Home Novel Cinta SeJiWa (SEKUEL BaYaNGaN GuRaUaN)
SeJiWa (SEKUEL BaYaNGaN GuRaUaN)
Sayhazs Zailie
19/8/2017 17:44:25
104,266
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 14


*TQ Portal Ilham for created this lovely cover...


SELENDANG
 yang melitupi kepala disemat rapi. Habis itu tangan langsung mencapai alat-alat solek. Dicalit sedikit eyeshadow di mata, sedikit blusher di pipi, sedikit lipstik di bibir. Hanya sedikit. Namun sudah cukup serlahkan keayuan semula jadi.

Bayangan diri pada cermin hadapan terus dipandang. Kurung moden tersarung di badan turut dibetulkan. Semua nampak dah elok. Sempurna untuk melangkah ke pejabat selepas cuti panjang.

Jantung Irish tiba-tiba berdebar. Macam nak pergi interview pula rasa. Kecut perut. Seram sejuk. Takut nak hadap penghuni Haiyan Holdings. Lagi-lagi teman rapatnya.

‘Siap-siaplah, Irish. Dan tentu-tentu soalan yang menunggu sepanjang skrol istana.’

Senyuman kecil spontan mengulir di bibir merah wanita itu.

Barang-barang make-up dikemas semula. Sekilas mata mengerling pintu bilik air. Masih tertutup. Belum siap lagi nampaknya.

Tangan kembali melakukan tugas di depan. Sementara tunggu gerangan yang dinantikan.

“Irish.”

Panjang umur. Baru disebut-sebut, muncul terus. Segera wanita itu menoleh. Sosok Tengku Harrys sudah tercegat di belakang. Pantas langkah menghala ke bilik woredrobe. Pakaian pejabat yang telah siap bergosok diambil lalu diserahkan.

“Terima kasih.”

My duty,” balas Irish lalu bergerak ke katil. Mengemas tempat beradu, rutin setiap pagi.

Entah kenapa sejak keluar bilik air, mata Tengku Harrys tak lepas-lepas dari merenungnya. Dan sekarang pun lelaki itu masih pandang dia. Sambil kenakan pakaian, sambil mata melihat pantulan figuranya di cermin.

“Cantik hari ni.”

“Hmm?”

You look beautiful today.”

“Taklah. Memang selalu pergi kerja macam ni, kan.”

“Itu yang buat Harrys terpikat.” Antara dengar tak dengar ayat itu diucapkan.

“Harrys cakap apa?”

Nothing.” Tengku Harrys terus perkemas butang kemejanya. “Dah ready nak masuk ofis?”

“Insya-ALLAH.”

Nervous?”

“Sikit.”

I can see it. Muka tu tak pandai menipu.”

Irish melirik suaminya. Tali leher yang diletak ke kolar kini jadi tumpuan empunya badan di sana. Perlahan-lahan wanita itu dekati lelaki tersebut.

“Boleh Irish tolong?”

“Hmm?”

“Ikat tali leher tu.”

Tengku Harrys terkaku. Baik mulut, baik tingkah-laku. Wajah di depan dipandang dalam termangu.

Sedar dia takkan dapat jawapan, sudahnya Irish take the action. Dicapai tali leher Tengku Harrys. Tapi bukan terus disempurnakan. Sebaliknya simpulan kembali dileraikan.

“Kenapa?”

Irish senyap. Tali leher terus ditanggalkan. Selesai, dia letakkan semula ke tempat asal. Kaki terus berjalan ke meja rias. Laci kedua dibuka, capai sesuatu, dan kemudian kembali menghadap Tengku Harrys.

“Irish.”

“Saya.”

What are you trying to do?”

“Tak ada apa. Nak pakaikan Harrys tie.”

Seutas necktie hitam lantas disangkut ke leher lelaki berkenaan. Simpulan langsung dimulakan.

Sekali lagi Tengku Harrys tergamam. Sekejap dia pandang tali leher. Kemudian wajah wanita di depan.

“Ini...,”

“Harrys punya, kan.”

Tengku Harrys cuba mengingat.

“Irish langgar Harrys kat pantri. Air tumpah.”

Perisitiwa beberapa tahun lalu selayang menjelma di ingatan lelaki berkenaan. Insiden Irish tumpahkan air ke bajunya di pejabat. Saat dia pulang dari Brunei dalam kekecewaan. Gara-gara Irish nak putuskan pertunangan.

Tapi rasa kecewa itu akhirnya bertukar menjadi suatu memoir yang memaniskan. Dan kerana insiden air tumpah tersebut, tali leher hitam ini jadi pengikat dalam dia tak perasan.

