Bukan abah pura-pura tak sedar,” luah Haji Rosman ketika Rus bercuti di kampung.

“Ini bukan pertama kali abah. Macam mana Rus tak rasa sedih? Mak memang tak sayangkan Rus!” Rus menyatakan rasa tidak puas hatinya. Hendak kata dia bukan anak Hajah Kalsum, wajahnya persis sekali dengannya.

“Tak baik buruk sangka dengan mak sendiri. Mak dan abah sayang dengan korang semua,” pujuk Haji Rosman lagi.

“Hanya abah yang sayangkan Rus!” balasnya dengan sebak.

“Pernah fikir tak, kenapa dalam banyak-banyak anak abah, hanya Rus yang paling berjaya?”

Rus menyeka air matanya dengan hujung jari. Wajah Haji Rosman lama dipandang.

“Sebab Ruslah yang paling banyak dapat doa daripada mak dan abah. Hanya dengan doa kami, Rus mudah berjaya dalam pelajaran dan mudah dapat kerja. Tapi dengan anak-anak yang lain, doa sahaja tidak cukup untuk buat mereka berjaya.”

Rus terkedu mendengarnya.

“Rus adalah anak abah yang paling menyenangkan. Mak dan abah tak perlu bersusah payah untuk memastikan Rus berjaya. Kami tahu Rus akan bekerja keras, anak-anak lain tidak begitu. Doalah banyak kali, namun tak banyak yang akan berubah andai usaha dari diri sendiri tidak mahu dilakukan,” tutur Haji Rosman, menjelaskan apa yang anaknya salah faham.

Rus masih memandang wajah abahnya. Benarkah begitu atau abahnya sekadar mahu memujuk dirinya? Bagaimana dengan dirinya yang terpaksa bertunang dengan Huzaif? Kenapa tidak beri kebebasan padanya untuk tentukan jalan hidupnya?

Previous: Bab 5
Next: Bab 7

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.