You still keep it?”

“Itu yang Harrys pesan. Simpan necktie ni baik-baik. Dan pakaikan semula bila Irish dah jadi isteri Harrys. I just did as what you have ordered.

Tengku Harrys terus terdiam. Wajah mulus Irish direnung tajam dalam berbagai-bagai perasaan.



** Let's re-cap macam mana necktie hitam Tengku Harrys boleh berada dalam simpanan Irish. Yang dah baca Novel BAYANGAN GURAUAN masih ingat lagi scene ni? ^_^


TENGKU HARRYS melangkah masuk ke Haiyan Holdings dengan perasaan yang sukar untuk diungkapkan. Sejurus penerbangannya tiba pukul 12.00 tengah hari tadi, dia terus sahaja mengambil teksi dan bergegas ke sini. Kerana itu dia lewat masuk ke pejabat. Hari ini merupakan hari yang cukup berat baginya. Adakah dia akan dapat menatap wajah itu lagi? Atau sekadar bayangan gadis itu sahaja yang akan menemani hari-harinya selepas ini?

Semenjak pertengkaran yang berlaku antara mereka minggu lepas, itulah kali terakhir dia bertemu Irish. Selepas itu dia terus bergegas terbang ke Brunei untuk menghadiri mesyuarat bersama sebuah syarikat pembinaan terkemuka di sana bagi membincangkan projek terbaharu Haiyan Holdings. Apa yang berlaku sepanjang ketiadaannya di sini tidak diketahui. Keluarganya di rumah juga langsung tidak dihubungi. Alasannya mudah sahaja, dia tidak mahu mendengar sebarang berita yang akan membuatkan hatinya terluka.

Suasana sepi menyambut kehadiran Tengku Harrys saat dia melintasi ruangan pejabat di tingkat 12 itu. Semua pekerja tiada di meja masing-masing. Meja setiausahanya juga turut kosong. Ke mana semua orang pergi?

Tengku Harrys pantas masuk ke dalam bilik. Briefcase serta blazer miliknya diletakkan di atas meja sebelum dia melangkah keluar semula dari bilik. Hati kecilnya begitu meronta-ronta untuk segera mencari jawapan bagi teka-teki yang ditinggalkannya sejak seminggu lalu.

Kaki pantas diayun menuju ke bilik Irish. Dengan debaran di dada, Tengku Harrys membuka daun pintu. Perlahan dia menjengah ke dalam bilik itu. Namun hatinya bagai dihambat pilu bila melihatkan bilik tersebut kosong tiada penghuni.

‘Jadi benarlah dia nekad jumpa mama dan papa?’ detik hatinya bersama satu keluhan.

Tengku Harrys menutup kembali pintu bilik Irish. Dengan langkah longlai dia menapak ke pantri. Ingin membasahkan tekak dengan minuman sejuk agar dapat mendinginkan sedikit perasaannya ketika ini. Masuk sahaja ke dalam pantri, tanpa sengaja dia terlanggar seseorang, menyebabkan minuman orang itu tertumpah ke atas bajunya.

“Oh! Maaf, maaf! Saya tak sengaja!” Penuh cemas suara itu mengucapkan maaf sambil tangannya kalut mengelap kemeja Tengku Harrys yang sudah basah.

Tengku Harrys tersentak. Jantungnya berdegup laju. Terasa kini darahnya menyerbu naik hingga ke muka. Bukan kerana dia marah kemejanya sudah basah dek air yang tertumpah, tetapi suara itu membuatkan nafasnya terasa sesak. Perlahan dia mendongak.

“Irish.”

Tangan Irish terhenti sebaik mendengarkan suara itu. Walaupun dalam nada berbisik, namun tetap jelas di pendengarannya. Sebaik dia mengangkat wajah, matanya lebih dulu menyapa renungan lelaki di hadapan. Pantas dia berpaling dan bergerak ke singki untuk membasuh gelas kotor di tangan, sekali gus cuba menutup rasa gugup dalam debaran jantungnya.

Tengku Harrys terus kaku di tempatnya berdiri. Pandangannya juga masih tidak lepas dari melihat susuk tubuh tinggi lampai di hadapan. Adakah dia bermimpi? Ataupun benar apa yang sedang dilihatnya sekarang ini? Dengan perlahan dia menghampiri Irish sebelum berhenti betul-betul di belakang gadis itu. “Awak buat apa kat sini?”

“Kerjalah. Takkan makan angin.”

Jawapan itu membuatkan senyuman halus Tengku Harrys terbit di bibirnya. Hilang segala rasa marah yang terbuku di hati sejak kali terakhir bertemu dengan gadis ini. Lantas dia tunduk memandang lantai sambil kedua-dua tangan menyeluk saku seluar.

So... this is your decision?”

Irish tidak menjawab, hanya tangannya bergerak melakukan kerja. Gelas yang sudah dibasuh diletakkan semula ke tempat asal. Beria-ia dia membuat minuman. Belum pun sempat masuk mulut, air itu lebih dulu menjamah kemeja Tengku Harrys. Mata Irish membulat.

‘Alamak! Macam mana aku boleh terlupa?’ Mengingatkan itu, pantas dia berpaling menghadap Tengku Harrys semula.

“Baju Tengku. Saya mintak maaf,” ujarnya sambil memandang kemeja putih Tengku Harrys yang sudah bertukar warna di bahagian hadapan akibat air milo yang tertumpah tadi.

“Tak apa. Dah tumpah pun.”

“Saya tolong bersihkan.”

Kening Tengku Harrys sedikit berkerut. “How?”

‘Ya tak iya jugak. Macam mana pulak nak bersihkan? Mustahillah nak suruh dia buka baju tu. Hmm!’ gumam Irish. Matanya melilau-lilau memerhati sekeliling.

Seketika kemudian pandangannya terhenti pada salah sebuah kabinet di ruangan pantri itu. Seingatnya ada tuala bersih yang tersimpan di situ. Pantas dia membuka kabinet tersebut dan mencapai dua helai tuala. Kemudian dia berlalu ke singki untuk menadah sebekas air sebelum menghampiri Tengku Harrys semula. “Boleh ikut saya?”

“Ke mana?” tanya Tengku Harrys yang sedari tadi hanya memerhati sahaja tingkah laku Irish. Namun hanya senyuman gadis itu diterima sebagai ganti jawapan pada soalannya.

Irish mula melangkah meninggalkan pantri bersama dua helai tuala di tangan. Kaki kemudian diatur perlahan menuju ke biliknya. Berbanding di pantri, di sini rasanya lebih selesa dan selamat untuk dia membersihkan baju Tengku Harrys. Setelah masuk, pintu bilik dibiarkan separuh terbuka.

So...” Tengku Harrys melabuhkan duduk di hujung meja Irish. “...how are you going to clean up this mess?”

Irish membisu. Entah mengapa tubuhnya terasa kaku. Walhal dia sendiri yang menawarkan untuk membersihkan baju lelaki itu tadi. ‘Tulah. Siapa suruh ringan mulut tadi. Kan, sekarang? Hmm... macam mana aku nak bersihkan baju dia, ya?’ Hatinya berbicara sendiri sambil otak ligat memikirkan sesuatu.

‘Ah, belasah ajelah!’

Irish melangkah menghampiri Tengku Harrys yang masih tegar memandangnya. Tuala serta bekas berisi air di tangan sejak tadi diletakkan di atas mejanya.

“Boleh buka necktie tu sekejap?” pinta Irish. Spontan Tengku Harrys tunduk memandang tali lehernya sebelum mendongak semula.

“Awak bukalah sendiri.”

“Hmm?” Terliur Irish dengan kata-kata bersahaja lelaki itu.

Yes.”

‘Biar betul dia ni? Takkan aku yang nak kena buka kut!’

Melihatkan Tengku Harrys masih diam tidak berganjak, Irish mula kalut. ‘Betul-betul nampaknya dia ni. Aduh! Kalau tak buka necktie tu susah pulak nak bersihkan baju dia.’

“Kenapa? Ke awak nak saya buka terus kemeja ni? Lagi senang nak bersihkan.”

“Eh, tak payah!” Laju saja mulut kecil itu menjawab.

Dengan tangan separuh menggigil, Irish menyentuh kolar baju Tengku Harrys dan mula membuka ikatan tali lehernya. Setelah itu dia mengambil sehelai tuala lalu dibasahkan. “May I?”

Hanya sebuah anggukan yang diterima. Perlahan Irish meletakkan tuala basah tadi di dada Tengku Harrys. Sejak mereka masuk ke sini tadi sehinggalah saat ini, mata lelaki itu tidak lepas dari memandangnya. Namun tidak diendahkan. Tangannya sahaja laju bergerak melakukan kerja. Lagi cepat dia buat, lagi cepatlah dia boleh melepaskan diri dari situasi ini.

“Awak tak jawab lagi soalan saya, Irish.”

Irish menjeling sekilas wajah di hadapannya. “Soalan apa?”

“Ini keputusan awak?”

Pergerakan Irish terhenti. Dia ingatkan soalan itu sudah berlalu pergi sewaktu di pantri tadi. Rupanya kini ia dibangkitkan lagi.

“Hmm...” balas Irish ringkas lalu menyambung semula kerjanya.

“Kenapa ubah fikiran?”

“Demi semua orang.”

“Bukan sebab terpaksa?”

“Bukan.”

“Jadi, awak ikhlas terima saya?”

Irish terdiam lagi. Soalan itu bagaikan memerangkap dirinya. ‘Adakah aku ikhlas terima dia? Atau mungkin sebab terpaksa demi menjaga hati insan-insan yang aku hormati dan sayang?’

Dia tidak tahu kenapa dirinya berubah fikiran. Memikirkan kata-kata Irma malam itu, gerak hatinya juga seakan melarang untuk meneruskan niat tersebut, dia pasrah. Sepertimana dia membuat keputusan sewaktu menerima lamaran keluarga Tengku Harrys dulu.

“Irish?”

Irish memandang Tengku Harrys. Ternyata lelaki itu masih menunggu jawapannya.

“Insya-ALLAH. Kalau ini dah memang suratan takdir untuk saya, Tengku tak perlu risau apa-apa.”

Serentak itu Irish menggantikan tuala basah tadi dengan sehelai tuala yang masih kering sebelum ditekapkan semula pada baju Tengku Harrys untuk mengeringkan sedikit kemeja yang sudah agak basah.

Tengku Harrys menghela nafas. Walaupun jawapan itu bukan seperti yang diharapkan, sekurang-kurangnya dia tahu ALLAH telah mendengar doanya agar Irish menarik balik keputusan yang telah dibuat tempoh hari. Mungkin ini sebagai permulaan agar dia dapat meyakinkan kembali gadis ini untuk menerima kehadiran lelaki dalam hidupnya.

“Dah siap. Cuma taklah betul-betul bersih. Dan... basah lagi. Tapi nanti keringlah.”

“Hmm...”

“Boleh ke buat kerja dengan baju basah ni?”

“Kenapa tak boleh? Buat kerja pun dengan tangan. Shouldn’t be a problem.” Tengku

Harrys menjawab selamba sambil melipat lengan kemejanya hingga ke paras siku. Agak santai dari kebiasaan, namun masih kelihatan segak. “Kenapa saya tak nampak staf lain kat luar?”

“Sekarang waktu lunch. Jadi semua orang keluar makan.”

What?” Kali ini kening Tengku Harrys pula berkerut. Spontan dia melihat jam di tangan. Sudah pukul 1.45 petang. Patutlah lengang sahaja keadaan pejabat semasa dia masuk tadi. Macam mana dia boleh tidak sedar?

‘Macam mana kau nak sedar, Harrys? Kalau dalam kepala kau cuma ingin mencari Irish aje sejak menjejakkan kaki ke bumi Malaysia pagi tadi!’ Jerit satu suara dari dalam hatinya. Serta-merta bibirnya mengukir senyuman.

“Kenapa Tengku senyum?”

“Hmm... saya senyum ke?”

“Saya salah pandang kut,” jawab Irish pendek lantas beralih dari menghadap lelaki itu untuk mengemas tuala-tuala serta bekas berisi air yang digunakannya tadi.

“Irish.”

Irish menoleh kembali saat namanya dipanggil. Dilihat Tengku Harrys bangun dari meja dan mula melangkah merapatinya.

Thanks, for what you have done just now. And thanks again...” ayat Tengku Harrys terhenti di situ. Dia mendekatkan dirinya lebih rapat lagi pada Irish. “...cause you won’t hurt our families’ feeling with your decision. My heart as well.”

Sebaik menghabiskan kata-katanya, Tengku Harrys mengatur langkah untuk beredar dari bilik tersebut. Irish pula hanya menghantar lelaki itu dengan renungan sehinggalah matanya terpandangkan tali leher hitam yang masih terletak elok di atas mejanya.

“Tengku...” Irish memanggil semula lelaki itu sambil tangannya mencapai tali leher milik Tengku Harrys untuk diserahkan kembali.

“Tak perlu bagi balik.”

“Hmm...”

“Awak simpan aje.”

“Tapi...”

“Pakaikan balik necktie tu bila dah jadi isteri saya nanti.”

Serentak itu Tengku Harrys berlalu keluar, meninggalkan Irish dengan mulut yang sedikit ternganga.




Previous: Bab 13
Next: Bab 15

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.